Insiden pesawat F/A-18D Hornet, penduduk terkejut bunyi letupan luar biasa. Penduduk sekitar Kuantan dikejutkan dengan dentuman kuat susulan nahas sebuah pesawat pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan malam tadi.
Insiden Pesawat F/A-18D Hornet, Penduduk Terkejut Bunyi Letupan Luar Biasa
Seorang penduduk Taman Pandan Perdana, Khairul Azli Syahmie Abdul Aziz, 26, berkata bunyi letupan itu berlaku kira-kira jam 9 malam.
Menurutnya, pada awalnya beliau tidak menyangka bunyi berkenaan berpunca daripada insiden pesawat yang meletup sewaktu mahu berlepas.
“Kawasan perumahan saya paling hampir dengan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah dan kami sudah biasa mendengar bunyi letupan termasuk waktu malam kerana anggota TUDM sedang melakukan latihan.
“Bagaimanapun letupan ketika kejadian terlalu kuat dan luar biasa berbanding bunyi selalu didengari sebelum ini dan menyebabkan penduduk bergegas ke sini (tempat kejadian) untuk mengetahui kejadian sebenar,” katanya.
Beliau menambah, sejurus selepas kejadian, rakaman video pesawat ketika hendak berlepas mula tersebar luas di media sosial.
Ads
Sementara itu, Bernama melaporkan seorang lagi saksi, Mazlan Abdullah, 61, turut mendengar letupan kuat dari kawasan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah.
Katanya, ketika berada di sebuah kedai makan berhadapan pangkalan udara itu, dia terdengar bunyi letupan sebanyak dua kali disusuli cahaya api.
“Selepas bunyi letupan, saya dapat melihat api dalam kawasan lapangan terbang dan asap berkepul-kepul. Orang ramai yang berada di kawasan berdekatan juga cuba pergi melihat apa yang berlaku.
Ads
“Ketika saya melihat ke lapangan terbang, ada api sedang marak, tetapi selepas letupan kedua, api lebih marak dan ada juga bau hangit,” katanya.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan memaklumkan, sebuah pesawat jenis F/A-18D Hornet terbabit dalam kemalangan tersebut sekitar jam 9.05 malam di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mengesahkan dua juruterbang pesawat berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Gadis kudung kaki dan tangan terharu dapat sambung pengajian. Kekurangan fizikal bukan penghalang buat seorang remaja perempuan dari Kampung Padang Setebu, Kuala Berang untuk meneruskan impian dalam bidang kemahiran.
Walaupun dilahirkan tanpa anggota tangan dan kaki yang sempurna, Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 18, membuktikan semangatnya tidak mudah luntur. Beliau mencipta kejayaan tersendiri apabila diterima sebagai pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal pertama mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam kursus Pelukis Kanan Rekaan Dalaman di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Kampung Teris.
Menurut Nur Damia, dia bersyukur kerana akhirnya dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminatinya, walaupun sebelum ini berdepan pelbagai cabaran.
“Saya mula mengenali bidang ini sejak Tingkatan Empat melalui program SKM Tahap 1, kemudian menyambung ke Tahap 2 sewaktu di Tingkatan Lima. Selepas tamat SPM, saya tekad mahu ke Tahap 3.
“Tetapi sebelum ini, beberapa institusi menolak permohonan saya kerana keadaan fizikal saya tidak sesuai dengan kemudahan di tempat mereka.
“Jadi, apabila TTITC menerima saya, saya rasa sangat bersyukur dan gembira. Ini bukan sahaja untuk mencapai impian saya, tetapi juga untuk menunjukkan bahawa golongan seperti saya pun mampu berjaya,” katanya.
Beliau ditemui selepas menerima surat tawaran pengajian di TTITC yang disampaikan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TTITC, Maliaman Kassim, baru-baru ini.
Ibunya, Rosnaini Mohamad, 47, berkata dia dan suami, Daeng Malis Ab Kahar, 53, sentiasa memberi dorongan kepada anak ketiga daripada empat beradik itu.
“Damia adalah inspirasi kepada kami sekeluarga. Kami yakin dia mampu menghadapi segala cabaran sepanjang tempoh pengajian selama setahun ini.
“Setiap hari, saya dan suami akan bergilir-gilir menghantarnya ke TTITC yang jaraknya kira-kira 30 kilometer sehala, jadi keseluruhan perjalanan pergi balik sekitar 60 kilometer,” jelasnya.
Sementara itu, Maliaman yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu memaklumkan bahawa Nur Damia adalah pelajar OKU keempat yang diterima masuk ke pusat latihan tersebut.
“Sebelum ini, TTITC menerima tiga pelajar OKU dari kategori masalah pendengaran dan bisu. Kehadiran Nur Damia membuktikan TTITC sentiasa terbuka menerima pelajar dari pelbagai latar belakang, termasuk golongan kelainan upaya,” ujarnya.
“Alhamdulillah, urusan berjalan lancar, saya berpuas hati dan amat berterima kasih kepada semua yang hadir memberi sokongan serta semangat.”
