
Manisnya sebuah perkahwinan, jika ia sentiasa disuburi dengan ayat-ayat cinta walaupun anak sudah besar. Hubungan utuh dan saling faham memahami dan bertolak ansur menjadi ikatan kukuh sebuah perkahwinan.
Memang ada pasangan awal-awal usia perkahwinan punyalah romantik, tetapi bila sudah ada anak seorang segalanya hilang. Nikmat rumahtangga andai tidak dibaja akan layu akhirnya. Kita suburkan hubungan suami isteri agar cinta kasih sayang tu, sentiasa bercambah. Ini barulah relationship goal.
1) Kejutan: Siapa yang tak sukakan kejutan. Tak kiralah lelaki atau perempuan tentunya sangat menghargai kejutan daripada pasangan. Tak perlu mahal, sekeping kad dengan ayat romantis pujian melambung bersama sekotak coklat yang dihantar ke tempat kerja suami sudah memadai.
2) Makanan Kegemaran: Sekali sekala masakkan makanan kegemarannya. Kalau tak pandai, inilah masanya belajar daripada mak mertua anda. Mula-mula mungkin tidak sedap, tak kena dengan selera Encik Abang, tetapi lama-kelamaan mesti sedap. Practice makes perfect.
3) Manis Muka & Sambut Di Pintu: Walaupun penat dengan kerja di pejabat, rumahtangga dan anak-anak, carilah masa bersiap berwangi sebelum suami pulang. Siapkan air secawan dalam peti sejuk dan sambut suami dengan senyuman. Salam dan beri ciuman di pipinya kanan dan kiri. Berikan air dan biarkan suami berehat seketika. Bukannya sambut suami dengan leteran panjang. Rimas tau kak kalau asyik membebel.
4) Bersyukur: Bersyukur kalau dapat suami yang rajin membantu di dapur atau menjaga anak. Tetapi selalunya apa yang dibuat suami memang tak sesempurna mana. Lipat baju dahlah senget, tak sama pula tu. Masak lebih minyak, buat air pun tak sedap dan bila pakaikan anak baju selalunya tak matching dengan seluar. Sabar! Layankan je kak. Kalau tak suka, senyap-senyap pergi betulkan. Tak perlu membebel. Untung dah, bila suami hendak membantu kita kan? Kalau nak tegur pun, carilah masa yang sesuai dan tegur dengan cara paling lembut dan manja. Barulah Encik Abang tak jadi marah.
5) Jangan Membantah: Dapat isteri yang kuat melawan memang mencabar ego. Tahulah sama-sama bekerja untuk meningkatkan ekonomi keluarga tetapi dah namanya suami, memanglah kena dihormati. Usah ditambah minyak dalam api yang sedang membara. Seeloknya diam dan cari masa sesuai untuk menerangkan keadaan sebenar atau meminta maaf.
6) Cari Masa Bersama: Tak perlu sampai tinggalkan anak dengan mertua semata-mata untuk bercuti bersama suami. Cukuplah sedikit usikan manja sebelum tidur dan sejurus bangun tidur, gurau senda, berkepit sambil menonton drama TV atau mandi bersama pada hujung minggu. Lupakan sekejap hal anak atau kerja, dan beri tumpuan pada pasangan di depan mata.
Sumber: www.rojakdaily.com
Bila Anak Kaki Conteng, Habis Semua Dinding Dilukisnya. Nak Bersihkan Tu, Ibu Ni Akan Lakukan 2 Benda Ni!

Melihat dinding rumah yang diconteng dengan pelbagai jenis ‘hasil seni’ anak-anak kita, tidak dinafikan memang boleh membuatkan ibu ayah jadi stres. Pun begitu, orang kata anak-anak yang suka menconteng dinding ini fikiran mereka lebih kreatif. Betulke?
Alangkah baiknya andai kreativiti anak-anak kita ini diluahkan di atas kertas. Mesti kita boleh bingkaikan dan tidaklah sakit mata dan sakit hati yang kita rasa setiap kali terlihat dinding rumah yang comot dengan pelbagai lakaran tersebut.
