Suami isteri saling memerlukan. Ibarat irama dan lagu yang tak dapat dipisahkan, masing-masing memainkan peranan sendiri dalam menggerakkan bahtera rumah tangga.
Justeru, kerjasama, bertolak ansur dan saling memahami adalah kunci kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga.
Perkongsian lelaki bernama Mizan Dzai ini sangat bermanfaat buat pasangan suami isteri.
Jom kita baca dan jadikan panduan dalam melayari alam rumah tangga dengan harmoni dan bahagia!
WANITA-WANITA YANG SETIA.
Suami dan isteri ada peranan masing masing. Peranan dan tanggungjawab suami besar, bukan hanya sekadar berstatus suami. Kita yang lelaki ni, kalau tak diberitahu dan kalau tak di ingatkan, kalau tak ditimpa musibah, kita lupa.
Itu memang sifat kita. Ini sekadar pedoman buat lelaki dan suami seperti aku yang seringkali terlupa.
Kita duduk dalam rahim wanita 9 bulan 10 hari lamanya, sampai koyak isinya untuk lahirkan kita dulu, anak-anak kita nanti. Luka kulitnya dengan benang jahitan yg kekal parutnya sampai bila-bila.
Darah dan airmata yang tumpah tu kita nak kira macam mana? Saat diorang menahan derita dan sakit tu kita nak balas dengan apa?
Kita tanya diorang, sejak lahirkan kita sejak lahirkan anak-anak kita, bila last diorang makan kenyang sekenyangnya?
Bila masanya diorang dapat tidur senyenyaknya?
Pernah kita bangun teman isteri susukan anak, tahan belakang badan isteri masa menyusukan zuriat kita dengan sakit epidural, czer, meneran yang masih berbaki?
Ads
Jangan cakap kau, aku sendiri tak mampu, serius. Tak terlayan nak bangun setiap 2-3 jam. Dioranglah bangun paling awal, tidur paling lambat.
Kita tanya mak dan isteri kita, waktu bila yang diorang paling takut sekali?
Waktu diorang rasa nak demam. Siapa nak jaga anak-anak, siapkan makan pakai kita? Nak harap kita yang lelaki ni? Harapan.
Tak pernah langsung dikisahnya pasal sihat atau sakit asalkan kebajikan dan keperluan suami serta anak-anak terjaga.
Apa yang susah, apa yang sombong sangat nak pura-pura tak ingat? Tegas mempertahankan ego ‘Aku Suami’ tak kena pada tempatnya? Sampai ada yang terajang anak isteri kononnya nak mengajar.
Kalau mak kau tau perangai kau macam tu dari kecik dia dah picit-picit kau sampai keluar taik hijau. Cuba kita ingat balik, bila waktu diorang cuti sejak kau terima nikahnya? Cuti dari tugas isteri dan ibu.
Mak dan isteri pengorbanannya sama.
Disisi Tuhan mereka adalah makhluk yang dimuliakan. Sehina dan sejahat jahat kita dulu, mak dan isterilah yang takkan berpaling muka dari kita. Setia di sebelah dengan harapan ada sinar untuk kita berubah, nikmati bahagia bersama.
Ads
Kita komplen isteri tak dengar cakap, tak turut perintah, tak lawa macam dulu. Kalau nak cerita pasal dulu, kau ingat dulu kau sorang je ke nak dia?
Kalau dia tau perangai kau kaki pukul, kaki dadah, buat dia macam khadam kau ingat dia nak ke kat kau? Nak bini lawa bukan main tapi minta beli set makeup pun kau kata membazir, baik buat makan dari beli benda yang tak penting katerr koo.
Baju seluar isteri dari kahwin sampai anak 3 tak bertukar-tukar tapi kau bukan main melaram dengan baju Supreme, sportrim 20 inci.
Siapa isteri kita adalah siapa diri kita ni. Tengok balik diri kita sebagai suami macam mana. Bila kita rasa kita bagus tapi isteri tak bagus dan tak betul memanjang, itulah permulaan masalah.
