Kasih seorang anak terhadap ibu tiada penghujungnya. Demi menjaga ibu tercinta yang menjalani rawatan dialisis, Nur Fathiah Hanani Suhaibi, 21, memilih untuk melanjutkan pengajian dekat dengan rumah. Siapa sangka, pengorbanan itu akhirnya diiringi kejayaan membanggakan apabila beliau meraih Anugerah Rektor.
Anak kelahiran Kuala Terengganu itu berjaya menamatkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96, sekali gus menerima Anugerah Rektor pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26, baru-baru ini.
Lebih menyentuh hati, Nur Fathiah merupakan anak bongsu daripada empat beradik yang dibesarkan sepenuhnya oleh ibu tunggal selepas ibu bapanya bercerai ketika beliau berusia dua tahun.
Nur Fathiah Pilih Belajar Dekat Rumah Demi Ibu
Mengenangkan pengorbanan ibu yang membesarkannya, Nur Fathiah memilih UC TATI supaya dapat terus berada dekat dengan insan tersayang.
Malah, beliau mengakui tidak pernah menyangka akan menerima anugerah berprestij itu kerana hasrat asalnya hanyalah untuk menamatkan pengajian demi masa depan.
“Jujur berkata, saya tidak pernah mengimpikan untuk menerima Anugerah Rektor ini, apatah lagi saya hanya pelajar diploma dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
“Apa yang saya fikirkan adalah untuk menamatkan pengajian sepenuhnya demi masa depan saya,” katanya.
Nur Fathiah Hanani Suhaibi (kiri) bersama adik-beradik dan ibunya, Noryati Mohamed, yang berkerusi roda pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26 di Kemaman, Terengganu.
Menurut Nur Fathiah, beliau pernah terfikir untuk menyambung pengajian di tempat lain, namun mengetepikan hasrat tersebut kerana mahu memberikan perhatian kepada ibunya.
“Pernah terfikir untuk menyambung pengajian di tempat lain, namun memikirkan kasih kepada ibu, saya memilih UC TATI supaya dapat berada dekat dengannya.
“Kini, saya sudah menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang sama dan masih berpeluang memberikan perhatian kepada ibu,” ujarnya.
Keputusan untuk belajar berhampiran rumah membolehkan beliau meneruskan pengajian tanpa perlu berjauhan daripada ibu yang menjalani rawatan dialisis.
Biarpun mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga, beliau tetap memberikan komitmen terhadap pelajaran sehingga berjaya memperoleh keputusan akademik yang membanggakan.
Ads
Cemerlang Akademik, Aktif Sukarelawan
Selain cemerlang dalam akademik, Nur Fathiah turut aktif menyertai pelbagai program kolej dan kegiatan kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Terengganu.
Penglibatan tersebut menjadi nilai tambah kepada pencapaiannya sehingga berjaya merangkul Anugerah Rektor yang disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Datuk Ir. Kamaluddin Abd Rashid bersama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.
Pencapaian PNGK 3.96 membuktikan kesungguhannya dalam bidang akademik, manakala penglibatan dalam aktiviti sukarelawan memperlihatkan minat beliau untuk menyumbang kepada masyarakat.
Kejayaan ini juga menjadi contoh bahawa kecemerlangan seorang pelajar bukan sahaja boleh dilihat melalui keputusan peperiksaan, tetapi turut melibatkan penglibatan dalam aktiviti yang membina pengalaman dan kemahiran diri.
Ads
Teruskan Pengajian Dalam Bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Kini, beliau meneruskan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Terengganu, selain menyimpan impian untuk memiliki perniagaan sendiri dalam bidang penjagaan kanak-kanak.
Hasrat untuk membina kerjaya dalam bidang tersebut memperlihatkan perancangannya bagi masa depan, selain keinginan untuk terus meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian.
