Bila cakap tentang diet, pasti bab makanan yang menjadi isu. Pemilihan makanan yang sesuai penting supaya diet yang dilakukan berhasil. Silap makan, bukan berat berkurangan sebaliknya kian bertambah.
Bagi yang tengah mencari menu yang sesuai, ringkas dan mudah disediakan, mungkin boleh cuba kubis roll ini sebagai salah satu menu di rumah. Caranya cukup ringkas, bahannya pun tak susah nak cari. Rasanya pula dah tentulah sedap. Yang penting Diet menjadi!
Apa kata kita cuba resipi sumbangan Puan Noorazian Muhamad Xiyans Muhamad
ini. Katanya sesuai juga untuk seisi keluarga.
Bahan-bahan
Kubis cina (untuk roll)
Daun bawang (untuk mengikat)
Daging kisar / ayam kisar
1/2 biji bawang holland cincang
1/2 btg carrot cincang
Cili merah cincang
Hirisan daun bawang
Garam
Serbuk lada hitam
Minyak bijan – 1 sudu teh
Cara membuat:
1. LERAIKAN KUBIS
Mula-mula, leraikan kubis satu-persatu. Kalau boleh jangan terkoyak.
Saya guna kubis Cina sebab lembut dan warnanya pun cantik lepas dicelur.
2. CELUR KUBIS & BAWANG
Kemudian celurkan kubis dalam 6-8 minit. Masukkan sedikit garam dalam air mendidih.
Daun bawang pun dicelur sekejap.
Ads
3. SEDIAKAN INTI
Intinya tadi cuma gaulkan semua bahan-bahan di atas kecuali kubis dan daun bawang yang nak digunakan untuk menggulung.
Jadi masukkan daging kisar / ayam kisar, bawang, carrot, cili, garam, lada hitam, minyak bijan semua ke dalam sebuah bekas.
Tak perlu masak dulu sebab masa kukus nanti ia akan masak.
Gaul sebati.
Ads
4. GULUNG
Kemudian dah bolehlah gunakan inti tadi untuk digulung dalam kubis yang telah dicelur.
Gulungkan macam biasa, lebih kurang macam gulung kuih ketayap.
5. IKAT
Kemudian boleh ikat dengan daun bawang supaya gulungan tadi lebih kukuh.
6. KUKUS
Lepas tu, kukus dengan api sederhana selama lebih kurang 10-15 minit.
Ads
7. SIAP!
Dah siap pun. Beginilah hasilnya.
Mudah saja. Sedap tau, orang yang tak gemar makan sayur pun mesti akan suka.
Sedap dicicah dengan sos atau dimakan begitu saja.
BOLEH PELBAGAIKAN INTINYA
Anda boleh pelbagaikan intinya ikut citarasa masing-masing. Contohnya saya ada juga buat inti guna isi udang macam dalam gambar di bawah ini.
Memang lazat dan cukup mudah. Yang penting, sihat dan berkhasiat kan?
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kreatf… Demikian boleh diungkapkan pada kreativiti lelaki ini yang menukar tandas lama yang sudah tidak digunakan lagi kepada bilik yang menempatkan rumah untuk kucingnya. Cukup simple cara dekornya tetapi menarik dan kemas.
Ada sesetengah wanita memang ter-over dan gila-gila luar biasa. Betulke? Senang cakap, siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya. Dan jika dibaca artikel yang ditulis oleh Abdul Jalil Ali di dalam Majalah Keluarga edisi Julai-Ogos 2018 ini, memang menarik!
Dan ini antara pandangan dan luahan hatinya sebagai seorang suami dan lelaki dalam melihat ‘kegilaan’ minat wanita. Jom baca.
Perihal beg tangan dan tudung bawal
Tanpa prejudis, memang selalu ada andaian bahawa isteri saya berlebih-lebih, sehingga ke tahap membazir. Saya bercakap mengenai tudung bawal!
Seingat saya, sejak mula kahwin, hingga sekarang – sudah lebih tiga dekad berkongsi tilam – perihal kain penutup kepala itu kerap menjadi isu. Ada ketikanya isu tersebut berlarutan sehingga dia tidak bercakap dalam kereta, dan menunjukkan muncung ikan todak di meja makan.
