Sabar adalah sifat orang mulia yang disebut dalam al-Quran banyak kali. Malah antara sifat orang akan masuk syurga adalah orang yang bersabar. Hidup dalam berumah tangga tak lepas dari sebarang masalah.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Justeru, jika ada sifat sabar pasti rumah tangga aman bahagia. Perkongsian ini cukup menarik untuk dijadikan panduan oleh suami isteri.
Bait-bait kata oleh Bonda Nor cukup menyentuh hati. Moga jadi panduan bersama buat kita semua dalam melayari alam rumah tangga.
SYURGA SEORANG ISTERI
Jadi seorang isteri, hal yang amat kritikal bagi kita ialah suami. Kita – makhluk Allah yang sarat dengan emosi dan kadang terlalu menuruti kata hati, lalu memang satu hal yang menakutkan kalau ada kata-kata dan tindak tanduk kita yang melukai hati suami – sengaja atau tak sengaja.
Rasulullah sebut dengan jelas tentang perangai orang perempuan – saat berdepan dengan satu saja pun keburukan suami, si isteri boleh lupa dengan kebaikan suaminya yang lain. Perangai inilah yang paling banyak menjerumuskan perempuan ke neraka. Allah.. betapa ngerinya!
Ads
Jadi seorang isteri, banyak-banyakkanlah minta maaf dari suami. Mungkin ada terkurang layanan kita, terkasar bahasa kita, terlajak berprasangka, tercerita tentang aibnya pada sesiapa..
Allah ya Allah, rendahkan hati kita untuk merayu kemaafan darinya. Jangan kita hanya nampak kelemahan dia tapi kita lupa kelemahan kita. Jangan kita sibuk besar-besarkan kesilapannya tapi kita pandang kecil kesilapan kita.
Ads
Pandang muka suami kita.. siapa pun dia, itulah yang Allah dah pilihkan sebagai jodoh kita. Itulah lorong nikmat.. itulah juga lorong ujian Allah buat kita.
Semua buruk baik dia boleh jadi asbab kebaikan untuk kita. Mungkin untuk tundukkan ego kita. Mungkin untuk Allah beri pahala melalui sabar kita. Mungkin untuk latih kita berdikari dan keluarkan potensi diri. Ada sebabnya. Pasti ada sebabnya!
Minta Allah jaga rumahtangga kita. Kalau ada hal tentangnya yang kita tak suka, banyakkan berdoa pada Allah. Kita tak boleh ubah suami kita.. tapi Allah boleh. Minta dari Allah. Jaga hubungan kita dengan Allah agar mudah kita minta Allah jaga rumahtangga kita.
Ads
Masya-Allah.. indahnya kesudahan hidup seorang isteri andai dia mati dalam keadaan mendapat redha seorang suami. Indahnya janji Allah bahawa isteri yang diredhai suaminya boleh masuk syurga dari mana-mana pintu yang disukainya. Indah sangat, kawan-kawan! Tak teringin ke kita untuk mendapatkannya?
Hari ni, ayuh simpan niat untuk jadi isteri yang lebih baik dari semalam. Simpan hasrat untuk cuba dan kemudian cuba. Allah pandang usaha kita. Allah pasti beri ganjaran walau pun pada sekecil-kecil usaha kita. Insya-Allah.. biiznillah. Jadikanlah kami isteri yang menyejukkan hati suami kami ya Allah. Amin. Amin.
Sekarang ni buka je laman sosial, pantang scroll feed mesti akan naik gambar rakan-rakan kita menamatkan zaman bujang mereka.
Lebih-lebih lagi sekarang ni dengan situasi yang tak mengizinkan, kebanyakan memilih untuk membuat secara kecil-kecilan sahaja dengan mengehadkan jumlah tetamu.
Pada yang tak dijemput, jangan terasa hati. Lebih baik kita mendoakan yang baik-baik. Kan?
Pada pasangan pengantin, perkahwinan ni bukan untuk setahun dua, harapnya kekal hingga selama-lamanya. Jadi, yang mana masih lagi belajar untuk hidup berdua, jom ikuti perkongsian dari peguam syarie, Fahmi Ramli tentang perkara penting yang anda perlu buat untuk elakkan kemusnahan rumahtangga.
10 Perkara penting “Pengantin Baru” kena buat untuk elak perceraian
Kadang kala, semasa nak jadi pengantin baru ni, ada pasangan yang mungkin tak ambil tahu tentang persiapan yang perlu selepas kahwin. Bukan terlambat, cuma jangan tidak ambil tahu langsung.