Pengorbanan Demi Ibu Jadi Inspirasi Kepada Anak Muda
Kisah Nur Fathiah membuktikan bahawa tanggungjawab terhadap ibu bukan penghalang untuk mengejar cita-cita. Malah, kasih sayang dan pengorbanan demi keluarga boleh menjadi kekuatan untuk terus melangkah menuju kejayaan.
Bagi anak muda yang sedang melanjutkan pelajaran, kisah ini membawa pengajaran bahawa setiap individu mempunyai cabaran dan tanggungjawab yang berbeza dalam kehidupan.
Ads
Ada yang perlu berjauhan daripada keluarga demi menuntut ilmu, manakala ada juga yang memilih untuk kekal dekat dengan ibu bapa kerana keadaan kesihatan atau tanggungjawab tertentu.
Walau apa pun pilihan yang dibuat, usaha untuk mencapai kejayaan tetap boleh diteruskan dengan perancangan, disiplin dan kesungguhan.
Dalam masa sama, kisah ini mengingatkan kita tentang besarnya pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anak-anak, lebih-lebih lagi apabila terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal.
Kejayaan seorang anak pastinya membawa makna yang cukup besar buat keluarga, apatah lagi apabila ia hadir bersama kasih sayang dan penghargaan terhadap insan yang banyak berkorban.
Tahniah Nur Fathiah! Semoga terus cemerlang dan menjadi kebanggaan ibu tercinta.
Memiliki anak istimewa adalah satu kelebihan buat ibu bapa yang terpilih. Bukan semua yang bertuah mendapat pengiktirafan tersebut.
Disebalik kekurangan yang dipandang dari mata kasar, namun sebenarnya anak-anak syurga ini cukup istimewa dan ada banyak kelebihan mereka.
Anak diagnos Disleksia
Berkongsi kisah anak bongsunya yang didiagnos Disleksia, Puan Noraiha Rais yang juga pemilik sebuah butik pengantin Demelza yang terletak di Rawang, mengakui anaknya itu seperti kanak-kanak lain seusianya.
“Jika orang tengok dari mata kasar, mereka mungkin tidak menyangka anak saya ini Disleksia. Cuma kalau bab pembelajaran dia sedikit ketinggalan berbanding kakak dan abangnya yang lain. Sekarang dia berumur 11 tahun dan ada subjek dia boleh dan ada yang tak boleh. Tetapi setakat ini dia belajar di sekolah biasa.
“Tetapi dia sangat bijak terutama dalam bermain lego. Pernah sebelum ini saya masukkan dia dalam satu pertandingan Program Robotik Lego dan dia mendapat tempat kedua. Sehinggakan pihak penganjur kagum dengan kebolehannya.
“Memang dia sangat obses dan struktur lego yang rumit dia dapat selesaikan dengan mudah,”ujar Noraiha yang memberitahu mungkin akan masukkan anak ke sekolah kemahiran sama ada bidang vokasional tetapi bergantung kepada minat anaknya.
Tak nak beri tekanan
Mengakui mula mengetahui anak mempunyai masalah sejak tadika lagi anaknya, Hilai Hamdhy Bin Hasmili mempunyai tanda-tanda disleksia, namun turun naik dalam pelajaran menyebabkan Noraiha beranggapan itu adalah perkara biasa.
“Waktu sekolah rendah, cikgu ada cakap anak ada masalah bab pembelajaran. Kena sediakan Pendidikan khas, tetapi memandangkan sekarang dia sudah tahun lima dan agak terlambat. Jadi untuk masuk dalam sekolah khas mungkin kena tunggu sekolah menengah kelak. Tahap pemahaman dia sepatutnya tahun 5 tetapi sekarang ibarat baru tahap tahun 3. Apa pun sebagai ibu bapa kami terima apa jua pencapaian anak-anak setakat yang termampu.
“Dia boleh membaca tetapi ada subjek yang lemah dan agak terbelakang sedikit. Jadi, saya hantar pada guru tuisyen selain jumpa pakar psikologi Pendidikan. Tetapi kami tidak mahu beri tekanan jadi tak ‘push’ sangat,”jelas Noraiha lagi.
