Selalunya dalam enam biji balang kuih raya yang diletakkan tersusun cantik di atas meja, kuih muih berwarna warni selalunya menjadi perhatian kita.
Begitu juga dengan anak-anak kita yang secara semulajadinya memang mudah tertarik pada warna. Apa lagi kalau warna-warni. Pasti buat mata tak bergerak memandang.
Makanan yang berwarna pasti jadi tarikan anak-anak kita. Tak percaya? Jom buat resipi ni.
Bukan hanya kaya warna, malah cara nak buatnya pun senang sahaja. Perkongsian ibu muda, Zai Seroy Asyraf di facebooknya mendapat perhatian netizen.
Menariknya, ibu muda ini hanya guna empat bahan sahaja untuk buat samperit khas untuk anak-anak ini. Menarik dan paling penting samperit paddle popnya menjadi kesukaan anak-anak.
Jom kita cuba.
Samperit Susu Paddle Pop
Bahan-bahan:
250gm mentega
100gm tepung ubi
1/2 tin susu manis
450gm tepung jagung
Pewarna merah jambu, biru dan kuning.
Cara-cara:
1. Campurkan mentega dengan susu manis. Gaulkan rata tetapi jangan terlalu lama.
2. Masukkan tepung ubi bersama tepung jagung dan uli hingga adunan tidak melekat di tangan.
3. Bahagikan adunan kepada tiga warna dengan warna pink (strawberi), kuning (vanila) dan biru (keladi). Gentelkan menjadi kecil dan buat sampai habis adunan.
4. Ambil sedikit setiap warna dan gabungkan menjadi satu. Bila da siap cantumkan senang la nak masukkn dalam acuan…
5. Masukkan ke dalam acuan samperit dan paipkan di atas dulang yang telah disapu dengan mentega.
6. Letakkan coklat cip di bahagian tengah.
7. Bakar selama 13 minit dengan suhu 170 C, panas atas dan bawah. Pastikan letak loyang di rak paling bawah supaya tak hangus atasnya.. 😉
8. Angkat dan sejukkan.
Kredit: Zai Seroy Asyraf.
Bermain Dengan Anak Cara Praktikal Bantu Turunkan Berat Badan. Selain Menggembirakan, Buat Anda Berpeluh. Wow Terlajak Mudah Ni!
Susahnya mengikuti program penurunan berat badan menyebabkan ia sering gagal serta membuat ramai orang lebih tertekan. Namun, terdapat beberapa cara yang baik untuk menurunkan berat badan.
Sebenarnya, menurunkan berat badan bukan perkara yang mudah. Agar tidak memberi tekanan yang lebih berat dan besar pada pengamalnya, adalah lebih praktikal untuk ikuti cara yang sederhana dan menyenangkan. Contohnya seperti berikut:
Menari
Jika anda tidak suka ke pusat kesihatan atau gim untuk melakukan aerobik mahupun latihan kardio, cubalah untuk menari. Menari boleh membakar lebih kurang 500 kalori. Selain bergerak, menari juga dapat membantu hormon endorfin sampai ke otak. Hormon ini berfungsi menjadikan orang lebih berasa senang dan bahagia. Tambahan pula, menari adalah cara yang menyenangkan untuk membuat tubuh tetap sihat dan membantu menurunkan berat badan.
Jalan kaki
Jalan kaki di pagi hari boleh menjadi cara yang menyenangkan untuk menurunkan berat badan. Selain membakar kalori, jalan kaki juga boleh membuat fikiran dan tenaga segar sepanjang hari.
Bermain dengan anak
Aktiviti ini sering dipandang remeh sesetengah ibu bapa. Sebenarnya bermain dengan anak yang aktif bukan sahaja menggembirakan tetapi juga membuat anda berpeluh di samping membantu menurunkan berat badan. Tidak perlu berlama-lama, cukup luangkan satu jam sehari untuk bermain dengan anak anda yang aktif.
Berenang
Meluangkan masa berenang setiap hari selama setengah jam sudah cukup untuk menurunkan berat badan secara bertahap.
