KWSP rekod pendapatan pelaburan RM57.57 bilion, peluang cerah dividen tahun depan naik. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.57 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024, 20 peratus lebih tinggi berbanding RM47.86 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
KWSP Rekod Pendapatan Pelaburan RM57.57 Bilion
Daripada jumlah tersebut, RM48.02 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM9.55 bilion lagi untuk Simpanan Shariah.
Setakat September 2024, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM1,222.34 bilion, dengan 62.2 peratus dan 37.8 peratus diperuntukkan kepada pelaburan dalam dan luar negara.
Pada suku tahun ketiga berakhir 30 September 2024 (S3 2024), jumlah pendapatan pelaburan adalah RM19.67 bilion, meningkat sebanyak RM5 bilion daripada RM14.67 bilion yang direkodkan pada suku tahun sama pada 2023.
Pelaburan luar negara menyumbang sebanyak RM10.50 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Peluang Cerah Dividen Tahun Depan Naik
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi kukuh KWSP adalah bukti kepada strategi pelaburannya yang merangkumi portfolio yang pelbagai merentasi kelas aset utama.
“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat dengan kukuh sebanyak 5.9 peratus tahun-ke-tahun pada suku tahun kedua, dan petunjuk utama Bursa Malaysia, FBM KLCI ditutup pada 1,648 mata pada akhir suku tahun ketiga.
“Dengan pulangan sebanyak 13 peratus setakat tahun ini, para pelabur terus optimis terhadap prestasi asas syarikat-syarikat Malaysia, dasar ekonomi Malaysia, dan pembaharuan fiskal.
“Pasaran global secara amnya menunjukkan prestasi positif sepanjang suku tahun ini, didorong oleh permulaan kitaran pelonggaran kadar faedah apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada bulan September,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pengurangan kadar faedah di AS yang dinantikan telah mendorong sentimen pasaran dan keuntungan merentasi pelbagai sektor, termasuk Amanah Pelaburan Hartanah (REIT), utiliti dan kewangan, yang semuanya memberi kesan positif kepada portfolio pelaburan KWSP.
“Pertumbuhan KDNK sebenar China dicatatkan pada 4.6 peratus tahun ke tahun, menurun sedikit daripada 4.7 peratus pada suku sebelumnya.
“Walau bagaimanapun, risiko kekal dalam prospek global seperti trajektori dan kadar pengurangan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang berterusan dan semakin meningkat terutama di Asia Barat, serta potensi tarif import yang lebih tinggi ke AS dengan pemilihan Donald Trump selaku Presiden minggu lalu,” katanya.
Kes Zara Qairina: Tidak Seperti Diviralkan, Jenazah Alami Pereputan, Ini Pandangan Sudut Syarak. Kes Zara Qairina mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan tetapi juga di luar negara. Ketika penggalian semula kubur arwah, ramai yang memperkatakan tentang pelbagai keajaiban antaranya jenazah tidak reput dan berbau harum.
Memetik laporan Harian Metro, jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami tahap pereputan sederhana hingga lanjut selepas dikeluarkan semula dari kuburnya untuk proses bedah siasat pada 9 Ogos lalu.
Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr Jessie Hiu berkata, tahap pereputan tubuh adalah konsisten dengan tempoh pengebumian dalam tanah. Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik.
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan,” katanya ketika membacakan keterangan bertulis di Mahkamah Koroner.
Dr Jessie berkata, penggalian semula jenazah arwah dijalankan pada 9 Ogos lalu di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi Mesapol, Sipitang. Beliau berkata, pengecaman jenazah disahkan oleh ibunya, Noraidah Lamat selepas proses penggalian semula dan sebelum pemeriksaan bedah siasat di HQE.
1. Saya tidak berbicara isu ini ketika ia viral awal dahulu. Sewaktu itu orang masih bersemangat dan mungkin tidak dapat menilai dengan pemikiran yang waras. Isu apakah itu?
Isu berikut:
I: Berkaitan bau harum di perkuburan Zara.
II: Jasad Zara elok seperti baru dikebumikan.
2. Saya mula rasa “sesuatu” dengan dua dakwaan ini. Ini kerana Peguam yang bersama keluarga Zara bermula sejak penggalian semula kubur, post mortem hingga dikebumikan semula tidak keluarkan maklumat terperinci seperti yang viral tersebut.
Sebelum ini viral berkaitan orang yang dikaitkan terlibat menggali semula kubur Zara, mengatakan terdapat bau haruman ketika proses itu dan perkara ini sendiri disebutkan oleh Timbalan Mufti Sabah. Itu dakwaan mereka. Mereka menjual nama Timbalan Mufti.
