Sekarang ni buka je laman sosial, pantang scroll feed mesti akan naik gambar rakan-rakan kita menamatkan zaman bujang mereka.
Lebih-lebih lagi sekarang ni dengan situasi yang tak mengizinkan, kebanyakan memilih untuk membuat secara kecil-kecilan sahaja dengan mengehadkan jumlah tetamu.
Pada yang tak dijemput, jangan terasa hati. Lebih baik kita mendoakan yang baik-baik. Kan?
Pada pasangan pengantin, perkahwinan ni bukan untuk setahun dua, harapnya kekal hingga selama-lamanya. Jadi, yang mana masih lagi belajar untuk hidup berdua, jom ikuti perkongsian dari peguam syarie, Fahmi Ramli tentang perkara penting yang anda perlu buat untuk elakkan kemusnahan rumahtangga.
10 Perkara penting “Pengantin Baru” kena buat untuk elak perceraian
Kadang kala, semasa nak jadi pengantin baru ni, ada pasangan yang mungkin tak ambil tahu tentang persiapan yang perlu selepas kahwin. Bukan terlambat, cuma jangan tidak ambil tahu langsung.
Selepas berkahwin, banyak cabaran besar bakal berlaku kepada pasangan baru. Khususnya hal yang berkaitan pengurusan dan undang-undang keluarga Islam. Jika enggan peduli tentang isu ini, pastinya akan berlaku keretakan besar istana yang dibina.
Jadi, saya nak kongsikan 10 perkara penting kepada bakal pengantin baru perlu ambil peduli selepas kahwin kelak.
1. Teruskan belajar tentang ilmu kekeluargaan Islam
Selepas saja suatu pasangan diakadnikah, mereka perlu tahu bahawa mereka sudah terikat dengan Undang-undang Keluarga Islam. Jadi, mahu atau tidak, suami dan isteri perlu belajar tentang ilmu kekeluargaan Islam.
Khususnya perkara yang penting untuk diketahui berkaitan dengan hak suami isteri selepas kahwin, hak anak, hak selepas perceraian dan hak suami isteri jika berlaku kematian.
Memang kita tak mahu cerai dan mati, tapi kita perlu tahu, ajal dan jodoh atas ketentuan Allah. Mahu atau tidak, kita perlu terus belajar dan ambil peduli tentang perkara ini.
2. Suami kena sedia tempat tinggal yang selesa & berasingan kepada isteri
Rumah adalah keperluan wajib untuk suami sediakan kepada isteri. Sebaiknya, rumah ini disediakan berasingan daripada orang lain termasuk ahli keluarga suami atau keluarga isteri.
Ads
Jika suami dan isteri ‘PJJ’ atau perkahwinan jarak jauh, tidak tinggal bersama, suami tetap wajib sediakan rumah kepada isteri. Boleh sewa atau beli, yang penting disediakan tempat tinggal yang selesa dan berasingan kepada isteri. Ini termasuklah perbelanjaan rumah seperti elektrik dan air perlu dibayar oleh suami.
3. Rancang kewangan dengan bijak
Salah satu sebab terjadinya pergaduhan suami isteri sepanjang karier saya, didapati banyak pasangan yang bercerai diawal usia perkahwinan adalah disebabkan ‘duit tak cukup’ atau bergaduh ‘sebab duit’.
Pada saya, untuk elakkan pergaduhan tentang wang ringgit, mesti perlu ada budget atau perancangan kewangan yang bijak serta mesti dipatuhi suami isteri. Kalau negara kita ni pun, sampai berdebat dalam Parlimen untuk budget diluluskan, maka amat penting jugalah suami isteri bincang betul-betul budget bulanan dan tahunan.
4. Masukkan nafkah belanja isteri secara online transfer setiap bulan
Jika suami itu seorang anggota tentera, pasti tak ada isu tak dapat Nafkah sebab anggota tentera wajib ada potongan kepada isteri. Mungkin isu yang timbul adalah isu tak cukup nafkah. Itu perkara lain. Namun, contoh ini patut diteladani oleh pasangan yang lain.
