Sebelum ini kita dikejutkan dengan berita pelakon, Fasha Sandha yang mengalami kecederaan di bahagian matanya ketika menjalankan penggembaran pada minggu lalu.
Setelah beberapa hari, akhirnya aktress jelita ini munculkan diri di sosial media, iaitu di laman Instagram dengan mengucapkan kata syukur dan terima kasih kepada ibunya, Hatijah Tehman atas doa-doa yang tidak putus dizahirkan buatnya sepanjang berada dalam kesakitan itu.
“Assalamualaikum. Kali ini menaip menggunakan sebelah mata. Mujur mata kanan masih sihat sempurna. Pertama kali, syukur Alhamdulillah, terima kasih buat Mama. Mungkin kerana kebaikan dan doa-doa mama, Allah melindungi mata kanan saya.
“Juga saya pasti doa daripada suami, anak-anak saya, keluarga, peminat, sahabat, jiran-jiran dan kucing-kucing peliharaan saya. Saya terus kuat.
“Saya tidak pernah rasa tertekan. Tidak mahu menyalahkan sesiapa. Saya anggap Allah ingin saya berehat seketika. Ya, lapan hari yang begitu panjang buat saya” tulisnya.
Malah, Fasha yang sering memegang watak air mata ini mengakui bahawa ini pertama kali dalam hidupnya duduk di wad akibat kecederaan.
Ads
“Pertama kali admitted di hospital kerana cedera. Pertama kali menggunakan personal medical card dan personal insurans yang saya ambil sejak tahun 2004.
“Saya tak pernah bermalam di hospital kecuali ketika bersalin. (Itu pun hanya satu malam),” jelasnya di ruangan kapsyen.
Jelas Fasha lagi, dia akur dan reda atas ketentuan yang Maha Berkuasa atas kemalangan yang telah berlaku ini, namun diselubungi rasa bersalah atas tanggungjawab yang terkendala.
Ads
“Iya, ‘benda nak jadi’. Apa kita boleh buat.. Kita cuba sehabis baik, kita buat yang terbaik.. tapi kemalangan tetap terjadi. Dalam hati saya hanya fikirkan tanggungjawab yang masih tertangguh.
“Malah pada hari kejadian, saya hanya fikir ingin habiskan tugas. Tapi Fieza, Encik Along Kamaludin dan doktor tidak mengizinkan. Dikala kesakitan, baru kita sedar siapa yang betul-betul sayangkan kita.
“Kepada yang bertanya, keadaan saya ketika ini fizikal luar mata dan bengkak telah beransur pulih. Tulang mata kiri saya patah, ada tisu, muscle dan darah beku.
“Walau begitu, saya tetap bersyukur mata kanan masih sihat sempurna dan banyak lagi nikmat kebaikan yang diberikan pada saya daripada ujian ini.. Saya dah boleh discharge hari ni Alhamdulillah,” tambahnya.
Sebelum ini, Fasha dilaporkan mengalami kecederan di mata kiri sehingga tulang patah ketika menjalankan penggambaran drama TV3 Anak Tuan bersama pelakon gandingan, Azhan Rani.
Sumber : Instagram Fasha Sandha
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sejak kemelut dengan balu abangnya, Allahyarham Abam yakni Nor Hidayah Mohd Ali, Pelawak Ali Puteh mendedahkan dirinya melalui detik sukar dan hanya mampu bertahan dengan menggunakan duit simpanan sendiri untuk menyara keluarga.
“Sejak awal lagi kes (dengan Nor Hidayah) mendapat perhatian, memang banyak job dibatalkan. Saya juga tidak menerima banyak tawaran kerja sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Pada Ramadan lalu, saya terima tawaran untuk muncul program mengaji Al-Quran di mana perlu membaca beberapa surah Al-Quran menerusi panggilan video.
“Itu saja tawaran diterima dalam tempoh itu. Saya dapat token bayaran sebanyak RM300.
“Saya sebenarnya bergantung pada duit simpanan sendiri untuk menyara keluarga dan perlu berjimat cermat kerana ada anak sedang membesar.
“Namun, saya bersyukur segala kelengkapan masih cukup.” katanya kepada media.