Selepas berkahwin, banyak cabaran besar bakal berlaku kepada pasangan baru. Khususnya hal yang berkaitan pengurusan dan undang-undang keluarga Islam. Jika enggan peduli tentang isu ini, pastinya akan berlaku keretakan besar istana yang dibina.
Jadi, saya nak kongsikan 10 perkara penting kepada bakal pengantin baru perlu ambil peduli selepas kahwin kelak.
1. Teruskan belajar tentang ilmu kekeluargaan Islam
Selepas saja suatu pasangan diakadnikah, mereka perlu tahu bahawa mereka sudah terikat dengan Undang-undang Keluarga Islam. Jadi, mahu atau tidak, suami dan isteri perlu belajar tentang ilmu kekeluargaan Islam.
Khususnya perkara yang penting untuk diketahui berkaitan dengan hak suami isteri selepas kahwin, hak anak, hak selepas perceraian dan hak suami isteri jika berlaku kematian.
Memang kita tak mahu cerai dan mati, tapi kita perlu tahu, ajal dan jodoh atas ketentuan Allah. Mahu atau tidak, kita perlu terus belajar dan ambil peduli tentang perkara ini.
2. Suami kena sedia tempat tinggal yang selesa & berasingan kepada isteri
Rumah adalah keperluan wajib untuk suami sediakan kepada isteri. Sebaiknya, rumah ini disediakan berasingan daripada orang lain termasuk ahli keluarga suami atau keluarga isteri.
Jika suami dan isteri ‘PJJ’ atau perkahwinan jarak jauh, tidak tinggal bersama, suami tetap wajib sediakan rumah kepada isteri. Boleh sewa atau beli, yang penting disediakan tempat tinggal yang selesa dan berasingan kepada isteri. Ini termasuklah perbelanjaan rumah seperti elektrik dan air perlu dibayar oleh suami.
3. Rancang kewangan dengan bijak
Salah satu sebab terjadinya pergaduhan suami isteri sepanjang karier saya, didapati banyak pasangan yang bercerai diawal usia perkahwinan adalah disebabkan ‘duit tak cukup’ atau bergaduh ‘sebab duit’.
Pada saya, untuk elakkan pergaduhan tentang wang ringgit, mesti perlu ada budget atau perancangan kewangan yang bijak serta mesti dipatuhi suami isteri. Kalau negara kita ni pun, sampai berdebat dalam Parlimen untuk budget diluluskan, maka amat penting jugalah suami isteri bincang betul-betul budget bulanan dan tahunan.
4. Masukkan nafkah belanja isteri secara online transfer setiap bulan
Jika suami itu seorang anggota tentera, pasti tak ada isu tak dapat Nafkah sebab anggota tentera wajib ada potongan kepada isteri. Mungkin isu yang timbul adalah isu tak cukup nafkah. Itu perkara lain. Namun, contoh ini patut diteladani oleh pasangan yang lain.
Setiap bulan, suami wajib masukkan duit belanja isteri ke dalam akaunnya bagi mudah membuktikan bahawa pemberian nafkah berlaku. Sekiranya duit yang hendak diberikan suami itu termasuk duit rumah, perbelanjaan isi rumah dan anak-anak, perlulah masukkan sejumlah wang yang wajar. Janganlah masuk setiap bulan RM200, tapi duit itu jugalah untuk isteri bayar sewa, beli barang dapur, beli barang anak. Memang tak cukup sangat lah.
5. Dapatkan nasihat atau kaunseling jika berlaku perbalahan
Sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri, segera dapatkan khidmat kaunseling di Pejabat Agama. Jangan pendam setiap masalah. Ia perlu diluahkan kepada orang yang boleh bantu selesaikan masalah anda.
Tidak semestinya suami yang perlu mohon kaunseling, isteri secara bersendirian boleh mohon untuk kaunseling walaupun suami enggan kaunseling.
6. Adu pada keluarga sebarang masalah, jangan pendam
Setiap isu dan permasalahan yang timbul, andai perkara itu kecil macam mana sekalipun, jangan simpan sendiri. Ada yang ahli keluarga tak tahu sebarang masalah, kerana tak pernah diberitahu.
