Sepanjang bulan Syawal ini pastinya mak-mak semakin sibuk kerana menguruskan menyediakan makanan untuk jamuan raya sekolah anak. Makanan apa nak bawa?
Sebelum memilih menu untuk dibawa anak-anak ke sekolah pastikan menu tersebut yang disukai oleh anak-anak dan bukannya menu ‘syok sendiri’.
Semuanya kerana tidak mahu adanya episod anak-anak bersedih kerana makanan mereka tidak disentuh rakan-rakan sekelas. Jom intai menu apa yang selalunya tidak jadi pilihan anak-anak kita.
Menu-menu sebegini bukan sahaja tidak sesuai untuk anak bahkan kurang mendapat perhatian rakan sekelas. Kepada mak-mak yang siapkan menu jamuan raya anak, tolong jangan bagi anak bawa:
1. Bihun/mi Goreng
Tumpah atas meja, makan bersepah dan terabur sampai cikgu yang stress kemas!
2. Kuih lembik/benyek
Contoh: kuih kaswi, seri muka, kuih lapis.
Budak akan rasa pelik bila makan kerana kuih seperti ini biasa diminati oleh golongan berumur.
3. Kek marjerin
Lebih elok sekiranya bawa kek span coklat atau brownies.
Ads
4. Biskut raya klasik
Contoh: Putu kacang, batang buruk, loyang
Biskut jenis ini pastinya menjadi hiasan di atas meja sahaja kerana tidak digemari.
5. Kari atau lauk berkuah pekat
Tak praktikal terutamanya kalau makan berdiri/atas lantai.
6. Buah potong yang cepat lebam
Contoh: pisang, epal dan buah pear.
Ads
7. Makanan pedas melampau
Contoh: Sambal pedas dan mi goreng cili api.
Cadangan alternatif yang pasti budak suka:
* Nugget, sosej, atau popia mini (senang pegang, tak tumpah)
* Kek cawan (cupcake comel – satu sorang, tak berebut)
Ads
* Agar-agar berwarna-warni dalam cawan kecil
* Sandwich comel potong kecil
* Mini pizza
* Buah dalam cup kecil
* Air kotak
Diharapkan perkongsian idea menu jamuan raya ini dapat memudahkan ibu bapa di luar sana.
Dugaan peniaga bazar Ramadan, meja patah, lebih 10 balang air tumpah. Seorang peniaga air balang di bazar Ramadan Jalan Haji Ahmad, Pahang, mengalami detik malang apabila lebih 10 balang air jualannya tumpah begitu sahaja selepas meja yang digunakan patah.
Kejadian yang tular menerusi beberapa keping gambar menunjukkan semua balang air terbalik ke belakang, menyebabkan kesemua air jualannya tertumpah di atas tanah. Keadaan itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian, malah turut memberi kesan kepada peniaga tersebut untuk meneruskan perniagaannya pada hari itu.
Menurut perkongsian di media sosial, ada yang berpendapat meja yang digunakan mungkin tidak cukup kukuh untuk menampung berat balang air yang banyak.
“Ujian,” tulis kapsyen pada hantaran tersebut.
Sementara itu, di ruangan komen, ramai netizen memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar peniaga berkenaan terus tabah menghadapi dugaan serta berjaya dalam perniagaan pada hari-hari berikutnya.
Berikut antara komen-komen warga maya:
“Allahuakhbar dugaan bulan puasa…..semoga dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki.”
“Kaki meja zaman sekarang tak tahan macam dulu punya kualiti dah kurang.”
“Niaga air berat, kena guna meja tempa yang kaki kuat.”
“Meja macam tu memang ta tahan bagi penjual ai sebab air bila dah banyak jadi berat. Kaki meja kena custom.”
Di doakan semoga peniaga tersebut berlapang dada dengan ujian ini serta dimurahkan rezeki untuk meneruskan perniagaan pada hari seterusnya.
Datuk Seri Vida kembali menjadi perhatian apabila Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan beberapa hartanah milik syarikatnya dijual selepas gagal melunaskan pembiayaan Islam berjumlah kira-kira RM15.5 juta.
Perintah tersebut melibatkan syarikat Vida Beauty Sdn Bhd yang dimiliki usahawan kosmetik terkenal itu, atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman.
Keputusan dibuat selepas mahkamah mendapati pihak bank berjaya membuktikan bahawa kemudahan pembiayaan yang diberikan tidak dibayar seperti yang dipersetujui dalam perjanjian.
Dalam penghakiman tersebut, hakim Mahkamah Tinggi, Norsharidah Awang membenarkan permohonan Maybank Islamic untuk meneruskan penjualan beberapa hartanah milik syarikat Datuk Seri Vida bagi mendapatkan semula pembiayaan yang tertunggak.
Hakim memutuskan bahawa bank berkenaan telah memenuhi syarat di bawah Seksyen 256 Kanun Tanah Negara untuk menguatkuasakan penjualan hartanah yang dicagarkan.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 4 Mac, mahkamah menjelaskan bahawa kemudahan pembiayaan Islam tersebut diberikan kepada Vida Beauty Sdn Bhd dan dijamin melalui cagaran beberapa lot tanah di Hulu Kinta, Perak.