Dalam pada itu, bapa kepada dua cahaya mata juga terpaksa mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 menerusi pengeluaran khas KWSP yang diluluskan kerajaan untuk kegunaan modal bisnes.
Saya jadikan modal untuk perniagaan daging. Kalau nak diikutkan, jumlah RM10,000 itu tidak mencukupi, namun, saya buat ikut kemampuan saya.
Kali terakhir saya mencarum adalah pada 2009 ketika saya masih bertugas sebagai pengawal keselamatan suatu ketika dahulu.
Saya tidak mahu salahkan sesiapa sebaliknya meletakkan semua kesalahan kepada diri sendiri.
Mungkin ini adalah balasan Allah terhadap dosa-dosa saya yang dahulu. Allah jentik saya dengan ujian sebegini.
Justeru, Ali memberitahu dirinya bersedia untuk bersemuka dengan Nor Hidayah bagi menyelesaikan segala kekeruhan antara mereka.
Namun, Ali menolak seandainya ada pihak yang sengaja mahu menjadikan kisah mereka berdamai sebagai bahan untuk tontonan umum.
“Ada stesen televisyen mahu temukan kami, tapi bagi saya jika nak berdamai tak perlulah diberitahu pada khalayak. Biar saya lakukan sendiri.
“Dia boleh berjumpa saya untuk selesaikan segala masalah berkaitan dokumen bagi tuntutan faraid” ujarnya.
Pada Mei 2020, Nor Hidayah telah memfailkan saman fitnah terhadap Ali berhubung kenyataan di akaun Instagram yang menggambarkan dia seorang individu tidak bertanggungjawab.
Selepas dua tahun, mahkamah memutuskan Nor Hidayah menang kes tersebut dan Ali dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM60,000.
Untuk rekod, Abam telah meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
Webinar Aku Tak Serik Bersalin merupakan webinar kehamilan dianjurkan untuk para ibu hamil yang menanti kelahiran cahaya mata. Membariskan ramai speaker-speaker hebat yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Antaranya Dr Maiza Tusimin, Dr Siti Sarah Aishah, Dr Tengku Puteri Zainab, Ustazah Fatimah Syarha, Encik Fhais Salim dan selebriti Ezzaty Abdullah. Jom daftar secara percuma di SINI!
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Mendidik anak-anak bukanlah semudah yang disangkakan. Ada sesetengah orang beranggapan mak-mak zaman dahulu tiada masalah seperti zaman sekarang. Tak kurang yang membuat perbandingan akan hal ini.
Kenapa mak dulu boleh jaga 10 anak, mak sekarang anak baru dua dah kecoh?
Inilah yang kita semua kena faham dulu sebelum keluarkan statement yang bukan-bukan. Jom baca perkongsian oleh Yaty Ishak tentang hal ini.
Saya paling anti kalau kenyataan ini.
‘Eleh, makcik dulu anak ramai boleh je jaga, ko baru tiga dah macam tak cukup tangan?’
Hmmmm..dalam sedar tak sedar, zaman dulu dan zaman sekarang sangat berbeza.
Zaman saya kecil-kecil dulu. Sekitar umur 5 – 6 tahun camtu, saya sangat bebas ke sana sini. Naik basikal, masuk kebun getah cari buah getah nak main congkak. Kadang round satu kampung dengan jiran-jiran dan adik-beradik.
Keluar selepas asar, sebelum Maghrib balik. Keluar main dengan anak jiran lelaki, main kejar-kejar.Seronok! Balik rumah dengan penat. Selepas makan dah tertidur sendirinya.
Mak? Buat kerja rumah di rumah. Ayah? Pergi dan balik kerja dengan senang hati. Kenapa mak boleh jaga sepuluh anak?
Sebab anak-anak tak buat sepah dalam rumah. Anak-anak tak bergaduh dalam rumah. Anak keluar main dengan jiran kampung sebelah? Mak tak pernah risau. Mak tak pernah susah-susah dan resah.Sebab dia tau, penat main, anak-nak confirm balik makan.
Anak perempuan dia main kejar-kejar dengan anak lelaki jiran? Mak tak pernah risau. Sebab anak perempuan dan anak jiran memang main kejar-kejar semata-mata.