Jadi apa cara mudah untuk bersihkan dinding yang diconteng? Tak mungkin perlu kerap dicat. Kosnya bukan murah dan untuk itu apa kata ikut seperti mana yang dilakukan oleh puan Irdawaty ini. Jom semak perkongsiannya.
Saya sudah 6 tahun mendiami rumah ini. Asalnya sewa dan selepas 2 tahun menyewa kami beli rumah ini. Saya ada anak 3 orang, yang sulung umurnya 5 tahun, kedua umur 2 tahun lebih dan ketiga umur baru 1 tahun lebih.
Anak sulung saya ni kaki conteng. Pada awalnya saya tegur dan marah bila dia begitu. Kemudian saya cuba pukul tangan setiap kali nampak anak cuba conteng. Lepas tu saya bagi kertas A4 dan belikan buku kosong sampai 4 biji tapi semua tak berkesan. Selalu dia conteng curi-curi masa saya sibuk di dapur. Suami tak kisah anak conteng sebab katanya budak-budak memang macam tu.
Kiranya saya dah usaha macam-macam, dah larang dah marah dah pukul dah belikan buku banyak-banyak still dinding juga kegemaran. Sampai satu tahap saya biarkan saja tak daya nak cara dah. Sekali dia berpesta dengan adik-adik dan habis satu rumah diorang conteng.
Thanks to my anak-anak disebabkan diaorang la mak semangat dan habis satu rumah mak sental.
Saya guna ubat gigi dan span basah. Untuk soda bikarbonat saya campurkam sedikit air. Untuk contengan yang degil contoh guna pen permanent marker saya guna ubat gigi atau soda dan gosok dengan berus gigi. Kena sental kuat sikit.
Ada orang boleh tahan tengok dinding berconteng. Saya tak boleh la. Pening kepala. Rumah biasa saja. Yang penting selesa dan selamat untuk keluarga.
Saya suka mengemas. Terapi minda.
sumber : Irdawaty Kizz via Deco Rumah Ku Syurga Ku
Keajaiban Surah Yasin, Dah Amal Baru Tahu. Wanita Ni Kongsikan Kisah Luar Biasa!

Lazimnya kita sering mendengar, orang dulu-dulu bila tiba malam Jumaat akan membaca surah Yasin. Jika tidak dibaca beramai-ramai di surau, pasti akan dibaca secara sendirian di rumah. Tidak pun surah yasin akan dibaca ketika majlis-majlis tahlil.
Pun begitu, tahukah anda sebenarnya membaca surah Yasin ini tidak hanya dikhususkan pada hari-hari tertentu, bahkan adalah lebih diamalkan dalam kehidupan harian.
Melalui perkongsian daripada Yusra Idham di akaun fbnya berkenaan satu kisah amalan membaca yasin wajar untuk kita jadikan panduan. Ini perkongsian penuh daripadanya:
Dulu masa arwah Abah ada, Mak selalu pesan.
“Nak Abah sihat, jangan tinggal Yasīn setiap pagi. Amal dan doa moga Abah diberi kesihatan yang baik.”
Masa tu, amal jer sebab sayang Abah. Nak sangat Abah kembali macam biasa. Gelak-gelak, melawak, ceria, boleh jalan-jalan.
Saya tak pernah tahu apa kelebihan baca Surah Yasīn setiap pagi. Hingga kakak saya Suwaidah Idrus syorkan baca Surah Yasīn. Kebetulan saya memang futur waktu tu dan rasa down sangat-sangat. Beliau lah yang menceritakan kelebihan-kelebihan baca Surah Yasīn dan keajaiban yang berlaku kepada beliau setelah mengamalkan surah ini.
Dia kata, “duk jauh dengan family elok amal surah Yasīn. Nak apa, niat jer sambil baca Surah ni. In shaa Allah, Allah maqbulkan.”
Ternyata setelah bertahun-tahun saya amalkan, Alhamdulillah satu persatu Allah makbulkan.
Antaranya, walaupun saya selalu mohon pada Allah moga Abah kembali sihat, dalam masa yang sama saya juga mohon untuk Allah beri kesempatan untuk saya berkhidmat untuk Abah.
