
Sahabat sejati: rakan karib ziarah pusara murid tahun tiga maut terjatuh dalam lubang kumbahan setiap hari. Pemergian seorang murid Tahun Tiga yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu meninggalkan kesan mendalam buat rakan baiknya.
Sejak jenazah Abdul Fatah Khairol Rizal selamat disemadikan, sahabat karibnya, Qarnain, tidak pernah gagal menziarahi pusara arwah.
Beberapa keping gambar yang memaparkan Qarnain duduk di atas kerusi sambil meratapi kehilangan rakan sekelasnya itu tular dan menyentuh hati ramai.
Bapa Allahyarham, Khairol Rizal Mustafar, 42, berkata beliau sendiri terkesan dengan ketulusan persahabatan kedua-dua kanak-kanak itu sehingga memilih untuk memuat naik gambar berkenaan di media sosial.
“Gambar itu dikongsi oleh ayah Qarnain kepada saya dan melihatnya membuatkan saya sendiri sedih kerana anak sekecil itu sudah mengerti nilai persahabatan.
“Saya simpannya di TikTok supaya bila rindu, saya boleh tengoknya bila-bila masa,” katanya.
Menurut Khairol Rizal, anaknya dan Qarnain bersahabat rapat sejak berada di Tahun Tiga kerana mereka duduk bersebelahan di dalam kelas. Hubungan itu semakin erat selepas berkongsi kelas yang sama.
“Saya juga ada jumpa guru kelas anak dan diberitahu tentang perubahan Qarnain yang dulunya agak aktif, tetapi sekarang lebih banyak diam.
“Saya faham dia berasa kehilangan arwah dan saya juga sudah beritahu ayahnya supaya beri motivasi dan semangat kerana bimbang kesedihannya berpanjangan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tindakan lanjut terhadap pihak berkaitan berhubung isu penutup lubang kumbahan yang tidak selamat, Khairol Rizal memaklumkan beliau masih belum membuat keputusan.
Katanya, beliau dan isteri kini masih dalam fasa menenangkan diri dan menunggu laporan penuh hasil siasatan.
“Saya dan isteri tak fikir pun lagi. Saya tak tahulah akan datang, tapi buat masa ini kami dalam tempoh bertenang,” ujarnya.
Dalam insiden Sabtu lalu, Abdul Fatah dipercayai terjatuh selepas memijak penutup lubang kumbahan jenis fiber di kawasan sekolah kira-kira jam 9 pagi ketika acara sukan berlangsung.
Tragedi tersebut turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin.
Susulan kejadian, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pihaknya akan mengambil tanggungjawab penuh bagi menjalankan siasatan terperinci.
Beliau turut memberi jaminan laporan lengkap siasatan akan disiapkan segera bagi memastikan tragedi seumpama itu tidak berulang lagi.
Sumber: Sinar Harian dan TikTok abifattah
Artikel lain: Arwah Beritahu Nak Meninggal Masa Kecil, Mahu Terus Masuk Syurga
Lelaki Selam Lubang Kumbahan Selamatkan Murid Tahun Tiga Macam Angkat Sekeping Kertas…Ringan..
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my