Setiap bulan, suami wajib masukkan duit belanja isteri ke dalam akaunnya bagi mudah membuktikan bahawa pemberian nafkah berlaku. Sekiranya duit yang hendak diberikan suami itu termasuk duit rumah, perbelanjaan isi rumah dan anak-anak, perlulah masukkan sejumlah wang yang wajar. Janganlah masuk setiap bulan RM200, tapi duit itu jugalah untuk isteri bayar sewa, beli barang dapur, beli barang anak. Memang tak cukup sangat lah.
5. Dapatkan nasihat atau kaunseling jika berlaku perbalahan
Sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri, segera dapatkan khidmat kaunseling di Pejabat Agama. Jangan pendam setiap masalah. Ia perlu diluahkan kepada orang yang boleh bantu selesaikan masalah anda.
Ads
Tidak semestinya suami yang perlu mohon kaunseling, isteri secara bersendirian boleh mohon untuk kaunseling walaupun suami enggan kaunseling.
6. Adu pada keluarga sebarang masalah, jangan pendam
Setiap isu dan permasalahan yang timbul, andai perkara itu kecil macam mana sekalipun, jangan simpan sendiri. Ada yang ahli keluarga tak tahu sebarang masalah, kerana tak pernah diberitahu.
Misalnya sering berlaku pergaduhan fizikal, duit belanja tak cukup dan lain-lain. Kadang ahli keluarga bukan nak suruh cerai, tapi nak jadi orang tengah yang boleh bawak berbincang. Kalau nak nikah dulu pun pakai ahli keluarga untuk bercakap, takkan bila jadi isu, kita abaikan mereka.
7. Buang tabiat lama yang negatif
Jika semasa bujang, ada tabiat merokok misalnya, selepas kahwin patut buang kerana duit belanja harian akan bazir dan bahaya kesihatan anak isteri. Begitu juga dengan tabiat lain isteri, kalau masa bujang banyak bergaul mesra dengan rakan sekerja, maka selepas kahwin, perlu ada batasannya.
Sama juga dengan hobi yang mungkin tak bagus untuk perkahwinan. Contohnya, suami asyik main game tak kira waktu siang malam sebab biasa buat semasa bujang, hobi tu patut dibuang atau dikurangkan. Ini adalah salah satu punca pasangan muda bercerai zaman ini.
Ads
8. Siang waktu bekerja, malam waktu bersama keluarga
Kalau dulu zaman bujang selalu lepak di kedai mamak waktu malam untuk tengok bola dengan kawan-kawan, selepas berkahwin perlu ada hadnya. Khususnya ketika pasangan yang baru ada anak kecil.
Siang anda sudah spend masa untuk bekerja dan bersama pekerja, maka waktu malam apa salahnya menggunakan waktu sebaik mungkin untuk bersama anak isteri. Apa salahnya tonton bola kegemaran anda di rumah bersama anak isteri kan?
9. Jangan sembunyikan perkara penting
Tolong jangan sembunyikan apa-apa maklumat khususnya berkaitan dengan hutang, harta yang dimiliki dan tanggungan yang ada sebelum dan selepas kahwin. Kadang-kadang ada wanita yang tak tahu, rupanya suami yang dikahwini tersebut mempunyai isteri lain dan anak-anak terdahulu.
Begitu juga setiap pasangan, jangan ada meletakkan password telefon atau apa-apa password bank yang tidak diketahui kepada setiap pasangan. Meletakkan password yang tidak diketahui ini pasti akan menimbulkan rasa curiga dan boleh sukarkan pasangan untuk keluarkan duit bank jika kematian anda bagi urusan terdesak.