Baru-baru ini, Jabatan Mufti Sabah pula telah menafikan dan menyangkal dakwaan itu. Mufti dan Timbalan Mufti tidak hadir pada majlis tersebut. Jadi bagaimana mereka boleh menjual nama Timbalan Mufti mengatakan ada bau harum pada mayat Zara?
Kebiasaannya jika orang biasa yang claim perkara sebegini, ia sukar dipercayai. Namun apabila ditempelkan nama Timbalan Mufti, ia akan menambah keyakinan masyarakat. Tuan-tuan, dalam bersolidariti jangan mengaitkan unsur menipu dan “nasi tambah”.
Cukuplah dengan memberikan fakta dan maklumat yang dapat membantu pendakwaan.
Nabi sallallah alaih wasallam bersabda: وإياكم والكذب، فإن الكذب يهدي إلى الفجور، وإن الفجور يهدي إلى النار وما يزال العبد يكذب ويتحرى الكذب حتى يكتب عند الله كذابا
“Jauhilah penipuan, sesungguhnya penipuan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa ke neraka. Seseorang yang menipu dan sentiasa menipu sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang penipu”. [HR al-Bukhari]
3. Kita dituntut menutup aib jenazah, tapi kita juga berdosa jika menipu dalam menyebutkan tentang sesuatu perkara berkaitan jenazah yang tidak benar walaupun tujuan dan niat yang baik.
Peguam Zara yang terlibat dalam urusan ini sejak kubur dibongkar semula hingga masuk bersama-sama dalam bilik post mortem, tidak melaporkan bau harum dan lain-lain. Jika beliau sebut ‘ada sedikit kesan reputan sederhana’, ini akan mendatangkan tohmahan.
Kerana ada sesetengah masyarakat kita memandang nilai iman kedudukan seseorang di sisi Allah berdasarkan keadaan fizikal jenazah.
4. Sejak insiden yang menimpa pelajar UPSI iaitu kemalangan bas sebelum ini, trend mengaitkan kubur atau jenazah harum ini semakin menjadi-jadi dalam negara kita.
Apabila diteliti dalam teks ulamak terdahulu, memang ada jasad atau kubur yang wangi ini. Itu tidak kita nafikan. Adapun pada zaman sekarang, kelihatan seolah-olah berlumba-lumba hendak menyampaikan maklumat pada masyarakat walaupun diragui kebenarannya.
5. Trend menilai zahir jasad jenazah, lalu dikaitkan dengan baik atau buruk kedudukan jenazah itu telah ada dilakukan pada zaman terdahulu. Antaranya ia dilakukan oleh golongan munafik.
Lihat pada kisah ketika kewafatan Saad bin Muaz. Beliau merupakan salah seorang sahabat baginda yang mempunyai banyak kelebihan pada dirinya. Orang munafik membenci Saad.
Lalu orang-orang munafik mengambil kesempatan menyindir jenazahnya yang ringan, disebabkan dendam kesumat mereka terhadap diri Saad.
لما حملت جنازة سعد بن معاذ، قال المنافقون: ما أخف جنازته، وذلك لحكمه في بني قريظة
Tatkala dipikul jenazah Saad bin Muaz, orang munafik berkata: “Alangkah ringannya jenazah Saad ini. Itu merupakan balasan terhadap apa yang diputuskan oleh Saad terhadap bani Quraizah”.
Perkataan orang munafik ini sampai kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda:
إن الملائكة كانت تحمله “Sesungguhnya malaikat yang memikul jenazah Saad”. [HR al-Tirmizi, hasan sahih gharib]
Ya, orang munafik telah lama ambil kesempatan menilai zahir jasad jenazah sama ada baik atau sebaliknya. Kalau dalam konteks sesetengah masyarakat kita, jenazah berat atau kubur berair dan lain-lain itu tanda ada sesuatu yang buruk pada jenazah. Seeloknya tinggalkan sangkaan buruk sebegitu.
6. Keadaan jasad yang nampak seolah-olah terseksa atau buruk di mata kita ketika kematian, tidak semestinya ia tanda seseorang itu hina di sisi Allah. Tidak sama sekali. Jaafar bin Abi Talib adalah sahabat baginda. Kedua-dua tangannya kudung kerana dicantas oleh musuh dalam peperangan Mu’tah. Bayangkan beliau meninggal dunia dalam keadaan kudung.
Tangan ditebas musuh. Namun terdapat riwayat dengan Sanad yang Hasan menunjukkan beliau terbang bersama malaikat, ada juga menunjukkan beliau mempunyai sayap. Ini semua di alam sana setelah kematiannya.
Setelah kewafatan Jaafar, Ibn Umar ketika bertemu dengan keluarga Jaafar beliau akan tegur anak Jaafar.
