Kes pelajar jatuh tingkat 3: keluarga rayu saksi tampil beri keterangan. “Kalau sesiapa yang nampak kejadian (terjatuh) itu, tolong cakap benar dan tampil beri keterangan kepada pihak berkuasa untuk memudahkan urusan. Kami bukan nak cari salah tetapi nak cari penyelesaian supaya lebih telus.”
Kes Pelajar Jatuh Tingkat 3: Keluarga Rayu Saksi Tampil Beri Keterangan
Demikian harapan Muhammad Aidil Mansor, 34, bapa saudara kepada Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, pelajar Tingkatan Tiga yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ahmad Irfan, 15, yang juga pelajar Tingkatan Tiga selamat menjalani pembedahan pada hari sama. Foto Ihsan Keluarga
Ahmad Irfan, 15, telah menjalani pembedahan pada hari kejadian dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan rapi.
Menurut Muhammad Aidil, keluarga amat terkejut dengan insiden itu memandangkan anak saudaranya dikenali sebagai seorang yang sopan, ringan tulang dan tidak pernah menunjukkan rasa takut untuk kembali ke asrama.
“Kami harap kejadian ini disiasat dengan telus dan adil, itu sahaja.
“Andai kesilapan itu di pihak anak saudara saya, kami akur tetapi kalau sebaliknya, biarlah diadili dengan sebaiknya.
Ketika Ahmad Irfan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Kredit foto: Sinar Harian
“Kami percaya kepada qada dan qadar Allah,” katanya ketika dihubungi.
Ads
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin sempat melawat keluarga pelajar berkenaan di Hospital Sungai Buloh dan meluangkan kira-kira setengah jam bersama mereka.
Muhammad Aidil juga menghargai perhatian yang ditunjukkan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap insiden tersebut, malah menganggapnya sebagai titik tolak untuk memperketat aspek keselamatan pelajar di asrama.
Ads
Dalam pada itu, Dr Afif memaklumkan keadaan Ahmad Irfan kini lebih stabil walaupun masih memerlukan rawatan intensif selepas menjalani pembedahan.
“Doktor memaklumkan Ahmad Irfan kini stabil walaupun masih memerlukan rawatan rapi selepas menjalani pembedahan,” jelasnya.
Sebelum ini, polis mengesahkan kertas siasatan telah dibuka berhubung insiden tersebut mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
Anak Dr Fauziah Hassan bimbang – “Ibu pernah ditahan sebelum ini, saya bimbang dia diperlakukan lebih teruk.” Anak kepada dua delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan FFC x TMTG, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali serta isteri, Dr Fauziah Hassan, meluahkan rasa bimbang selepas menerima berita bahawa kapal yang membawa kedua ibu bapanya telah dirampas oleh tentera.
Shamil Mohd Alauddin, 40, berkata beliau mengetahui perkembangan tersebut melalui laporan media sosial pada pagi ini dan menyemak ‘tracker’ kapal yang menunjukkan ia tidak lagi bergerak serta terputus hubungan. Menurutnya, beliau kemudian dimaklumkan oleh MyCARE bahawa kapal yang dinaiki ibu bapanya telah dipintas oleh tentera Israel.
Menurut Shamil, keluarganya sudah menjangkakan kemungkinan kejadian penahanan itu berlaku, namun tidak menyangka ia akan terjadi seawal ini. “Kami memang sudah bersedia, tapi apa yang mengejutkan ialah ia berlaku terlalu awal,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat MyCARE.
Beliau memaklumkan bahawa kali terakhir berhubung dengan ibu bapanya adalah pada petang semalam, ketika mereka masih berada dalam keadaan baik. Namun, perkembangan terbaru ini menimbulkan kebimbangan besar terhadap keselamatan ibu bapanya yang kini dipercayai berada dalam tahanan tentera Israel.
Shamil turut melahirkan rasa gusar terhadap kemungkinan layanan kasar tentera Israel terhadap kedua ibu bapanya. Menurutnya, ibunya, Dr Fauziah Hassan, pernah mempunyai rekod ditahan Israel sebelum ini sewaktu menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF). “Saya bimbang ibu akan diperlakukan dengan lebih teruk kerana mereka sudah mengenali beliau,” ujarnya.
Kebimbangan itu turut dikongsi oleh ahli keluarga lain dan masyarakat Malaysia yang mengikuti perkembangan misi kemanusiaan FFC x TMTG yang kini menjadi tumpuan antarabangsa.
Shamil menyeru kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan segera bagi membantu membebaskan ibu bapanya dan semua sukarelawan kemanusiaan yang kini ditahan oleh pihak berkuasa Israel. Katanya, keprihatinan dan tindakan diplomatik segera amat diperlukan bagi memastikan keselamatan semua delegasi Malaysia yang terlibat.
Misi kemanusiaan FFC x TMTG (Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza) membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan ke Gaza melalui Laut Mediterranean. Misi ini bertujuan menyeru penghentian peperangan dan pembukaan semula akses koridor kemanusiaan di wilayah bergolak tersebut.
