Lelaki Tergamak Sorok Mayat Ibu Dalam Peti Sejuk Beku Selama 3 Tahun. Seorang lelaki tergamak membunuh ibu sendiri dan menyimpan mayatnya di dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu.
Lelaki Tergamak Sorok Mayat Ibu Dalam Peti Sejuk Beku Selama 3 Tahun
Kejadian itu berlaku di Jalan Hujan Abu 6, Kuala Lumpur. Difahamkan suspek lelaki berusia 50-an membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada Mac 2021.
Mangsa yang mati dipercayai akibat dipukul itu meninggal dunia sebelum dibalut dengan tuala dan plastik dan diletakkan di dalam peti ais tersebut.
Suspek bagaimanapun membuat laporan polis hari ini dipercayai akibat kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik.
Sejurus laporan polis dibuat sekitar pukul 9 pagi itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek. Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Ibu tunggal dipukul, diugut bekas kekasih, rugi lebih RM300,000. Seorang wanita yang juga anak ahli perniagaan bergelar Datuk mendakwa menjadi mangsa pukul selain diugut bekas teman lelaki kerana gagal memberikan wang.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jihan, 39, mendakwa turut kerugian lebih RM300,000 akibat diperdaya lelaki itu.
Ibu tunggal seorang anak itu mendakwa mengenali lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa di Langkawi sejak 2020 melalui media sosial.
Katanya, pada mulanya lelaki itu langsung tidak menunjuk belangnya malah menunjukkan sifat romantis dan penyayang selain berjanji untuk berkahwin dengannya.
“Dia beritahu saya yang dia dalam proses untuk berpisah dengan isterinya walaupun sudah mempunyai seorang anak namun semuanya tipu belaka.
“Disebabkan dia berjanji untuk berkahwin dengan saya, apa saja yang dia mahu saya tunaikan sehinggalah saya sanggup membelikan sebuah kereta mewah jenis BMW, sebuah motosikal, jam tangan berjenama bernilai RM6,000, cermin mata bernilai RM2,000 selain wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya setiap bulan.
“Saya mula mengikut kehendaknya dengan memberi apa saja termasuk wang sejak itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Jihan, dia juga sering bertemu dengan bekas kekasihnya itu di Langkawi kerana lelaki itu bertugas di sana malah turut membelikan jet ski untuk lelaki itu menjalankan perniagaan di sana.
Katanya, lelaki itu mula menunjukkan sikap panas baran apabila dia tidak memberikan wang kepadanya sejak tahun lalu.
“Saya pernah dimaki hamun oleh lelaki berkenaan malah pada 10 Oktober 2023 pada jam 3.13 petang dia turut mencekik saya sehingga meninggalkan kesan merah, lebam di bahagian mata akibat ditumbuk serta dihantuk kepala.
“Saya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Langkawi akibat kecederaan yang dialami.
“Bukan itu saja malah bekas kekasih turut mengugut dengan pelbagai ugutan termasuk mahu mengaibkan diri saya kepada keluarga jika saya tidak menurut kehendaknya serta pernah juga mengacu pisau ketika kami bergaduh tahun lalu,” katanya.
Jihan berkata, lelaki itu yang bekerja di Langkawi juga sering mencari kesilapan dalam perhubungan mereka dan terus menghantar WhatsApp ugutan kepadanya.
Katanya, keadaan itu menjadikan dia trauma dan terpaksa menyekat nombor telefon lelaki terbabit bagi mengelakkan terus menerima ugutan.
“Namun, disebabkan tidak tahan selain risaukan keselamatan diri, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi Rabu lalu untuk memaklumkan kejadian yang menimpa saya.
“Saya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadapnya di atas apa yang berlaku,” katanya yang terpaksa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya.
Menurutnya dia kini terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling melalui rakannya selain bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan kerana trauma dengan apa yang berlaku sehingga mengalami tekanan perasaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada wanita terbabit.
Ain Farhana ‘pergi’ tanpa sempat nenatap wajah Helena, baru berusia 13 hari, alami jaundis. Baru-baru ini tular di media sosial pemergian seorang wanita selepas melahirkan cahaya mata keduanya. Video Khairul Azhar Jainal Abidin, 27, mengucup jenazah dan mendoakan isteri, Ain Farhana Mohd Fadzli diiringi air mata amat meruntun jiwa.
Menerusi perkongsian di Facebook Mr Wan Chai Official, dikongsikan perkembangan terkini anak arwah Ain Farhana.
Ramai yang bertanya dan ingin mengetahui perkembangan baby kepada almarhumah Ain Farhana, ibu syahid yang telah pergi menghadap Ilahi dalam keadaan penuh pengorbanan. Dengan keizinan daripada bapanya, En. Khairul Azhar, saya kongsikan wajah si kecil ini buat tatapan semua.