كان إذا سلم على ابن جعفر، قال: السلام عليك يا ابن ذي الجناحين
Ibn Umar apabila memberi salam keatas anak Jaafar beliau akan berkata ‘Assalam Alaik wahai anak pemilik dua sayap’. [HR al-Bukhari]
7. Dalam hadis memang ada disebutkan ciri-ciri kematian baik yang dapat dinilai dari zahirnya, tapi bukan sepertimana yang difahami oleh masyarakat kita. Antara syarahan ulamak terhadap hadis tanda kematian seorang itu mukmin adalah dengan berpeluh dahinya:
هو عبارة عن شدة الموت، وقيل هو علامة الخير عند الموت
“Ia menunjukkan terhadap dasyatnya (kesakitan) ketika menghadapi kematian. Dikatakan juga itu tanda kebaikan saat kematiannya”.
Dahi berpeluh merupakan tanda dasyatnya kematian seseorang. Bukan semestinya ia tanda seseorang itu diazab. Bukan tanda kurangnya nilai kedudukan seseorang di sisi Allah.
8. Selain itu, terdapat juga teks dari para ulamak yang menyebutkan kisah jenazah golongan terkorban dalam peperangan masih utuh dan sebagainya. Bahkan memang terdapat riwayat pada zaman Rasulullah berkaitan sahabat yang terkorban ketika perang
UHUD, jasadnya masih utuh dan elok lagi setelah digali semula. Jabir berkata:
فكان أول قتيل ودفن معه آخر في قبر ثم لم تطب نفسي أن أتركه مع الآخر فاستخرجته بعد ستة أشهر، فإذا هو كيوم وضعته هنية غير أذنه
“Ayah aku merupakan orang pertama yang terkorban dalam peperangan dan dia dikebumikan bersama-sama jenazah yang lain dalam satu kubur. Kemudian aku rasa tak sedap hati meninggalkan jasad bapa aku bersama jenazah lain. Lalu aku mengeluarkannya (korek kubur) setelah enam bulan (dari dikebumikan). Keadaan ayah aku elok seperti hari aku meletakkannya (ke dalam kubur) kecuali pada telinganya”. [Sahih al-Bukhari]
Namun pada hari ini, bukan tugas kita untuk menyebutkan secara pasti seseorang itu syahid atau tidak tanpa nas spesifik. Kita tidak ada kelayakan dan hak.
9. Saya masih ingat perbahasan dalam parlimen berkaitan isu Memali. Ada suara dalam parlimen ketika itu mengusulkan dibongkar kembali kubur tersebut (Ibrahim Libya) untuk melihat semula jasad mereka setelah hampir 20 tahun dikebumikan.
Cadangan datang dari pihak MP Kerajaan memerintah sewaktu itu. Jika jasadnya utuh itu tanda mereka di pihak benar. Sekiranya sebaliknya, itu tanda mereka bukan syahid. Hingga begitu sekali cadangan yang diutarakan oleh ahli parlimen pada saat itu. Bagaimana pun keadaan jasad itu elok atau tidak, bukan tugas kita menilai kedudukannya di sisi Allah.
10. Untuk isu Zara, doktor yang bertugas berkata badan Zara ada kesan reputan sederhana, beliau berkata:
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan”. Itu kenyataan doktor yang bertanggungjawab dalam hal ini. Selain itu, akhbar Metro juga berkata:
“Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik”. Akhbar Bernama melaporkan bahawa jasad Zara mula mengalami pereputan iaitu pereputan sederhana.
Tuan-tuan, jasad Zara yang ada kesan mereput itu bukan semestinya tanda yang buruk. Itu memang keadaan yang berlaku bagi orang meninggal dunia. Sebab itu saya kurang gemar mengaitkan semata-mata keadaan jasad jenazah semata-mata untuk mengukur iman dan kedudukan seseorang di syurga atau sebaliknya.
Perkara utama yang penting sekarang ini ialah kita hendak pembuli dihadapkan ke pengadilan dan mendapat hukuman yang selayaknya jika benar ada unsur buli. Kita tidak perlu nasi tambah yang menambah cerita misalnya keadaan jasad seperti baru dikebumikan semalam dan lain-lain ketika bersolidariti.
Lagipun doktor juga telah menyatakan ada kesan pereputan sederhana. Perkara utama yang kita harapkan agar keadilan dapat ditegakkan. Emosi penting, tapi jangan emosi digunakan dengan cara yang salah.
Siapa sangka panggilan video menjadi tatapan akhir buat seorang suami setelah isterinya disahkan meninggal dunia setelah ditemui lemas.
Kejadian meruntun jiwa itu menjadi khabar duka buat lelaki ini setelah setelah beberapa seketika panggilan ditamatkan.