Difahamkan, sembilan wakil Malaysia menyertai pelayaran tersebut — lapan daripadanya menaiki Kapal Conscience milik Freedom Flotilla Coalition, manakala seorang lagi berada di atas kapal layar Umm Saad. Antara delegasi Malaysia di atas Kapal Conscience ialah ketua misi Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Misi kemanusiaan ini menjadi simbol perjuangan rakyat Malaysia dalam menegakkan keadilan dan solidariti terhadap rakyat Gaza, walaupun berdepan risiko tinggi akibat tindakan agresif tentera Israel.
Proses gali semula kubur Syamsul Haris hari ini, tanah perkuburan mula dipenuhi orang ramai. Proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, dijadualkan bermula sekitar jam 8.30 pagi ini bagi tujuan bedah siasat kedua.
Seawal jam 7 pagi, suasana di luar pintu utama Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, sudah mula dipenuhi ahli keluarga dan penduduk setempat yang hadir untuk mengikuti perkembangan.
Pihak polis turut mengawal ketat kawasan berkenaan bagi memastikan hanya individu berkaitan dibenarkan masuk, selain menjaga kelancaran proses penggalian semula dan mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Sekitar jam 7.45 pagi, ibu kepada Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilihat tiba di lokasi dan masuk ke kawasan tanah perkuburan untuk menyaksikan proses berkenaan.
Difahamkan, kerja penggalian itu akan dipantau oleh pegawai Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam keluarga, pegawai serta anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan wakil daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Selesai sahaja proses penggalian, jasad Allahyarham Syamsul Haris akan dibawa terus ke HKL untuk tujuan bedah siasat.
Terdahulu, pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengarahkan kubur pelatih PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu digali semula. Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan perkara tersebut selepas menerima permohonan ibunya, Ummu Haiman Bee.
Menurut keputusan mahkamah, proses penggalian perlu dilakukan bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas mengikuti latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram. Jenazah beliau kemudian dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih.
28 Julai 2025
Syamsul Haris, 22, disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
29 Julai 2025
Jenazah Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Rinching Hulu, Semenyih.
1 Ogos 2025
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kematian Syamsul Haris berdasarkan hasil bedah siasat awal yang tidak menemui kecederaan mencurigakan dan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menolak penjelasan awal bahawa anaknya meninggal dunia kerana sawan dan menuntut siasatan menyeluruh termasuk bedah siasat kedua.
2 Ogos 2025
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Kementerian Pertahanan (Mindef) menubuhkan jawatankuasa yang turut disertai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiasat kematian Syamsul Haris.
11 Ogos 2025
Ummu Haiman Bee menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Permohonan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui KPT bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak.
13 Ogos 2025
Polis mengesahkan seramai 22 saksi sudah dirakam keterangan termasuk doktor (rawatan awal), doktor (bedah siasat), rakan sepelatih, jurulatih selain ahli keluarga mangsa bagi melengkapkan siasatan.
Mohamed Khaled memaklumkan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan dalam insiden berkenaan.
5 Ogos 2025
Ummu Haiman Bee memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya bagi membolehkan proses bedah siasat kedua.
19 Ogos 2025
Pendengaran hujahan permohonan notis usul supaya kubur Syamsul Haris digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
25 Ogos 2025
Ibu Allahyarham Syamsul Haris memfailkan afidavit baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyokong permohonan notis usul supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
26 Ogos 2025
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham.
29 Ogos 2025
Kerja penggalian semula kubur Allahyarham dilaksanakan hari ini bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dilaksanakan di HKL.
Selepas dua tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi era 80-an berusia 59 tahun, Suliza Salam selamat melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan, Ismail A Samad, kira-kira jam 11 pagi hari ini.
Berita bahagia ini dikongsikan oleh pelakon Anne Abdullah di Facebook, Anne berkongsi momen majlis pernikahan Suliza bersama pilihan hatinya menerusi video sekitar majlis akad nikah yang berlangsung di kediaman Suliza di Bukit Kiara.
“Tahniah kak Suliza. Moga kekal hingga ke jannah. Syukur Alhamdulillah, saya tumpang gembira untuk anda. Terima kasih atas undangan,” tulis Anne dalam kapsyennya.
Majlis pernikahan itu berlangsung secara sederhana dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat serta sahabat rapat. Anak-anak Suliza, termasuk penyanyi Ismail Izzani, turut hadir memeriahkan majlis. Ismail dilihat segak mengenakan baju Melayu putih mengikut tema pernikahan ibunya.
Acara tersebut turut dihadiri beberapa rakan artis seperti Ziela Jalil dan Liza Abdullah, yang datang memberikan sokongan kepada Suliza pada hari istimewanya.
Untuk rekod, Suliza pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 11 Januari 1991. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurizzati, Nur Falahi, dan Ismail Izzani. Namun, perkahwinan itu berakhir apabila Ismail mendedahkan status ibu bapanya yang telah bercerai pada tahun ini.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di