
Menghidap penyakit saraf kronik dan tidak lagi mampu bekerja, itulah ujian berat yang ditanggung oleh Alias Ismail, 62, dan isterinya, Mahani Mamat, 55, di Kampung Seribong. Lebih menyayat hati, dua daripada lima anak mereka pula adalah orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu.
Alias berkata, anak sulungnya, Siti Nur Fazilah, 37, dan anak bongsunya, Nurul Syafiqah, 19, yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, masing-masing mengalami masalah pendengaran dan pertuturan sejak kecil.
Namun bagi pasangan ini, kekurangan anak-anak tidak pernah dianggap sebagai beban. Sebaliknya, mereka menerima setiap ketentuan dengan reda dan penuh kesabaran.
“Namun, sejak tiga tahun lalu, saya tidak lagi dapat bekerja akibat penyakit saraf kronik yang menyebabkan saraf tersepit di tulang belakang dan pergerakan saya semakin hari semakin sukar. Doktor memaklumkan ia berisiko menyebabkan saya lumpuh sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Sebelum jatuh sakit, Alias aktif melakukan pelbagai kerja kampung dan turut bertugas sebagai siak masjid bagi menampung perbelanjaan keluarga. Kini, segalanya berubah apabila penyakit saraf itu mengehadkan pergerakannya.
Lebih merumitkan keadaan, isterinya, Mahani, turut menghidap penyakit saraf yang sama sejak tahun 2000 akibat masalah autoimun, iaitu sistem imun tubuh menyerang dirinya sendiri.
“Di waktu sihatnya, isteri saya dapat melakukan kerja rumah termasuk mengambil upah mengemas rumah penduduk kampung, namun kini dia tidak lagi mampu untuk melakukan sebarang kerja disebabkan penyakit saraf yang dihidapi semakin serius.
“Sejak itu, isteri disahkan sebagai OKU fizikal dan dia perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan seumur hidup untuk mengurangkan kesakitan sendi. Tanpa ubat, dia berisiko menghadapi serangan sakit yang serius,” katanya.
Pasangan ini perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) setiap tiga bulan. Namun perjalanan ke hospital sering menjadi cabaran apabila kesihatan tidak mengizinkan.
“Kebiasaannya, kami pergi ke hospital menaiki motosikal. Namun, apabila keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya terpaksa meminta bantuan jiran untuk menghantar kami. Ada masanya juga, kami perlu menggunakan perkhidmatan kereta tambang untuk ke hospital,” katanya.
Kini, mereka sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Alias menerima RM600 sebulan, manakala isteri dan dua anak OKU masing-masing memperoleh RM300. Namun, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Dua anak yang bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru ada mengirim wang belanja sekadar yang termampu kerana mereka sudah berkeluarga serta mempunyai tanggungan dan sebolehnya tidak mahu membebankan mereka,” katanya.
Alias mengakui, ada kalanya dia terpaksa berhutang di kedai runcit hanya untuk membeli barang keperluan asas.
“Makan pun biasa-biasa saja, nasi dengan budu dan telur rebus pun kadang sampai seminggu, namun itulah lauk kami sekeluarga. Asalkan boleh alas perut dan kami bersyukur dengan apa yang ada,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03100-29-00090379-3 atas nama Alias Ismail.
Kisah ini membuktikan bahawa ketabahan dan keikhlasan hati mampu menjadi kekuatan walau dilanda ujian seberat mana sekalipun. Semoga pasangan ini terus diberikan kesembuhan dan ketenangan dalam menempuh kehidupan bersama penyakit saraf kronik yang dihadapi.
Sumber: Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE