Kongsi Kasih, rancangan yang menyentuh hati rakyat Malaysia, kini kembali dengan musim baharu bertajuk “Kongsi Kasih Jejak Jalanan”. Dengan kerjasama Perfume Paradise, musim ini membawa makna yang lebih mendalam dalam berkongsi cerita-cerita inspirasi dan keprihatinan, khususnya sempena bulan Ramadan.
Pelancaran rasmi musim baharu ini disambut dengan penuh meriah melalui aktiviti istimewa, Kongsi Kasih Jejak Jalanan, bertempat di Astro Bukit Jalil dan Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan. Acara ini menyaksikan kehadiran rakan media, selebriti, dan pasukan pengurusan daripada Nu Ideaktiv serta Perfume Paradise, bersatu untuk melancarkan musim baharu yang penuh keindahan kasih sayang.
Bermula Di Astro Bukit Jalil Ke Anjung Kembara
Acara bermula dengan majlis perasmian di Astro Bukit Jalil, di mana para VIP termasuk pengurusan tertinggi Perfume Paradise dan Nu Ideaktiv secara simbolik menyembur pewangi Perfume Paradise ke arah kereta rasmi – melambangkan misi menyebarkan “kasih” dan memberikan harapan baharu kepada mereka yang memerlukan.
Konvoi Kongsi Kasih Jejak Jalanan kemudiannya bergerak ke Anjung Kembara, di mana aktiviti utama melibatkan pengagihan pek makanan tengah hari dan kit kebersihan kepada komuniti gelandangan.
Team Perfume Paradise bergambar bersama team NU Ideaktiv Sdn Bhd dan Hazeman Huzir sebelum berkonvoi ke Anjung Kembara
Para selebriti dan rakan media turut serta dalam sesi makan bersama komuniti, mendengar kisah-kisah mereka yang penuh perjuangan dan harapan – selari dengan tema rancangan ini untuk menyebarkan kasih dan kebaikan.
Bersiaran Bermula 14 Februari Bersama Hos Hazeman Huzir
Ads
Musim terbaharu Kongsi Kasih Jejak Jalanan akan bersiaran di Astro Prima, bermula 14 Februari 2025 jam 7 malam dengan jumlah 7 episod berdurasi 30 minit setiap satu dan 1 episod berdurasi 60 minit bagi menutup musim dengan pengisian istimewa sempena bulan Syawal dan perayaan Aidilfitri.
Abbe Hae dari Pertubuhan Jejak Jalanan menerima kotak makanan pertama sebagai simbolik permulaan Kongsi Kasih Jejak Jalanan musim baharu bersama Perfume Paradise
Diterajui oleh hos popular Hazeman Huzir dan disertai oleh Abbe Hae dari Pertubuhan Jejak Jalanan, rancangan ini membawa cerita-cerita inspirasi daripada komuniti yang pelbagai di seluruh Malaysia. Fokus musim ini termasuk membantu gelandangan, ibu tunggal, warga emas, serta keluarga yang terjejas akibat bencana. Setiap episod menyeru rakyat Malaysia untuk menghargai nilai empati, kebaikan, dan berkongsi kasih, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv berkata, “Sebagai penerbit kandungan dan juara suara komuniti, kami di Nu Ideaktiv berasa bertanggungjawab untuk membawa kisah-kisah mereka yang memerlukan ke ruang yang boleh dilihat dan didengari oleh rakyat Malaysia. Kisah-kisah ini datang daripada pelbagai komuniti yang kami dengar setiap hari melalui interaksi dengan masyarakat. Harapan kami adalah agar cerita-cerita ini membuka mata dan hati rakyat Malaysia untuk sama-sama menghulurkan bantuan”.
Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv
“Kehadiran Perfume Paradise sebagai rakan kongsi dalam Kongsi Kasih Jejak Jalanan memberi kami lebih kegembiraan kerana ia melambangkan bagaimana sebuah jenama boleh turut serta mengangkat kisah-kisah ini dan membantu mereka yang memerlukan. Dengan Perfume Paradise, kami melihat harapan baharu untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti ini.”
