
Murid tahun dua patah tulang hidung, retak tulang bahagian mata akibat dipukul rakan sekolah. Seorang murid lelaki Tahun Dua di sebuah sekolah di daerah ini mengalami kecederaan serius apabila tulang hidungnya patah dan tulang berhampiran matanya retak selepas didakwa dipukul beberapa rakan sekolah dalam kejadian pada 30 Julai lalu.
Ibu mangsa, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, berkata, dia menyedari insiden itu apabila anak keduanya pulang ke rumah sekitar jam 4 petang dalam keadaan hidung berdarah serta muka lebam.
Bimbang melihat keadaan anaknya, beliau segera membawa kanak-kanak tersebut ke sebuah klinik swasta. Hasil pemeriksaan X-ray mengesahkan tulang hidung mangsa patah.
“Anak saya pernah beritahu sering dibuli sebelum ini, tetapi saya tidak sangka sampai tahap begini.
“Dia diserang oleh sekumpulan murid, ada yang memegang tangan supaya dia tidak dapat lari, ada yang menolak dan menumbuk mukanya sehingga dia terjatuh, menyebabkan tulang hidung patah serta retak tulang di bahagian mata,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSNZ pada Rabu.
Rifka Amelia memaklumkan pihak klinik turut menasihatinya membuat laporan polis sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Hari ini anak saya telah menjalani rawatan di HSNZ untuk menyambung semula tulang hidung yang patah dan masih dalam pemantauan pihak hospital,” jelasnya.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada pertukaran kelas ketika sesi Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).
“Kebetulan anak saya dari kelas lain dan menumpang di kelas itu. Saya diberitahu anak saya telah merosakkan sarung meja di kelas tersebut sebelum dipukul oleh beberapa murid lain.
“Anak saya dipukul oleh beberapa murid dan ada antaranya tidak dikenal pasti kerana dari kelas lain. Untuk kes sarung meja rosak itu saya telah bayar RM15 untuk menggantikan sarung baru,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama anaknya cedera di sekolah. Pada Jun lalu, anaknya pernah dibaling batu oleh murid lain hingga cedera di bahagian mata, namun ketika itu beliau tidak membuat laporan polis.
“Sebelum ini, pada Jun lalu, dia pernah dibaling batu oleh murid lain, tetapi saya tidak membuat laporan polis, namun kali ini saya putuskan untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Saya tidak mahu ada lagi murid lain yang menerima nasib serupa dengan anak saya kerana sebelum ini telah banyak kes sebegini didakwa berlaku di sekolah ini,” ujarnya.
Tambahnya, pihak sekolah telah memanggil ibu bapa yang terlibat untuk berbincang pada Isnin lalu.
“Ada ibu bapa yang telah bertemu dan hantar mesej kepada saya untuk memohon maaf, namun saya difahamkan masih ada murid terlibat yang masih tidak diambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kes ini dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek.
“Kes ini telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Kes Zara Qairina: KPM Tempatkan Sementara Pengetua, PK HEM & Warden SMKA Tun Datu Mustapha Di JPN Sabah
Kes Zara Qairina, Keluarga Nafi Anak Terlibat, Sudah Berhenti Sejak Awal Tahun
Kes Zara Qairina: Laporan Bedah Siasat Ambil Masa, Paling Lambat Mungkin Dua Bulan- Peguam
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my