Kita nak cakap pasal tugas dan tanggungjawab isteri, kau list-kan kita punya, dia list kan dia punya. Kau tengok siapa punya lagi panjang berjela terutama bagi isteri yang tidak bekerja. Cuba buat, berdebar tak berdebar bila kau tengok kau punya tak sampai suku dari isteri kau.
Aku tak nak cakap pasal agama sangat sebab kau orang lebih arif, lebih pandai. Ini soal menyantuni, memahami, menghargai dan kesepakatan dalam rumahtangga.
Bertahun tahun kau abaikan anak isteri dengan lebihkan benda kat luar atau kawan-kawan yang menjahanamkan kau, jangan nanti bila anak kau tak dengar cakap, isteri kau rasa dia boleh hidup tanpa kau baru kau nak tepuk dahi. Itu jam, tengok kau happy tak happy.
Ads
Kawan yang kita patut berkawan adalah mereka yang
“Tak apa bro settle anak bini dulu. Lepak ni bila bila boleh”.
Bukan yang “Pirahhh! Dengan bini pun takut ke woi, kah kah”.
Kau tak tau dia keluar rumah sampai tolak kereta tolak motor, dah jauh baru start. Kau tak tau dia punya masalah kat rumah menimbun-nimbun. Melepak, kalah orang bisnes sampai ke tengah pagi. Tiap hari tiap minggu pulak tu.
Kawan ni penting jugak, bukan tak penting. Cuma aku nak kau tanya diri kau 1 benda je. Kau sakit, kau lumpuh, kau susah tak makan anak beranak esok, siapa yang jaga siapa yang mandikan kau dan siapa yang bantu kau cari duit nak suap anak anak?
Betul, kawan datang bagi bantuan, sokongan dan bagi sumbangan, tapi setakat mana dan sampai bila? Diorang pun ada keluarga, ada komitmen lain. Isteri kau jugak nanti kat sebelah. Isteri kau yang luar biasa tu.
Jangan lebihkan kawan sampai anak anak dan isteri terasa. Pandai-pandailah kau atur.
Bila aku cakap pasal ego lelaki atau suami, kau tahu marah, apatah lagi nanti bila mak atau isteri kau tegur pasal ego kau. Bila isteri suruh baca, kau suruh lukis. Malas benor nak membaca. Kalau bermanfaat, cedoklah buat panduan tapi kalau buruk, kau abaikan sudah. Peningkan kepala kau buat apa?
Isteri ni baik buruk kita semua dia terima, ikhlas. Tujuan dia tag atau mention kau sebab dia nak cakap terima kasih atau untuk kau buat panduan mana yang baik dan bermanfaat.
Aku tak cakap aku cukup bagus untuk nasihat orang, anak pun baru 2 orang tapi kau lelaki aku lelaki, hanya kita yang tau dan kita sahaja yang faham perangai kita.
Ingat, tak semua memiliki peluang kedua dan tak semua peluang kedua sama seperti peluang pertama.
Jangan sia-siakan.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Melihat derita yang dilalui oleh pesakit kanser, memang sukar untuk diungkapkan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Pun begitu, bila dilihat dari sisi semangat yang mereka ada, jujur terbukti mereka ini cukup luar biasa. Hakikatnya, bukan calang-calang orang mampu diuji sedemikian.
Menyentuh tentang makna sembuh sepenuhnya bagi pesakit kanser, ayuh kita fahami perkongsian yang diberikan oleh Dr. Rushdan Noor ini melalui akaun fbnya. Jom semak
MAKSUD “KANSER SEMBUH SEPENUHNYA”
Semua pesakit kanser mahu penyakit kanser mereka disahkan SEMBUH SEPENUHnya. Begitu juga pakar kanser yang tentu akan merasa satu kepuasan jika berjaya merawat pesakit kanser sehingga sembuh. Walau bagaimanapun perkataan sembuh sepenuhnya daripada penyakit kanser tidak sama dengan penyakit bukan kanser.
Penyakit ketumbuhan fibroid (bukan kanser) yang dikesan pada rahim seorang wanita boleh dianggap sembuh sepenuhnya jika pembedahan mengeluarkan rahim dilakukan. Begitu juga ketumbuhan-ketumbuhan bukan kanser yang lain akan dianggap sembuh sepenuhnya jika ketumbuhan itu dikeluarkan.
