Remaja perempuan 14 tahun hilang, gagal dihubungi melalui telefon. Seorang pelajar tingkatan dua, Nor Alieya Maisarah Mohd. Hassan, 14 tahun, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Taman Seri Telok Emas, Melaka, bersama beg sekolah dan beberapa helai pakaian.
Remaja Perempuan 14 Tahun Hilang, Gagal Dihubungi Melalui Telefon
Ibunya, Noorlaili Mahat, 53, berkata, kali terakhir dia melihat anak bongsunya itu adalah sekitar jam 4 petang pada hari kejadian, sebelum dia keluar untuk bekerja.
Menurut Noorlaili, kehilangan Maisarah hanya disedari anak keduanya yang berusia 16 tahun, apabila dia mendapati Maisarah tiada di rumah dan gagal dihubungi melalui telefon.
“KETIKA SAYA SEDANG BEKERJA, ANAK SAYA HUBUNGI DAN BERITAHU ADIK (MAISARAH) TAK ADA DI RUMAH. KAMI CUBA TELEFON DIA BERKALI-KALI, TAPI LANGSUNG TAK DAPAT SAMPAI SEKARANG,” KATANYA.
Tambah Noorlaili lagi, apabila dia pulang ke rumah, dia mendapati beg sekolah dan beberapa pakaian milik Maisarah turut hilang. Susulan itu, laporan polis telah dibuat pada hari yang sama.
Ads
Berkongsi lanjut, Noorlaili memaklumkan bahawa sebelum kejadian, Maisarah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik atau berkelakuan seperti sedang merajuk.
“Kami sekeluarga buntu, Adik bukan jenis yang bebas keluar sesuka hati. Setahu saya, dia juga tidak ada teman lelaki,” katanya.
Pihak keluarga kini merayu orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu mengesan remaja tersebut.
Isteri kepada pelakon terkenal Datuk Fizz Fairuz, Datin Almy Nadia, berkongsi pengalaman dan tip berpuasa bagi ibu yang menyusukan bayi.
Menurutnya, perkara paling utama yang perlu dititikberatkan ialah tidak meninggalkan sahur, kerana ia amat penting untuk memastikan bekalan susu badan tidak berkurang sepanjang tempoh berpuasa.
“Saya memang wajib sahur, tak boleh tinggal langsung. Sebab kalau tak sahur, nanti susu cepat drop. Saya fully breastfeed, anak pun baru nak masuk 6 bulan, jadi memang kena jaga betul-betul pemakanan,” ujar Almy.
Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan pengambilan makanan yang seimbang, khususnya nasi sebagai sumber tenaga utama.
“Saya memang pastikan makan nasi setiap hari, masa sahur dan berbuka. Nasi ni penting sebab ia bagi tenaga dan bantu penghasilan susu. Minum air pun kena cukup, jangan skip.”
Untuk mengekalkan hidrasi sepanjang hari, Almy turut mengesyorkan ibu menyusu agar minum air secukupnya dan mengambil kurma sebagai sumber tenaga semula jadi. Jika ada suplemen yang sesuai, ia juga boleh membantu, tetapi yang paling penting adalah pemakanan yang cukup dan seimbang.
Selain aspek fizikal, Almy turut menasihatkan ibu menyusu supaya sentiasa berfikiran positif. Menurutnya, emosi yang baik boleh mempengaruhi penghasilan susu. “Kena selalu positif, jangan stres sangat. Kalau kita happy, susu pun akan mengalir dengan baik. Itu yang saya amalkan.”
Dalam perkongsian tersebut, Almy turut menyebut bahawa ibu hamil juga perlu lebih berhati-hati sekiranya ingin berpuasa. “Sama juga macam ibu mengandung, kalau nak puasa, wajib sahur. Jangan skip. Mesti makan nasi dan minum air secukupnya.”
Dengan pengalaman dan tip yang dikongsikan ini, diharapkan ibu-ibu menyusu yang berpuasa dapat terus menjalani ibadah dengan lancar dan memastikan keperluan bayi tetap terjaga.
Orang Melayu kaum paling ramai lahirkan bayi. Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 10.2 peratus iaitu 100,732 kelahiran pada suku kedua tahun ini berbanding 112,197 kelahiran pada tempoh sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan laporan Perangkaan Demografi bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 51,759 kelahiran berbanding 48,973 kelahiran.
Beliau berkata nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 47 bayi bagi setiap jam dan 1,119 bayi sehari pada suku kedua 2024,” katanya.
Mohd Uzir berkata, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,320 manakala kelahiran hidup terendah dicatatkan di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 324 kelahiran.
