
Peguam Negara: Beberapa suspek kes buli Zara Qairina akan dituduh. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan bahawa keputusan mendakwa beberapa suspek berkaitan kes buli Zara Qairina Mahathir dibuat selepas meneliti keterangan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Walaupun begitu, identiti mereka yang akan berdepan pertuduhan tidak didedahkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan.
“Jabatan ini menegaskan bahawa walaupun keputusan untuk menuduh suspek-supek bagi kesalahan buli dibuat, namun keputusan tersebut tidak akan menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina, termasuk prosiding inkues yang akan dijalankan mahkamah,” jelasnya dalam satu kenyataan media.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada AGC pada pagi tadi untuk tindakan lanjut. Menurut beliau, kertas siasatan itu diserahkan selepas 195 orang saksi selesai dirakam keterangan.
Pada hari yang sama, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues akan berlangsung bulan depan bagi meneliti sama ada terdapat unsur jenayah di sebalik kematian Zara Qairina. Inkues itu diadakan atas arahan AGC selepas menerima laporan siasatan daripada PDRM.
Beberapa hari sebelumnya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mendedahkan hasil siasatan pasukan petugas khas menunjukkan wujud elemen buli sebelum kejadian yang menimpa pelajar tersebut. Katanya, dapatan itu dibuat berdasarkan keterangan saksi serta bukti yang diperoleh, dan kes disiasat di bawah Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan.
Pada Khamis lalu, peguam keluarga Zara Qairina turut menggesa supaya AGC mendakwa pihak yang terlibat dalam insiden buli berkenaan, selaras dengan keterangan yang dikumpulkan oleh polis.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. Sehari sebelumnya, beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar sekitar jam 4 pagi, sebelum dikejarkan ke hospital.
Tragedi tersebut menarik perhatian ramai selepas timbul dakwaan bahawa kematian mangsa ada kaitan dengan kejadian buli melibatkan pelajar senior.
Pada 8 Ogos, AGC mengarahkan proses ekskavasi semula kubur Zara Qairina dijalankan bagi tujuan bedah siasat.
Sehari selepas itu, iaitu pada 9 Ogos, kuburnya di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang digali semula dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk pemeriksaan forensik, sebelum dikebumikan kembali ke tanah perkuburan sama pada awal pagi keesokannya.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Solat Hajat Untuk Zara Qairina, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu Dihadiri Ribuan Jemaah
Wanita Kongsi Wajah Anak Mirip Zara Qairina Tetapi Tidaklah Sama 100 Peratus
Peguam Nafi Dakwaan Ibu Zara Qairina Akan Saman Doktor Terkenal
Kronologi Kes Zara Qairina, Tragedi Yang Meruntun Jiwa
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my