Penyakit kanser BELUM boleh dianggap sembuh sepenuhnya walaupun kanser sudah tidak dapat dikesan (melalui semua jenis ujian) selepas rawatan ataupun pakar bedah sudah mengeluarkan kanser tersebut daripada badan. Pakar kanser hanya akan nengatakan bahawa buat masa ini ujian-ujian yang dijalankan menunjukkan tidak ada kanser yang wujud dalam diri pesakit. Dalam istilah perubatan, kami gunakan perkataan “no evidences of disease” (NED) ataupun “disease free”. Ini bukan bermaksud pesakit kanser sudah sembuh sepenuhnya.
Boleh Datang Semula
Kanser berbeza dengan penyakit bukan kanser kerana kanser masih boleh datang kembali selepas rawatan walaupun ujian-ujian pengesanan yang dilakukan tidak menunjukkan adanya kanser. Ada beberapa sebab mengapa keadaan ini berlaku di antaranya adalah:
1.Kanser adalah penyakit yang asalnya disebabkan berlaku kelainan genetik yang bertanggungjawab mengawal pembiakan sel. Walau pun kanser sudah dihapuskan sepenuhnya, kelainan genetik itu masih wujud.
2. Pendedahan kepada punca terjadinya kanser itu masih terus berlaku samada disedari ataupun tidak disedari oleh pesakit. Banyak jenis kanser yang tidak diketahui puncanya, jadi pesakit tidak tahu apa yang perlu dielakkan.
3. Ujian-ujian mengesan kanser yang ada pada hari ini tidak 100% tepat. Setiap ujian samada ujian darah ataupun pengimejan diagnostik seperti CT scan, MRI dan PET scan mempunyai kelemahan dan tidak 100% tepat. Jadi jika PET scan melapurkan tidak ada “hot spots” bukan bermaksud 100% tidak ada sel kanser di dalam badan.
4. Sel-sel kanser boleh berubah menjadi kebal kepada rawatan dan walaupun pembedahan serta rawatan kemoterapi/radioterapi dijalankan telah berjaya menghapuskan hampir kesemua sel kanser, sel kanser yg terselamat boleh berubah menjadi kebal dan lambat laun boleh membiak semula selepas beberapa lama mendiamkan diri. Sel-sel kanser ini selalunya daripada kanser jenis yang ganas ataupun kanser peringkat lewat.
5.Kaedah rawatan kanser yang ada pada hari ini walaupun terbaik setakat ini, namun bukan 100% berkesan. Banyak faktor yang mempengaruhi keberkesanan rawatan termasuk jenis kanser, peringkat kanser, jenis rawatan, dos rawatan, jangkamasa rawatan dan lain-lain lagi. Faktor sistem di dalam badan pesakit juga memainkan peranan, contohnya pesakit yang mempunyai kelemahan sistem pertahanan lebih sukar dirawat. Rawatan dianggap kurang berkesan jika tempoh “disease free” yang dialami oleh pesakit adalah singkat.
Negatif Selama 10 Tahun
Walau bagaimanapun memang ada pesakit yang akan sembuh sepenuhnya tetapi pakar kanser tidak dapat mengesahkannya dalam jangkamasa yang singkat. Peluang untuk sembuh sepenuhnya bergantung kepada jenis kanser, peringkat kanser dan banyak lagi faktor. Kanser di peringkat awal mempunyai kadar penyembuhan yang paling tinggi.
Umumnya seseorang pesakit kanser itu dianggap sembuh sepenuhnya jika semua kaedah ujian pengesanan kanser melapurkan keputusan negatif selama 10 TAHUN. Maksudnya pesakit kanser perlu menjalani rawatan susulan selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum boleh dianggap SEMBUH SEPENUHNYA (ada juga kes terpencil di mana kanser datang kembali selepas 10 tahun).