BELIAU BERKATA, ETNIK MELAYU MENYUMBANG 67.4 PERATUS ATAU 67,859 KELAHIRAN HIDUP DARIPADA JUMLAH KESELURUHAN PADA SUKU KEDUA 2024 BERBANDING 67.1 PERATUS DALAM TEMPOH SAMA TAHUN LALU.
Kelahiran hidup bagi etnik Cina dan India pula masing-masing menurun kepada 9.7 peratus dan 3.7 peratus berbanding 9.9 peratus dan 4.4 peratus bagi suku kedua 2023,
Sementara itu, Bumiputera lain mencatatkan peningkatan kelahiran hidup kepada 12.9 peratus berbanding 12.5 peratus untuk tempoh sama.
Mohd Uzir berkata, sebanyak 48,460 kematian telah direkodkan pada suku kedua 2024, iaitu penurunan 5.4 peratus berbanding 51,234 kematian bagi tempoh sama 2023.
KATANYA SELANGOR MEREKODKAN BILANGAN KEMATIAN TERTINGGI IAITU 7,459 KEMATIAN MANAKALA WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA MENCATATKAN BILANGAN KEMATIAN TERENDAH DENGAN 65 KEMATIAN.
Secara purata, Mohd Uzir berkata satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 538 kematian sehari pada suku kedua 2024.
Beliau berkata, penduduk Malaysia pada suku kedua tahun ini meningkat 1.9 peratus iaitu 34.1 juta berbanding 33.4 juta pada suku kedua 2023.
“Jumlah penduduk terdiri daripada 30.7 juta warganegara dan 3.4 juta bukan warganegara,” katanya.
Mohd Uzir berkata komposisi penduduk bekerja berumur 15-64 tahun dan penduduk tua berumur 65 tahun ke atas masing-masing meningkat kepada 23.9 juta dan 2.6 juta, berbanding 23.3 juta dan 2.5 juta pada suku kedua tahun lalu.
Dr Ahmad Sanusi Tegur, “Jangan normalisasikan maksiat.” Dalam dunia hari ini, kita semakin melihat perkara yang dahulunya dianggap salah, kini diterima sebagai kebiasaan. Sama ada dalam media sosial, hiburan, mahupun kehidupan seharian, batasan antara yang baik dan yang buruk semakin kabur.
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat hari ini. Apa yang dulunya dianggap tabu kini menjadi perkara biasa, hanya kerana ia kerap dipaparkan di skrin telefon kita. Pergaulan bebas dipamerkan secara terbuka, pakaian seksi dianggap fesyen, hiburan melalaikan dijadikan norma – semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah.
Lebih membimbangkan, ramai yang berbangga dengan perbuatan maksiat. Jika dahulu orang melakukan dosa dalam sembunyi, kini ia dipamerkan untuk mendapat likes dan followers. Kita seakan-akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat, walaupun manusia tidak.
Apabila kita terlalu kerap melihat sesuatu perkara, kita akan menjadi terbiasa dengannya. Inilah bahaya normalisasi maksiat. Apa yang pada awalnya membuat kita rasa janggal atau bersalah, lama-kelamaan kita anggap biasa sahaja. Daripada biasa, kita mula membela dan mempertahankan. Akhirnya, kita sendiri jadi sebahagian daripada budaya itu.
Sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku. Dosa tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan. Malah, orang yang menegur pula dianggap “kolot”, “bajet alim”, atau “suka jaga tepi kain orang”.
Ini bukan soal menjadi terlalu konservatif atau menghukum orang lain, tetapi tentang menjaga nilai moral dan agama yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.
1. Bagi yang belum berkahwin, janganlah pula kita menormalisasikan perkara yang dilarang oleh Allah. Bertepuk tampar sesama pasangan yang belum mempunyai sebarang hubungan yang sah adalah dicegah dalam Islam.
2. Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan.
“Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (HR al-Tabrani)
3. Apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah Allah. Sekiranya perbuatan melakukan maksiat ini diikuti oleh anak muda yang lain, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu.
“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim)
4. Bagi orang awam pula, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah.
Sabda Rasulullah:
ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ
“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)
Semoga Allah membimbing kita.
Maksiat tidak sepatutnya dinormalisasikan, walau dalam apa jua bentuk sekalipun. Islam bukan agama yang menyekat kebebasan, tetapi agama yang membimbing kita ke jalan yang benar. Jika kita benar-benar sayangkan agama, sayangkan diri, dan sayangkan masyarakat, kita harus berani berkata tidak kepada budaya normalisasi maksiat.
Kerana yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya. Dan yang benar tetap benar, walaupun hanya sedikit yang mengikutinya.