Itulah kata-kata Ummu Haiman Bee Daulatgun, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, sejurus selesai proses penggalian semula kubur anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, pada Jumaat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang sanggup hadir memberikan sokongan moral ketika proses berlangsung. Katanya, dorongan itu sekurang-kurangnya mengurangkan beban emosi yang ditanggung keluarga sepanjang menantikan jawapan sebenar berhubung kematian anaknya.
“Sekarang kami hanya menunggu keputusan bedah siasat kedua, semoga semuanya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di lokasi penggalian.
Terdahulu, kerja penggalian semula kubur pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) berusia 22 tahun itu selesai kira-kira jam 9 pagi. Tidak lama selepas itu, pada jam 9.37 pagi, van jenazah yang membawa jasad Syamsul Haris dilihat meninggalkan kawasan tanah perkuburan untuk dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat kedua.
Yuran tadika, taska naik hingga 25 peratus tahun depan, ibu ayah rancanglah bajet dengan bijak. Yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seluruh negara dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus pada tahun depan.
Kenaikan itu adalah susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Februari depan.
PERSATUAN TADIKA ISLAM MALAYSIA (PERTIM) DAN PERSATUAN PENDIDIK INSTITUSI PENDIDIKAN NEGERI JOHOR, YANG MENAUNGI PENGUSAHA TADIKA, SELAIN PERSATUAN PENGASUHAN DAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK BERDAFTAR MALAYSIA YANG MENAUNGI PENGUSAHA TASKA MENGESAHKAN KENAIKAN YURAN PERKHIDMATAN DITAWARKAN KIRA-KIRA 4,500 AHLI MEREKA SUSULAN KENAIKAN KOS OPERASI.
Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang, berkata kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka susulan kenaikan kos operasi bukan saja membabitkan gaji pekerja terutama guru, malah kenaikan kos bahan mentah untuk makanan dan bahan bantu mengajar, selain kadar sewa serta bil utiliti.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan berkenaan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sebelum dilaksanakan.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi kawasan tadika.
“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya kepada BH.
PADA PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2025 JUMAAT LALU, KERAJAAN BERSETUJU MENAIKKAN KADAR GAJI MINIMUM KEPADA RM1,700 SEBULAN DARIPADA RM1,500 KINI BERKUAT KUASA 1 FEBRUARI TAHUN DEPAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Mengulas lanjut, Zaharah berkata, kenaikan bahan mentah untuk makanan murid jagaan ahlinya naik lebih 60 peratus sejak tahun lalu, menyebabkan kos operasi tadika menjadi tinggi.
Katanya, kenaikan yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan 500 tadika di negeri ini akan menaikkan yuran sama susulan kenaikan gaji minimum RM1,700 itu.
“Contohnya pelarasan gaji kakitangan tadika terutama guru akan membabitkan tambahan kos RM229.90 seorang sebulan. Ia membabitkan gaji minimum RM1,700; caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat kepada RM221 sebulan; caruman majikan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meningkat kepada RM27.85 sebulan selain Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang meningkat kepada RM3.30 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Naib Bendahari Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norazlina Adom, berkata yuran baharu taska seluruh negara akan naik antara 13 hingga 20 peratus mulai tahun depan, susulan pengumuman gaji minimum baharu.
Katanya, kira-kira 3,000 taska di seluruh negara termasuk 250 di Johor akan mengenakan yuran baharu itu mulai Januari depan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar Negeri Johor berkata, pengumuman kerajaan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan itu sangat dialu-alukan susulan bebanan kerja kakitangan taska yang berat dalam memastikan keselamatan bayi serta kanak-kanak jagaan mereka sentiasa terjaga sepanjang masa.
“Sehubungan itu, saya memohon kerajaan menyediakan sama ada geran gaji kepada pengusaha taska swasta atau pun insentif kepada ibu bapa yang menghantar anak kepada taska berdaftar, kerana kenaikan yuran yang membebankan mereka ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.
“Ia bagi mengelak ibu bapa memilih taska tidak berdaftar, sekali gus merisikokan keselamatan anak mereka kerana ketiadaan latihan dan kemahiran kakitangan taska kategori ini seperti diwajibkan ke atas taska berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah dijangka susulan pengumuman gaji minimum baharu mulai Februari depan.
Katanya, peningkatan kos operasi perkhidmatan dan barangan sudah pasti dipindahkan kepada pengguna yang akan merasai bebanan peningkatan kos sara hidup.
“FOMCA berpandangan kerajaan perlu melakukan intervensi bagi menetapkan harga siling perkhidmatan dan barangan tertentu supaya pengguna tidak terus terbeban dengan kenaikan harga yang keterlaluan dan tidak wajar.
“Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
“Pengguna pasti mencari alternatif perkhidmatan lebih murah dan dalam isu kenaikan yuran tadika dan taska, kerajaan disaran memperluas dan memperbanyakkan penawaran pra-sekolah selain taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di seluruh negara, supaya keluarga tidak mampu menggunakan perkhidmatan tadika dan TASKA mempunyai alternatif lain untuk anak mereka,” katanya.
UNIQSAAS rasmi universiti al-Quran pertama Malaysia selepas dimasyhurkan Sultan Pahang. Penubuhan universiti ini menjadi sejarah baharu dalam pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.