
Kes Zara Qairina: KPM tempatkan sementara Pengetua, PK HEM dan Warden SMKA Tun Datu Mustapha Di JPN Sabah. Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, KPM memaklumkan langkah itu diambil selepas PDRM mengumumkan bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman kini mengambil alih siasatan berhubung kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut adalah keutamaan KPM pada masa ini,” menurut kenyataan itu.
Kementerian tersebut turut menyatakan harapan agar siasatan yang dijalankan dapat dilakukan dengan telus demi memastikan keadilan untuk keluarga mangsa serta semua pihak yang terlibat.
Zara Qairina, 13 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai. Sebelum itu, beliau ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Pada Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan melalui kenyataan rasmi bahawa kubur Allahyarham perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dilakukan.
AGC berpendapat terdapat keperluan siasatan lanjut oleh PDRM bagi memastikan segala aspek kes diselidiki secara menyeluruh.
Susulan itu, pada 9 Ogos, proses penggalian semula kubur dijalankan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang. Jenazah kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Kes Zara Qairina: Laporan Bedah Siasat Ambil Masa, Paling Lambat Mungkin Dua Bulan- Peguam
Kronologi Kes Zara Qairina, Tragedi Yang Meruntun Jiwa
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my