Minat mendaki dikongsi bersama anak: Ibu ini buktikan ada anak kecil bukan halangan. Maizatul Hazra Yahaya, 39 tahun, bukan mahu dilihat sebagai ibu yang cuai atau mengambil ringan soal keselamatan, sebaliknya beliau hanya ingin menyemai minat terhadap aktiviti mendaki bersama anak tersayang, Nur Nayla Ardani Muhamad Arham.

Minat Mendaki Dikongsi Bersama Anak: Ibu Ini Buktikan Ada Anak Kecil Bukan Halangan

Menurut Maizatul, yang juga seorang suri rumah sambilan serta pengusaha makanan sejuk beku di Gombak, Selangor, semua langkah keselamatan telah diteliti sebelum membawa Nayla, yang kini berusia tiga tahun, menyertai aktiviti mendaki.

“Sebelum membawa Nayla, saya pastikan semua aspek keselamatan diperiksa. Saya tidak bertindak sembarangan atau ambil mudah,” katanya yang merupakan peminat tegar aktiviti mendaki sejak dahulu lagi.

Sebelum kehadiran anak sulungnya itu, Maizatul sudah giat mendaki pelbagai gunung dalam dan luar negara. Bahkan semasa hamil, beliau masih aktif mendaki sehingga kandungannya mencecah tujuh bulan.

Minat Mendaki Dikongsi Bersama Anak: Ibu Ini Buktikan Ada Anak Kecil Bukan Halangan

“Saya sering berbual dengan Nayla dalam kandungan, niat untuk mendaki bersamanya setelah dia lahir,” ujarnya.

Hasrat tersebut menjadi kenyataan apabila Nayla berusia tiga bulan. Ketika itu, Maizatul membawa bayi kecil itu mendaki Bukit Batu Puteh di Port Dickson. Sepanjang pendakian tersebut, Nayla tidur lena dalam ‘carrier’ tanpa sebarang masalah.

Maizatul, isteri kepada Muhamad Arham Mohd Anuar, menegaskan setiap pendakian bersama anak dilakukan dengan persiapan rapi. Ubat-ubatan dan keperluan anak diutamakan, malah beg dibawa hampir penuh hanya dengan barang-barang milik Nayla.

“Setakat ini, Nayla tidak pernah meragam. Dia malah kelihatan seronok, tenang dan selesa dalam kendongan, seolah-olah menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan,” jelasnya.

Kini apabila Nayla sudah boleh bercakap, pendakian menjadi lebih meriah kerana dia suka bertanya dan memberi reaksi terhadap persekitaran.

Ads

Suaminya turut menyokong minat ini, meskipun atas kekangan kerja, tidak semua pendakian dapat dilakukan bersama. Ada kalanya, Maizatul mendaki bersendirian atau bersama rakan-rakan.

Minat Mendaki Dikongsi Bersama Anak: Ibu Ini Buktikan Ada Anak Kecil Bukan Halangan

“Sekarang saya lebih bersemangat kerana ada teman kecil mendaki. Nayla kelihatan lasak dan sesuai dengan persekitaran hutan,” katanya, mengakui tetap ada rasa risau terutama mengenai kesihatan dan keselamatan anak.

Namun segala persiapan dilakukan dengan penuh teliti, dan Maizatul sentiasa bertawakal kepada Allah serta berdoa semasa setiap pendakian.

Ads

Sehingga kini, pelbagai puncak telah ditawan mereka berdua termasuk Gunung Kinabalu (Sabah), Gunung Kerinchi (Indonesia), Gunung Angsi (Negeri Sembilan), Gunung Karunai (Perak) dan Gunung Ulu Semangkok (Selangor).

Dalam memastikan dirinya sentiasa cergas, Maizatul turut mengamalkan rutin senaman harian selama dua jam yang merangkumi regangan dan latihan fizikal.

“Mengendong anak semasa aktiviti luar membantu menguatkan otot. Ini penting bagi mendaki kerana memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi,” katanya, sambil menambah bahawa beliau turut menjaga pemakanan dan mengamalkan diet tinggi protein.

Apa yang dilakukan Maizatul membuktikan bahawa ibu yang mempunyai anak kecil juga mampu meneruskan minat dan hobi, asalkan dilakukan dengan tanggungjawab dan persediaan yang teliti.

Minat Mendaki Dikongsi Bersama Anak: Ibu Ini Buktikan Ada Anak Kecil Bukan Halangan

Ads

Namun, beliau mengingatkan bahawa setiap anak itu berbeza dari segi ketahanan dan kesesuaian. Oleh itu, ibu bapa perlu menilai kemampuan diri dan anak terlebih dahulu sebelum membawa mereka menyertai aktiviti seperti mendaki.

“Hobi ini memang menyeronokkan, tapi perlu dilakukan dengan penuh hati-hati seperti mana-mana aktiviti lasak lain,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Baca artikel lain juga: Lelaki Bawa Anak Jadi Peneman Daki Bukit, Hana Langsung Tak Meragam, Menangis

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI