Kerohanian

Rayuan Haji Melalui PJH Berjaya, Wanita Kongsi Pengalaman Pilih Pakej Ikut Kemampuan

Share

Rayuan haji PJH menjadi antara ikhtiar yang boleh dilakukan oleh bakal jemaah yang masih belum menerima giliran menunaikan ibadah haji melalui Lembaga Tabung Haji.

Bagi pasangan suami isteri yang sudah lama memasang impian untuk menjadi tetamu Allah, peluang membuat rayuan melalui saluran Pengelola Jemaah Haji (PJH) boleh menjadi salah satu usaha yang wajar dipertimbangkan, asalkan mengikut prosedur yang betul dan memilih syarikat yang berlesen.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, seorang wanita dikenali sebagai Sue Sulaiman berkongsi pengalamannya apabila rayuan haji PJH yang dibuat berjaya, sekali gus membolehkannya menunaikan ibadah haji pada musim 1447H/2026.

Rayuan Haji PJH Dibuat Melalui THiJARI

Menurut Sue, rayuan boleh dibuat menerusi aplikasi THiJARI dengan memilih pilihan rayuan PJH yang disediakan.

Pada masa sama, bakal jemaah juga perlu memaklumkan kepada syarikat PJH yang ingin dipilih. Ini kerana hanya satu syarikat sahaja boleh dipilih daripada senarai Pengelola Jemaah Haji yang dilesenkan oleh Tabung Haji.

Bagi Sue dan suami, keputusan memilih PJH tidak dibuat secara tergesa-gesa. Mereka terlebih dahulu meneliti beberapa syarikat yang menawarkan pakej haji bagi memastikan pilihan tersebut benar-benar sesuai dengan kemampuan kewangan serta keperluan sepanjang berada di Tanah Suci.

Pilih Pakej Ikut Kemampuan

Sue berkata, harga menjadi antara faktor utama yang dipertimbangkan. Namun, ia bukan satu-satunya perkara yang perlu dinilai sebelum membuat keputusan.

Selain kemampuan kewangan, bakal jemaah juga disaran meneliti beberapa aspek penting seperti:

  • Jarak hotel di Makkah dan Madinah.
  • Atur cara ibadah haji yang hampir dengan sunnah Rasulullah SAW.
  • Pergerakan ke Mina pada Hari Tarwiyah.
  • Jadual aktiviti sepanjang berada di Tanah Suci.
  • Pengalaman dan maklum balas jemaah terdahulu.
  • Kualiti pengurusan serta bimbingan mutawif.

Antara perkara yang turut menjadi pertimbangannya ialah susunan ibadah yang hampir dengan sunnah Rasulullah SAW serta kelancaran pergerakan sepanjang musim haji.

Maklum balas positif daripada kenalan yang pernah menunaikan haji bersama syarikat tersebut juga menjadi antara sebab Sue dan suami yakin untuk membuat pilihan.

“Alhamdulillah, Dengan Izin Allah Rayuan Kami Berjaya”

Sue meluahkan rasa syukur apabila rayuan haji PJH yang dibuat akhirnya diterima.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah, rayuan kami berjaya. Dari hari pertama berhubungan dengan PIC kami, hanya 100% melalui WhatsApp sahaja. Jumpa face to face first time masa kursus intensif.

Sangat memudahkan urusan, menjawab segala pertanyaan dan soalan kami dengan pantas dan efisien.”

Menurut Sue, urusan bersama syarikat PJH yang dipilih berjalan lancar. Komunikasi banyak dilakukan menerusi WhatsApp, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan maklumat, bertanya soalan serta membuat persediaan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pengurusan Teratur, Jemaah Lebih Tenang

Sepanjang menunaikan ibadah haji, Sue berkata antara perkara yang memberi keselesaan ialah pengurusan yang teratur, pengisian rohani, bimbingan mutawif serta lokasi hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Bagi jemaah yang pertama kali menunaikan haji, bimbingan dan aturan sebegini sangat membantu kerana perjalanan haji memerlukan persediaan fizikal, mental dan rohani, di samping kefahaman terhadap setiap rukun serta wajib haji.

Sue turut berkongsi bahawa setiap pergerakan jemaah dimaklumkan lebih awal melalui taklimat serta memo yang dihantar dalam kumpulan WhatsApp.

“Pergerakan masyair haji bermula tengah malam 7 Zulhijjah untuk ke Mina, sunnah Hari Tarwiyah. Pergerakan sangat teratur walaupun dah tengah malam.

Setiap kali akan berlaku pergerakan, pengurusan dan mutawif akan bagi taklimat, memo juga dihantar melalui WhatsApp group.”

Menurutnya, pendekatan tersebut memberi keyakinan kepada jemaah kerana setiap aktiviti telah disusun dengan jelas dan dimaklumkan lebih awal, sekali gus mengurangkan kekeliruan ketika berada di Tanah Suci.

Jadi Panduan Buat Bakal Jemaah

Di akhir perkongsiannya, Sue berharap pengalaman tersebut dapat menjadi panduan kepada bakal jemaah yang bercadang membuat rayuan haji PJH pada musim haji akan datang.

Apa yang penting, bakal jemaah perlu membuat semakan dengan teliti, memilih syarikat PJH yang berlesen, memahami pakej yang ditawarkan serta memastikan keputusan dibuat mengikut kemampuan masing-masing.

Rezeki menjadi tetamu Allah datang dalam pelbagai cara. Ada yang menunggu giliran, ada yang dipanggil lebih awal dan ada juga yang diberi peluang selepas membuat rayuan.

Semoga setiap insan yang menyimpan impian untuk menunaikan haji dipermudahkan segala urusan, dimurahkan rezeki dan dijemput menjadi tetamu Allah pada waktu yang terbaik. Di samping berusaha melalui saluran yang sah, jangan putus berdoa dan sentiasa mengikuti pengumuman rasmi daripada Tabung Haji berkaitan proses rayuan serta pemilihan jemaah bagi musim haji yang akan datang.

BACA LAGI : Suami Belum Dapat Panggilan Haji, Buat Surat Rayuan Ni Untuk Jadi Mahram Isteri!

Sumber: Threads Sue Sulaiman