Saya ada sebab tidak suka dia melebih-lebihkan tudung. Sebenarnya bukan sahaja tudung bawal, tetapi ada macam-macam design tudung lagi. Antara yang saya ingat ialah tudung ‘awning’, tudung belit leher, tudung bonjol unta, tudung layang-layang. Nama-nama ini saya beri mengikut cara tudung itu dipakai.
Bagi saya semua tudung itu, tidak kira apa material, design, warna atau corak, fungsinya hanya satu: menutup aurat seperti yang diwajibkan.
Mengapa perlu ada bawal, pari, awning dan semua itu? Tidakkah lebih mudah sekiranya ada dua, tiga atau lebih-lebih pun lima helai?
Saya membandingkan diri sendiri. Tidak pernah saya ada lebih dari dua helai singlet. Basuh satu, pakai satu lagi. Jika sudah koyak dan berlubang di perut, saya pakai untuk berkebun. Selagi tidak berlubang sana-sini seperti roti jala, saya tidak akan beli yang baru. Betul-betul menepati pepatah ‘alah membeli, menang memakai’.
Tetapi, dia pun ada alasan. Katanya, orang lelaki tidak sama dengan orang perempuan. Orang lelaki tidak kira ‘trendy’, main bantai sahaja, asal boleh pakai.
“Tetapi kita orang perempuan lain,” katanya. Lain itu ertinya cara berhias dan berfesyen wanita tidak semudah sarung dan sangkut. Mesti ada tema. Kalau baju biru muda, tudung mesti biru tua. Kasut, beg tangan dan lain-lain aksesori pun mesti sesuai dengan tema.
Kalau tema merah, semua kena dekat-dekat dengan merah. Demikian juga jika kuning, kelabu tahi anjing dan sebagainya, mesti bertema. Katanya: “Kalau tidak bertema, nampak loklak!”
Saya memang tidak ambil kisah bab tema-tema. Seluar coklat, kemeja biru, stokin hijau tua pun kira okey. Loklak-moklak, apa yang penting selesa. Sebab hendak bertema-tema itulah yang pantang tengok tudung bawal, dia akan sambar. Hendak ke majlis rasmi, cari tudung baru. Makan kenduri kahwin, tudung baru.
Cari awning baru juga jika ada acara-acara tidak rasmi seperti kenduri masuk rumah baru, majlis berkhatan sepupu, hatta panggil kawan pejabat minum petang di rumah. Selalu dia bertanya pandangan saya – agaknya untuk mengambil hati – jika berkenan dengan satu-satu bawal: “Sesuai tak yang ni dengan saya?”
Tidak kira apa warna, apa jenama, jawapan saya sama dan selalu selamba: “Biasa jer…” Cuma sekiranya yang dia berkenan itu di luar kemampuan dompet, saya akan komen: “Tak sesuai langsung, loklak semacam!”
Dulu-dulu memang saya selalu membebel setiap kali dia merengek minta tudung baru. Tetapi sekarang sudah tua, saya mengikut sahaja, biar dia puas sanubari. Lagi pun tudung bawal adalah satu-satu kesukaannya sejak zaman asmaradana. Dia tidak pernah minta banglow mewah siap kolam renang, tidak juga emas berlian. Tambahan pula si bawal yang dia suka bukanlah dari jenama yang harga RM ribu-ribu. Waktu mula-mula kahwin dia sudah puas hati dengan tudung berharga RM10 atau RM15 sehelai.
Sekarang oleh sebab ada rezeki sikit, dan anak-anak sudah bekerja, dia memilih bawal atau l atau awning RM60 – RM70, lebih-lebih pun RM100. Ada juga pada hari-hari tertentu, seperti hari jadi atau hari ulang tahun perkahwinan, sengaja saya suruh dia sambar emak bawal RM300 sehelai. Katanya: “Tak mahal sangat ker?” Pulak!
Oleh sebab terlalu banyak, saya sendiri tidak pasti apakah dia ada masa dan kesempatan untuk memakai semua tudung-tudung yang beraneka itu.Apa yang saya pasti ruang baju saya di almari besar itu semakin sempit, sebab lebih banyak ruang digunakan untuk menggantung bawal. Sebab itu saya kata dia sudah terlebih!
Sesetengah wanita memang ter-‘over’ dan gila-gila luar biasa
Tetapi, rupanya bukan dia sahaja yang berlebih-lebih. Saya berbual dengan rakan-rakan sekerja wanita, dan rata-rata mempunyai perangai ter-‘over-over’.