Memasak
Masyarakat moden sekarang lebih memilih makan di luar sama ada di restoran biasa mahupun di restoran makanan segera berbanding memasak sendiri di rumah. Ini mungkin disebabkan memasak sendiri mengambil masa yang agak lama. Mungkin mudah dan tidak perlu bersusah payah memasak dan mengemas dapur tetapi sebaliknya memasak makanan sendiri bukan sahaja menyihatkan tetapi juga cara yang baik untuk menurunkan berat badan.
Membuat kerja-kerja rumah
Membasuh, mengemas rumah, menyapu, mengelap lantai dan sebagainya antara kerja-kerja rumah yang lazimnya kini dilakukan oleh pembantu rumah. Apa kata sesekali anda melakukan sendiri kerja-kerja tersebut. Ini akan membantu secara sederhana untuk menurunkan berat badan.
Info kesihatan
Perlu diketahui, keperluan kalori bagi wanita sekitar 1500 – 1900 kkal manakala bagi lelaki pula 1900 – 2400 kkal. Pada umumnya, kalori digunakan untuk menunjukkan jumlah tenaga yang terkandung dalam makanan. Kalori boleh diperoleh daripada pengambilan makanan yang mempunyai sumber karbohidrat, lemak dan juga protein.
Jumlah kalori dalam makanan diperlukan untuk menghitung keseimbangan tenaga. Apabila jumlah kalori yang dimakan kecil dari kalori yang digunakan, berat badan akan berkurang kerana cadangan tenaga dari lemak akan digunakan. Sebaliknya, apabila jumlah kalori yang masuk lebih besar dari kalori yang digunakan, berat badan akan meningkat.
Kelebihan tenaga yang masuk juga akan disimpan sebagai lemak pada tubuh. Seterusnya, pengumpulan lemak yang berlebihan ini boleh meningkatkan risiko berlakunya hipertensi, obesiti, penyakit jantung, strok dan diabetes.
Tunggu apa lagi, batasi kemasukan kalori di dalam tubuh anda. Jangan lupa untuk berolahraga. Sekecil mana sekalipun olahraga anda, walaupun hanya berjalan kaki ia sudah mampu untuk menurunkan berat badan.
Tayar Buruk Jadikan Bekas Tanam Nanas Di Laman Rumah. Hasil Buah Pun Besar!
Kebiasaannya tanaman nanas kita lihat diusahakan di kawasan perladangan. Paling tidak pun kita lihat mak-mak kita akan tanam sepokok dua di atas tanah lapang di halaman rumah.
Pun begitu, tiada salahnya jika pokok nanas ini di tanam di dalam pasu atau bekas seperti tayar lama. Hasil tuaiannya juga cukup hebat, ini sebagaimana yang dikongsikan oleh Azyan Abdullah. Jom semak bagaimana dia lakukannya.
“Tips Tanam Nanas MD2 Dalam Tayar & Berbuah Saiz XXL”
Petang Selasa minggu lepas, saya ada petik dua biji nanas MD2 yang ditanam dalam tayar terpakai.
Bila ditimbang, masing–masing berat 3.05 kg dan 2.8 kg. 2-2 buah ini dikira obesiti sebab standard buah nanas MD2 adalah antara 1.5 – 2.5 kg / biji.
Saya tanam nanas ni pada bulan Mac 2018 di dalam tayar terpakai. Media tanaman saya guna tanah campuran buatan sendiri. Awal Januari 2019 saya buat aruhan @ hormon. Masa tu pokok ada daun yang berfungsi lebih kurang 42 helai. Pada 21 Mei lepas, saya dah petik buahnya, kira-kira 14 bulan selepas tanam.
Susah ke tanam nanas MD2 dalam tayar terpakai ni?
Jawapannya. Sangat mudah bila kita tahu caranya.
Okey. Ini cara-cara saya tanam nanas MD2 dalam tayar.
*Penanaman*
1. Guna tayar terpakai sebagai bekas tanaman. Pastikan potong bahagian dalam @ “telinga” yang ada di kedua-dua belah tayar. Saya guna pisau cap “kiwi” yang harganya RM2 je. Tujuannya adalah supaya tidak bertakung air (bahagian bawah) dan tidak menjadi tempat serangga menyorok (bahagian atas).
2. Isikan tayar tersebut dengan tanah campuran hingga hampir penuh. Cara buat tanah campuran ni senang je. Ini cara yang paling simple. Ambil 2 bahagian tanah + 1 bahagian pasir + 1 bahagian kompos @ bahan organic, gaulkan hingga sekata. Letak EM sikit jika ada. Tak ada EM, cuka kayu pun boleh. Bila campuran dah sebati, masukkan ke dalam tayar dan biarkan sekurang-kurangnya 3 hari.