10. Utamakan perbelanjaan isteri dan anak sebelum diri sendiri dan orang lain
Bila dah kahwin, suami wajib meletakkan keperluan isteri dan anak lebih penting daripada segalanya sebab suami yang sanggup nak pikul amanah tersebut. Kalau tidak, apa guna nikah kalau belanja isteri pun tak mampu. Belum lagi dapat anak yang perbelanjaannya pun agak tinggi sekarang.
Kadang-kadang, ada yang tak mampu tanggung diri sendiri pun, tapi nak juga nikah. Akhirnya, diri terbeban bukan sebab tak mampu, tapi sebab asyik ditakuk yang lama. Jangan nafkah anak dan isteri terabai sudah la.
Ada tak rakan atau saudara anda pengantin baru? Boleh tak sampaikan amanat saya ini seluas-luasnya?
Merancang untuk keluarga bercuti itu biasa kita dengar, namun lain kisahnya dengan keluarga besar Ummu Naufal ini bila mana bab makanan juga turut diberi tumpuan khusus.
Bagi ibu kepada enam orang anak ini, untuk pastikan keluarganya tetap dapat menikmati hidangan yang dimasak dari air tangannya sendiri itu satu kepuasan buatnya, walau di mana mereka bercuti sekali pun.
Bahkan bukan itu sahaja, perancangan rapi juga dibuat untuk pastikan sekembalinya daripada bercuti, anak tetap dapat menikmati masakan yang dimasak olehnya.
Nak tahu bagaimana yang dilakukan oleh ibu ini, jom semak perkongsian menarik daripadanya.
Tempoh percutian sememangnya mengasyikkan. Namun persiapan bukan sekadar menyiapkan wang, pakaian, penginapan dan pengangkutan semata-mata. Pengurusan makanan keluarga sama pentingnya. Maka, sangat penting untuk kita, para ibu terutamanya, mengatur strategi “out of the box” agar ia memudah dan melancarkan percutian dari awal hingga bila pulang dari bercuti.
Hampir setiap tahun kami sekeluarga akan pergi bercuti di luar Saudi. Bercuti bersama 6 orang anak, yang sulung kelainan upaya, banyak cabaran di sebalik keseronokkan. Maka, sebagaimana pentingnya kami merancang awal percutian, begitulah juga kami perlu merancang awal selepas kembali dari percutian. InshaAllah.
Kisah-kisah kembara kami ke beberapa buah negara ada dikongsikan di dalam buku travelog ‘Balqis-Di Mata Kami, Di SisiNya’. Namun, urusan perancangan makanan tidak dimasukkan dalam travelog. Lalu, saya kongsikan di sini InshaAllah.
Ramai telah meminta panduan ini. Maaf kerana kelewatan. Semoga perkongsian sedikit ini bermanfaat dan boleh dijadikan panduan untuk percutian keluarga puan di masa hadapan. InshaAllah.
✈ Tips: Panduan Pengurusan Makanan Dalam Percutian Keluarga Besar Kami ✈
Stok Bekalan Makanan Untuk Dibawa
1. Jika percutian lebih dari seminggu, kami akan mencari apartment yang berdapur. Masak sendiri untuk keluarga besar jauh lebih menjimatkan. InshaAllah.
2. Mental Menu Planning (Merancang Menu secara Mental) …agar mudah merancang bahan bekalan yang mahu dibawa dari rumah.
3. Kami akan sentiasa pastikan setiap beg yang boleh dibawa kurang dari yang ditetapkan.
1 beg akan dikhaskan untuk stok bekalan kering sahaja. (Beg ini akan kosong bila stok bekalan telah digunakan nanti…bolehlah isi pula dengan barang belian dari percutian pula )
4. Yang dibawa biasanya; ?rempah: kurma, sup, kari ?beras untuk anggaran sahaja (sehari sekali masak untuk keluarga) ?peket budu….sebagai penaik selera ganti sambal belacan. Nanti beli sahaja bawang dan cili, patahkan dan makan dengan nasi panas dan lauk utama. ?sambal bilis kering…boleh dimakan dengan nasi atau roti ketika dalam perjalanan / “on the go”. ?snek yang ada di rumah, dibawakan sahaja untuk kudapan dalam perjalanan. ?rice cooker @ 1 periuk sederhana dan 1 senduk (jika apartment tidak menyediakan perkakas atau kami ke negara bukan Islam)
5. Isikan bekalan stok makanan dalam ziplock bags agar tidak memberatkan beg. Bawa extra ziplock bags bersama…banyak kegunaannya nanti inshaAllah. Boleh didapati di IKEA, di sana ada pelbagai saiz.
