Bagi memeriahkan suasana Hari Raya walau diraikan di musim PKP, pelbagai juadah perlu juga disediakan untuk memberi mood raya untuk kita seisi keluarga. Tidak lengkap kiranya jika Hari Raya tanpa juadah istimewa terhidang di atas meja.
Kalau bercakap tentang menu Raya, antara menu wajib ada selain ketupat, lemang dan rendang, tentunya satay juga menjadi antara pilihan istimewa dan popular di kalangan kita.
Jadi apa kata anda sediakan menu satay untuk santapan bersama seisi keluarga. Tambahan pula ada cara untuk kita menyediakan satay dengan lebih mudah bila menggunakan air fryer. Kiranya tidaklah perlu berpanas-panas membakar menggunakan arang dan menariknya juga perkongsian daripada Reina Eris turut memberi tips untuk mendapatkan satay yang terlihat berkilat dan tidak kering.
Nak tahu bagaimana cara dan rahsianya, ini perkongsiannya.
1st trial homemade satay ayam dan daging versi air fryer di musim PKP puas hati. Kalau tak ada air fryer bakar macam biasa sahaja ye, pakai arang atau dalam oven.
Tips nak dapatkan cantik berkilat balik-balikkan dan sapukan madu+air+minyak dan serai sikit
Bahan blend
Bawang putih 5 ulas
Bawang besar 1 biji
Halia 2 inci
Serai 4 batang
Blend semua bahan kat atas then bahagikan 2 bekas untuk ayam & daging
2 sudu besar jintan manis
2 sudu besar jintan putih
2 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk ketumbar
14 sudu besar gula putih (tak nak manis boleh kurangkan)
3 sudu besar gula merah
Sedikit garam
Ads
Cara penyediaan :
1. Perapkan semua bahan-bahan tadi ke ayam dengan daging yang dipotong kiub
2. Sebatikan perap semalaman dalam peti ais lagi lama perap lagi sedap
Ads
3.Cucuk satay dengan lidi & bakar dalam air fryer 40 minit suhu 180-200c
4. Air perapan satay tadi jangan buang boleh guna untuk kuah kacang cuma tambahkan
10 tangkai cili kering di blend & tumis, 1 serai ketuk, kacang tanah yang digoreng & kisar
Air asam jawa. Masak sampai pecah minyak perasakan dengan gula & garam.
Ibu bapa mana yang tidak terharu bila mana anak-anak prihatin dan menghargai segala pengorbanan mereka selama ini.
Hilang segala penat lelah dan segala pengorbanan seolah-olah berbayar biarpun ibu bapa tidak meminta sebarang balasan dari si anak.
Bagi selebriti Dato’ Aaron Aziz, tiada yang lebih membahagiakan dirinya bila mana menerima sekeping kad beserta tulisan tangan dari anaknya, Dahlia Arissa.
Menerusi perkongsiannya di laman instagram, Aaron memuat naik kad dari anaknya itu yang tertera menyatakan penghargaan buat kedua ibu bapanya. Malah lebih mengharukan, dua not RM50 diselitkan bersama sebagai hadiah.
“My heart melted like molten lava on chocolate when My Moonlight @dahliaarissaaaron did this for me and her Mummy @diyanahalikJust because I asked her to doa for her parents business to bloom, she took her Hari Raya money and made this card.
“Ya ALLAH I’m so touched by her kindness. It’s ok Adik, Daddy won’t disturb your money k sayang,” tulis Aaron.
Ramai wanita yang kematian suami tidak mengetahui secara jelas prosedur tuntutan harta pusaka sehingga nasib diri dan anak-anak tidak terbela. Lebih menyedihkan apabila isteri tidak bekerja sehingga mengakibatkan proses tuntutan menjadi lama.
Bagi wanita ketahui hak anda demi anak-anak sebagai waris. Bukan ingin harta semata tetapi sebagai persediaan
Selanjutnya ikuti penjelasan peguam ini menerusi Roslina Sabiyah & Co mengenai hak-hak dan tindakan yang perlu isteri tahu setelah pemergian suami.
Wanita.. ketahuilah hak anda!
Jangan sampai ditendang ke sana sini umpama bola gara-gara tidak tahu prosedur yang betul menuntut harta pusaka suami yang dah meninggal. Jangan sampai maruah anda dipijak hanya kerana anda tak tahu nak membela dan mempertahankan hak anda sendiri!
Saya membelek senarai dokumen yang diserahkan seorang wanita yang baru setahun kematian suami. Saya perasan macam ada sesuatu yang tak kena. “Kamu dah uruskan insurans, akaun bank dan kereta ni semua?”