3. Selepas 3 hari, gali lubang lebih kurang 8 -10 inci ditengah-tengah tayar tersebut. Letak 10 gram baja lapik dan tutup semula lubang tadi. Saya guna baja NPK 15:15:15 sebagai baja lapik. Biarkan 3 hari lagi.
4. Pilih benih yang sihat dan besar. Lagi besar benih lagi cepat pokok kita berbua nanti. Tanam benih tersebut dengan cara menekannya di dalam media tanaman sehingga ianya tertanam lebih kurang 1/3 daripada ketinggian benih. Jika terlalu dalam, ianya boleh menganggu tumbesaran pokok. Pastikan bahagian akar pokok tak bersentuh dengan baja lapik ya. Jika bersentuh pokok akan mati.
5. Tanam ditengah – tengah bekas tanaman @ tayar. 1 pokok satu tayar ye.
*Pembajaan*
1. Tiga hari sebelum tanam, letakkan 10 gram baja NPK 15.15.15 di point yang kita nak tanam sebagai baja lapik. Biasanya kita letak di tengah-tengah tayar. Caranya gali lubang 8 – 10 inci dan masukkan baja tersebut, lepas tu timbus balik lubang tadi.
2. 30 hari lepas tanam, buat lubang @ poket di kiri dan kanan pokok lebih kurang 2-3 inci dari pangkal pokok. Letakkan 5 gram baja NPK 15:15:15 pada setiap lubang dan tutup kembali. Ini dinamakan pembajaan secara kaedah poket.
3. 60 hari lepas tanam, ulang langkah nombor 2. Cuma kuantiti baja ditambah sedikit iaitu 10 gram pada setiap lubang.
*Siraman Air Baja*
1. Tanam nanas MD2 ni kita tak perlu siram air kosong sebenarnya. Memadai dengan air hujan dan air embun sahaja.
2. Umur 30 – 60 hari, siram pokok dengan air baja strong @ NPK Larut Air 12:12: 36 + Mikro seminggu sekali pada kadar 500 ml sepokok. Kadar pencairannya adalah 1 gram baja strong dilarutkan dalam 1 liter air.
3. Umur 61 hari dan keatas, siram dengan air baja strong @ NPK Larut Air 12:12:36 + Mikro seminggu sekali pada kadar 1000 ml sepokok. Kadar pencairannya adalah 1.5 gram baja strong dilarutkan dalam 1 liter air.
4. Langkah nombor 4 perlu dihentikan bila pokok kita dah sedia untuk dibuat aruhan @ hormon . Berhenti siram baja 2 minggu sebelum buat aruhan.
*Aruhan @ Hormon*
1. Biasanya kita dah boleh hormon bila mana pokok kita mencapai 35 helai daun dan lebih. Lebih banyak daun, biasanya buah lebih besar sebab pokok pun besar. Macam yang saya punya, hormone semasa pokok ada 42 helai daun, hasilnya dua – dua buah dapat yang obesity (3.05 kg dan 2.8 kg).
2. Tujuan hormone adalah untuk menggalakkan pokok berbuah dengan cepat dan sekata. Jika tak hormone, boleh jadi umur 2 tahun pun pokok nanas kita tak berbuah lagi. Hihi.
3. Saya guna ethrel sebagai hormone. Kadarnya adalah 1.7 ml ethrel + 1 liter air + 10 gram urea. Kacau campuran bahan ini hingga sebati sepenuhnya. Lepas tu sembur atau siram di tengah – tengah pucuk nanas MD2 pada kadar lebih kurang 50 ml bagi setiap pokok. Seeloknya proses ini dibuat pada waktu petang dan jangkaannya tidak akan berlaku hujan pada hari tersebut.
4. Bila dah hormon, semua aktiviti pembajaan dan siraman baja dihentikan. Kita biarkan sahaja dan tunggu untuk ambil buah je nanti.
5. Biasanya buah dapat dipetik bermula 120 – 150 hari selepas hormon. Tahap kematangan @ masak mungkin sedikit berbeza disebabkan oleh kualiti anak benih semasa tanam dan cuaca pada masa tersebut.
