
Memiliki rumah sendiri pastinya menjadi impian setiap keluarga. Namun, harga rumah yang semakin tinggi serta kekangan kewangan menyebabkan ramai masih belum mampu memiliki kediaman yang selesa untuk keluarga tersayang.
Berita baik buat golongan berpendapatan rendah! Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) memberi peluang kepada isi rumah berpendapatan antara RM750 hingga RM5,000 untuk membina kediaman sendiri dengan bantuan subsidi kerajaan.
Menerusi perkongsian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di media sosial, program yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) ini menyasarkan mereka yang belum memiliki rumah atau tinggal di rumah usang dan tidak sempurna.

Rumah Mesra Rakyat Tawar Subsidi RM20,000
Berdasarkan perkongsian KPKT yang dirujuk, Rumah Mesra Rakyat ditawarkan pada harga bermula RM90,000 dengan bayaran bulanan serendah RM350.
Program ini turut menyediakan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 bagi membantu meringankan kos pembinaan rumah.
Kediaman yang dibina berkonsepkan rumah setingkat dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan keluasan 750 kaki persegi, sesuai untuk keperluan asas sesebuah keluarga.
Bagaimanapun, harga serta bayaran bulanan sebenar tertakluk kepada ketetapan pembiayaan SPNB.
Oleh itu, pemohon disarankan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak SPNB bagi mengetahui jumlah pembiayaan, komitmen bayaran bulanan serta syarat yang ditetapkan sebelum membuat permohonan.
Syarat Kelayakan Mohon Rumah Mesra Rakyat
Antara syarat yang perlu dipenuhi pemohon ialah:
- Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
- Pemohon berusia melebihi 43 tahun perlu mempunyai pemohon bersama, tertakluk kepada ketetapan SPNB.
- Pendapatan bulanan isi rumah antara RM750 hingga RM5,000.
- Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang dan tidak sempurna.
- Terbuka kepada individu berkahwin, bujang, ibu atau bapa tunggal, balu, janda dan duda.
- Mempunyai tanah yang sesuai untuk pembinaan dan bebas daripada gadaian atau sekatan. Jika bukan pemilik tanah, kebenaran tuan tanah diperlukan.
- Keluasan tanah sekurang-kurangnya 3,000 kaki persegi, tertakluk kepada reka bentuk rumah.
Kelulusan permohonan bergantung kepada penilaian serta peruntukan kewangan tahunan SPNB.
Selain memenuhi syarat pendapatan, pemohon juga perlu memastikan status tanah yang dicadangkan untuk pembinaan adalah jelas dan sesuai. Perkara ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses semakan serta penilaian permohonan dijalankan.
Cara Mohon Rumah Mesra Rakyat Secara Online
Bagi yang memenuhi syarat, permohonan boleh dibuat melalui laman web rasmi www.spnb.com.my.
Pemohon perlu mendaftar akaun, melengkapkan borang permohonan secara dalam talian sebelum mencetak dan menghantarnya bersama dokumen sokongan ke pejabat cawangan SPNB berhampiran.
Antara dokumen diperlukan termasuk salinan kad pengenalan, geran tanah, bukti pendapatan tiga bulan terkini serta surat pengesahan status pemilikan rumah.
Menurut SPNB, maklum balas permohonan diberikan dalam tempoh tiga bulan, manakala kelulusan tertakluk kepada peruntukan semasa.
Dokumen Penting Sebelum Menghantar Permohonan
Bagi melancarkan urusan permohonan, pemohon digalakkan menyediakan semua dokumen sokongan lebih awal dan memastikan maklumat yang diberikan adalah lengkap serta tepat.
Jika tanah yang ingin digunakan bukan atas nama pemohon, pastikan kebenaran daripada pemilik tanah diperoleh mengikut keperluan yang ditetapkan oleh SPNB.
Pemohon juga boleh menghubungi pejabat cawangan SPNB untuk mendapatkan penjelasan lanjut sekiranya terdapat sebarang kekeliruan berkaitan dokumen atau proses permohonan.
Semak Kelayakan Sebelum Membuat Permohonan
Justeru, buat keluarga yang mempunyai tanah tetapi masih belum berkemampuan membina rumah sendiri, bolehlah menyemak kelayakan program ini.
Walaupun bantuan subsidi yang ditawarkan dapat meringankan kos pembinaan, pemohon tetap perlu mengambil kira kemampuan kewangan masing-masing untuk menanggung bayaran bulanan sepanjang tempoh pembiayaan.
Maklumat berkaitan harga rumah, jumlah subsidi, syarat kelayakan serta kaedah permohonan juga wajar disemak dari semasa ke semasa kerana pelaksanaan program tertakluk kepada ketetapan dan peruntukan semasa.
Mana tahu, inilah peluang untuk merealisasikan impian memiliki rumah sendiri demi keselesaan keluarga tersayang.
Sumber: Facebook KPKT Malaysia