Dan Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya, walaupun baru jer balik cuti tapi saya sempat untuk berkhidmat hingga nyawa abah yang terakhir.
Beberapa doa yang lain saya mohon pada Allah, Allah makbulkan.Walaupun lambat, Alhamdulillah saya perolehinya.
Ayuh sahabat. Saya nak sangat ajak sahabat-sahabat sama-sama amalkan surah yasīn di awal pagi sebagai permulaan sebelum kita melakukan sesuatu.
In shaa Allah biiznillah jika niat kita baik, Allah akan bantu.
Petikan ini dari buku #DiaAturKitaAkur hasil karya cikgu Khairy Tajudin.
Ini pula jawapan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan secara lebih detail tentang kelebihan membaca surah Yasin.
Berdasarkan soalan di atas, membaca surah Yasin adalah satu ibadah dan mendapat pahala bagi sesiapa yang membacanya kerana ia merupakan satu surah daripada surah-surah di dalam al-Quran. Selain itu, hadith Nabi SAW juga menunjukkan bahawa sesiapa yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang besar. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi, no. hadith 2835]
Hadith berkaitan kelebihan membaca Yasin
Terdapat sebuah hadith yang dinilai sahih oleh Ibn Hibban walaupun status menjadi perselisihan oleh para ahli hadith, namun Ibn Hibban meletakkan hadith ini di dalam kitabnya Sahih Ibn Hibban. Daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ غُفِرَ لَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akandiampunkan dosanya”. [Riwayat Ibn Hibban, no. hadith 2574]
- Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ لِكُلِّ شيءٍ قَلْبًا ، وَإنَّ قَلْبَ الْقُرْآنِ ( يس ) ، مَنْ قَرَأَهَا فَكَأنَّما قَرَأَ القُرْآنَ عَشرَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran”. [Riwayat al-Tirmizi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 2812 dan riwayat al-Darimi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 3282]
Hukum hadith
- Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadith ini gharib. [Lihat: Sunan al-Tirmizi, no. hadith 2812]
- Imam al-Mizzi dan Imam al-Zaila’iy menaqalkan pendapat al-Tirmizi yang menyatakan salah seorang daripada perawi di dalam hadith ini adalah majhul iaitu Harun Abu Muhammad. Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar juga berpendapat sedemikian.
- Imam Ibn Kathir menyatakan tidak sahih disebabkan sanadnya dhaif (lemah).
- Daripada Ubaiy bin Ka’ab, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ يَس يُرِيدُ بِهَا اللهَ ؛ غَفَرَ اللهُ لهُ ، وأُعْطِيَ مِن الأَجْرِ كَأنَّما قَرَأَ القُرآنَ اثْنَتَي عَشرَةَ مرَّةٍ . وأيُّما مَرِيضٍ قُرِئَ عِنْدَه سُورَةُ يس ؛ نَزَلَ عَلَيهِ بِعَدَدِ كُلِّ حَرْفٍ عَشرةُ أَمْلَاكٍ ، يَقُومُونَ بَيْنَ يَدَيْهِ صُفُوفًا ؛ فَيُصَلُّونَ ويَسْتَغْفِرُونَ لهُ ، وَيَشْهَدُونَ قَبْضَهُ وَغَسلَهُ ، وَيتَّبِعُونَ جَنَازَتَهُ ويُصَلُّونَ عَلَيهِ ، ويَشْهَدُونَ دَفنَهُ . وأيُّما مَرِيضٍ قَرَأَ سُورَةَ يس وَهُوُ فِيْ سَكَرَاتِ الموتِ ؛ لَمْ يَقبِضْ مَلكُ الموتِ رُوحَهُ حَتَّى يَجيئَهُ رِضْوَانُ خازِنُ الجنَانِ بِشَربَةٍ مِنَ الجنَّةِ ؛ فَيَشْربُها وَهُوَ عَلَى فِرَاشِهِ ، فَيَمُوتُ وَهُوَ رَيَّانُ ، وَلَا يَحْتَاجُ إِلَى حَوْضٍ مِنْ حِيَاضِ الأَنْبِيَاءِ ؛ حَتَّى يَدْخُلَ الَجنَّةَ وَهُوَ رَيَّانُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin kerana Allah SWT akan diampunkan oleh Allah SWT akan dosanya, akan diberi ganjaran pahala seperti membaca al-Quran sebanyak 12 kali. Begitu juga, apabila dibacakan surah Yasin pada orang yang sakit, akan turun kepadanya setiap satu huruf sepuluh orang malaikat yang akan berdiri di sisinya