Ads
Menurut Nur Afiqah Amran, Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise, “Bagi Perfume Paradise, adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada program Kongsi Kasih Jejak Jalanan. Melalui program ini, kami berpeluang menyebarkan mesej kasih dan harapan kepada mereka yang memerlukan. Sebagai sebuah jenama yang berinspirasikan wangian, kami percaya seperti mana pewangi memberikan kesegaran dan keyakinan kepada kehidupan, kasih sayang juga boleh memberikan harapan baharu kepada mereka yang terpinggir.
Nur Afiqah Amran, Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise
Program ini selaras dengan misi kami untuk tidak hanya menjadi sebuah jenama, tetapi juga sebagai pencetus perubahan yang membawa kegembiraan kepada masyarakat. Kami berharap melalui program ini, lebih banyak pihak akan terinspirasi untuk menyebarkan kasih dan kebaikan kepada yang memerlukan.”
Spray Sekali, Wangi 3 Hari!
Ads
Ditubuhkan pada tahun 2008 oleh bapa kepada Nur Afiqah Binti Amran, Perfume Paradise bermula sebagai perniagaan keluarga dengan matlamat menghasilkan wangian berkualiti mewah pada harga mampu milik. Selepas beberapa tahun, jenama ini mencapai satu titik perubahan penting apabila Nur Afiqah Binti Amran mengambil alih pengurusan.
Di bawah kepimpinannya, Perfume Paradise berkembang pesat dan berjaya membina reputasi sebagai jenama yang dipercayai di Malaysia. Kini, Perfume Paradise telah menjadi pilihan utama pengguna dengan dua rangkaian produk utama berharga RM10 dan RM40. Dikenali dengan lebih 70 wangian unik yang tahan lama, Perfume Paradise turut dikenali dengan slogan “Spray Sekali, Wangi 3 Hari,” yang terhasil daripada maklum balas pelanggan setia.
Agihan makanan dari Syamil Fahim, Hazeman Huzir dan Nur Afiqah kepada komuniti gelandangan di Anjung Kembara
Jenama ini memberi tumpuan kepada 80% pengguna wanita dan turut menawarkan pilihan wangian untuk lelaki. Perfume Paradise juga aktif dalam kolaborasi bersama influencer, kempen pengiklanan holistik, dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat seperti Kongsi Kasih, sejajar dengan misi untuk menyebarkan kebahagiaan dan kebaikan melalui wangian.
Bagi Raqim Ahmad, Ketua Kandungan Saluran Astro, program Kongsi kasih adalah usaha Astro untuk menyebarkan kasih sayang dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. “Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik sambil menyemarakkan semangat kemasyarakatan.
“Kami amat berharap program ini mendapat maklum balas yang positif daripada masyarakat dan mampu memberi manfaat yang sedikit sebanyak menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba. Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk terus menyebarkan kebaikan.”
Saksikan tayangan perdana Kongsi Kasih Jejak Jalanan di Astro Prima, setiap Jumaat jam 7 malam bermula 14 Februari ini, dan hayati kisah-kisah penuh inspirasi yang menyentuh hati. Mari bersama kami menyebarkan kasih dan kebaikan kepada komuniti yang memerlukan.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Empat pelajar Tingkatan Lima yang disyaki terlibat dalam kes rogol pelajar Tingkatan Tiga di Melaka telah dibuang sekolah serta-merta oleh pihak berkuasa pendidikan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata keputusan itu dibuat oleh Lembaga Tata Tertib Sekolah yang bersidang pada hari ini selepas meneliti laporan penuh berkaitan kejadian.
