Bila cakap tentang diet, pasti bab makanan yang menjadi isu. Pemilihan makanan yang sesuai penting supaya diet yang dilakukan berhasil. Silap makan, bukan berat berkurangan sebaliknya kian bertambah.
Bagi yang tengah mencari menu yang sesuai, ringkas dan mudah disediakan, mungkin boleh cuba kubis roll ini sebagai salah satu menu di rumah. Caranya cukup ringkas, bahannya pun tak susah nak cari. Rasanya pula dah tentulah sedap. Yang penting Diet menjadi!
Apa kata kita cuba resipi sumbangan Puan Noorazian Muhamad Xiyans Muhamad
ini. Katanya sesuai juga untuk seisi keluarga.
Bahan-bahan
- Kubis cina (untuk roll)
- Daun bawang (untuk mengikat)
- Daging kisar / ayam kisar
- 1/2 biji bawang holland cincang
- 1/2 btg carrot cincang
- Cili merah cincang
- Hirisan daun bawang
- Garam
- Serbuk lada hitam
- Minyak bijan – 1 sudu teh
Cara membuat:
1. LERAIKAN KUBIS
Mula-mula, leraikan kubis satu-persatu. Kalau boleh jangan terkoyak.
Saya guna kubis Cina sebab lembut dan warnanya pun cantik lepas dicelur.
2. CELUR KUBIS & BAWANG
Kemudian celurkan kubis dalam 6-8 minit. Masukkan sedikit garam dalam air mendidih.
Daun bawang pun dicelur sekejap.
3. SEDIAKAN INTI
Intinya tadi cuma gaulkan semua bahan-bahan di atas kecuali kubis dan daun bawang yang nak digunakan untuk menggulung.
Jadi masukkan daging kisar / ayam kisar, bawang, carrot, cili, garam, lada hitam, minyak bijan semua ke dalam sebuah bekas.
Tak perlu masak dulu sebab masa kukus nanti ia akan masak.
Gaul sebati.
4. GULUNG
Kemudian dah bolehlah gunakan inti tadi untuk digulung dalam kubis yang telah dicelur.
Gulungkan macam biasa, lebih kurang macam gulung kuih ketayap.
5. IKAT
Kemudian boleh ikat dengan daun bawang supaya gulungan tadi lebih kukuh.
6. KUKUS
Lepas tu, kukus dengan api sederhana selama lebih kurang 10-15 minit.
7. SIAP!
Dah siap pun. Beginilah hasilnya.
Mudah saja. Sedap tau, orang yang tak gemar makan sayur pun mesti akan suka.
Sedap dicicah dengan sos atau dimakan begitu saja.
BOLEH PELBAGAIKAN INTINYA
Anda boleh pelbagaikan intinya ikut citarasa masing-masing. Contohnya saya ada juga buat inti guna isi udang macam dalam gambar di bawah ini.
Memang lazat dan cukup mudah. Yang penting, sihat dan berkhasiat kan?