Memetik laporan Sinar Harian Abu Mansur Ahmad Musa, 43, berkata, panggilan video yang diterima daripada isteri Siti Fatimah Jaafar, 33, pada jam 5 petang itu merupakan panggilan video pertama dibuat isterinya dan wajahnya berseri-seri.
Katanya lagi, wajah isterinya kelihatan begitu cantik ketika panggilan video itu.
“Saya pelik dia tidak pernah buat panggilan video sebelum ini. Saya sempat usik isteri, minta dia ucap ‘I love you’ tetapi dia malu.”
“Namun beberapa minit kemudian, anak saudara hubungi saya beritahu, isteri dan anak saya lemas. Saya bergegas dari rumah kami di Ulu Tiram ke pantai,” katanya.
Sebelum itu, Siti Fatimah Jaafar, 33, dan anak saudaranya Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13, dilaporkan lemas manakala empat lagi terselamat selepas mereka mandi di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai pada petang Selasa.
Abu Mansur yang juga peniaga dalam talian memberitahu dia bersama isteri dan tiga anak berusia 12 hingga 8 tahun serta kira-kira 20 ahli keluarga pergi ke chalet di Pantai Bayu Impian sejak Isnin untuk bercuti.
Bagaimanapun, Abu Mansur terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil barang perniagaan di rumah mereka pada tengah hari Isnin.
Menceritakan kisah tragis kejadian terbabit, Abu Mansur berkata, isterinya sedaya upaya menyelamatkan anak lelaki kedua mereka berusia 10 tahun yang dipercayai lemas terlebih dahulu.
“Tetapi selepas anak selamat, isteri saya pula tidak dapat diselamatkan dan ditemui tidak sedarkan diri.
“Saya cuba menenangkan anak sulung dan meminta anak saya menerima takdir Ilahi ini. Buat masa keadaan anak kedua di Hospital Kota Tinggi stabil dan telah dipindahkan ke wad perubatan biasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abu Mansur memberitahu isterinya ada berpesan kepada anaknya agar menjaga adik bongsu yang merupakan anak kurang upaya (OKU) autisme.
“Sejak beberapa minggu lalu, isteri saya akan menangis berdoa dan berpesan kepada dua lagi anak lelaki kami agar menjaga Khalifah yang merupakan anak bongsu kami.
“Anak-anak dipeluk erat isteri selepas selesai solat berjemaah. Biasanya selepas kami sekeluarga solat berjemaah pada waktu malam,” katanya.
Abu Mansur memberitahu jenazah isterinya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram.
Tiada lagi tol percuma untuk perayaan utama! Mulai tahun ini, Kementerian Kerja Raya memutuskan dasar pemberian tol percuma tidak diteruskan, termasuk untuk sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.
Namun, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menjelaskan bahawa perkara ini mungkin berubah jika ada pertimbangan lain, dan sebarang keputusan akan diumumkan dari semasa ke semasa.”
Memetik laporan Sinar Harian, katanya tahun lepas kerajaan sudah memutuskan iaitu pada tahun lalu adalah tahun terakhir tol percuma semasa perayaan, kalau mengikut keputusan itu maka tiada lagi (tol percuma) dan kalau ada mungkin ada pertimbangan lain.
“Sebab kerajaan sudah menyelaraskan subsidi secara bersasar tetapi perinciannya akan dimaklumkan kemudian,” ujarnya selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini pada Selasa.
Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ke Persimpangan Bertingkat SAE ini melibatkan jajaran sepanjang 7.2 kilometer mula dibuka bermula pada Rabu.
Jom daftar anak-anak ke Kem Solat Bintang Kecil! Peluang istimewa untuk anak-anak belajar solat dengan cara menyeronokkan! Terbuka untuk anak-anak berusia 5-12 tahun. Daftar sini https://kliik.je/product-details/137?title=kem-solat
Pengguna kini mempunyai laluan alternatif lebih mudah dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Putrajaya, Kajang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebaliknya dengan sambungan terus ke SKVE dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
Alexander berkata, sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) dan sebaliknya, mereka akan menikmati tol percuma selama satu bulan.
“Saya ingin mengingatkan pengguna yang menggunakan laluan dari Plaza Tol SAE menuju ke Plaza Tol Banting atau sebaliknya, bahawa pengecualian tol hanya akan diberikan sehingga Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE).
“Kadar tol bagi jajaran sedia ada akan dikenakan seperti biasa mengikut kelas kenderaan masing-masing selepas tempoh sebulan,” ujarnya.
Sejak sekian lama, gambaran isteri tradisional sering dikaitkan dengan peranan di dapur, mengurus rumah tangga sepenuh masa, taat tanpa soal dan meletakkan keperluan diri...