6. Kadang kala saya bawa span kecil (dipotong dua) dan sabun basuh sedikit (pastikan ia diletakkan dalam bekas yang tidak meleleh keluar) supaya jika dapur apartment tidak menyediakan, kami tidak perlu membelinya ketika percutian. Ringan sahaja span dan sedikit pencuci pinggan. Span boleh dibuang sebelum pulang dari percutian. Menjimatkan perbelanjaan tanpa perlu beli span dan sabun basuh pinggan yang agak besar untuk dipakai cuma seminggu dua sahaja. InshaAllah.
7. Jika ada buah-buahan yang masih belum dimakan, masukkan dalam ziplock bag dan bekukan. Supaya tidak membazir. Bila pulang nanti boleh dibuat smoothies. InshaAllah.
Stok Makanan Beku Selepas Pulang dari Percutian
1. Biasanya selepas pulang dari percutian, badan mula rasa penat, ada yang kurang sihat, barangan dari beg-beg perlu dikemaskan, pakaian kotor perlu dibasuh, lapar dan sebagainya. Maka, persiapan makanan beku untuk kegunaan selepas pulang dari percutian sangat penting pada saya.
2. Jadi, seminggu atau 2 sebelum percutian, saya akan memasak lauk harian lebih kuantitinya dari biasa. Separuh akan diketepikan lebih awal untuk dibekukan. Ini akan menjadi stok makanan beku selepas pulang dari percutian. Tinggal masak nasi sahaja. Jadi, bolehlah fokus pada urusan mengemas dan juga berehat, disamping masih dapat menjamu keluarga dengan ‘homemade food’ yang mengikut selera kita.
3. Boleh juga menyediakan ‘casserole dishes’ seperti chicken and mushroom casserole. Jika ia dibekukan, saya akan tuliskan ‘arahan memanaskan’ di atas aluminium foil yang digunakan untuk menutupinya. Ini supaya, suami mahupun anak-anak remaja boleh bantu menyediakannya bila mahu memakannya.
4. Jika tarikh pulang beberapa hari sahaja sebelum anak-anak mula persekolahan, saya akan bekukan bekalan bento mereka seperti; ? waffles ? karipap ? mini chicken mushroom casserole ? pre cooked bolognese sauce ? garlic baguettes ? mini chicken pie ? banana muffins ? apple strudels ? mini lasagna
Juga disedia dan disiapkan seminggu dua sebelum pergi bercuti.
5. Bekalan bento yang dibekukan dipastikan yang memerlukan pengendalian minimum bila mahu digunakan. Biasanya yang perlu dipanaskan di dalam oven sahaja atau di atas dapur pada pagi hari persekolahan.
6. Setiap makanan yang dibekukan ditandakan nama makanan (dan bagus juga diletakkan tarikh ia disediakan terutama jika bercuti lama). Ini supaya memudahkan mengambil makanan mengikut tarikh yang lebih awal ia disediakan.
7. Pastikan pengendalian makanan untuk dibekukan dilakukan dengan baik agar makanan yang dibekukan tidak rosak.
InshaAllah ini sekadar panduan sahaja. Lain keluarga lain keperluan dan keadaannya. Ubahsuai mengikut selera dan keadaan keluarga kita inshaAllah.
Ucapkanlah MasyaAllah Tabarakallah. Semua kebaikan, ilham dan kekuatan adalah dariNya semata-mata. Semoga bermanfaat buat semua.
