Allah menguji keluarga ini dengan kehadiran seorang anak comel yang mengalami Autism Spectrum Disorders (ASD) dan Attention Deficit-Hyperactivity Disorder (ADHD). Sejak umur dua tahun, Muhammad Furqan Dzulkarnain Muhamad Firdausi sudah menghidap penyakit ini.

Furqan juga dikesan ‘Global Development Delay’ diikuti masalah sendi dan tulang kaki kiri selain menghidap jangkitan kuman khusus pada salur darah utama. Sakitnya kronik dan  terpaksa merayu meminta bantuan untuk membeli mesin oksigen dan pendakap lutut untuknya memandangkan ibu bapanya tidak mampu.

Ibunya, Siti Asmahul Husnah Maarof, 24 cuma seorang suri rumah sepenuh masa. Suaminya pula hanya seorang pekerja kedai makan dengan pendapatan yang tidak seberapa.

“Sebab itu, anak saya sangat memerlukan mesin oksigen dan pendakap kaki. Tapi saya tidak cukup wang untuk membelinya,” ujar Siti Asmahul Husnah.

Kerana ketidakcukupan wang, ibu ini kuatkan jiwa dan tebalkan muka meminta bantuan orang ramai. Keluarga ini sememangnya benar-benar tidak mampu untuk membeli peralatan perubatan yang Furqan perlukan.

Mahu ke Hospital Sultan Ismail (HSI) ini saja pun mereka perlu berulang turun naik bas. Selalunya jika ada temu janji dengan pihak hospital berangkatlah dua beranak ini naik bas.

“Saya tak ada kenderaan sendiri. Terpaksalah naik bas ekspres dari Mersing jam 7.15 pagi. Dalam jam 10 baru sampai. Biasanya saya berhenti dekat pusat membeli belah di Tebrau sambung jalan kaki dengan anak ke HSI.

“Balik dari hospital pun macam itulah juga. Kena ambil bas ekspress untuk balik ke Mersing.”

Bila Kesempitan, Cuma Beri Anak Minum Susu Pekat Manis

Bila dah berjalan jauh dan terdedah sebegitu, tentulah ianya tak bagus untuk Furqan. Lagi-lagi, anak istimewanya itu mudah diserang jangkitan kuman dan boleh melarat terkena lelah. Sepatutnya dalam usia nak masuk pra-sekolah ini, Furqan dah boleh ke sekolah.

“Saya dah tanya banyak pusat asuhan, tapi tak ada yang sanggup ambil anak saya. Dia masih pakai lampin pakai buang. Dia juga agak agresif bimbang tak mampu kendalikan Furqan.

“Itu pun saya minta tolong untuk tampung kos tambang pergi Johor (Bahru). Saya juga sudah mohon bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) tetapi ia dalam proses.

“Suami buntu. Kos untuk anak lebih dari kemampuan suami saya. Di mana mahu membeli susu dan lampin pakai buang lagi. Bila tiba kesempitan wang, saya akan beri anak minum susu pekat manis. Anak pula dia tidak boleh terima nasi, cuma boleh makan biskut dan roti sahaja.”

Menurut ibu ini lagi kehidupan mereka sekeluarga sangat mencabar;

IKLAN

“Husna dengan suami kena sentiasa berhati-hati. Terutamanya dalam bab kewangan. Sebulan saja kos untuk anak mencecah RM1000 kadang lebih. Sebab suami sorang saja yang kerja jadi saya kena bijak kawal perbelanjaan.

“Alhamdulillah keluarga banyak bagi sokongan dari belakang. Mereka sering datang melawat Furqan namun dari segi kewangan saya memang tak pernah minta. Saya pun faham. Keluarga bukan dari kalangan yang serba ada. Sama saja macam saya. Masing-masing ada tanggungan. Jadi saya pun tak nak bebankan mereka dengan masalah saya,” terang Siti Asmahul Husnah lagi.

Tengok Wajah Furqan, Air Mata Mengalir Laju

Semestinya hati si ibu sangat sebak apabila anak yang disayangi menderita. Begitu juga yang dilalui Siti Asmahul Husnah.

“Perasaan saya jangan cakap la kak. Bila pandang muka dia. Hati ini rasa macam tersiat. Bila tengok muka dia saja, laju airmata jatuh. Susah nak bendung kak. Hati ibu, takada seoang ibu pun yang nak anak dia sakit.

“Kadang terdetik juga dalam hati, “pergilah nak dari azab tersiksa, ibu yang tengok pun rasa derita”. Tapi Allah dah atur semuanya. Ni ujian untuk saya sekeluarga. Saya percaya takdir Allah. Dia yang memberi sakit, Dia juga yang memberi kesembuhan. Saya percaya anak boleh sembuh,” tambah Siti Asmahul Husnah.

IKLAN

Rayu Bantuan Beli Mesin Oksigen Dan Pendakap Lutut

Selepas muncul di akhbar Sinar Harian baru-baru ini, Siti Asmahul Husnah menerangkan dia menerima panggilan dari pihak Baitulmal.

“Untuk mesin oksigen, selepas keluar dari Akhbar Sinar Harian tempoh hari saya terima panggilan dari pihak Baitulmal. Saya dah ajukan sekali bersama pendakap lutut tersebut. Masih lagi dalam proses, buat masa sekarang ni saya sewa saja dulu mesin oksigen tu. Dengan kadar RM500/per bulan. Kalau kewangan tersekat, saya terpaksa tangguh bayaran dan bawa ke bulan depan,” luah wanita ini.

Reda dengan ketentuan Ilahi, namun Siti Asmahul dan suami akan terus usaha untuk anak kesayangannya. Malah tidak ada apa yang diharapkan selain kesembuhan Furqan.

Sayunya kisah Furqan ini, jika anda mahu menghulurkan sumbangan bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan ke :

No. akaun : 6-8805730-10

Siti Asmahul Husnah Binti Maarof

Public Bank