dalam keadaan berbaris dan para malaikat tersebut akan selawat dan beristighfar kepadanya serta menyaksikan ketika nyawanya diambil dan akan memandikannya. Tambahan pula, akan mengikut jenazahnya serta sembahnyang ke atasnya dan menyaksikannya ketika ditanam. Selain itu juga, apabila dibacakan surah Yasin ke atas orang yang sakit ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak akan diambil nyawanya oleh malaikat maut sehingga datang malaikat Ridhuan iaitu penjaga syurga dengan membawa minuman daripada syurga maka orang tersebut akan meminumnya ketika berada di atas katil maka dia pun meninggal dalam keadaan tenang dan orang tersebut tidak mengharapkan lagi telaga daripada telaga nabi-nabi sehingga dimasukkan ke dalam syurga dalam keadaan tenang (bahagia)”.
Hukum hadith
Syeikh al-Albani menghukum hadith tersebut adalah palsu. [Lihat: al-Silsilah al-Dhaifah, no. hadith 4636]
- Dikatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
“Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yasin dan rakaat kedua surah al-Mulk. Allah SWT jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima buku amalannya di tangan kanannya dan diberi kesempatan untuk membela 70 orang daripada ahli keluarganya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik”.
Hukum hadith
Kami tidak menjumpai asalnya. Ini kerana, asal di dalam ibadat adalah tawaqquf (terhenti) sehingga adanya dalil yang menceritakan akan hal tersebut.
Tarjih
Setelah kami melihat terhadap hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa kebanyakan hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin adalah dhaif (lemah) atau palsu. Walaupun begitu, kita sangat digalakkan dan dituntut untuk sentiasa melazimi dan membaca al-Quran tidak kira masa atau tempat, berdasarkan dalil umum yang terdapat di dalam al-Quran dan juga di dalam al-Sunnah al-Sahihah.
Penutup
Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan al-Quran serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara lidah kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.
sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
“Apa Yang Kita Lakukan Sekarang Adalah Bekalan Untuk Hari Tua.” Lisdawati Kongsi Rahsia Kekal Anggun & Awet Muda Di Usia 40-An.

Memasuki usia 40-an pada tahun ini, pelakon cantik manis yang juga ibu kepada 4 cahaya mata ini masih tetap anggun dan awet muda. Bibirnya tidak lekang dek senyuman.
Menurut Lisdawati lagi, sungguhpun dirinya bergelar isteri dan juga ibu, bahkan penampilan juga sudah agak berubah, itu semua sedikit pun tidak memudarkan minatnya dalam bidang lakonan.
Dia yang baru melahirkan anak keempat mengakui pengalaman hamil di usia yang agak lewat, jelas ada perbezaan ketara daripada kehamilannya yang terdahulu.
“Kali ini saya hamil pada usia 40 tahun, memang berbeza dengan yang terdahulu. Dari segi tenaga terutamanya dan juga nak dapat balik bentuk badan yang asal seperti dahulu. hamil pada usia dah menjangkau 40-an ini banyak yang perlu dijaga.
“Jadi, saya banyak jaga pemakanan dan melakukan senaman untuk kembalikan bentuk badan yang asal. Bagi saya mudah sahaja, apa yang kita lakukan sekarang adalah bekalan untuk hari tua, jadi penting untuk saya menjaga pemakanan saya dan yang sentiasa menjadi amalan adalah minum air kosong yang banyak.
“Saya memang tak boleh kalau tak minum air manis tapi apa yang saya lakukan adalah pastikan diri sentiasa berdisiplin untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari,” ujarnya lagi.
