Seorang kanak-kanak dikenali sebagai Iman, 7, disyaki didera hampir setiap hari oleh ibu kandung dan rakan ‘tomboy’ yang merupakan seorang warga asing di kediaman mereka di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang.

Seorang jiran, Wan Noor Badri Wan Yahya, 38, mendakwa, dia dan isterinya dapat mendengar perbuatan tersebut hampir setiap hari, khususnya dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Katanya, pasangan itu yang mendakwa sebagai suami isteri baharu berpindah ke kediaman tersebut pada April lalu.

“Pada mulanya mereka kelihatan seperti keluarga biasa, cuma Iman tidak dibenarkan bermain di luar rumah, sebaliknya hanya di kawasan tempat letak kereta.

“Namun, pada akhir Jun lalu, Iman terlepas bermain sehingga di luar kawasan taman perumahan, menyebabkan pasangan itu lebih marah, sejak itu dia lebih kerap dimarah.

“Mula-mula kami ingat itu bertujuan untuk mendidiknya, tetapi selepas hampir setiap hari dimarahi, jiran-jiran mula berasa sangsi, sebelum akhirnya pada malam Jumaat lalu kami membuat keputusan untuk menyerbu rumah tersebut,” katanya memetik laporan Utusan.

Jiran Dedah Hampir Setiap Hari Iman Didera!

IKLAN

Wan Noor Badri berkata, selepas diserbu baharulah rahsia terbongkar bahawa Iman telah menjadi mangsa penderaan, dipercayai oleh ‘suami’ keluarga berkenaan.

“Malah,, rahsia pasangan itu bahawa si ‘suami’ merupakan seorang tomboy juga terbongkar,” katanya yang mempunyai dua orang anak.

Seorang lagi jiran, Firdaus Abu Hassan, 30, pula mengakui tidak menyangka perkara sedemikian boleh berlaku di kawasan kediaman mereka.

“Ketika kediaman itu diserbu, kami dapat lihat beberapa kesan luka di badan iman, antaranya luka lama di bahagian kaki, luka pada tangan serta luka baharu di belakang badannya.

“Selama ini, semua penduduk di sini mempunyai hubungan yang akrab. Jadi, memang tak sangka ada kes seperti ini berlaku dan kami bersyukur kerana dapat bantu selamatkan Iman daripada terus menjadi mangsa penderaan,” ujarnya.

IKLAN

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, pihak polis telah menahan reman pasangan tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Ibu mangsa yang berusia 27 tahun direman enam hari, manakala rakannya yang berperwatakan tomboy berusia 30 tahun direman selama tujuh hari.

Jiran Dedah Hampir Setiap Hari Iman Didera!

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor mendapatkan maklumat lanjut mengenai waris atau Orang Yang Layak dan Sesuai untuk memberi perlindungan sementara atau tetap terhadap kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa dera ibu dan kenalan ibunya di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang.

IKLAN

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata, penilaian itu akan dilaksanakan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru bagi membolehkan kanak-kanak itu diberikan perlindungan daripada mereka yang layak, selepas mangsa keluar dari hospital.

Beliau berkata, sebelum ini, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu berada di bawah jagaan datuk dan neneknya di Kedah, dan baru setahun tinggal bersama suspek yang juga ibu kandungnya.

“Saya difahamkan bahawa kanak-kanak itu adalah dua beradik dan kedua ibu bapanya sudah bercerai.

“Mangsa baharu setahun tinggal bersama ibunya selepas berpindah daripada datuk dan neneknya, manakala kakaknya yang berusia sembilan tahun kini berada di Pokok Sena, Kedah.

“Pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai waris atau Orang Yang Layak dan Sesuai untuk penilaian bagi tujuan perlindungan sementara atau tetap selepas kanak-kanak itu ‘discaj’ dari hospital,” katanya menerusi kenyataan media.

Sumber : Utusan, Hmetro

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI