Buat ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata, pemilihan nama anak sememangnya antara momen paling bermakna. Ada yang sudah menyimpan nama pilihan sejak awal perkahwinan, ada juga yang mencari nama dengan maksud indah agar menjadi doa sepanjang hayat buat si kecil.
Namun dalam memilih nama anak, ibu bapa bukan sahaja perlu melihat kepada maksud dan keindahan sebutannya, tetapi juga perlu memastikan ejaan nama tersebut sesuai serta boleh didaftarkan secara rasmi dalam sijil kelahiran.
Terbaharu, ibu bapa tidak lagi dibenarkan menggunakan nama Mohd bagi pendaftaran nama anak. Sebaliknya, ejaan tersebut perlu ditulis secara penuh sebagai Mohamad, Muhamad atau Muhammad.
Perkara ini dimaklumkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang (JPNPP) menerusi satu perkongsian di laman Threads. Menurut JPN, nama singkatan seperti Mohd sudah tidak digunakan lagi bagi pendaftaran nama anak-anak pada masa kini.
“Nama yang tiada dah pada anak-anak sekarang ialah Mohd. Nama tersebut perlu ditulis penuh Mohamad, Muhamad atau Muhammad,” jelas JPN.
Berdasarkan makluman tersebut, hanya tiga variasi ejaan berkaitan nama ini yang dibenarkan iaitu Mohamad, Muhamad atau Muhammad.
Nama Mohd Tidak Lagi Digunakan Untuk Pendaftaran Anak
Pengumuman itu nyata mencuri perhatian ramai, khususnya dalam kalangan mereka yang mempunyai singkatan Mohd pada kad pengenalan masing-masing. Ini kerana penggunaan nama Mohd sudah begitu sinonim dalam masyarakat Malaysia sejak sekian lama.
Tidak kurang juga yang menganggap langkah ini sebagai sesuatu yang baik kerana penggunaan ejaan penuh dilihat lebih kemas, jelas dan sesuai untuk dokumen rasmi.
“Saya generasi yang di IC bernama MOHD. Tapi memang lebih indah kalau ditulis penuh Muhammad,” kata seorang pengguna Threads.
Selain itu, seorang lagi pengguna turut berkongsi pandangan mengenai asal usul singkatan tersebut. Menurutnya, singkatan Mohd dikatakan wujud kerana berkait dengan singkatan nama Muhammad dalam tulisan Jawi.
“Fun fact: MOHD tu wujud sebab singkatan Muhammad dalam tulisan Jawi yakni mim ha mim dal. Jadi MOHD adalah bentuk hibrid rumi yang merujuk kepada ejaan jawi/arab bagi nama tersebut,” tulisnya.
Image via @jpnppofficial / Threads
Ramai Setuju Nama Penuh Lebih Sesuai Untuk Dokumen Rasmi
Perkongsian itu turut membuatkan ramai berasa nostalgia. Mana tidaknya, nama Mohd cukup biasa digunakan oleh generasi terdahulu dan masih banyak terdapat pada kad pengenalan rakyat Malaysia hari ini.
Dalam masa sama, ramai juga yang bersetuju sekiranya ejaan nama dalam dokumen rasmi diseragamkan. Bagi mereka, penggunaan nama penuh lebih memudahkan urusan harian, terutama apabila melibatkan pengisian borang, urusan persekolahan, perbankan, pasport, dokumen kerajaan dan pelbagai lagi urusan rasmi.
Kadangkala, singkatan nama boleh menimbulkan kekeliruan apabila perlu dijelaskan berulang kali sama ada ia perlu ditulis sebagai Mohd, Mohamed, Muhamad atau Muhammad. Justeru, penyeragaman ejaan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kesilapan pada dokumen penting anak-anak pada masa hadapan.
Ada juga warganet yang mengambil kesempatan memberi pandangan agar garis panduan pemilihan nama anak terus diberi perhatian. Ini termasuklah nama-nama yang terlalu unik, terlalu panjang atau kurang sesuai digunakan sebagai nama rasmi.
View on Threads
Panduan Penting Pilih Nama Anak
Hakikatnya, nama bukan sekadar panggilan harian. Nama adalah identiti, doa dan amanah yang akan dibawa oleh anak sepanjang hayat.
Sebab itu, ibu bapa disarankan supaya memilih nama yang mempunyai maksud baik, mudah disebut, indah didengar dan sesuai digunakan dalam semua urusan rasmi.
Dalam keterujaan memilih nama anak, ibu bapa juga boleh membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak JPN sekiranya tidak pasti sama ada nama pilihan boleh didaftarkan atau sebaliknya. Langkah ini penting agar proses pendaftaran kelahiran berjalan lancar dan tidak menimbulkan kesulitan di kemudian hari.
Bagi ibu bapa yang mahu membuat perubahan nama pada sijil kelahiran anak pula, perkara tersebut boleh dilakukan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh JPN.
Semoga perkongsian ini menjadi panduan buat ibu bapa yang sedang memilih nama terbaik untuk cahaya mata tersayang. Pilihlah nama yang indah, membawa maksud baik dan mudah digunakan oleh anak apabila mereka membesar kelak.