Misalnya sering berlaku pergaduhan fizikal, duit belanja tak cukup dan lain-lain. Kadang ahli keluarga bukan nak suruh cerai, tapi nak jadi orang tengah yang boleh bawak berbincang. Kalau nak nikah dulu pun pakai ahli keluarga untuk bercakap, takkan bila jadi isu, kita abaikan mereka.
7. Buang tabiat lama yang negatif
Jika semasa bujang, ada tabiat merokok misalnya, selepas kahwin patut buang kerana duit belanja harian akan bazir dan bahaya kesihatan anak isteri. Begitu juga dengan tabiat lain isteri, kalau masa bujang banyak bergaul mesra dengan rakan sekerja, maka selepas kahwin, perlu ada batasannya.
Sama juga dengan hobi yang mungkin tak bagus untuk perkahwinan. Contohnya, suami asyik main game tak kira waktu siang malam sebab biasa buat semasa bujang, hobi tu patut dibuang atau dikurangkan. Ini adalah salah satu punca pasangan muda bercerai zaman ini.
8. Siang waktu bekerja, malam waktu bersama keluarga
Kalau dulu zaman bujang selalu lepak di kedai mamak waktu malam untuk tengok bola dengan kawan-kawan, selepas berkahwin perlu ada hadnya. Khususnya ketika pasangan yang baru ada anak kecil.
Siang anda sudah spend masa untuk bekerja dan bersama pekerja, maka waktu malam apa salahnya menggunakan waktu sebaik mungkin untuk bersama anak isteri. Apa salahnya tonton bola kegemaran anda di rumah bersama anak isteri kan?
9. Jangan sembunyikan perkara penting
Tolong jangan sembunyikan apa-apa maklumat khususnya berkaitan dengan hutang, harta yang dimiliki dan tanggungan yang ada sebelum dan selepas kahwin. Kadang-kadang ada wanita yang tak tahu, rupanya suami yang dikahwini tersebut mempunyai isteri lain dan anak-anak terdahulu.
Begitu juga setiap pasangan, jangan ada meletakkan password telefon atau apa-apa password bank yang tidak diketahui kepada setiap pasangan. Meletakkan password yang tidak diketahui ini pasti akan menimbulkan rasa curiga dan boleh sukarkan pasangan untuk keluarkan duit bank jika kematian anda bagi urusan terdesak.
10. Utamakan perbelanjaan isteri dan anak sebelum diri sendiri dan orang lain
Bila dah kahwin, suami wajib meletakkan keperluan isteri dan anak lebih penting daripada segalanya sebab suami yang sanggup nak pikul amanah tersebut. Kalau tidak, apa guna nikah kalau belanja isteri pun tak mampu. Belum lagi dapat anak yang perbelanjaannya pun agak tinggi sekarang.
Kadang-kadang, ada yang tak mampu tanggung diri sendiri pun, tapi nak juga nikah. Akhirnya, diri terbeban bukan sebab tak mampu, tapi sebab asyik ditakuk yang lama. Jangan nafkah anak dan isteri terabai sudah la.
Ada tak rakan atau saudara anda pengantin baru? Boleh tak sampaikan amanat saya ini seluas-luasnya?
Boleh dapat ‘darah tinggi’ rasanya jika tiap-tiap hari kena jerit pada anak supaya berkelakuan baik. Namun setiap hari marah anak masih tidak berubah. Seolah-olah marah itu tidak memberi sebarang kesan padanya. Bersama pakar motivasi kekeluargaan, Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad mengulas perihal anak yang bersikap nakal, degil dan tidak mendengar kata ibu bapa.
Ibu bapa mudah melabelkan anak-anak secara negatif. Apabila anaknya degil atau enggan mendengar kata maka terus membuat kesimpulan ia adalah tingkah laku yang negatif. Perlu diingatkan, setiap tingkah laku anak-anak berbeza kerana mereka membesar sebagai individu yang berbeza daripada segi watak dan peribadinya.
Degil itu dilihat sebagai negatif disebabkan anak-anak tidak mendengar kata nasihat yang ibu bapa berikan. Sebaliknya, jika dilihat dari satu sudut lain pula, degil itu membuktikan bahawa anak-anak tetap dengan kemahuan dan pendiriannya. Sifat degil sebegini perlu ada jika anak mahu berjaya satu hari nanti. Kejayaan memerlukan seseorang itu berdepan dengan masalah, cabaran dan ujian. Hanya mereka yang degil sahaja yang mampu melepasi semua ini. Oleh itu, adalah satu kesilapan sekiranya ibu bapa mahu agar sifat degil anak itu dibuang terus.