Jiwa halus dan mulia
Ini adalah ujian Allah dan kena banyak bersabar dalam membesarkan anak-anak kerana setiap dari mereka tidak sama. Biarpun memiliki kekurangan dalam akademi, namun Hilal miliki jiwa yang sangat halus dan mulia.
“Saya masih ingat lagi kenangan bulan Mac yang lalu. Di sekolahnya ada buat satu pungutan dana untuk padang sekolah. Kebetulan anak ada bawa balik surat pihak sekolah minta sumbangan untuk padang sekolah. Tetapi saya cakap nanti mama tengok surat tu.
“Disebabkan dia tak sabar, terus dipecahkan tabung dan bawa semua duit syiling ke sekolah untuk didermakan. Saya tak tahu, rupanya Hilal sanggup pecahkan tabung dirinya sendiri dan bawa duit itu ke sekolah untuk di dermakan.
“Disebabkan itu, cikgu rasa terharu dan beri kad jemputan untuk hadir makan malam Majlis Anugerah. lebih membuatkan saya terharu, perkara tersebut dapat perhatian pihak sekolah sehingga namanya jadi sebutan Menteri Pendidikan ketika itu. Malah, anak saya diajak bergambar bersama waktu itu. Itulah kenangan dan saya fikir anak OKU ada kelebihan yang kita sendiri tak fikirkan yang dia akan buat begitu.
“Sebagai ibu memang saya rasa sangat terharu akan kebaikan yang ada dalam diri anak-anak istimewa. Di sekolah juga anak saya okey tiada masalah bergaul dengan kawan-kawan. Cuma pemahaman pelajaran agak kurang dan akademi agak lemah.
“Saya bersyukur kerana walaupun kekurangan dari segi pembelajaran tapi dia masih boleh faham. Sebagai ibu saya kadang-kadang takut apabila disleksia, autisme ini pemikiran ke belakang berbanding umur. Tetapi sebenarnya mereka faham Cuma kita yang tak faham mereka.
“Saya dulu ada pusat tuisyen, Akademi Pintas. Jadi, saya akan bawa anak-anak dan juga pelajar untuk join kerja-kerja sukarelawan streetfeeding kt Masjid Jamek bersama NGO Unggas. Hilal juga tidak ketinggalan untuk join sekali,”ujar Puan Noraiha lagi.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Selepas pandemik mungkin anda ingin reward keluarga bercuti di luar negara. Maklumlah sudah dua tahun sekatan perjalanan ke luar negara. Bercuti di luar negara bersama keluarga ini memang menyeronokan apatah lagi bila anak-anak gembira. Sebagai ibu bapa memberi pengalaman terindah buat anak-anak adalah momen terbaik buat kita.
Melalui perkongsian saudara Saizul Hafiz di facebook beliau, trip mereka sekeluarga ke Swiss dirancang sendiri oleh beliau tanpa menggunakan khidmat travel agen. Lebih jimat dan bebas melakukan aktiviti yang digemari. Boleh lah anda jadikan itenari dan tip beliau sebagai rujukan.
Percutian Keluarga 2022 ke Swiss
Ni pertama kali aku travel bawa satu family ke luar negara, selalu aku pergi dengan wife dan sekali pergi bawa anak pertama.
Tapi since semua dah besar, aku fikir its right thing to do and bagi mereka explore pengalaman yang tak selalu kita jumpa tempat kita.
Planning – perkara paling penting bila kita nak travel dengan keluarga sebab kita kena fikir flight, route, penginapan, makanan, kenderaan dan juga masa aktiviti. Ni semua akan mempengaruhi mood.
Tip – Kanak kanak bukan ada tenaga full macam kita kecuali dia jumpa apa dia suka kan.
