
Bulan Kemerdekaan bukan hanya masa untuk mengibarkan Jalur Gemilang atau mengenang sejarah negara.
Ibu bapa juga boleh mengambil peluang ini untuk memperkenalkan anak-anak kepada identiti Malaysia menerusi satu aktiviti yang dekat dengan kehidupan seharian, iaitu memasak bersama.
Malaysia kaya dengan pelbagai makanan warisan yang mencerminkan budaya, tradisi dan cara hidup masyarakat berbilang kaum.
Setiap hidangan mempunyai cerita tersendiri, daripada bahan yang digunakan hinggalah kepada cara penyediaannya yang diwarisi sejak turun-temurun.

Menurut Portal Rasmi Jabatan Warisan Negara (JWN), kepelbagaian kaum dan latar budaya di Malaysia telah melahirkan pelbagai makanan serta juadah istimewa yang menjadi sebahagian daripada warisan negara.
Namun begitu, pengetahuan mengenai keunikan, falsafah, khasiat dan cara penyediaan makanan warisan semakin berisiko hilang sekiranya tidak dipelajari serta dipraktikkan oleh generasi seterusnya.
Di sinilah ibu bapa boleh memainkan peranan. Sempena bulan Kemerdekaan, ajak anak masuk ke dapur dan kenalkan mereka kepada makanan tradisional Malaysia.
Aktiviti ini bukan sekadar menyeronokkan, malah memberi peluang kepada anak mengenali asal usul sesuatu hidangan, bahan yang digunakan serta budaya masyarakat yang menghasilkannya.
Walaupun tidak semua hidangan warisan mudah disediakan di rumah, ibu bapa boleh memperkenalkannya melalui cerita, gambar, bahan masakan atau memilih resipi tradisional yang sesuai untuk dicuba bersama.
Antara makanan yang diiktiraf dalam kategori Warisan Kebangsaan termasuklah:

1. Manok Pansoh
Manok Pansoh ialah hidangan tradisional masyarakat Iban dan Bidayuh yang menggunakan ayam kampung dan dimasak di dalam buluh.
Ketika memperkenalkan hidangan ini kepada anak, ibu bapa boleh berkongsi bagaimana masyarakat di Sarawak menggunakan bahan semula jadi seperti buluh sebagai medium memasak.

2. Pulut Kukus Dalam Periuk Kera
Pulut Kukus Dalam Periuk Kera merupakan makanan tradisional masyarakat Orang Asli Semelai. Beras pulut dimasukkan ke dalam periuk kera sebelum dikukus sehingga masak.
Hidangan ini boleh menjadi satu pengenalan menarik kepada anak tentang hubungan rapat masyarakat Orang Asli dengan alam semula jadi.

3. Opok-Opok
Opok-opok merupakan makanan tradisional yang hanya boleh ditemui di Pantai Timur.
Teksturnya yang nipis, ringan dan rangup menjadikan hidangan ini seakan-akan keropok, malah cukup enak dinikmati sebagai kudapan.
Proses penyediaannya memerlukan kemahiran kerana ia dibakar di atas bara api tanpa menggunakan minyak.

4. Kuih Cincin
Kuih cincin merupakan kuih tradisional Sabah yang diperbuat daripada tepung beras dan gula, dengan rasa manis serta sedikit masin.
Kuih ini perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum digoreng untuk mendapatkan tekstur yang rangup.

5. Kari Devil (Kari Ayam Debal)
Kari Devil atau Kari Ayam Debal merupakan hidangan popular masyarakat Portugis di Melaka.
Hidangan ini menggunakan bahan seperti cili, lengkuas, cuka dan buah keras. Walaupun tidak menggunakan santan pekat, kuahnya tetap mempunyai tekstur yang pekat kerana penggunaan buah keras.
Daripada satu hidangan sahaja, anak boleh belajar bahawa sejarah, masyarakat dan makanan sebenarnya saling berkait.
Aktiviti memasak bersama anak mungkin kelihatan sederhana, namun ia boleh menjadi salah satu cara paling dekat untuk memperkenalkan mereka kepada warisan negara.
Mereka bukan sahaja belajar mengenali rasa dan bahan masakan, malah memahami bahawa setiap makanan tradisional mempunyai sejarah, budaya dan identiti tersendiri.
Sempena bulan Kemerdekaan, jadikan dapur sebagai ruang pembelajaran keluarga. Ajak anak mengenali, menyediakan dan menghargai makanan warisan Malaysia supaya tradisi ini tidak sekadar tinggal nama, tetapi terus hidup dan diwariskan kepada generasi akan datang.
BACA LAGI: Festival Budaya Malaysia 2025: Wow Malaysia, Wow Kita Semua!
Sumber: Portal Rasmi Jabatan Warisan Negara (JWN)
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