“Sudah puan.. saya sudah uruskan semuanya. Hampir 10 bulan saya uruskan tapi tak selesai-selesai lagi. Sekarang ini rumah pulak nak kena mohon. Urus pusaka memang macam ni ye puan? Saya dah penat..”
Saya menggeleng.. rasa terkilan sebab masih ramai wanita yang tak dapat maklumat yang lengkap untuk mengurus harta pusaka dengan betul. “Boleh ceritakan apa urusan yang puan dah buat?” Tanya saya sekadar nak tahu sejauhmana laluan ‘berliku’ yang dah dilaluinya..
“Suami ada tinggalkan wang simpanan di bank. Saya pergi ke bank untuk keluarkan duit. Pihak bank suruh saya pergi ke Amanah Raya untuk dapatkan surat Arahan. Saya pergi ke Amanah Raya. Pihak Amanah Raya pula suruh saya ke Mahkamah Syariah untuk mohon sijil faraid. Saya ke Mahkamah Syariah pula untuk mohon sijil faraid. Dah dapat sijil faraid saya hantar ke Amanah Raya. Saya pun dah ke JPJ untuk urusan yang sama. Dalam surat JPJ ada minta beberapa dokumen dan saya pilih untuk uruskan dengan Amanah Raya sahaja”.
Kalau dah berurusan di sana, kenapa baru sekarang puan nak jumpa peguam?
“Sebenarnya saya dah tanya ramai orang..kat mana saya nak uruskan harta pusaka ni. Tapi jawapan mereka berbeza-beza. Ada yang suruh saya ke pejabat tanah. Jadi saya ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah suruh saya buat carian persendirian tanah tu di pejabat tanah negeri pula (sebab hakmilik tanah adalah HS.(D)). Saya dah buat carian dan pergi semula ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah dah bagi saya borang permohonan pusaka..”
Kemudian? Kenapa tak teruskan permohonan? Tanya saya semakin tak sabar..
“Puan.. anak saya masih kecil. Suami cuma tinggalkan rumah ini sahaja untuk saya. Mak ayah mertua dah dapat pampasan insurans suami. Tak ada cara ke macamana saya boleh dapatkan rumah ini untuk saya dan anak? Sebab mak ayah mertua dah pernah bagitau.. rumah yang saya duduk ni atas nama anak mereka… “
Tak sempat habiskan ayat dia dah keluarkan sapu tangan dari dalam beg tangannya. Merambu air matanya. Mungkin dah lama sangat dipendam apa yang terbuku di hati.. usianya masih muda tetapi wajahnya jelas menggambarkan raut keletihan.. saya yang mendengar cerita pun dapat rasakan betapa letihnya dia mengurus semua seorang diri.
“… jadi mereka pun nak tuntut juga hak mereka atas rumah tu. Mak ayah mertua saya bukan orang susah puan. Mereka orang berada. Tapi sejak arwah hidup memang mak ayah mertua dan adik-beradik suami tak suka kami sebab kami bukan orang senang. Dia tak pernah pelawa cucu dia sendiri makan di rumah dia puan. Bila suami meninggal, dia dulu yang tuntut insurans suami. Tak bagi pun kat anak saya. Duit tu saya tak kisah sangat. Saya hanya nak rumah ini sahaja untuk tempat berteduh saya dan anak..”
Baru saya faham kenapa dia tak teruskan permohonan sendiri. Beliau rasa tak selamat untuk teruskan kerana ada isu yang beliau tak tau jalan penyelesaiannya.
Isteri tak tahu prosedur
“Puan tau tak, sebenarnya puan tak perlu pergi semua tempat tu. Jika arwah suami ada tinggalkan rumah atau tanah, puan sebenarnya hanya perlu mohon terus di unit pusaka kecil di pejabat tanah sahaja. Perintah dari pejabat pusaka tu nanti boleh digunakan untuk keluarkan duit di bank dan tukar nama kereta di JPJ dan juga untuk tukar nama pemilik rumah dalam geran. Jimat masa dan tenaga. Tak perlu mohon faraid pun sebab di pejabat pusaka tu dah ada pegawai yang mahir kirakan faraid”.
Terkejut dia dengar saya bagitau macam tu. “Patutlah saya rasa macam orang bodoh je puan. Tak ada siapa pun yang bagi maklumat macam tu. Suruh ke sana saya ke sana. Suruh ke sini saya ke sini. Kadang rasa macam bola kena tendang ke sana sini. Dahlah keluarga mertua langsung tak ambil kisah.. sekarang apa perlu saya buat puan?“ ada harapan dalam nada suaranya.