Muda dan jelita di usia 40-an
Walaupun sudah memasuki usia 40-an dan mempunyai empat orang anak, ibu kepada Nor Aini Farhana, Nor Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh ini tetap kelihatan muda dan jelita. Turut berkongsi rutin pemakanan yang diamalkan menurut Lisdawati, dia jarang makan ayam dan daging.
“Saya memang seorang yang jaga pemakanan. Saya memang jarang makan ayam dan daging. Dalam hidangan untuk saya sendiri atau keluarga, memang saya banyakkan sayuran terutamanya lobak merah. Anak-anak dan suami memang dah sedia maklum, kalau saya yang masak, lobak merah pasti ada dalam menu kami.
“Untuk makan malam pula, saya lebihkan sayuran dalam hidangan. Kalau ambil nasi dan lauk, separuh pinggan saya adalah sayuran. Saya pernah buat eksperimen dengan badan saya. Dua minggu saya tak jaga makan dan makan ayam setiap hari, hasilnya badan saya naik 4kg. Nak turunkan balik punyalah lama ambil masa. Sejak itu saya kurang makan ayam dan daging. Kalau nak makan protein, saya lebih memilih ikan dan juga makanan laut yang lain sebagai ganti.
“Bagi saya, paling penting adalah jaga pemakanan dan lakukan senaman. Kita sendiri tahu apa yang badan kita perlukan. Kalau nak diet pun boleh tapi jangan sampai paksa diri tidak makan dan sebagainya. amalkan pemakanan yang sihat dan jangan lupa bersenam itu yang paling penting,” ulasnya lagi.
Sikap panas baran berkurangan
Jelas Lisdawati lagi, dalam meniti usia bersama suami, pelbagai ujian dalam kehidupan yang melanda membuatkan mereka lebih muhasabah diri. Usai 8 tahun berkahwin, Fauzi mula menunjukkan perubahan positif dan sikap panas baran juga sudah berkurangan.
Malah hubungan mereka berdua juga bertambah baik ditambah dengan kehadiran empat orang cahaya mata yang melengkapkan kehidupan mereka di samping empat orang anak Fauzi yang lain menerusi perkahwinan terdahulu.
Tambah Lisdawati, dia sebenarnya kagum dengan anak-anak tirinya. Walaupun bersekolah di sekolah yang terletak di luar bandar, mereka dapat membuktikan bahawa mereka boleh berjaya walaupun tidak bersekolah di sekolah elit atau sekolah swasta seperti di bandar.
Kini anak sulung Fauzi sedang belajar di Universiti Malaya, manakala anak ketiganya baru sahaja menamatkan pengajian di INTEC sebelum menyambung lagi pengajian dalam bidang yang lebih tinggi.
Pendekatan untuk anak-anak
Turut berkongsi cara dalam mendidik anak-anak, jelas Lisdawati, dia dan suami sering beriadah dan menghabiskan masa bersama dengan anak-anak.
“Kami kalau berkumpul biasanya suka menonton filem-filem di televisyen bersama-sama. Dari situ saya dan suami akan kupas semula pengajaran yang boleh diperoleh daripada filem yang ditonton. Orang kata sambil berhibur secara tak langsung kami mengajar.
“Selain itu kami juga menjadi tempat mereka untuk bercerita apa sahaja tentang kehidupan dan juga masalah yang dihadapi. Jadi kawan dan pendengar setia untuk mereka adalah cara kami dekatkan diri dengan anak-anak.
“Saya dan Fauzi tak ada bantahan jika anak-anak nak ceburkan diri dalam bidang seni seperti kami. Tapi mereka kena lepas syarat dan cukup kuat untuk tempuhi ujian-ujian yang tak disangka-sangka.
“Kami akan ceritakan pahit manis sepanjang bergelar anak seni supaya mereka dapat gambaran sedikit sebanyak tentang itu. Kalau mereka rasa betul-betul kuat dan tegar untuk harungi semua itu, Insya-Allah kami tak ada halangan, semuanya terserah kepada anak-anak.