Jangan Terpedaya
Pesanan saya kepada orang awam adalah amalkan gayahidup sihat dan lakukan saringan kanser kerana mencegah lebih baik daripada berubat. Manakala pesanan saya kepada pesakit kanser pula adalah jangan berhenti menghadiri klinik kanser untuk pemeriksaan susulan walaupun anda sudah tamat menjalani rawatan dan pakar kanser sudah memaklumkan yang anda sudah tidak memerlukan rawatan lanjut. Hampir 80% kes-kes kanser berulang dikesan pada 2 tahun pertama dan 20% lagi pada tahun-tahun berikutnya.
Jangan mudah terpedaya dengan dakwaan pengamal rawatan alternatif ataupun penjual produk suplemen/herba yang mendakwa pesakit mereka sudah SEMBUH SEPENUHnya selepas rawatan yang mereka berikan. Malahan kajian menunjukkan pesakit yang dirawat dengan kaedah alternatif mempunyai kadar penyembuhan dan jangkahayat yang lebih rendah daripada pesakit yang dirawat dengan kaedah rawatan kanser konvensional.
Di samping itu saya dapati ada juga pesakit-pesakit kanser yang sudah menjadi “jurucakap pakar kanser” memberi testimoni menceritakan amalan-amalan mereka termasuk mengambil produk-produk tertentu untuk kekal bebas daripada kanser sedangkan mereka baru sahaja beberapa bulan selesai menjalani rawatan kanser.
Seorang pesakit kanser berbeza dengan pesakit-pesakit yang lain walaupun menghidap kanser yang sama. Dapatkan maklumat daripada pakar kanser yang merawat anda. Saya bimbang jika anda mengelak daripada sesuatu yang tidak perlu dielakkan dan mengamal sesuatu yang boleh memudaratkan.
sumber : Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kejadian keracunan makanan yang berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak telah mengejutkan ramai pihak.
Sebanyak 48 pelajar telah mengalami keracunan makanan sejak semalam, dan daripada jumlah tersebut, 6 orang pelajar terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Angkatan Tentera, Terendak.
Pihak pengurusan MRSM Terendak segera bertindak untuk menghubungi Jabatan Kesihatan dan Hospital Tentera Kem Terendak bagi mendapatkan bantuan perubatan. Tindakan pantas pihak berkuasa kesihatan ini telah membantu merawat pelajar-pelajar yang terkesan dengan segera.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyedari keseriusan insiden keracunan makanan itu, ke lokasi kejadian bagi meninjau sendiri keadaan pelajar-pelajar yang terjejas.
Dalam usaha untuk memastikan keselamatan para pelajar, beliau turut meluangkan masa untuk melakukan lawatan ke dewan selera di mana kejadian dipercayai berlaku. Lawatan ini bertujuan untuk mengenal pasti punca kejadian dan memastikan tindakan lanjut dapat diambil bagi mengelakkan insiden serupa daripada berulang.
“Pagi tadi saya menerima banyak mesej daripada ibubapa mengenai kes keracunan makanan yang berlaku di MRSM Terendak bermula semalam. Seramai 48 pelajar mengalami keracunan makanan sehinggakan seramai 6 orang pelajar terpaksa masuk ke wad kecemasan di Hospital Angkatan Tentera, Terendak.
“Saya terus bergegas dari Mahkota Kluang ke MRSM Terendak bagi meninjau keadaan pelajar-pelajar yang terkesan dan melakukan lawatan ke dewan selera.
“Terima kasih pihak Jabatan Kesihatan dan Hospital Tentera Kem Terendak yang telah membuat tindakan pantas bagi merawat pelajar MRSM. Kementerian Kesihatan juga sedang melakukan siasatan lanjut bagi isu ini serta akan mengambil tindakan termasuk notis penutupan dewan selera ini.
Beliau yang mengadakan lawatan ke MRSM Terendak, Sungai Udang di sini, hari ini, mengaku amat terkejut apabila mendapati banyak kemudahan asas di institusi pendidikan itu rosak, kotor dan tidak boleh digunakan.
“Saya juga mengambil peluang melihat fasiliti-fasiliti di sini dan begitu sedih dengan keadaan bilik guru dan tandas di bangunan akademik, tandas di asrama putera dan puteri yang banyak tidak berfungsi dan rosak.