Tindakan Tegas Kementerian Pendidikan Malaysia
Menurut Dr Mohd Azam, tindakan buang sekolah diambil sebagai langkah tegas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar lain, serta memberi mesej jelas bahawa salah laku seksual tidak akan dikompromi dalam mana-mana institusi pendidikan.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di sini yang membincangkan perkembangan kes rogol pelajar Tingkatan Tiga di Melaka dan tindakan lanjut terhadap pelajar terlibat.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad ketika sidang media khas di KPM hari ini. – NSTP/ Mohd Fadli Hamzah
Jaminan Hukuman Sewajarnya Kepada Suspek
Terdahulu, kerajaan memberi jaminan bahawa semua suspek dalam kes rogol di sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka itu akan dikenakan hukuman sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan bahawa faktor usia di bawah 18 tahun bukan alasan untuk mana-mana suspek terlepas daripada tindakan undang-undang.
Tindakan Undang-Undang Mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan
Beliau menambah bahawa tindakan merogol adalah jenayah serius, dan pertuduhan terhadap suspek boleh dibuat di mahkamah berasingan bergantung kepada kelompok usia pelaku ketika kejadian berlaku.
Kelmarin, empat pelajar Tingkatan Lima direman selama enam hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol pelajar Tingkatan Tiga di Melaka. Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana, ke atas semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon SPM.
Kementerian Prihatin Terhadap Mangsa
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa kesejahteraan mangsa salah laku seksual di Melaka akan terus diberi perhatian penuh. Tindakan buang sekolah yang diambil terhadap pelajar bersalah merupakan langkah segera bagi menjaga keselamatan pelajar lain dan memastikan persekitaran sekolah kekal kondusif serta bebas daripada ancaman salah laku.
Dalam masa sama, pihak KPM turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberikan sokongan psikologi dan kaunseling kepada mangsa bagi membantu proses pemulihan emosi dan mental.
Kes ini menjadi peringatan penting kepada semua pihak agar terus memperkukuh nilai moral dan disiplin di sekolah, serta memastikan tindakan pantas diambil terhadap sebarang salah laku yang melibatkan pelajar.
“Kalau kita tak jumpa..jumpa di syurga – Minta tenangkan ibu, Imam Muda Asyraf kongsi pesanan terakhir PU Rahmat. Pendakwah terkenal, Imam Muda Asyraf, mendedahkan beberapa pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh rakan pendakwahnya, PU Rahmat Ikhsan, yang merupakan salah seorang peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
“Kalau Kita Tak Jumpa..Jumpa Di Syurga”- Minta Tenangkan Ibu, Imam Muda Asyraf Kongsi Pesanan Terakhir PU Rahmat
Dalam temu bual bersama Bernama Radio, beliau berkata PU Rahmat sempat menitipkan pesan agar rakan-rakannya menenangkan hati ibunya serta menyampaikan perkara-perkara baik mengenai perjalanan misi tersebut.
MINTA TENANGKAN IBUNYA, BERI KHABAR GEMBIRA BUKAN KHABAR KETAKUTAN
“Dia meminta rakan-rakan untuk tenangkan ibunya dan beri khabar gembira dan bukan khabar ketakutan. Ceritalah ini adalah sebuah kemenangan dan tidak akan berlaku apa-apa keganasan. Alhamdulillah, setakat ini pun kita tidak nampak unsur keganasan yang berlaku,” kata Imam Muda Asyraf.
Selain itu, beliau turut menceritakan detik terakhir PU Rahmat sebelum ditahan pihak berkuasa Israel pada awal pagi Khamis.
“Pada pukul 4.30 pagi, dia minta maaf, sampaikan salam, minta jagakan mak, jaga diri dan dia mohon doa… kalau tak jumpa (di dunia), jumpa di syurga,” ujarnya.
HIMPUNAN SOLIDARITI
Imam Muda Asyraf antara yang hadir dalam himpunan solidariti di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Khamis tengah hari, sebagai bantahan terhadap tindakan Israel menyekat pelayaran flotila kemanusiaan itu.
Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan semua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF berada dalam keadaan selamat dan akan dibawa pulang melalui sebuah negara ketiga.
Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa penahanan yang dilakukan rejim Zionis adalah tidak sah serta menuntut pembebasan segera semua peserta flotila. Mereka juga menekankan supaya sukarelawan dilayan dengan penuh hormat mengikut prinsip undang-undang antarabangsa.