Tahniah diucapkan kepada pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor yang menimang cucu keenamnya pada 11 November lalu.
Menerusi Instagramnya, datuk kepada enam orang cucu ini memuat naik video bersama cucu terbarunya iaitu anak kepada personaliti media sosial, Nur Anis.
Malah Datuk Rosyam juga meluahkan rasa syukurnya atas kelahiran bayi comel itu sambil dikucup kemas dipangkuannya.
“Alhamdullilah seorang lagi cucu hadir dalam hidup aku pada 11 November. Dua hari lepas.
“Maknanya aku dah ada 6 cucu. Terima kasih Allah. Tahniah anakku @_aniskiss dan suami,” tulisnya ringkas.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan-rakan selebriti Datuk Rosyam turut mengucapkan tahniah di atas kelahiran bayi comel itu dalam keluarga.
Terdahulu, Datuk Rosyam dan isterinya dikurniakan lima orang cahaya mata perempuan iaitu Arniesha Azureen, Nur Anis, Nurlisa, Syadira dan Zarith Maryam. Kini keluarga besar ini tambah bahagia dengan kehadiran enam orang cucu tersayang.
Apabila anak sukar dikawal, tentu membuatkan ibu bapa pening kelapa nak kawal.
Tak kan nak marah anak hari-hari. Boleh stres dibuatnya.
Jadi bagaimana untuk mengatasi masalah ni. Menurut puan Noor Afidah Abu Bakar mendidik anak memerlukan peraturan yang jelas agar menjadi garis panduan.
Ikuti perkongsiannya mengenai perkara, adakah sesuai peraturan ada atau tidak di rumah.
“Ada peraturan atau tidak di rumah?”
Inilah soalan yang sering saya tanya apabila ada ibubapa yang meminta pandangan tentang anak yang sukar dikawal.
Ada ibubapa yang mengangguk dan ada yang menggeleng apabila ditanya.
Mungkin peraturan itu bunyinya keras dan menghukum, jadi ada ibubapa yang kurang selesa mengadakan peraturan.
Ada yang takut peraturan akan mematikan semangat dan membunuh kreativiti dan sifat meneroka pada kanak-kanak.
Tambahan lagi di sekolah sudah banyak peraturan, guru pula ramai yang garang, jadi ramai yang merasakan anak-anak perlu diberi kebebasan mutlak di rumah supaya mereka lebih ‘chill’ dan ‘relax’.
Bagi yang tidak banyak masa untuk diluangkan dengan anak pula, mereka lebih suka gaya keibubapaan yang permisif tanpa peraturan kerana ingin mengelakkan konflik dengan anak.
Takut anak sentap.
Takut anak merajuk.
Takut anak berkecil hati.
Jika ‘peraturan’ dikaitkan dengan hukuman, kemarahan, kritikan, dan konflik, maka peraturan itu akan dilihat sebagai sesuatu yang negatif.
“Parenting is not to decide what to do when children step outside the boundary. Parenting is to guide children on how to live within the boundary.”
Anak-anak memerlukan had dan batasan untuk memastikan mereka ‘safe and secure’ untuk terus meneroka dan mencapai potensi diri. Tanpa had dan batasan – peraturan – mereka akan membuang masa tercari-cari ruang yang selamat kerana persekitaran mereka tidak dapat dijangka (unpredictable). Perasaan ‘safe and secure’ ini penting untuk proses pembelajaran dan latihan untuk menghadapi kehidupan bermasyarakat.
BAGAIMANA MEMBINA PERATURAN DI RUMAH?
Faktor paling penting yang perlu ada untuk menggubal peraturan dalam rumah adalah kerjasama antara kedua ibubapa.
Langkah pertama untuk menggubal peraturan adalah kedua ibubapa duduk berbincang tentang aspek yang memerlukan peraturan di rumah. Seeloknya peraturan itu digubal sebelum sesuatu masalah timbul. Oleh itu ibubapa perlu peka akan perkembangan anak, persekitaran anak dan pengaruh dalam hidup anak.