Dalam kalangan wanita bekerja, ramai yang terlebih-lebih baju. Kalau boleh setiap hari dalam sebulan pergi ke pejabat dengan baju baru. Tidak mahu ulang pakai baju yang sama.
Maka saya tidak terkejut apabila seorang rakan wartawan memberitahu isterinya mempunyai tiga almari baju; boleh buka butik sendiri, dan boleh adakan SALE sendiri di rumah.
Alkisah ada juga wanita yang gila-gilanya pada pinggan mangkuk. Pantang ada ‘rumbungan Cik Kiah’ ke Langkawi dia mesti ikut sebab di Pulau Mahsuri itu dikatakan pinggan mangkuk memang murah. Ada macam-macam set minum petang, set makan malam, set sarapan, dan set-set makan lain. Tidak muat lagi untuk disimpan dalam almari, dia membuat satu stor khas hanya untuk menyimpan pinggan mangkuk yang bertimbun itu.
Minat paling teruk lagi menyeramkan yang pernah saya dengar, dan lihat sendiri, ialah kegilaan mengumpul pisau. Saya pernah berkunjung ke kediaman opah bercucu sembilan ini dan ditunjukkan satu lemari penuh dengan pisau.
Hatta, ada juga wanita yang tahap ‘ovr’-nya melampaui paras normal, hingga sukar untuk diterima akal. Dia memiliki sejumlah kira-kira 300 beg tangan. Dia mungkin boleh dimasukkan dalam ‘Book of World Records’ sebagai wanita paling banyak memiliki beg tangan. Dengan hanya dua tangan yang dikurniakan Allah, ramai tertanya-tanya bagaimana dan bila beg-beg tangan tersebut dapat digunakan.
Tambahan pula beg tersebut semuanya berjenama supermewah, harganya setiap satu bukan RM ribu-ribu,tetapi RM puluhan, dan RM ratusan ribu. Malah, ada yang harganya mencecah RM 1 juta.
Selain beg tangan yang nilainya jutaan RM itu, wanita ini juga meminati intan berlian, berkotak-kotak disimpan di dalam rumah. Setakat rencana ini ditulis, belum diketahui berapa nilai sebenar berlian yang banyak itu. Isteri saya memiliki 300 tudung bawal, harganya tidak lebih RM100 sehelai. Sedangkan ada orang memiliki 300 beg tangan mewah yang harganya setiap satu RM100,000.
Betullah, sesetengah wanita memang ter-‘over-over’!
sumber : Majalah Keluarga Julai-Ogos 2018
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Siapa yang tak kenal dengan Datin Zizie Izette. Dia rajin berkongsi perihal aktiviti keluarga dan anak-anak menerusi laman sosialnya.
Ceria dan tampak begitu mesra Datin Zizie Izette bersama madunya serta suami dalam satu sesi fotografi.
Kemesraan Zizie bersama Dato’ Bung Mokhtar dan madunya, Datin Nor Asidah Alimuddin jelas terpancar menerusi dua video yang dimuatnaik menerusi dua potong video.
Sebelum ini, jarang sekali dapat melihat mereka bergambar bersama, namun sempena Aidilfitri ini dikongsikan buat tatapan ramai menerusi laman Instagram Zizie.
Menurut Zizie dalam nada bergurau, Dato’ Bung tidak suka isteri yang kurus tetapi suka isteri yang comel-comel seperti mereka.
Fyi, suami kami tak minat yg kurus2, taste dia yg comel2 mcm kami. 😄
Tgk riak wajah @bungmoktar yg kelihatan begitu ceria.
Kaum Adam yg teringin mcm kami jgnlah cemburu ya.
Kalau nak pg menuntut ilmu dgn panglima perang Sabah ni. 😂😂😂
Demikian kapsyen yang dimuatnaik Zizie bersama dua keping video pendek.
Sememangnya keceriaan Di wajah Dato’ Bung jelas kelihatan apatah lagi diapit oleh isteri-isteri tersayang.
kapsyen Dari isteri kesayangan Datuk Bung Mokhtar Itu nyata mengundang reaksi ramai. Rata-rata mendoakan pasangan ini terus bahagia. Tak kurang juga yang meminta dikongsikan tip.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di