Sebenarnya, apa yang perlu dilakukan ialah menyalurkan sikap degil ini secara positif dan betul. Anak-anak yang masih kecil tidak mampu membezakan antara degil yang positif dan degil yang negatif. Oleh itu, menjadi tanggung jawab ibu bapa untuk membantunya.
Karakter anak degil
Cara pengendalian
Berikut adalah contoh perbualan positif seorang ibu kepada anaknya.
Situasi: Imran seorang anak yang keras hati (degil). Walau pun telah dinasihati banyak kali, dia tetap akan panjat tepi tangga untuk naik ke atas dan ini membahayakannya.
Ibu : Imran, ibu tahu Imran suka memanjat betul?
Imran : Betul ibu
Ibu : Ibu pun suka apabila Imran memanjat, ia menujukan bahawa Imran seorang yang berani dan sukakan cabaran. Agak-agaknya kenapa ibu selalu bising apabila Imran memanjat?
Imran : Tak tahu.
Ibu : Cuba Imran fikir apa boleh berlaku jika Imran salah panjat atau terlepas tangan?
Imran : Imran akan jatuh.
Ibu : Kalau jatuh sakit tak?
Imran : Sakit.
Ibu : Sebab itulah ibu bising, sebab ibu sayang Imran. Kalau Imran betul-betul suka memanjat ibu akan bawa Imran ke Mall pada hujung minggu ini, dan dalam tu ada tempat untuk kanak-kanak panjat-panjat. Di situ Imran boleh panjat sesuka hati, tetapi kena janji dengan ibu untuk tidak panjat tangga lagi, boleh?
Imran : Betul ker ni ibu?
Ibu : Betul ibu janji.
Imran : Yeay, ok Imran janji takkan panjat di situ lagi.
Ibu : Hah, macam itulah anak ibu. Ibu suka apabila Imran mendengar kata. (Sambil peluk atau usap kepalanya)
Contoh perbualan di atas jelas menunjukkan ibu menghargai kedegilan anak, menyatakan sebab kenapa dia dihalang untuk meneruskan kelakuannya dan menawarkan alternatif baru untuk disalurkan kesukaan dan bakatnya. Akhir sekali, ibu memuji anak.
Dengan pendekatan sebegitu, anak-anak akan membesar dengan jiwa yang kuat. Mereka memiliki kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi. Kekuatan emosi membentuk anak-anak yang berakhlak mulia dan memiliki nilai moral yang tinggi. Mereka tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan masa depannya. Mereka berfikir sebelum bertindak.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Desas-desus perkahwinan selebriti popular, Neelofa, 32, dan pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz, 26, akhirnya terjawab apabila pasangan kontroversi itu akhirnya disatukan dalam ikatan suami isteri, pagi ini.
Majlis akad nikah Neelofa dan Haris Ismail atau PU Riz berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada jam 11.43 pagi tadi. Akad nikah Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor disempurnakan oleh adik kandungnya, Mohd Aqief Mohd Noor.
Dalam majlis tersebut, Neelofa sah bergelar isteri kepada lelaki dicintainyaPU Riz, dengan sekali lafaz sahaja.
Majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz hanya dihadiri sekitar 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua pihak dan rakan baik.
Pihak pengantin perempuan tidak menyatakan jumlah hantaran, sebaliknya hanya memberitahu menerima sebentuk cincin daripada pihak lelaki.
Neelofa dan PU Riz menzahirkan rasa syukur apabila majlis berjalan dengan lancar seperti dirancang.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami.
“Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT, insya-Allah,” ujar pasangan berkenaan.
Mengulas detik perkenalannya, Neelofa berkata, dia mengenali PU Riz pada Jun, 2017.
“Bagaimanapun, saya bekerjasama buat kali pertama dengan suami untuk sebuah projek pada 2018. Selepas kolaborasi ini, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian.
“Dari titik pertemuan semula ini, kami mula mengenali hati budi masing-masing,” katanya.
Bekas pengacara MeleTOP itu berkata, suami seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang.
“Apabila berbual dengannya, saya boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa.
“Dia juga pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran dan masalah,” kata Neelofa.
Memilih konsep Jabal Rahmah, majlis tersebut dihadiri tetamu yang memakai sepersalinan berwarna putih sesuai dengan tema pilihan pengantin.