Fizz Fairuz tinggalkan Suria FM demi keluarga dan anak-anak. Fizz Fairuz undur diri sebagai penyampai radio Suria FM selepas 1 tahun 6 bulan. Pelakon berpengalaman, Datuk Fizz Fairuz, mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya sebagai penyampai radio Suria FM selepas 18 bulan bersama segmen Morning Morning Suria.
Fizz Fairuz Tinggalkan Suria FM Demi Keluarga Dan Anak-anak
Dalam siaran terakhirnya hari ini, Fizz yang kelihatan sebak, mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Suria FM atas peluang yang diberikan sepanjang perkhidmatannya sebagai penyampai.
“Hari ini adalah hari terakhir saya di Suria FM. Terima kasih banyak kepada seluruh pasukan, minta maaf atas setiap silap dan salah saya selama saya di sini, saya pula seorang yang terlalu sempurna mungkin ada orang sukar ikut dan sebaliknya,” katanya penuh emosi.
Menurut Fizz, kerjaya sebagai penyampai radio merupakan antara impiannya sejak dahulu dan dia bersyukur dapat merealisasikan cita-cita itu.
“Terima kasih banyak sebab beri peluang untuk saya merasa dan realisasikan impian untuk menjadi penyampai radio. Saya sudah jadi pengarah, pelakon dan kini di radio. Saya jadi penyampai radio ini pun saya minat termasuk suka melakukan drama radio.
Akhirnya tercapailah impian saya untuk jadi penyampai radio,” katanya lagi.
Dalam ucapan perpisahannya, Fizz turut menitipkan amanat istimewa kepada rakan penyampainya, Ajak Shiro dan Kai Hassan agar meneruskan rutin yang dekat di hatinya – mengingatkan pendengar agar tidak melupakan solat Subuh.
“Jangan lupa, segmen saya sebelum ini pada pukul 6 pagi ialah mengingatkan pendengar agar tunaikan solat subuh. Beritahu kepada mereka (pendengar). Sejadah yang saya gunakan itu, saya tinggalkan di sini, gunalah,” ujar Fizz.
Menjelaskan keputusannya untuk tidak menyambung kontrak, Fizz berkata fokusnya kini lebih terarah kepada keluarga, terutamanya anak-anak yang masih kecil dan isterinya, pelakon Almy Nadia, yang sebelum ini terpaksa menguruskan mereka seorang diri setiap pagi.
“Saya rasa cukup rasanya untuk tempoh satu tahun enam bulan ini sebab anak saya masih kecil. Saya juga mahu uruskan anak-anak, kasihan kepada isteri yang terlalu sibuk.
Saya ambil pendekatan untuk sama-sama berkorban, Insya-Allah rezeki itu ada di mana-mana. Jadi saya mahu kembali dalam dunia seni untuk berlakon drama dan filem,” katanya.
Fizz mula menyertai Suria FM secara rasmi pada 21 Januari 2024 dengan kontrak awal selama setahun, dan kemudian diteruskan beberapa bulan lagi sebelum beliau membuat keputusan untuk berundur.
Dalam pada itu, Almy Nadia menerusi InstaStory menyatakan sokongan dan doa buat suaminya, mendoakan agar kehidupan mereka dilimpahi keberkatan serta dijauhkan daripada individu berniat tidak baik.
“Permulaan yang baik, di hari Jumaat yang baik, ditemukan dengan orang yang baik, dijauhi dengan orang yang hati busuk dan suka aniaya orang. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah. Love you sayang, i always love you. Mama sentiasa ada dengan sayang,” tulis Almy.
Dalam satu lagi hantaran, Almy merakam detik gembira melihat Fizz pulang ke rumah selepas menamatkan tugasan terakhirnya sebagai penyampai radio.
“Yeay, dia sudah pulang. Kereta yang dipandunya itu akan jadi milik saya, hantar anak-anak ke sekolah,” katanya sambil menyambut kepulangan suaminya dengan ceria.