Wajah penuh keibuan ini nyata sangat mesra dengan siapa sahaja biar pertama kali bersua muka.

Penulis menelusuri isi hati insan bernama Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali mengenai kehidupannya yang pernah bergelar Wanita Pertama ke-4 apabila suami kesayangannya, Tun Dr Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri.

Dan kini sekali lagi, beliau menyandang gelaran tersebut bila mana suami kesayangannya sekali lagi dilantik sebagai orang nombor satu negara sekali gus bergelar PM ke-7.

penulis berpeluang mengabadikan kenangan bersama Idola dan Ikon Wanita, Tun Dr Siti Hasmah

 

Jujur mengakui tidak pernah menyiapkan diri sebagai isteri perdana menteri, sebaliknya jawatan doktor yang disandangnya banyak membantunya.

“Cabaran sentiasa ada tetapi tidak banyak sebab saya sudah biasa berkecimpung dengan masyarakat. Meskipun mereka masyarakat yang berpenyakit tetapi saya mudah mesra dengan mereka dan sebagai isteri pemimpin itu yang penting sekali.

“Bermesra dan bergaul dengan masyarakat secara tidak langsung dapat menjaga watak atau karakter kita supaya bukan sahaja bagi gambaran yang baik tetapi secara tidak langsung menjaga nama baik suami. Jika kita buat sesuatu nanti orang akan menyebut itulah isteri kepada orang itu ini. Gambaran sebegini sudah menjadi perkara biasa yang sering berlaku dalam masyarakat.

Risiko tidak diterima oleh masyarakat memang buruk terutama bagi isteri kepada pemimpin. Alhamdulillah sepanjang suami saya menjadi pemimpin, yang buruk itu tiada, apatah lagi yang boleh menjejaskan suami. Baik ketika suami bergelar menteri sehinggalah menjadi orang nombor satu Negara.

“Bukan kerana saya sudah siapkan diri untuk itu tetapi jawatan doktor yang saya sandang itu banyak membantu. Masyarakat sangat hormat pada doktor kerana kita membuat kebaikan. Keduanya, bagaimana kita berusaha dengan masyarakat dengan berhubung rapat dengan mereka. Kalau kita tidak tegur, sombong dan wajah itu akan menunjukkan penampilan kita. Justeru, sebagai doktor sudah bersiap sedia bagaimana mahu kerjasama dengan masyarakat.

“Tidak kira suami menjadi pemimpin atau tidak, tetapi status isteri yang disandang itu, kita kena bersiap sedia dalam segala hal,”ulas Tun Hasmah sambil memberitahu tanggungjawab isteri pemimpin kena sentiasa berada di belakang suami dan memberi sokongan sepenuhnya dalam apa jua yang dilakukan kerana itulah tugas utama seorang isteri.

Sentiasa di belakang suami

Jujur mengakui bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri pemimpin, namun berkat sokongan suami dan keluarga, beliau berjaya mengharunginya.

“Bergelar isteri pemimpin dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai doktor, bukan perkara yang mudah. Apatah lagi, saya perlu berhadapan dengan masyarakat yang mempunyai masalah kesihatan.  Bagaimana cara kita yakinkan untuk membantu mengubati penyakit mereka itu yang penting. Alhamdulillah, saya melalui perjalanan sebagai doktor dan isteri pemimpin negara dengan baik.

“Sebagai ibu pula, lebih-lebih lagi apabila kita sebagai pegawai kerajaan. Kena bijak atur masa sebagai isteri, ibu dan tidak lupa wanita berkerjaya.  Soal masa tidak timbul kerana tidak ada banyak masalah. Waktu dulu nak cari pengasuh mudah. Dulu ada ipar duai di rumah yang boleh diharap untuk bantu jaga anak-anak. Begitu juga dengan pembantu rumah yang tua dan berumur yang memang boleh diharap untuk menjaga anak-anak. Memang mudah dan tidak perlu peningkan kepala seperti sekarang.

“Kami dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina , Mirzan, Melinda, Mokhzani , Mukhriz , Mazhar dan Maizura. Yang sulung, Marina ada pemikiran sendiri dan sedikit mengikut jejak langkah ayahnya. Berdikari dan tegas dalam pendirian. Yang kedua, Mirzan lebih minat pada kewangan dan pandai uruskan bidang tersebut. Yang ketiga, Melinda pula sepenuh masa suri rumah yang menjaga anak-anak sepenuh masa. Dia sangat low profile.

“Yang keempat, Mokhzani pula bijak dalam pengurusan dan kini bekerja dalam industri minyak dan gas.  Dia ada karakter seorang pengurus yang cekap baik dalam kerjaya mahupun rumah tangga. Mukhriz pula lebih menjurus kepada saya. Tetapi bab tanggungjawab dia banyak ikut jejak langkah ayahnya. Dia lembut tetapi tegas. Yang keenam Mazhar dan yang ketujuh, Maizura masih bujang dan ada cita-cita sendiri.

