Nahas UPSI, ibu pelajar cedera alami komplikasi buah pinggang tahap lima. Di sebalik insiden menyayat hati melibatkan kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meragut banyak nyawa dan mencederakan puluhan yang lain, terselit kisah duka seorang penuntut, Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 21 tahun, yang berhadapan dengan ujian berganda.
Nahas UPSI, Ibu Pelajar Cedera Alami Komplikasi Buah Pinggang
Bukan sahaja mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu, malah sebaik sahaja selesai menjalani pembedahan pada tangan kirinya, Tuan Muhammad Adham menerima berita bahawa ibunya pula terpaksa dimasukkan ke hospital. Kedua-dua ibu bapanya pula merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Ibunya, Zunidah Ibrahim, 51, dimasukkan ke Hospital Besut pada 13 Jun lalu selepas mengalami komplikasi buah pinggang tahap lima, penyakit yang mula dikesan sejak tahun 2024. Beliau juga menghidap darah tinggi serta diabetes, menjadikan keadaannya lebih meruncing.
“Ketika saya baru selesai menjalani pembedahan di Hospital Taiping untuk memasukkan besi ke tangan kiri yang patah, dalam perjalanan balik ke kampung, abang saya maklumkan ibu telah dimasukkan ke hospital. Masa tu hati rasa gelisah sangat. Saya hanya fikir nak cepat sampai rumah dan lihat keadaan ibu,” kata Adham ketika ditemui di Kampung Alor Keladi, Besut.
Ads
Adham, anak bongsu daripada tiga beradik, mengalami kecederaan serius dengan 24 jahitan pada tangan kirinya. Jahitan itu dijangka dibuka pada 25 Jun ini. Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, beliau tetap berusaha melawat ibunya di hospital setiap kali mendapatkan rawatan susulan di Klinik Jerteh.
Lebih menyedihkan, bapanya, Tuan Adnan Nik Him, 60, turut mengalami kecacatan fizikal pada kaki dan kini menghadapi masalah penglihatan akibat katarak yang dialami sejak dua tahun lalu. Menurutnya, keadaannya kini sangat terbatas, malah beliau memerlukan bantuan adiknya untuk ke Perak selepas mendapat berita kemalangan anaknya.
“Saya ada masalah penglihatan, hampir tak nampak langsung, dan saya juga sukar bergerak. Bila dapat tahu Adham terlibat dalam kemalangan, saya hanya mampu berserah dan berdoa agar semuanya selamat. Ketika itu, hanya bapa saudaranya sahaja yang berada di Hospital Taiping untuk urusan kecemasan,” ujar Tuan Adnan.
Tuan Adli Nik Him, 42, iaitu bapa saudara Adham, memaklumkan bahawa kedua ibu bapa mangsa memiliki kad OKU dan menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Abangnya, kata beliau, bukan buta sejak lahir, tetapi penglihatannya semakin kabur akibat katarak yang tidak dibedah. Ibunya pula mengalami kecacatan pada bahagian mulut, menyebabkan pertuturannya agak sukar difahami.
“Walaupun mereka diuji dengan masalah kesihatan dan hidup dalam serba kekurangan, anak-anak mereka semuanya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti,” kata Tuan Adli. Menurutnya lagi, anak sulung keluarga itu sedang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), manakala anak kedua sedang menjalani latihan industri di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Ads
Tragedi yang berlaku pada 9 Jun lalu menyaksikan 15 pelajar UPSI terkorban manakala 33 lagi cedera selepas bas yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Tiga rakan Adham turut terkorban dalam kejadian tersebut, iaitu Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, Nurul Fatihah Abu Setaman, dan Nurul Izyanti Muhamad Azahar.
Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini, sumbangan atau pertanyaan boleh disalurkan dengan menghubungi Tuan Adli di talian 013-9757896. Bantuan anda amat dihargai bagi meringankan beban sebuah keluarga yang sedang berjuang dalam kepayahan.
Kolam takungan Taman Seri Alam pecah lagi, limpahan air masuk dalam rumah. Penduduk di Taman Seri Alam, Saujana Utama sekali lagi dikejutkan dengan kejadian kolam takungan pecah yang berlaku untuk kali ketiga pada awal pagi Rabu.
Kolam Takungan Taman Seri Alam Pecah Lagi, Limpahan Air Masuk Dalam Rumah
Insiden yang berlaku sekitar jam 5.30 pagi itu menimbulkan keresahan serta kemarahan dalam kalangan komuniti yang sudah sekian lama berdepan dengan masalah keselamatan dan kerosakan kediaman akibat kejadian serupa.
Menurut seorang penduduk, Mohamad Fairuz Jumain, air yang melimpah daripada kolam takungan tersebut dilihat memasuki beberapa rumah ketika beliau sedang menghantar anaknya ke sekolah pada waktu pagi.
“Ramai kawan saya tinggal di kawasan yang terjejas. Ini adalah kali ketiga mereka berdepan insiden macam ni,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Siti Rohani, pula mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan menutup terus kolam berkenaan, sebagaimana yang telah dicadangkan oleh penduduk sebelum ini.
“Kami kasihan tengok jiran-jiran. Ada rumah dah dinaiki air. Kami minta pihak berwajib kambus saja kolam tu. Menyusahkan penduduk,” katanya dengan nada kecewa.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana kejadian ini seolah-olah membuka kembali luka lama yang masih belum sembuh dalam kalangan penduduk kawasan itu.