Adakah perlu peraturan berkaitan penggunaaan teknologi? Adakah perlu peraturan berkaitan waktu tidur? Adakah perlu peraturan berkaitan kerja sekolah? Adakah perlu peraturan berkaitan rutin seharian? Adakah perlu peraturan berkaitan menonton tv? Adakah perlu peraturan berkaitan waktu makan?
Setiap keluarga mempunyai masalah dan cabarannya yang tersendiri, oleh itu terserah kepada ibubapa untuk menentukan aspek dalam keluarga yang memerlukan peraturan.
BILA ANAK TANYA, INI PERATURANNYA.
Nilai dalam setiap keluarga adalah berbeza-beza.
Jika satu hari nanti anak bertanya “Kenapa di rumah kawan boleh, di rumah kita tidak boleh?”.
Terangkan kepada anak kenapa ‘keluarga kita’ memerlukan peraturan tersebut.
Terangkan tentang nilai keluarga kita.
Contohnya sebelum memberi keizinan untuk anak menggunakan internet, ibubapa perlu tetapkan:
-Bilakah penggunaan internet dibenarkan, -Berapa lamakah ia boleh digunakan, -Bagi tujuan apakah internet itu boleh digunakan.
Jika anak mengikut peraturan untuk sesuatu jangkamasa apakah ganjaran yang akan diberikan – ganjaran tidak semestinya bersifat material.
Jika melanggar peraturan, apakah akibat (consequence) terhadap yang melanggar peraturan?
Semua ini perlu ditetapkan terlebih dahulu.
Selepas berbincang, ibubapa perlu menyampaikan kepada anak apakah peraturan tersebut dan kenapakah ahli keluarga memerlukan peraturan tersebut.
Ada juga peraturan yang fleksibel mengikut tahap perkembangan atau usia anak.
Contohnya anak yang bersekolah menengah boleh tidur lewat kerana banyak ulangkaji atau kerja sekolah yag perlu disiapkan.
Anak pra sekolah tidak ada kerja sekolah (sepatutnyalah) maka perlu tidur awal supaya anak tidak membuang masa dengan gajet atau menonton TV sahaja.
“RUMAH SAYA ADA PERATURAN TETAPI ANAK TIDAK IKUT. KENAPA?“
INI SEBABNYA
Anak tidak ikut peraturan kerana,
1) Ibubapa tidak konsisten.
Peraturan hanyalah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Anak tahu ibubapa tidak serius. Jika ibubapa tidak serius tentang nilai, anak-anak juga tidak peduli tentang nilai dan peraturan.
Kita perlu konsisten sehinggalah amalan menjadi tabiat dan tabiat kemudiannya menjadi nilai yang dibawa sampai bila-bila.
2) Apabila anak ikut peraturan, tidak ada apa-apa respon daripada ibubapa.
Tiada pengakuan, tiada senyuman, tiada pujian, tiada ganjaran.
Anak jadi malas dan bosan.
3) Apabila anak tidak ikut, tidak ada apa-apa respon daripada ibubapa.
Tiada ‘consequence’, tiada implikasi kerana tidak ikut peraturan.
Anak tidak hairan.
Peraturan akhirnya hanyalah satu hiasan yang ‘nice to have’ sahaja.
Apabila anak biasa hidup dalam nilai dan peraturan yang ditetapkan di rumah, anak juga akan mengamalkan nilai dan peraturan dalam masyarakat. Insya Allah.
Bukankah kita ingin melihat masyarakat yang lebih bertamadun?
Mulakanlah dari rumah.
Apakah aspek yang memerlukan peraturan di rumah anda?
Kredit: Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Pelakon dan pengacara, Ain Edruce yang kini hamil anak keduanya mengakui berat badan badannya kini semakin bertambah secara mendadak biarpun kandungannya baru berusia lima bulan.