“Saya telah berikan tempoh masa selama sebulan kepada Pihak Pengetua dan pengurusan MRSM untuk menyelesaikan isu-isu penyelenggaraan fasiliti ini.
“Kebajikan para guru dan pelajar adalah menjadi keutamaan kami di MARA dan suasana yang kondusif amat penting untuk keselesaan semua bagi menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
“Tiada kompromi jika ia melibatkan isu kesihatan dan keselesaan para pelajar. Saya akan terus memantau dan memastikan isu seperti ini tidak berlaku lagi. Jika ianya berlaku, boleh terus laporkan kepada saya di ruangan komen Instagram ini,”katanya menerusi Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Memetik Laporan Berita Harian, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendedahkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak adalah yang paling teruk dari segi keadaannya sangat daif dan uzur, berbanding 39 lagi MRSM sudah dilawati beliau.
“Saya melihat sendiri keadaan daif di MRSM itu. Setakat 40 MRSM yang sudah saya lawati, inilah yang paling teruk pernah saya tengok. Pada penilaian saya, MRSM Terendak berada dalam keadaan yang sangat daif dan uzur, terutama fasiliti tertentu.
“Dalam konteks ini, saya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk MARA memberi keutamaan menaik taraf kemudahan asas seperti tandas, selain ada bilik guru yang tidak boleh digunakan langsung,” katanya.
Susulan itu, beliau mengarahkan pengurusan MRSM Terendak menyenaraikan keutamaan berkaitan dalam tempoh sebulan, dengan menggunakan peruntukan khas yang diluluskannya berjumlah RM400,000.
Sumber: Instagram drasyrafwajdi & Berita Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Setiap barangan sudah pasti ada tempoh waktu akan rosak juga jika telah digunakan terlalu lama. Pun begitu, walaupun rosak masih boleh dibaik pulih daripada beli yang baharu. Tidak dinafikan juga, bila kita lakukan diy sendiri pastinya tiada kos upah perlu disediakan
Contohnya untuk membaik pulih pintu peti sejuk yang sudah tidak melekap sempurna seperti yang dikongsikan oleh Khairul Hafiz ini.
“Kalau saya tak share benda nie, saya rasa bersalah pulak… Sebab bagi saya benda yang senang DIY wajib share untuk manfaat semua orang. Maklum lah, sekarang musim nak jimat sebab saya nak cari duit untuk kahwin dengan awak nanti..Eh tiberrr…😂”ujarnya pada kapsyen di salah satu group deko di facebook.
Punca pintu peti sejuk tak rapat adalah sebab getah nya dah expired. Cara pasang sangat-sangat mudah. Paling-paling pun, awak boleh jimat 100 lebih untuk upah pasang getah ni. Banyak weh leh jimat tu. Boleh beli di shopee
Meh saya tnjukkan caranya satu demi satu . Sebelum place order, CHAT DENGAN SELLER DAHULU OKEY Untuk cOnfirmation model dan type.
Pastikan getah pintu peti sejuk anda mmg betul-betul expired. Tanda-tanda expired adalah getah dah tertanggal dari pintunya.
Seller cakap kena preorder 7 hari. Ilmu apa yang dia pakai tak tahu la. Tengok-tengok tak sampai 3 hari sudah sampai. Bukak parcel, ni lah rupa getah dia..
Setiap pintu ukuran tak sama ok. Dia ada ukuran dia.
Langkah 1 : Cabut getah. Caranya adalah dengan cabut penjuru atas macam dalam gambar..tarik aje sampai getah tu tercabut. Jangan risau, nak repair ni tak perlu tool.
Ni rupa bentuk getal asal. Barang lama memang akan sentiasa kena tukar.
Langakh 2 : Cara pasang getah yg baru pula. Tekan setiap penjuru terlebih dahulu. Baru tekan yang lain-lain, untuk elak getah terlebih saiz di setiap penjuru. Baru lah tekan yang lain-lain.
Tekan biar betul-betul rapat supaya pintu senang nak tutup nanti.
Ok dah siap terima kasih kerana membaca sampai habis.