Kejadian kedua yang berlaku pada Disember tahun lalu menyaksikan limpahan air setinggi 0.3 meter yang mengalir secara mengejut ke kawasan perumahan, sehingga disamakan oleh penduduk sebagai ‘tsunami kecil’.
Sebelum ini, Mohd Syukri Kamaruddin yang juga penduduk kawasan itu pernah menyuarakan kebimbangan terhadap struktur kolam yang dikatakan tidak stabil kerana tiada penggunaan ‘beam’ dan cerucuk asas.
Katanya, insiden kedua itu menyebabkan kerosakan yang agak serius kepada harta benda.
“Kejadian pertama berlaku pada tahun 2015, tapi ketika itu tidak begitu teruk — air cuma naik sekitar 0.1 meter.
“Tapi kejadian Disember tahun lepas lebih teruk, air naik mendadak dan penduduk langsung tidak sempat selamatkan apa-apa,” jelasnya.
Kini, seluruh komuniti sepakat menuntut agar kolam takungan itu ditutup sepenuhnya demi menjaga keselamatan dan ketenteraman mereka.
Cikgu BM dapat hadiah minyak angin waktu sambutan Hari Guru, memang rare. Jika kebiasaannya guru menerima bunga atau pen sempena Hari Guru, lain pula kisah seorang guru Bahasa Melayu ini yang mendapat hadiah tak dijangka, sebotol minyak angin cap kapak daripada salah seorang muridnya.
Cikgu BM Dapat Hadiah Minyak Angin Waktu Sambutan Hari Guru, Memang Rare
Fatin Nur Farhana Ruslan, yang sudah empat tahun mengajar, menganggap pemberian itu sebagai pengalaman luar biasa dalam kerjayanya sebagai pendidik. Malah, beliau tidak menyangka video ringkas tentang hadiah tersebut yang dimuat naik ke TikTok menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi lucu serta positif daripada warga maya.
“Video itu sebenarnya dirakam tahun lepas, tapi baru saya kongsikan di media sosial sebab Hari Guru jatuh pada Jumaat ini, 16 Mei. Saya fikir, mungkin boleh beri inspirasi kepada murid dan ibu bapa tentang idea hadiah yang lain daripada biasa,” katanya.
Rakaman berdurasi 22 saat itu memaparkan seorang murid lelaki berbangsa Cina memberikan minyak angin cap kapak kepada cikgunya sebagai hadiah Hari Guru. Aksinya yang bersahaja membuat ramai tersenyum, dan ada yang menyifatkan ia sebagai hadiah yang amat berguna terutamanya buat guru yang penat berdiri dan bercakap seharian di kelas.
Fatin turut berkongsi bahawa bukan beliau sahaja yang menerima hadiah istimewa itu, malah guru-guru lain yang mengajar murid tersebut turut mendapat minyak angin yang sama.
“Saya beritahu murid itu yang videonya dah viral, dan dia sangat teruja! Katanya, tahun ini dia nak beri hadiah serupa tapi dengan jenis minyak angin yang berbeza. Siap rancang nak rakam video baru pula,” tambah Fatin dengan nada terhibur.
Walaupun dianggap ‘simple’, Fatin mengakui hadiah itu sangat praktikal dan dihargai oleh guru-guru.
Fatin juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik dan berharap sambutan ini terus menyuntik semangat buat guru-guru untuk terus mengajar dengan penuh dedikasi dan kasih sayang.
Sebanyak 8,909 pelajar telah berjaya mendapat tempat di 56 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh Malaysia bagi kemasukan sesi akademik 2025.
Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pihak mereka menerima sebanyak 93,635 permohonan untuk kemasukan ke tingkatan satu dan tingkatan empat bagi sesi tersebut.
“Daripada jumlah itu, seramai 7,229 pelajar ditawarkan memasuki MRSM ke tingkatan satu, manakala 1,680 lagi pelajar ditawarkan masuk ke tingkatan empat.
“Mara masih mengekalkan dasar sedia ada dengan 60 peratus penawaran adalah kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan keutamaan juga diberikan kepada pemohon luar bandar dan miskin bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mara Integrated Accounting Conference (MiCA) 2025, di sini, hari ini.
Asyraf berkata, semakan tawaran itu dibuka bermula jam 12 tengah hari ini secara dalam talian dan makluman dihantar kepada pemohon yang berjaya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel didaftarkan.
“Pemohon yang berjaya diingatkan untuk membuat pengesahan terima atau tolak tawaran kemasukan ke MRSM dalam tempoh tujuh hari.
“Pemohon yang tidak membuat pengesahan dalam tempoh ditetapkan akan dianggap menolak tawaran ke MRSM.
“Pemohon yang layak dan masih belum mendapat tawaran boleh membuat semakan pertama pada hari ini, semakan kedua (27 Januari), semakan ketiga (3 Mac) serta semakan keempat (17 Mac),” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menetapkan pendaftaran pelajar adalah pada 19 Februari ini iaitu tiga hari selepas tarikh pendaftaran sekolah biasa.
Katanya, penetapan tarikh itu selepas mengambil kira cadangan ibu bapa yang mahu diberikan ruang untuk pendaftaran anak mereka yang lain.
“Saya berharap tiada pelajar yang menolak tawaran ke MRSM atas faktor kekangan kewangan kerana kita tidak mahu ada pelajar terkandas disebabkan alasan itu.
“Justeru itu, saya arahkan pihak pengurusan MRSM supaya menerima terlebih dulu pelajar yang mempunyai masalah kewangan dan kita akan cari jalan bagi membantu mereka,” katanya.