Dulu kedai runcit banyak dekat kawasan rumah. Pasar basah pun dekat. Mak bagi RM20 pastu bagi list barang, anak perempuan dia kayuh basikal pergi pasar, tunjuk list, orang kedai bagi barang. Harga pun harga betul, kadang siap bagi free lada kering la, bawang merah lebihlah.
Mak senang ada pembantu. Tak payah mak susah-susah nak pergi pasar. Zaman sekolah pun best. Pagi ayah hantar, balik pandai balik sendiri naik bas henti-henti. Kadang ada duit lebih, ambil prebet sapu. Kadang siap tertidur dalam kereta,tapi pakcik perebet kejut je, adik..sampai rumah dahni!
Hidup tenang. Senang. Sedar-sedar 10 orang anak mak dah besar.
Tapi itu zaman mak dulu. Zaman mak sekarang dah lain.
Anak nak keluar main sendiri depan rumah risau sangat. Kereta banyak, motor banyak. Anak pulak baru belajar kayuh basikal, kadang jatuh kadang terlajak. Mak sibuk nak masak lagi, maka terpaksa suruh anak main dalam rumah. Nak biar main kat luar, risau!
Maka, bila dalam rumah, mak stress. Anak sepahkan mainan, main elok-elok 5 minit pastu berebut dengan adik. Belum campur lagi bab anak kata dah bosan dengan mainan.
Mak nak anak bergaul dengan anak jiran. Tapi mak sekarang risau. Anak mak perempuan, anak jiran lelaki. Budak dulu-dulu naif. Tapi budak sekarang advance. Budak dulu-dulu kalau main kawin-kawin, setakat sanding duduk sebelah-sebelah je. Budak sekarang main kawin-kawin kadang memang ‘kawin’ terus. Tak ada akad nikah je. Akhirnya, mak tak dapat masuk dapur, mak nak pantau kat luar anak-anak ni bergaul macam mana.
Mak nak suruh anak pergi kedai zaman sekarang mak risau. Usahkan nak pergi kedai, anak main depan rumah pun bahaya. Orang jahat merata-rata. Sekali lagi, mak terpaksa suruh anak main dalam rumah. Sekali sekala bawa ke taman, tapi itulah, jeling mata tak pernah lepas. Risau.Risau. Risau. Makanya, mak jugaklah usung anak-anak pergi kedai, walaupun sekadar nak beli bawang merah 5 ulas.
Mak nak anak balik sekolah sendiri?Lagilah risau. Naik bas ada risiko, naik teksi ada risiko, kayuh basikal sendiri ada risiko. Mak risau. Maka, demi anak, mak jugaklah gagahkan diri ambil dan hantar anak sekolah. Loceng belum bunyi mak dah tercegat depan pagar sekolah, takut anak balik ikut orang ntah sape-sape.
Dengan rutin macam tu, bila mak nak ada masa di rumah? Anak kena pantau 24 jam depan mata. Paling mudah, anak-anak semua dalam rumah!
Mak dulu takde mainan dalam rumah, sebab anak main luar rumah. Rumah mak dulu bersih, clear,sebab mak tak payah fikir bab anak sepahkan.Mak tak risau anak kat luar. Mak tak risau anak hilang.
Mak sekarang? Anak dalam rumah pun orang intai lagi!
10 ANAK ZAMAN MAK DULU, DAH TAK SAMA DENGAN DUA ANAK ZAMAN SEKARANG.
Menjadi ibu bapa ini banyak cabarannya. Pelbagai ilmu keibubaan perlu diketahui.Perkongsian oleh puan NoorAfidahAbuBakar amat bermanfaat bersama dalam mendidik anak zaman yang mencabar ini dengan teknologi dan pengaruh internet tanpa had.
1. LUANGKAN MASA BERSAMA ANAK.
Disiplin berkait rapat dengan perhatian yang diberikan ibubapa kepada anak-anak.
Bagi ibubapa yang bekerja ‘shift’ atau bekerja luar kawasan atau anak tinggal di asrama, tiada alasan sekarang untuk tidak dapat meluangkan ‘masa’ bersama-sama dengan anak-anak. Teknologi semakin canggih sekarang ini dan teknologi menyediakan pelbagai medium untuk kita berhubung dengan anak-anak melalui video dan panggilan.
