
BAGI sesetengah ibu bapa, kejayaan anak mungkin sering dilihat melalui keputusan akademik, kerjaya hebat atau pencapaian yang boleh dibanggakan. Namun bagi pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, kejayaan seorang anak sebenarnya jauh lebih luas daripada apa yang tercatat di atas kertas.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkongsi pandangan tersebut ketika menjawab persoalan netizen mengenai doa dan didikan ibunya.
Menurut usahawan Sambal Nyet itu, dia sendiri tidak mengetahui secara khusus doa yang sering dipanjatkan ibunya, namun percaya setiap ibu pasti mahukan yang terbaik untuk anak.
“Saya pun tak tahu mak saya doa apa tapi saya rasa mak saya doakan supaya urusan anaknya dipermudahkan.”
Dalam perkongsian sama, Khairul Aming turut menitipkan pesanan buat ibu bapa supaya tidak terlalu menetapkan ‘template’ kejayaan untuk anak-anak.
Katanya, setiap anak mempunyai minat, kemampuan dan perjalanan hidup yang berbeza. Apa yang dirasakan terbaik oleh ibu bapa belum tentu sesuai dengan jiwa dan potensi anak.
“Kadang-kadang kita nak anak ikut template kejayaan yang kita nak. Tapi kita kena ingat dia one day, dia akan jadi dewasa. Dia akan carry hidup dia.”
Menurutnya, anak yang berada dalam persekitaran yang sesuai dengan minat mereka mempunyai peluang lebih besar untuk berkembang dan menyerlah.
“Kalau kita letak dia dalam environment dia tak minat, dia takkan boleh bloom, dia takkan boleh berjaya.
“Kalau kita letak anak kita dalam environment yang dia suka, yang dia passion, dia minat, dia akan mekar setinggi yang boleh.”
Berkongsi pengalaman sendiri, Khairul Aming mengakui ibunya tidak terlalu menyekat apa yang mahu dilakukan ketika membesar.
Sebaliknya, dia diberi ruang untuk membuat pilihan dan menentukan hala tuju sendiri.
Pendekatan itu menurutnya menjadi antara perkara yang banyak membentuk dirinya hari ini.
“Sebab kadang-kadang kita nak anak-anak ni follow template kita, kena jadi itu, kena jadi ini. Barulah mak bangga. Try to avoid that lah.
“Biar kita bangga anak kita jadi manusia berguna. Jangan kita bangga berdasarkan kejayaan dia on paper sahaja.”
Khairul Aming turut menyentuh kecenderungan sesetengah keluarga yang terlalu mengukur pencapaian anak berdasarkan keputusan akademik atau kerjaya.
Baginya, seseorang yang cemerlang di atas kertas belum tentu mempunyai nilai diri yang baik. Begitu juga individu yang kurang menyerlah dalam akademik tidak semestinya gagal dalam kehidupan.
“Ramai orang yang cemerlang on paper tapi perangai tak guna.
“Ramai juga yang on paper tak perform tapi dia yang jaga kita sampai ke hujung.”
Pesanan itu cukup dekat dengan kehidupan berkeluarga. Keputusan peperiksaan, jawatan atau pendapatan mungkin menjadi satu bentuk pencapaian, tetapi akhlak, tanggungjawab, empati dan cara seseorang anak menjaga ibu bapa juga adalah kejayaan yang tidak ternilai.
Khairul Aming turut mengakui pengalamannya sebagai pencipta kandungan dengan jutaan pengikut banyak membuka matanya terhadap pelbagai kisah kehidupan.
Menurutnya, pengalaman mendengar cerita dan perjalanan hidup orang lain membuatkan dia sedar masih banyak perkara yang boleh dipelajari.
“Saya dah terdedah dengan jutaan kisah orang. So banyak benda saya belajar. There’s a lot for me to learn.”
Dalam perkongsian sama, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Vanderbilt, Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat itu turut ditanya mengenai soal jodoh.
Secara berseloroh, Khairul Aming mengakui kesibukan kerjaya membuatkan dia belum mempunyai banyak masa untuk memikirkan tentang perkahwinan.
“Tak ada maknanya nak kahwin, nak kahwin macam mana dating pun tak ada masa,” katanya sambil tertawa.
Dia turut menjelaskan bahawa proses mengenali pasangan memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
“Takkanlah hari kahwin baru nak kenal pasangan. ‘Lah awak rupanya macam tu. Surprise… jom akad nikah.’ Macam tu?
“Tak bolehlah kan. Kenalah taaruf dulu kan, tapi saya ni tidur pun tak cukup masa.”
Sebelum ini, penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya 2025 itu juga pernah terbuka mengenai soal perkahwinan dan mengakui mahu memberi tumpuan kepada kerjaya serta perniagaan.
Di sebalik perkongsian santai itu, pesanan Khairul Aming sebenarnya cukup besar buat ibu bapa.
Anak tidak semestinya perlu memenuhi semua impian keluarga untuk dianggap berjaya. Ada yang menyerlah dalam akademik, ada yang berbakat dalam bidang kreatif, perniagaan, sukan atau kemahiran lain.
Apa yang penting, ibu bapa terus membimbing, mendoakan dan memberi ruang kepada anak untuk berkembang mengikut potensi masing-masing.
Kerana akhirnya, kejayaan seorang anak bukan sekadar tentang apa yang dicapai, tetapi juga siapa dirinya apabila dewasa.
BACA LAGI : Khairul Aming Jelaskan SOP Bayi Dikira 1 Pax Demi Keselamatan
Sumber : Sinar Plus