Makan Ulam Untuk Kesihatan, Nak Pastikan Betul Caranya Begini Saintis Ni Kongsikan!

Share

Bagi keluarga yang suka makan ulam tentu setiap kali makan nasi pasti dihidangkan menu nan satu ini sebagai pelengkap juadah.

Selain dimakan untuk memenuhi selera, tidak dinafikan juga dengan makan ulam-ulaman ini banyak khasiat dan kebaikannya.

Antara yang sering kita dengar, orang kata kalau rajin amal makan ulam pegaga atau dijadikan jus minuman boleh awet muda. Malah macam-macam lagilah kebaikan ulam ini dan bukannya pegaga sahaja untuk membantu meningkatkan kesihatan tubuh badan.

Namun betul ke begitu?

Mengukuhkan lagi info berkenaan ulam-ulaman ini secara berfakta dan kajian, ayuh kita baca perkongsian dari saintis Dr Suri Roowi ini.

ULAM BERKHASIAT, SEJAUH MANA IA MEMBERI KESAN?

Masyarakat kita gemar memakan ulam-ulaman bersama nasi berserta lauk pauk ketika menikmati hidangan makan tengahari dan makan malam. Soalnya sekarang adalah sejauh manakah ianya bena-benar memberi kesan.

Ulam-ulaman seperti salad, pegaga, ulam raja, selom, tomato ceri, petai, jering dan sebagainya adalah antara ulam yang biasa di ambil bersama lauk pauk lain.

Gambar hiasan

Tomato adalah antara sayuran yang biasa dimakan sebagai ulam. Tomato kaya dengan bahan antioksidan likopene. Bahan berkhasiat jenis ini biasa didapati juga dalam lobak merah dan tembikai. Dalam tomato, bahan khasiat ini hadir pada kuantiti tinggi dalam kulit dan biji tomato. Justeru, jika kita asingkan kulit dan biji tomato semasa memasak atau menggambilnya sebagai ulam, ini akan menyebabkan kehilangan banyak khasiat utama.

Walaubagaimanapun, terdapat kajian menunjukkan pengambilan tomato pada kuantiti tinggi boleh meningkatkan risiko pendarahan jika bersama ubat cair darah.

Selain dari itu, warna kulit kita juga boleh berubah kepada warna kemerahan jika kita memakan tomato pada kuantiti tinggi. Kuantiti bahan berkhasiat dalam sesuatu jenis sumber berkhasiat juga berbeza mengikut jenisnya.

Contohnya kajian yang dilakukan oleh UPM mendapati tomato ceri lebih tinggi antioksidan berbanding tomato biasa.

Salad juga merupakan antara ulam kegemaran ketika menikmati makan tengahari. Kajian oleh pensyarah UPM ke atas pelbagai jenis salad, salad berwarna merah lebih tinggi kandungan antioksidan berbanding salad biasa.

Walaubagaimanapun, sayuran hijau seperti salad, bayam, brokoli dan ‘brussel sprout’ tinggi vitamin K. Justeru, penggambilan jenis sayuran ini sebagai ulam akan mengurangkan keberkesanan ubat cair darah di kalangan pesakit jantung.

Ulaman tempatan juga tidak kurang hebatnya. Kajian oleh saintis tempatan mendapati daun kari, ulam raja dan selom sebagai sumber antioksidan yang kuat.

Terdapat pelbagai jenis ulam yang bertindak sebagai antibakteria dan antikanser semulajadi. Antaranya adalah sumber tinggi sulfur seperti bawang merah, petai dan jering.

Jering tidak boleh dimakan pada kuantiti tinggi dan sebaiknya perlu direbus atau dibiarkan bercambah terlebih dahulu. Ini kerana jering tinggi kandungan asid djenkolic dan akan memudaratkan buah pinggang jika diambil pada kuantiti tinggi.

Teknik pengambilan ulam yang betul sangat mempengaruhi penyerapan bahan berkhasiat dalam tubuh.

Contohnya, kajian mendapati memakan buah tomato secara terus (dalam keadaan mentah) kurang memberi kesan berbanding memakan tomato yang dimasak bersama minyak. Ini kerana likopene adalah sejenis bahan berkhasiat larut lemak, jadi penggunaan minyak ketika memasak tomato boleh meningkatkan penyerapan dalam darah.

Pengambilan lobak merah pula seeloknya diambil bersama susu segar (contohnya ‘carrot’ susu) berbanding lobak mentah sebagai ulam.

Biasanya masyarakat kita gemar memakan ulam-ulaman bersama nasi dan lauk pauk lain. Sebenarnya teknik ini kurang tepat.

Kajian yang diterbitkan pada tahun 2017 mendapati makan sayur-sayuran sebelum memakan nasi lebih berkesan kurangkan kadar gula darah di kalangan pesakit diabetes jenis 2.

Dapatan kajian ini menunjukkan “Meminum jus pegaga sebenarnya lebih bagus berbanding berbanding memakannya bersama nasi”.

Gambar hiasan

Terdapat juga kajian menunjukkan memotong ulam boleh meningkatkan bahan berkhasiat. Kajian yang dilakukan oleh Department of Vegetable Crops, University of California dan diterbitkan dalam Jurnal Agric. Food Chem. mendapati bahan berkhasiat antioksidan meningkat sehingga 140% jika ulam dipotong-potong terlebih dahulu sebelum dimakan berbanding ulam tanpa dipotong.

Sumber : Dr Suri Roowi

Baca juga ini : Sediakan Makanan Sihat Untuk Keluarga, Begini Cara Masaknya!

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club

 

IKLAN