Sibuk mencari duit bukan lagi alasan.
‘Outstation’ bukan lagi penyebab hubungan yang renggang.
Terdapat juga ibubapa yang “present but absent” terutamanya dalam zaman gajet dan media sosial ini. ‘Technoference’ atau godaan teknologi mengurangkan lagi masa ibubapa yang sudah sememangnya kurang bersama anak-anak.
Bukan sahaja anak ketagih gajet, ibubapa juga tidak boleh meninggalkan gajet.
Ada ibubapa yang menjadi PERMISIF dengan anak kerana merasa bersalah tidak dapat meluangkan masa dengan anak. Mereka takut kiranya mereka tegas dan berkeras anak akan memberontak, anak akan kecil hati, anak akan lari kerana mereka tidak luangkan masa secukupnya.
Anak-anak ini menjadi besar kepala.
Ada juga ibubapa yang menjadi AUTORITARIAN, garang tanpa pertimbangan tidak bertempat kerana ingin membuktikan kepada sesetengah pihak yang dia sebenarnya ibubapa yang peduli, sedangkan dia tidak langsung faham keperluan anak kerana tidak pernah meluangkan masa.
Anak-anak ini memberontak
2. RUMAH PERLUKAN STRUKTUR DAN PERATURAN.
Ibubapa perlu TEGAS DAN KONSISTEN tentang waktu bangun anak, waktu tidur anak, waktu makan, waktu solat, waktu bermain, waktu belajar dan waktu bersama keluarga. Rutin yang sudah dibiasakan dari kecil inilah yang akan mendisiplinkan anak remaja agar tidak keluar malam berpeleseran tanpa haluan. Apabila dari kecil anak dibiarkan atau sering dibawa keluar malam-malam, maka siang atau malam tidak ada bezanya bagi anak.
Jika anak tidak biasa dari kecil dengan hidup berperaturan dalam rumah, maka di sekolah pun dia tidak tahu hidup berperaturan ataupun tidak kisah dan tidak peduli akan peraturan, tidak peduli kesan tindakannya terhadap orang lain.
Kata mereka
“Jika ibubapa saya di rumah pun tidak kisah, kenapa kamu harus kisah?” ataupun
“Ibubapa saya tahu apa yang saya buat, kenapa kamu peduli?”
Apabila anak mengikut peraturan di rumah, perlulah ada pujian dan ganjarannya.
Jika melanggar peraturan di rumah perlulah ada hukumannya.
Peraturan tanpa ganjaran dan hukuman hanyalah senarai yang kelihatan cantik di kertas dan tidak berupaya untuk membentuk tingkah laku anak.
3. DI MANA ADAB?
Banyak adab yang semakin terhakis dalam masyarakat hari ini. Perilaku yang tidak beradab, bahasa yang tidak beradab galak ditularkan dan menjadi kebanggan bagi sesetengah pihak.
Mereka yang lembut dan beradab di anggap lembik dan cengeng, sedangkan mereka yang tidak beradab tidak segan silu mengangkat diri mereka sendiri sebagai hero yang gagah dan pembela.
Bercelaru sungguh masyarakat kita.
Moto “Mati kubur lain-lain” dan “Ini antara saya dengan Allah” dalam konteks yang salah, kian menjadi amalan bagi orang dewasa dan juga remaja yang tidak segan silu memaparkan kehidupan yang tidak beradab dan tidak berakhlak di media sosial.
Walau teknologi berkembang sepesat mana sekalipun, walau ‘urban’ sekalipun diri kita ini, nilai dan adab harus terus ditanam dan dikekalkan dalam rumah. Anak-anak yang belum cukup akal mudah terpengaruh dengan pegangan yang sebegini apabila mereka melihatnya di televisyen dan media sosial.
Bertegaslah dengan adab.
Latih dan bimbing anak untuk menilai amalan yang beradab dan tidak beradab di persekitaran dan di media.
Jika kehidupan ibubapa sendiri penuh kesombongan dan tidak beradab sesama manusia, bagaimana kita mengharapkan agar adab itu ada pada kanak-kanak dan remaja kita?
