Ketika Menjadi Imam, Ayah Ni Menangis Baca Surah Alfajr. Kesan Kenangkan Anak Sah Down Syndrome!

Share

Menerima hakikat anak yang dilahirkan berbeza daripada anak-anak yang normal, tentunya ia merupakan ujian yang bukan mudah untuk diterima.

Perasaan yang sama juga turut dirasai oleh seorang ustaz ini apabila anaknya disahkan down syndrome. Namun cara bagaimana keluarga ini akhirnya redha, diharapkan jadi inspirasi buat yang lain.

Ini perkongsiannya.

HARI PERTAMA MENYAMBUT 23 MAC DALAM HIDUPKU.

“Anak Ustaz kemungkinan besar anak istimewa down syndrome.’ Kata doktor pakar setelah 2 hari anakku dilahirkan. Aku memandang wajah isteriku menahan kesedihan dengan berita itu. Aku dapat melihat manik-manik berkaca gugur di kelopak mata isteriku. Aku berusaha menahan air mataku tapi aku juga tak berdaya.

Pada awalnya aku seolah-olah mahu menafikan, lebih-lebih lagi wajah anakku tidaklah terlalu iras pengidap down sindrom, tambahan pula ujian jantung, mata dan telinga semuanya dalam keadaan baik dan normal.

Namun, aku tetap menunggu keputusan ujian darah sambil mengumpul daya sifat reda dan pasrah.

Namun hati seorang bapa tetap sentiasa terbayang anaknya. Pernah, ketika menjadi imam solat di Masjid Taman U, aku menangis ketika membaca ayat-ayat dari surah alFajr.

Aku tak mampu melantunkan ayat Ya Ayyatuhannafsul Mutmainnah, kerana aku merasakan sifat itmi’nan masih belum menempati hatiku.

Namun sedikit demi sedikit aku cuba gagahkan untuk menerima segala ketentuan.

Ujian darah mengesahkan Aqil anak istimewa setelah 3 bulan kami menunggu. Sewaktu doktor memberikan keputusan tersebut setitis air mata pun tidak gugur dari mataku dan juga mata isteri.

Rupa-rupannya kami berjaya mengumpul redha dan pasrah kerana kami gembira dengan tingkah laku dan perkembangan anak kami yang lagaknya seperti anak normal yang lain.

HAKIKATNYA KAMI AMAT GEMBIRA ATAS ANUGERAH ANAK SYURGA INI KEPADA KAMI. MOGA MAMPU MEMBERI SYAFAAT BUAT KAMI SEMUA.

Muhammad Aqil, jangan lupa ajak Baba Mama ke syurga bersama semua ahli keluarga yang menyayangi Aqil. Selamat datang ke dunia penuh sayang.

Sumber : Mohd Rifqi Myiddin

IKLAN