Ada beberapa faktor yang perlu kita ambil berat untuk dapatkan buah yang obesiti macam ini. Antaranya jarak tanaman, jenis media tanaman, keperluan air yang bersesuaian, nutrien yang cukup & lengkap serta kedapatan cahaya matahari yang sempurna. Alhamdulillah dengan kaedah tanam dalam tayar seperti diatas, saya dah berjaya penuhi semua factor tersebut dan hasilnya memang ohsem, buah saiz XXL.
Kaedah ini bukan sahaja terhad untuk tanam dalam tayar sahaja. Ianya juga boleh di tanam dalam tong cat dan pasu dengan “copy paste” 100% kaedah di atas. Hasilnya telah terbukti bila mana 2 minggu sebelum ini, saya telah petik 2 biji nanas MD2 yang di tanam dalam pasu. Sebiji dapat 2.6 kg dan satu lagi dapat 2.4 kg.
Sumber : Azuan Abdullah
Anak Kurang Skor Subjek Matematik. Cikgu Ni Bagi Tip, Apa Ibu Ayah Kena Buat Untuk Bantu Anak.
Berdepan dengan masalah anak lemah dalam subjek Matematik, sering membuatkan ibu dan ayah berasa bimbang. Oleh itu, apa kata kita bantu anak-anak kita dengan menggunakan teknik dan tip yang diajar oleh Cikgu Shaza ini. Diharapkan dengan cara ini anak-anak dapat menguasai subjek matematik dengan baik dan sekali gus dapat melonjakkan pencapaiannya di masa akan datang.
Jom semak perkongsian bermanfaat ini.
TIPS MENGAJAR MATEMATIK TAHUN 1-6 (terutama anak anak yang lemah)
Di sini saya kongsikan tips tips ringkas yang saya gunakan selama saya mengajar kelas matematik kepada anak didik tuisyen saya dahulu. Saya nampak perbezaan,dari gagal,upsrnya boleh dapat A dan B. Mungkin ramai dah buat,tapi mungkin ada yang masih tak guna cara ini.
Cara saya bukanlah cara mudah,bukanlah menjanjikan formula formula menarik seperti teknik menambah,atau menolak atau mendarab dengan mudah.
Banyak kelas atau kursus yang menawarkan teknik teknik mudah menjawab soalan.
Tapi pada saya, setiap anak keperluannya berbeza. Apa yang dia tidak faham juga berbeza. Jadi ini langkah langkah saya. Saya namakan teknik saya ini “DRILLING WITH COACHING”
1. BELIKAN BANYAK BUKU LATIHAN MATEMATIK (SET KERTAS 1 & 2)
Jangan kedekut duit untuk laburkan membeli buku latihan. Sekurang kurangnya sebagai permulaan belilah 3 buah buku berlainan.
2. MINTA ANAK BUAT SATU SET KERTAS PEPERIKSAAN ATAU SET YANG ADA SEMUA TOPIK.
Minta anak jawab soalan macam mereka sedang duduki peperiksaan. Ikut masa dan pastikan tiada rujukan. Kemudian semak dan bagi markah. (ini bertujuan untuk menilai secara kasar mana yang dia lemah)
3. BUAT SATU REKOD UNTUK SETIAP LATIHAN YANG DIBUAT
Sediakan satu buku rekod, ada tarikh, jenis latihan yang dibuat, markah dan komen.
4. KENAL PASTI SOALAN MANA ANAK SALAH
Bila dah tengok soalan mana anak salah, tunjuk soalan tersebut kepadanya semula. Tanya dia samada dia tak tahu jawab atau dia cuma cuai. Kalau cuai, take note yang dia cuai, kalau tak tahu take note yang dia tak tahu.
5. SEKARANG KENAL PASTI ANAK LEMAH TAJUK APA DAN SOALAN APA
Ini penting untuk kita kenal pasti titik punca anak lemah matematik dan kenapa dia jadi tak suka matematik. Ada anak anak dah darjah 4, rupanya dia masih tak pandai membuat operasi darab dan bahagi, malah tambah dan tolak.
Jadi soalan lain pun mereka tak dapat jawab. Kadang kadang kita tak perasan anak anak tersebut tak mahir yang asas lagi.