4. HORMATILAH KANAK-KANAK DAN REMAJA.
Hormat adalah proses dua hala.
Hormat melibatkan orang dewasa menghormati kanak-kanak dan kanak-kanak menghormati orang dewasa.
Disiplin anak berkait rapat dengan rasa hormat anak kepada orang di sekelilingnya.
Dengar pendapat anak, dengar cerita anak, dengar luahan hati anak, dengar rasa tidak puas hati anak, dengar kegembiraan anak, dengar tentang kisah anak di sekolah, kisah anak di tadika, kisah anak di taska, kisah kawan-kawan anak, dan dengar untuk fahami tentang kesukaran dan kekurangan anak.
Kenapa ini penting?
Jika kita mendengar cakap anak, anak akan mendengar cakap kita.
MENDENGAR BUKANLAH MENURUT.
Jikalau anak-anak rasa dihormati oleh ibubapa dan orang dewasa di sekeliling, dia akan tahu bagaimana caranya untuk menghormati orang lain.
Anak yang tidak menghormati orang lain adalah anak yang tidak pernah dihormati. Dia hanya sering dikritik, disindir dikasari, diherdik, dicemuh, dimarah, dan diejek.
Itulah sahaja corak komunikasi dalam kehidupan seharian.
Dia memilih rakan dari kalangan anak-anak lain yang senasib dengannya juga sehingga wujudlah ‘herd mentality’ di mana masing-masing saling menyokong tindakan yang salah dan tidak baik.
5. ANAK PERLUKAN TANGGUNGJAWAB.
Berilah kerja rumah yang bersesuaian dengan usia anak, walaupun anak itu masih kecil.
Anak remaja perlu diberi tanggungjawab. Tanpa tanggungjawab, mereka akan hanya berkurung dalam bilik dengan gajet, dan dengan ‘earphone’ dan akhirnya keluar dengan kawan-kawan apabila kebosanan di rumah.
Apabila anak sudah remaja dan dewasa baru hendak disuruh itu ini, mereka tidak mahu, kerana mereka tidak biasa dilatih dari kecil.
Meminta anak membantu dengan kerja rumah akan membina hubungan yang rapat antara ibubapa dan anak-anak. Walaupun kita ada kudrat dan tenaga untuk melakukan sesuatu tugasan, minta tolonglah dengan anak-anak, beri arahan kepada mereka untuk membantu.
Anak yang tidak diberi tanggungjawab tidak akan faham erti tanggungjawab terhadap diri sendiri, terhadap keluarga, terhadap guru dan terhadap masyarakat. Mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri sehingga membawa kerosakan dan kemudaratan.
6. PANTAU KONTEN SKRIN ANAK.
Terlalu banyak bahan dan konten yang tidak sesuai di media dan internet yang mempromosikan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan adab masyarakat kita.
Pendedahan kepada konten di media akan menjadi asas disiplin dan tingkah laku kanak-kanak dan remaja. Jika anak-anak dibiarkan menggunakan gajet tanpa tapisan dan pemantauan, mereka akan menjadi sepertimana idola mereka yang ditonton, ditatap dan dikagumi saban hari.
Bahasa yang mereka gunakan juga ditiru sepertimana idola mereka, isyarat tubuh (gesture) juga seperti yang ditunjukkan oleh idola mereka, gaya hidup juga seperti yang diamalkan oleh idola mereka.
Jika positif perilaku idola mereka, maka positiflah perilaku anak-anak juga.
Ibubapa dan orang dewasa perlu menjadi idola yang baik bagi kanak-kanak dan remaja. Mereka memerhatikan kita dan mereka meniru kita.
“Jika orang dewasa boleh, kenapa kami tidak boleh?” soal mereka.
“Jika bahasa dan perangai orang dewasa yang kami lihat tidaklah baik, jadi kenapa kami dihukum jika bahasa dan perangai kami begitu?” soal mereka lagi.
Kemenjadian seorang anak bukanlah bergantung pada satu faktor sahaja. Semua faktor di atas berkait rapat antara satu sama lain dan semuanya terletak di bahu ibubapa sebagai guru dan pendidik utama anak-anak.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Sumber: FB Parent Connect
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di