
Naskhah Al-Quran tulisan tangan Nurly Shahirah didigital dan dipamer di UPSI. Naskhah al-Quran tulisan tangan milik Allahyarham Nurly Shahirah Azman kini ditempatkan di Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi tujuan pendigitalan selain dipamerkan kepada umum.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, mushaf berharga itu mencerminkan ketabahan dan usaha gigih Allahyarham sepanjang pengajian di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
“Proses pendigitalan bertujuan memastikan naskhah berkenaan dapat dipelihara dengan rapi untuk jangka masa panjang di samping menghasilkan salinan digital yang lengkap dan berkualiti tinggi bagi dijadikan koleksi rujukan serta sumber kajian di perpustakaan.
“Selain itu, pendigitalan ini juga memberi ruang kepada masyarakat umum, pelajar serta penyelidik untuk mengakses dan merujuk naskhah tersebut tanpa menjejaskan keaslian manuskrip asal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad pula menjelaskan, kerja pendigitalan sepenuhnya dilaksanakan oleh pasukan Perpustakaan Digital UPSI (UDL) menggunakan teknologi imej resolusi tinggi agar setiap helaian dapat direkodkan dengan jelas.
Beliau menambah, tujuan utama usaha itu adalah memastikan mushaf tulisan tangan berkenaan terpelihara dalam keadaan terbaik untuk tempoh yang lama, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan akibat faktor usia, cuaca dan penggunaan berulang.
“Usaha ini secara tidak langsung menyokong pemeliharaan warisan intelektual dan kerohanian umat Islam di samping menjadi amal jariah berterusan buat Allahyarham Nurly Shahirah,” katanya.
Bagi memberi peluang kepada masyarakat lebih dekat dengan khazanah tersebut, mushaf al-Quran tulisan tangan Nurly turut dipamerkan di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun bermula 25 Ogos hingga 2 September 2025.
Menurut Noriha, pameran berkenaan memberi kesempatan kepada orang ramai yang sebelum ini terbatas untuk melihatnya di Besut, Terengganu, merasai sendiri hasil kesungguhan seorang anak muda menyalin keseluruhan mushaf al-Quran.
“Pameran ini bukan sahaja bertujuan menonjolkan keindahan seni tulisan tangan al-Quran, malah sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan ketekunan Allahyarham Nurly Shahirah, di samping memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai al-Quran serta menjadikannya sebagai sumber motivasi dalam pengajian dan kehidupan seharian,” katanya.
Untuk rekod, Allahyarham Nurly Shahirah merupakan antara 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam kemalangan tragis awal pagi 9 Jun lalu. Bas sewa khas yang membawa rombongan dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak, terbalik selepas bertembung dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik. Insiden itu turut mengakibatkan 33 orang lain cedera termasuk pemandu bas, kelindan serta pemandu dan penumpang Alza terbabit.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Pengantin Baharu Maut Kemalangan Motosikal Berkuasa Tinggi, Hasrat Ziarah Keluarga Nurly Sahirah Tak Kesampaian
Naskhah Al-Quran Tulisan Tangan Nurly Shahirah Buat Ramai Terpukau
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my