(Boleh join Kelas Fasih Matematik di centre saya di Semenyih dan Setapak, memang kami latih untuk jadi fasih buat matematik dari asas).
6. SEKARANG, MULA BUAT LATIHAN IKUT TOPIK
Kalau nak segera atau intensif, bagi topik yang dia lemah dulu. Tapi kalau nak lagi berkesan, mula dari topik permulaan tahun itu.
Contoh, bab 1. Bagi dia buat kertas 1 dengan masa yang ditetapkan. Bila dah siap,tanda dan bagi markah.
Untuk setiap soalan yang salah, ajar dia teknik yang betul. Untuk setiap soalan yang salah itu juga, bina soalan yang sama tapi nombor berlainan,ulang sampai dia faham dan tahu cara buat.
Kalau ada buku latihan lain, ambil soalan soalan sama jenis dari buku lain. Part ini mak ayah kena rajin. Biar mereka jawab soalan yang sama dengan teknik kita ajar tadi sampai dia berjaya.
Sebab bila dia dapat buat,dia akan konfiden. Part ini perlukan kesabaran. Kali pertama mungkin anak tak dapat buat,tapi cuba buat sampai 10 soalan yang sama,berlainan nombor,insyaallah dia boleh dah lepas tu.
7.ULANG DENGAN SET KERTAS 2
Bagi anak jawab dengan masa yang ditetapkan juga. Semak dan bagi markah. Setiap soalan yang salah,ajar cara yang betul.
Ulang teknik di atas,iaitu buat soalan yang sama,berlainan nombor sehingga dia mahir.
Untuk kertas 2 agak mencabar sebab soalan dalam penyelesaian masalah. Saya perasan anak anak yang lemah kebanyakannya tak tahu operasi apa nak buat.
Teknik yang berkesan adalah ajar mereka gariskan kata kunci yang menentukan operasi apa perlu dibuat.
Juga ajar mereka transfer maklumat penting ke kertas conteng dan ajar mereka lukis apa yang mereka baca dari soalan tersebut. Cara melukis ini sangat berkesan bagi mereka faham. Perlu diulang soalan yang sama jenis banyak kali supaya mereka mahir.
8.ULANG UNTUK SETIAP TOPIK
Ulang semua teknik di atas untuk setiap topik.
9. SELEPAS BEBERAPA TOPIK, BAGI MEREKA JAWAB SET PEPERIKSAAN GABUNGAN TOPIK-TOPIK TERSEBUT.
Dari situ kita akan jumpa beberapa soalan lagi yang mereka tak betul2 mahir walaupun dalam latihan sebelum ini kita rasa mereka sudah mahir. Jadi, latih mereka lagi dengan soalan-soalan yang sama.
10. JANGAN MARAH-MARAH ATAU PERLI ANAK
Janganlah kita merendah rendahkan mereka jika perkara mudah pun mereka tak tahu. Kita suatu masa dulu pun sama, tak tahu.
Bukan sebab bodoh, tapi sebab tak faham atau tak tahu cara sebenar nak jawab soalan tersebut. Mereka akan kurang keyakinan jika selalu dimarah dan diherdik.
Beri pujian setiap kali dia berjaya buat soalan yang dia lemah sebelum ini.
11. ULANG,ULANG DAN ULANG
Ini part paling penting. Matematik ini perlukan latihan yang banyak. Bila anak dah mahir jawab soalan insyaallah dia akan jadi minat bila dah skor nanti
Teknik teknik saya kongsikan di atas sesuai untuk personal coaching.
Teknik ini,mak ayah yang kena rajin dan kena pandai jawab soalan matematik juga. Dan perlukan kesabaran yang tinggi.
Setiap kali nak buat teknik ini,peruntukkan masa duduk sebelah dia. Bukan bagi dia buat seorang diri. Kalau tak,macam mana nak ajar.
Dan buat step by step tau. Saya tahu ramai parents jenis belikan je banyak buku latihan,suruh anak buat,tapi anak buat sorang sorang,sendiri.
Takde coaching. Macam mana dia nak maju?
Selamat mencuba
Yang ikhlas
Teacher Shaza
Founder Genius Library Learning House
Pengasas kelas Fasih Matematik
Speaker motivasi matematik A-Math-Zing
Sumber : Nurul Shazalina Zainudin