
Mainan berbentuk dumpling yang lembut dan boleh dipicit atau lebih dikenali sebagai squishy menjadi antara barangan popular dalam kalangan kanak-kanak kerana reka bentuknya yang comel serta menarik. Teksturnya yang lembut dan mudah kembali ke bentuk asal selepas dipicit menjadikan ia kegemaran ramai, malah sering dipromosikan di media sosial sebagai koleksi permainan yang menyeronokkan.
Namun, ibu bapa perlu lebih berhati-hati apabila satu versi mainan squishy dumpling dilaporkan telah ditarik balik di United Kingdom selepas dikesan mengandungi bahan kimia yang boleh memberi risiko kepada kesihatan.
Produk yang dikenali sebagai Squeezy Dumplings itu diedarkan oleh Samsons Cash and Carry Ltd sebelum diarahkan untuk ditarik balik oleh Office for Product Safety and Standards (OPSS), United Kingdom.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas ujian mendapati lapisan luar mainan berkenaan mengandungi benzena pada kepekatan 20 miligram bagi setiap kilogram.
Produk itu juga dilaporkan tidak mempunyai nombor kelompok atau maklumat pengenalan yang jelas pada pembungkusannya. Keadaan tersebut sekali gus menyukarkan pengguna mengenal pasti produk yang terlibat dalam penarikan balik berkenaan.
Benzena merupakan bahan kimia industri yang lazim digunakan sebagai pelarut serta dalam proses penghasilan plastik, foam dan pewarna.
Bagaimanapun, bahan tersebut tidak diperlukan untuk menghasilkan tekstur lembut pada mainan squishy dumpling.
Punca sebenar benzena ditemui dalam produk berkenaan masih belum diketahui. Ia mungkin berpunca daripada pencemaran bahan mentah atau berlaku ketika proses pembuatan, namun perkara tersebut masih belum dapat disahkan oleh pihak berkuasa.
Pendedahan kepada benzena dalam jumlah tertentu boleh memberikan kesan terhadap kesihatan seseorang.
Pendedahan dalam tempoh singkat boleh menyebabkan iritasi, pening, sakit kepala atau rasa loya. Sementara itu, pendedahan berulang dalam jangka masa panjang boleh menjejaskan sistem penghasilan darah.
Bagaimanapun, memegang mainan tersebut sekali tidak bermaksud seseorang akan terus mengalami masalah kesihatan. Tahap risiko bergantung kepada jumlah bahan kimia, tempoh pendedahan dan cara seseorang terdedah kepada bahan berkenaan.
Ibu bapa tidak perlu panik kerana belum ada bukti menunjukkan semua mainan squishy dumpling yang mempunyai reka bentuk sama mengandungi bahan kimia berbahaya.
Rupa yang serupa tidak semestinya bermaksud mainan itu dihasilkan menggunakan bahan atau oleh pengeluar yang sama. Setiap pengeluar mempunyai proses pembuatan, kawalan kualiti dan sumber bahan mentah yang berbeza.
Pengguna disarankan supaya lebih teliti ketika membeli mainan, terutama produk daripada penjual yang tidak dikenali atau barangan yang tidak mempunyai label pengeluar, nombor kelompok dan maklumat keselamatan yang lengkap.
Sebelum membeli, semak sama ada produk mempunyai pembungkusan yang jelas, maklumat pengilang serta arahan penggunaan. Elakkan membeli produk yang terlalu murah tanpa maklumat keselamatan kerana ia mungkin tidak melalui kawalan kualiti yang sewajarnya.
Sekiranya sudah membeli produk yang mencurigakan, elakkan daripada menghidu, memotong atau memanaskan mainan squishy dumpling tersebut. Pastikan ia turut dijauhkan daripada capaian kanak-kanak.
Jika bahan daripada mainan terkena kulit, basuh kawasan berkenaan menggunakan sabun dan air bersih. Dapatkan rawatan perubatan sekiranya berlaku iritasi berterusan, pening, loya atau kesukaran bernafas.
Dalam memilih mainan untuk anak-anak, rupa yang comel dan populariti di media sosial tidak seharusnya mengatasi aspek keselamatan. Ibu bapa digalakkan membeli produk daripada pengeluar yang dipercayai serta memastikan setiap mainan mempunyai maklumat keselamatan yang lengkap.
Sikap lebih berhati-hati ketika membeli boleh membantu melindungi anak daripada risiko yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Walaupun kes ini melibatkan satu produk tertentu di United Kingdom, ia menjadi peringatan kepada semua pengguna supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum membuat pembelian.
BACA SINI : Pilih Mainan Montessori Untuk Anak, Cara Dr Fie Tawfek Buat Anak Lagi Fokus!
Sumber: Public Health Malaysia