Flight – Cukuplah 1 flight yang terus sampai ke destinasi kita. Macam kami pilih Emirates hari tu, satu sebab tengah promosi dan Emirates merupakan airlines top di dunia.
Tip – Jangan sebab nak jimat kita ambil flight connection banyak. Waktu transit dan juga masa nak tukar flight boleh pengaruhi mood terutama bila dengan anak anak.
Kenderaan – Dekat Swiss, ada banyak pilihan. STP, Half Fare, Special Passes kalau kita nak travel by public transport. Ada motorhomes kalau kita nak travel lebih adventure, dan juga boleh drive sendiri (mudah sangat). So fikirkan method mana nak pilih sebab kita tahu anak anak kita macam mana.
Tip – Aku pilih kereta sebab senang, antara satu tempat ke satu tempat anak anak boleh tidur kalau penat.
Route & Aktiviti – Hal ini subjektif bergantung pada apa kita nak capai. Negara yang kita pilih pun berdasarkan apa kita nak tengok kan.
Tip – Jadi plotkan mana nak pergi dan apa nak buat guna google map. Kirakan sekali berapa harga aktiviti yang kita akan bayar dan kalau boleh cuba cari alternatif untuk dapat diskaun.
Penginapan – Bergantung juga pada preferable kita. Kalau nak luxury pun ada, nak standard pun ada. Sebab dekat Swiss ada hotel, motel, AirBnB dan juga campsite. Aku pilih AirBnb sebab aku suka duduk dekat dengan local.
Makanan – Dekat Swiss memang dah terkenal dengan mahalnya negara ni. Jadi kita tak boleh nak lari lah, tapi kita kita boleh kawal perbelanjaan dengan bawa makanan dari Malaysia.
Ada banyak kan sekarang or kita boleh masak kalau tempat kita sewa tu ada kitchen. Tapi kedai halal tetap ada kalau nak makan luar.
Tip – Jangan lupa bawa botol air, sebab air dekat sana boleh isi mana mana sahaja dan fresh! Macam air Coway.
Season – Satu lagi benda penting adalah season apa nak pergi. Setiap season ada kelebihan dia dan masa daylight dia. Winter memang ada salji dan sejuk tapi waktu siang dia pendek. Rugi lah kalau siang pendek sebab nak berjalan pun sekejap je kan.
Tip – Jadi pilihlah season yang lebih mesra masa, Autumn or Spring.
Go Slow – Bercuti dengan keluarga, kita kena go slow. Means kita nak nikmati saat-saat dengan mereka. Budak budak mungkin akan ingat ingat lupa tapi kita tak akan lupa moment dan saat ni dengan mereka.
Tip – Jangan nak kejar OOTD sampai lupa masa nak bersama. Tak apa tak ada gambar cun, tapi pengalaman tetap terpahat sampai bila bila.
Budget – Sesungguhnya travel sendiri lebih jimat dari travel dengan travel agen. Itu je haha. Papepun pilihan di tangan korang.
Learning – Bila travel anak anak akan belajar banyak benda. Disiplin, tepati masa, belajar culture baru, belajar hargai banyak benda. Sebab masa ni, mereka akan tanya banyak soalan sebab mereka lihat benda benda baru.
Kalau korang hiking, cuba fikir berapa banyak support motivasi nak bagi supaya sampai di puncak.
Tempat-tempat yang dikunjungi
Day 1 – Geneva, Stay Leysin
Day 2 – Bern & Gruyeres
Day 3 – Grimentz, Champex , Château de Chillon
Day 4 – Zermatt
Day 5 – Lake Blause, Lake Oeschinensee. Stay Halisberg
Day 6 – Lauterbrunnen, Grimdelwald First
Day 7 – Interlaken, Cruise Boat Interlaken Lake Brienz, Victoronix Factory Outlet
Day 8 – Mt. Titlis, Lucerne, Halisberg
Day 9 – Rhine Falls, Zurich
: Pandu sendiri, HalfFare Card (Family Card)
: AirBnB
: Emirates Airlines
Paling penting, kena nikmati segalanya. So where next?