Menurut hakim, tidak dipertikaikan bahawa pembiayaan tersebut telah diberikan kepada pihak defendan dan hartanah yang dinyatakan dalam saman pemula dicagarkan secara sah sebagai jaminan bagi kemudahan pembiayaan berkenaan.
Dokumen mahkamah menunjukkan Maybank Islamic telah memberikan kemudahan Pembiayaan Berjangka Komoditi Murabahah-i berjumlah RM4.886 juta kepada Vida Beauty Sdn Bhd.
Kemudahan pembiayaan tersebut dijamin dengan tujuh lot tanah milik syarikat berkenaan.
Namun selepas syarikat milik Datuk Seri Vida itu gagal membuat bayaran balik seperti yang ditetapkan, jumlah tertunggak meningkat kepada kira-kira RM8.45 juta setakat 30 September 2022.
Jumlah itu termasuk keuntungan terkumpul serta caj bayaran lewat yang dikenakan oleh pihak bank.
Selain itu, terdapat satu lagi kemudahan pembiayaan berkaitan yang dijamin dengan sebuah hartanah lain di Hulu Kinta dengan jumlah tunggakan dilaporkan melebihi RM7 juta.
Keadaan ini menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan oleh pihak bank terhadap syarikat berkaitan Datuk Seri Vida mencecah kira-kira RM15.5 juta.
Dalam prosiding tersebut, pihak Vida Beauty Sdn Bhd membantah permohonan penjualan hartanah dengan mendakwa prosiding berkenaan tidak sah kerana pihak bank memfailkan afidavit sokongan di luar tempoh masa yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah.
Bagaimanapun, hakim menolak hujah tersebut dan menjelaskan bahawa kelewatan memfailkan afidavit tidak secara automatik membatalkan keseluruhan prosiding.
Mahkamah turut menyatakan bahawa penafian semata-mata oleh defendan mengenai penerimaan notis tanpa bukti kukuh tidak mencukupi untuk mencabar kesahihan penyampaian notis tersebut.
Selain itu, syarikat berkenaan turut mempertikaikan jumlah hutang yang dituntut dengan mendakwa jumlah sebenar adalah jauh lebih rendah daripada RM8.5 juta yang dinyatakan.
Namun mahkamah memutuskan bahawa pertikaian mengenai jumlah sebenar hutang bukanlah pembelaan yang sah untuk menghalang penguatkuasaan cagaran.
Hakim turut menjelaskan bahawa kemudahan pembiayaan tersebut distrukturkan berdasarkan transaksi jualan yang harga jualannya telah dipersetujui dengan jelas dalam surat tawaran serta perjanjian kemudahan.
Sehubungan itu, mahkamah sivil tidak boleh menulis semula kontrak atau mengubah struktur harga jualan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Mahkamah dalam keputusan tersebut turut menganugerahkan kos sebanyak RM10,000 kepada pihak bank.
Dalam kes berkenaan, peguam Wong Weng Yew mewakili Maybank Islamic manakala Haris Md Nor mewakili pihak Vida Beauty Sdn Bhd.
Perkembangan kes melibatkan Datuk Seri Vida ini turut menarik perhatian ramai memandangkan beliau merupakan antara usahawan kosmetik paling dikenali di Malaysia serta sering menjadi perhatian dalam dunia perniagaan dan media sosial.
Kisah perjalanan perniagaan beliau sebelum ini sering menjadi inspirasi kepada ramai usahawan, namun kes mahkamah ini turut menunjukkan cabaran yang boleh dihadapi dalam dunia perniagaan yang kompetitif.
Ibu Zara Qairina akui terkejut, panik -“Kalau tahu penting, kami tak tolak bedah siasat.” Noraidah Lamat, 45, ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, mengakui dirinya berada dalam keadaan terkejut dan panik ketika diminta membuat keputusan berhubung bedah siasat anaknya yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
“Saya terkejut, panik dan tidak dapat membuat keputusan yang wajar ketika kejadian. Tiada nasihat diberikan dan jika kami tahu, kami tidak akan tandatangan dokumen menolak bedah siasat itu,” katanya.
Menurut Noraidah, beliau tidak dapat berfikir dengan tenang sewaktu pihak hospital meminta kebenaran menjalankan bedah siasat terhadap anaknya yang berusia 13 tahun itu.
“Tiada penjelasan yang jelas dan kami memang tidak biasa dengan kes seperti ini. Kami panik dan tiada nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat.
“Jika kami tahu (kepentingan membuat bedah siasat), kami tidak akan tandatangan dokumen bagi menolak bedah siasat itu,” katanya lagi menerusi komen di Facebook.
Peguamnya, Hamid Ismail, turut mengesahkan bahawa akaun Facebook dengan nama pengguna ‘Noie AiDa’ adalah milik Noraidah.
Semalam, pihak Bukit Aman memaklumkan berlaku ketidakpatuhan prosedur oleh polis kerana bedah siasat tidak dilakukan seperti sepatutnya. Namun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar, menjelaskan bahawa Noraidah telah menandatangani dokumen hospital bagi menolak prosedur tersebut.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan mayat pelajar berkenaan digali semula untuk bedah siasat, yang dilakukan pada Ahad lalu. Jenazahnya kemudian dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, pada Isnin.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.