Baby perempuan ini diberi nama Helena Attiya Binti Khairul Azhar. Secantik nama, seindah ciptaan Allah SWT. Hari ini, genap 13 hari usia baby Helena Attiya. Sayangnya, si kecil ini lahir ke dunia tanpa sempat merasai pelukan dan belaian kasih seorang ibu.
Lebih menyayat hati, arwah Ain Farhana tidak sempat melihat wajah anak yang dikandung selama sembilan bulan, dan pergi menghadap Allah tanpa sempat menatap zuriatnya.
Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Berita duka ini cukup menghiris hati, satu kisah pengorbanan dan kasih ibu yang berakhir dalam duka paling dalam. Kehilangan ini bukan sahaja dirasai oleh anak yang baru lahir, tetapi juga oleh anak sulung mereka, Uthman Attaki, yang baru berusia 2 tahun.
Dua insan kecil ini kini membesar tanpa kasih sayang dan sentuhan seorang ibu. Difahamkan juga, baby Helena Attiya masih mengalami penyakit kuning yang belum pulih sepenuhnya.
Kami merayu agar semua yang membaca mendoakan kesembuhannya:
اللهم رب الناس أذهب البأس، واشفِ أنت الشافي، لا شفاء إلا شفاؤك، شفاءً لا يغادر سقماً
“Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah penyakit ini. Engkau adalah Maha Penyembuh. Tiada penyembuhan melainkan dengan penyembuhan dari-Mu, penyembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit.”
En. Khairul Azhar,seorang ayah yang kini menggalas amanah besar untuk membesarkan dua anak kecil seorang diri.
Semoga beliau diberikan kekuatan luar biasa, ketabahan yang tinggi, dan ketenangan jiwa dalam menghadapi ujian besar ini. Mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan rahmat dan perlindungan-Nya buat beliau dan anak-anak.
InsyaAllah, keluarga arwah Ain Farhana dan keluarga En.Khairul Azhar akan terus memberi sokongan dan bantuan agar zuriat arwah Ain Farhana membesar dalam lingkungan kasih sayang.
Dalam perkembangan terkini, aktivis pengurusan jenazah Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) menerusi laman rasmi Mr Wan Cai Official memaklumkan, bapa kepada dua cahaya mata itu telah menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan.
Difahamkan, Khairul memaklumkan kepada pihak UKVJ mahu membuatkan kebaikan agar pahala dapat diniatkan ke atas nama arwah.
Wanita Kelantan beli barang kemas bayar guna duit syiling. Walaupun harga emas kini menghampiri RM500 untuk setiap gram, minat orang ramai terhadap barangan kemas tetap tidak berkurang, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri. Malah, membeli emas seakan sudah menjadi satu kebiasaan tahunan bagi sesetengah masyarakat.
Pegawai Sumber Manusia MZ Gold Sdn Bhd, Nur Akmal Ahmad Tajuddin, memaklumkan bahawa sebahagian pelanggan sanggup membuat bayaran menggunakan wang syiling demi memiliki barangan kemas idaman mereka.
Walaupun harga emas semasa hampir mencecah RM500 bagi satu gram, namun rakyat Kelantan tidak pernah mengeluh malah menjadi tradisi membeli emas setiap kali menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan ini, sebanyak lima pelanggan datang ke premis mereka dengan membawa duit syiling untuk membeli emas sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Salah seorang pelanggan kami dari Gua Musang sanggup datang ke sini dengan membawa tabung simpanan yang dikumpul selama 17 tahun. Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an pula berjaya mengumpul lebih RM3,000 dalam bentuk syiling dan membeli seutas gelang tangan dengan wang tersebut,” katanya ketika ditemui media.
Harga emas semasa yang melambung naik tidak menyekat keinginan peminat barangan kemas sehingga ada dalam kalangan mereka sanggup membayarnya menggunakan wang syiling untuk memastikan dapat digayakan semasa Aidilfitri nanti.
Nur Akmal mengakui bahawa pada mulanya, pihak kedai agak keberatan kerana proses mengira duit syiling mengambil masa yang lama dan memerlukan tenaga kerja tambahan.
“Namun, melihat keterujaan dan kepuasan pelanggan apabila dapat memiliki barangan kemas untuk dipakai semasa Hari Raya membuatkan kami rasa berbaloi dan sanggup menerima bayaran dalam bentuk syiling,” tambahnya.
Lisbon Hotel Melaka menawarkan pengalaman tenang dan mewah di Perkampungan Portugis. Dengan reka bentuk ala Mediterranean, kolam infiniti dan restoran Festa yang eksklusif, ia destinasi ideal untuk percutian keluarga.