“Sebenarnya, urusan pusaka kecil ni puan boleh mohon sendiri. Tapi jika ada isu dengan waris-waris, puan kena lantik pihak ketiga sebagai orang tengah. Ini untuk memastikan, puan mendapat nasihat yang betul dan hak puan serta anak terbela.
Walaupun bahagian puan di atas rumah tu hanya 1/8, puan masih boleh mohon Hak Harta Sepencarian. Bahagian mak ayah mertua akan semakin kecil selepas ditolak dengan bahagian harta sepencarian.
Jika mak ayah mertua masih tak setuju melepaskan hak faraid atas rumah tu, minta bapa mertua tandatangan surat, “saya setuju mengambil duit pampasan ini sebagai bahagian faraid saya dari harta si mati dengan sepenuh kesedaran bahawa tanggungjawab untuk menanggung anak si mati iaitu cucu saya adalah di bawah tanggungjawab saya sebagai datuknya”.
Lepas ni kalau datuk tu senyap dan buat tak tahu pasal cucu tu, puan boleh failkan tuntutan nafkah untuk anak puan di Mahkamah Syariah. Faham?
“Alhamdulillah faham puan. Terima kasih puan. Saya memang tak tau langsung pasal hak saya. Kan bagus kalau ramai wanita yang tau hak mereka. Tak adalah mereka kena lalui apa yang saya dah alami..” ada sinar di matanya. Ada senyum di bibirnya. Alhamdulillah.. lega saya drama air mata kali ini tidak berpanjangan.
Sejenak saya terfikir. Aduhai wanita.. kalau kita sendiri yang tak mempertahankan hak kita siapa lagi?
Kegagalan itu adalah permulaan kepada sebuah kejayaan. Mungkin ada yang setuju atau sebaliknya. Namun andai dilihat pada nama-nama besar di dunia ini, ramai antara mereka sebelum mencapai kejayaan tersebut, pernah lalui banyak kegagalan dalam hidup. Antaranya perjalanan hidup yang dilalui oleh William Henry Gates III, atau yang lebih dikenal Bill Gates adalah CEO Microsoft. Ia juga merupakan seorang yang dermawan melalui kegiatannya di Yayasan Bill & Melinda Gates. Ia adalah pertama dalam orang terkaya di dunia versi majalah Forbes selama 13 tahun (1995 hingga 2007). Siapa sangka dia sebelumnya pernah dibuang dari Harvard dan bekerja sebagai Office Boy. Kesukaran dan rintangan yang dilalui, akhirnya menjadikan diri mereka orang yang luar biasa hebat.
Dan ini satu lagi kisah menarik perjalanan seorang anak Melayu yang juga pernah gagal dalam pelajaran. Namun siapa sanga kini insan ini berjaya mencipta kejayaan di dalam bidang pendidikan. Jom ikuti perkongsian hidupnya, semoga dapat menyuntik inspirasi buat anak-anak kita untuk terus memajukan diri dan diharapkan tidak pernah kenal erti putus asa dalam mencari ilmu.
THE STORY OF MY LIFE.
Alhamdullilah, telah genap tempoh 2 tahun semenjak kisah latar belakang akademikku menjadi viral di media-media sosial. Posting asal tu kini telah mendapat lebih daripada 38k likes dan 42k shares.
Masih lagi ku teringat, ketika hendak berkongsikan nukilanku itu, jam telah menunjukkan pukul 3.30 pagi pada 18 haribulan November 2016. Ketika itu, saya baru sahaja selesai menyemak satu tesis Sarjana, yang mana saya akan menjadi pemeriksa dalaman bagi calon tersebut.
Kebetulan pula, tarikh tersebut adalah sehari selepas tarikh keputusan peperiksaan UPSR 2016 telah diumumkan. Ketika melayari FB, saya mendapati sebilangan pengguna FB berkongsi tentang keputusan UPSR yang mana, bilangan calon yang memperolehi keseluruhan bilangan A bagi semua subjek adalah sangat berkurangan berbanding dengan keputusan UPSR pada tahun sebelum itu.
Oleh itu, saya rasa terpanggil untuk berkongsikan kisah latarbelakang akademikku yang tidak cemerlang, malah pernah dibuang universiti, tetapi dengan azam dan semangat yang tidak pernah berputus asa boleh mencapai keputusan yang cemerlang, Insya-Allah…
Saya rasa terpanggil untuk berkongsikan kisah pengalaman belajar saya terdahulu. Ramai dikalangan pelajar saya sendiri di universiti ini menyangkakan bahawa saya adalah seorang yang cemerlang sejak di bangku sekolah lagi. Tetapi realitinya adalah tidak.
