Berita

Meta Perkenal Akaun Khas Remaja, Bantu Ibu Bapa Kawal Penggunaan Instagram Dan Facebook Anak

Share

Meta memperkenalkan ciri baharu dikenali sebagai Teen Accounts bagi meningkatkan tahap keselamatan remaja yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan Facebook. Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif syarikat berkenaan dalam menangani kebimbangan ibu bapa terhadap penggunaan media sosial oleh golongan bawah umur.

Langkah tersebut memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama termasuk kawalan privasi akaun, sekatan komunikasi dengan individu tidak dikenali serta pengurusan tempoh masa penggunaan aplikasi. Melalui pendekatan itu, Meta berharap dapat mewujudkan pengalaman digital yang lebih selamat dan terkawal untuk pengguna remaja.

Akaun remaja ditetapkan sebagai peribadi secara automatik

Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah tetapan akaun remaja yang secara automatik ditetapkan sebagai akaun peribadi (private

). Dengan tetapan tersebut, remaja perlu meluluskan permintaan pengikut baharu sebelum seseorang dapat melihat kandungan yang dimuat naik atau berinteraksi dengan mereka.

Bagi remaja berusia 13 hingga 15 tahun, sebarang perubahan daripada akaun peribadi kepada akaun awam hanya boleh dilakukan dengan kebenaran ibu bapa. Sementara itu, pengguna berusia 16 hingga 17 tahun masih boleh mengekalkan tetapan privasi sedia ada, namun bagi akaun baharu, sistem akan menetapkan akaun tersebut sebagai akaun peribadi secara automatik bagi melindungi privasi pengguna remaja.

Sekatan mesej dan interaksi pengguna

Selain itu, Meta turut memperkenalkan sekatan komunikasi bagi mengurangkan risiko gangguan atau interaksi dengan individu tidak dikenali. Remaja hanya boleh menerima mesej daripada pengguna yang mereka ikuti atau mempunyai hubungan dengan mereka di platform tersebut.

Pada masa sama, hanya individu yang diikuti dibenarkan menandakan nama, menyebut atau menggunakan kandungan mereka untuk tujuan tertentu seperti remix pada Reels. Bagi pengguna berusia 13 hingga 15 tahun, perubahan kepada tetapan yang lebih terbuka memerlukan kelulusan ibu bapa.

Kawalan masa penggunaan aplikasi

Dalam usaha menggalakkan penggunaan media sosial secara lebih sihat, Teen Accounts turut dilengkapi ciri peringatan had masa penggunaan aplikasi. Remaja akan menerima notifikasi selepas menggunakan aplikasi selama satu jam sehari sebagai peringatan untuk berehat daripada skrin.

Selain itu, fungsi sleep mode boleh diaktifkan antara pukul 10 malam hingga 7 pagi, yang akan mematikan notifikasi sepanjang tempoh tersebut. Sekiranya akaun berada di bawah pengawasan ibu bapa, kawalan tersebut boleh diperketat termasuk mengehadkan sepenuhnya penggunaan aplikasi pada waktu tertentu.

Head of Public Policy, Malaysia & Brunei, Meta.

Ciri keselamatan tambahan dalam mesej peribadi

Meta juga menambah baik ciri keselamatan dalam mesej peribadi bagi membantu remaja mengenal pasti akaun yang berpotensi mencurigakan. Antaranya termasuk paparan maklumat mengenai tarikh akaun tersebut diwujudkan serta tip keselamatan untuk mengelakkan risiko penipuan dalam talian.

Pada masa sama, satu fungsi baharu turut diperkenalkan yang membolehkan pengguna menyekat dan melaporkan akaun secara serentak dalam mesej peribadi. Langkah itu diharap dapat memudahkan tindakan terhadap akaun yang melanggar garis panduan komuniti serta membantu pihak Meta menilai dan mengambil tindakan lanjut dengan lebih cepat.

Melalui pengenalan Teen Accounts, Meta berharap dapat memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa penggunaan media sosial oleh remaja dapat dikawal dengan lebih baik, sekali gus mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk generasi muda.