“Cuma, sekarang ini memandangkan yang lain ada yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, tinggal yang bongsu lebih rapat memandangkan dia masih bujang dan kebetulan tinggal bersama kami. Sebagai ibu saya sentiasa galakkan anak-anak dan  demikian juga untuk yang bongsu ini. Saya bantu dan galakkan supaya dia tidak rasa ketinggalan dalam keluarga.

Saya ada tiga anak lelaki dan masing-masing ada karenah tersendiri.  Kalau ikutkan anak yang paling nakal Mokhzani waktu kecil dahulu. Tetapi dia yang paling prihatin dalam banyak hal dan sangat melayan andai ada tetamu datang ke rumah.  Mirzan pula pernah sekali dapat surat daripada ayahnya kerana malas belajar, selepas itu barulah dia berubah.

“Waktu kecil juga, jika ada yang membuat salah dan ayahnya mahu jatuhkan hukuman, semua anak-anak akan dipanggil  supaya  mereka dengar apa kesalahan dan denda yang dikenakan,” jelas Tun sambil memberitahu, dia tidak mengamalkan pilih kasih terhadap  anak-anak sebaliknya bersedia bila-bila masa untuk mereka datang bercerita masalah atau sebagainya.

Kena banyak sabar

Status dan pangkat yang disandang bagaimana pun bukanlah tiket untuk anak-anaknya bermewah dan hidup seperti di dalam sangkar emas. Sebaliknya, Tun menegaskan kepada anak-anak supaya kena usaha sendiri jika mahukan sesuatu.

“Apa jua kemudahan tidak akan datang bergolek jika tidak berusaha. Ini nilai-nilai mulia yang harus diajar pada anak-anak. Yang utama, hormat kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja yang memberikan sesuatu kepada kita. Jadi kita kena balas dengan ucapan terima kasih. Kedua, kerja keras manakala yang ketiga amanah dan keempat jangan boros dan kena tahu uruskan wang ringgit dengan bijak.

“Selain itu kena juga praktik kan dalam diri anak-anak amal bakti dan kebajikan supaya dalam diri terbit rasa kesedaran dan keinsafan selain bersyukur dengan apa yang kita peroleh dan lagi satu kena banyak bersabar.

“Saya berkahwin lambat. Waktu itu, umur 29 tahun tu kira lambat tetapi Alhamdulillah kami dikurniakan anak dan dapat membesarkan mereka dengan baik. Lebih membahagiakan apabila dikurniakan anak-anak yang cerdik dan cemerlang dalam pelajaran.  Saya dan suami sudah sepakat, apabila anak-anak lulus dengan cemerlang, kami akan hadir di konvokesyen mereka dan itu kami praktik kan pada semua anak-anak.

“Zaman dulu tidak sama seperti sekarang. Dulu waktu anak-anak tengah periksa, saya tidak terbang kerana ingin berada bersama mereka supaya mereka tidak risau. Seperti menantu-menantu lakukan kini bagi anak-anak mereka.

“Kalau nak dibandingkan ibu dahulu dengan kini jauh bezanya. Saya faham situasi ibu sekarang kerana era sudah bertukar, kalau zaman saya dulu tiada internet, sosial media dan sebagainya. Anak-anak  dulu tekun dengan apa yang ibu cakap. Malah minat mereka juga simple tetapi sekarang sudah bertukar ditambah pula kini zaman informasi. Tidak perlu penat mencari, segalanya boleh diperoleh hanya di hujung jari sahaja. Ibu bapa sekarang profesional dan masa untuk anak-anak terbatas

“Tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab kita. Walaupun sibuk wajib ambil berat pada anak-anak. Tiada alasan sibuk dengan kerja jika sayangkan masa depan anak-anak. Sungguhpun sekarang zaman informasi, elakkan membiarkan anak-anak terperuk atau terkurung dalam bilik dan melayani komputer.

“Kalau nak tengok televisyen kena di ruang tamu atau bilik keluarga. Ini bagi mengelakkan anak-anak bersendirian di dalam bilik tanpa bergaul dengan ahli keluarga yang lain,” cerita Tun lagi sambil mengakui momen paling indah dalam hidupnya adalah sewaktu melahirkan anak-anak dengan selamat dan membesar dengan baik serta berjaya dalam bidang yang diceburi.

Suka muzik
Seperti mana wanita biasa lain, beliau juga mempunyai minat tersendiri terutama dalam bidang muzik selain suka membaca, menulis dan menonton.

“Kalau dulu saya suka bermain piano dan sebagainya. Saya suka muzik dan kebetulan dalam keluarga ada yang berdarah muzik. Sebab itu saya jatuh cinta dengan bidang ini. Kadangkala waktu reunion keluarga, kami akan berkumpul dan waktu masing-masing akan tunjukkan kebolehan masing-masing. Tetapi sekarang mata saya sudah tidak nampak jadi kuranglah nak main piano dah tak nampak ‘taugeh’ di kertas,” seloroh Tun lagi.

Sumber: Majalah Keluarga Edisi Khas Hari Ibu Mei 2017

Tinggalkan Komen