Lengkap bukan tip-tip yang beliau kongsi? Ibu bapa yang nak bawa anak bercuti hujung tahun ini sekarang masa yang sesuai untuk mula merancang percutian anda. Jadikan ia kenangan terindah anda sekeluarga.
Webinar Aku Tak Serik Bersalin merupakan webinar kehamilan dianjurkan untuk para ibu hamil yang menanti kelahiran cahaya mata. Membariskan ramai speaker-speaker hebat yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Antaranya Dr Maiza Tusimin, Dr Siti Sarah Aishah, Dr Tengku Puteri Zainab, Ustazah Fatimah Syarha, Encik Fhais Salim dan selebriti Ezzaty Abdullah. Jom daftar secara percuma di SINI!
Pelakon Fatin Afeefa mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman menyunatkan anak lelakinya, Muhammad Jibril ketika bayi itu baru berusia dua hari.
Perkongsian tersebut dibuat menerusi Threads apabila Fatin berkongsi pandangannya selepas seorang individu meluahkan rasa bimbang dan tidak sanggup melihat bayi yang masih kecil menjalani prosedur berkhatan.
Bagi Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin, keputusan untuk mengkhatankan anaknya seawal usia dua hari merupakan antara keputusan terbaik yang pernah dibuat dalam urusan membesarkan anak.
Menurut pelakon berusia 32 tahun itu, pengalaman menjaga anaknya selepas bersunat tidaklah sukar seperti yang dibayangkan sesetengah ibu bapa.
“My baby umur dua hari dah sunat, best decision ever! Senang sangat jaga.
“Tiada pantang. Dia minum susu kemudian tidur.
“Sekarang dah 2 tahun, tiada masalah dengan kencing kotor,” kongsinya.
Perkongsian Fatin Afeefa itu nyata mendapat perhatian ramai, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang masih berkira-kira mengenai waktu sesuai untuk menyunatkan anak lelaki.
Tambah pelakon filem Tentang Bulan itu lagi, proses penyembuhan Muhammad Jibril berjalan dengan sangat lancar tanpa sebarang gangguan.
Sebagai ibu, keputusan melibatkan kesihatan anak pastinya bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi apabila ia melibatkan bayi yang masih terlalu kecil dan memerlukan penjagaan penuh daripada ibu bapa.
Namun bagi Fatin Afeefa, pengalaman tersebut memberi kelegaan kerana anaknya mudah dijaga selepas prosedur berkhatan dan kini membesar dengan baik.
Walaupun pengalaman Fatin boleh dijadikan perkongsian berguna, ibu bapa tetap disarankan mendapatkan pandangan doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menyunatkan anak pada usia bayi.
Ini kerana setiap bayi mempunyai keadaan kesihatan yang berbeza. Pemeriksaan doktor penting bagi memastikan bayi sesuai menjalani prosedur tersebut dan berada dalam keadaan selamat.
Penjagaan selepas berkhatan juga perlu diberi perhatian. Antaranya memastikan kawasan luka sentiasa bersih, menukar lampin dengan kerap serta memantau tanda-tanda seperti bengkak, kemerahan melampau atau bayi kelihatan tidak selesa.
Jika terdapat sebarang perubahan yang meragukan, ibu bapa perlu segera mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada pihak perubatan.
Untuk rekod, Fatin mendirikan rumah tangga dengan usahawan Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai pada Disember 2022.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Jibril.
Fatin juga mempunyai dua orang anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia.
Perkongsian Fatin Afeefa ini sedikit sebanyak membuka ruang perbincangan dalam kalangan ibu bapa mengenai pengalaman menyunatkan anak ketika masih bayi. Apa pun pilihan yang dibuat, kesihatan, keselamatan dan keselesaan anak tetap menjadi keutamaan.