Buat permulaan, keputusan UPSR saya adalah baik, di mana saya memperolehi 2A dan 2C. Selepas itu, prestasi akademik terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada diri saya. Untuk keputusan PMR, saya hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik, sekaligus meranapkan impian saya untuk memasuki aliran Sains.
Dengan berat hatinya, saya meneruskan belajar di aliran Perakaunan. Tetapi nasib menyebelahi saya tidak lama selepas itu, di mana pihak sekolah membuka peluang kepada pelajar aliran lain yang ingin bertukar ke aliran Sains. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pelajar aliran Sains di sekolah saya. Setelah berjumpa dengan Guru Besar untuk menyatakan hasrat saya untuk bertukar aliran, beliau pada mulanya tidak bersetuju untuk saya mengikuti aliran Sains disebabkan oleh faktor keputusan PMR yang tidak memberangsangkan. Saya bersungguh-sungguh berjanji kepadanya untuk belajar sebaik mungkin dan akhirnya beliau bersetuju untuk membenarkan saya memasuki aliran Sains.
Sebaik mengikuti aliran Sains, saya telah merasakan bahawa saya telah membuat satu keputusan yang silap, di mana subjek-subjek Sains Tulen yang saya ambil adalah terlalu sukar untuk saya ikuti. Ditambah pula dengan subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai ‘killer subject’ oleh semua pelajar aliran Sains. Setiap kali peperiksaan tahunan, saya akan mendapat antara keputusan yang tercorot di dalam kelas dan ini mengundang perasaan risau kepada cikgu tingkatan saya (untuk subjek Matematik Tambahan, sekalipun tak pernah lulus).
Akhirnya, apabila keputusan SPM sebenar telah diumumkan, keputusan yang diperolehi adalah sangat teruk (tiada satu A pun yang telah saya perolehi jika mengikut kepada sistem penggredan SPM terkini). Cikgu tingkatan yang menyerahkan slip keputusan tersebut menyatakan bahawa saya memang tiada masa hadapan yang cerah disebabkan oleh sikap saya yang tidak mahu berubah langsung dan di dalam hati saya mengakui akan pendapatnya.
Selepas itu, saya cuba untuk mohon sambung belajar di pelbagai institusi, malangnya semua telah ditolak. Maka bermulalah episod saya sebagai seorang operator pengeluaran di kilang Denso di Bangi. Selepas 6 bulan, saya telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi Guardian, Kajang.
Tidak lama selepas itu, saya mendapat maklumat bahawa bagi sesiapa yang tidak cemerlang semasa SPM, boleh menyambung belajar di peringkat Pra-Sains di UiTM. Kursus Pra-Sains ini akan menggilap kembali pengetahuan subjek-subjek Sains Tulen sebelum diterima masuk ke program Diploma UiTM. Jika berjaya memperolehi CGPA 3.00 dan ke atas bagi semester pertama kursus Pra-Sains, layak untuk mengikuti program-program Diploma di UiTM. Tetapi jika CGPA kurang dari 3.00, maka terpaksa mengikuti semester kedua kursus Pra-Sains.
Alhamdullilah, saya telah diterima masuk ke program ini di UiTM Jengka, Pahang. Malangnya, CGPA bagi semester pertama saya adalah 1.92 dan saya telah mendapat keputusan Gagal dan Diberhentikan. Apabila membaca keputusan tersebut, terus rasa dunia saya gelap gelita. Maka, saya kembali membuat kerja sambilan selepas itu.
Ibubapa pun berasa sangat kecewa dan berputus asa dengan saya. Tetapi selang seminggu selepas itu, ibu saya telah mendapat satu panggilan dari pihak UiTM Jengka yang memaklumkan bahawa mereka ingin membenarkan saya untuk mengikuti pengajian semetser kedua Kursus Pra-Sains, memandangkan CGPA saya adalah kurang sedikit sahaja di bawah 2.00 Mendengar berita ini, saya telah berjanji di hadapan ibubapa saya untuk benar-benar berubah dan tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang lepas.
Oleh itu, saya telah mengikuti semester kedua tersebut dan Alhamdullilah saya telah memperolehi GPA 3.25 Banyak perubahan yang telah saya lakukan, seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari maklumat di perpustakaan dan menyertai ‘study group’.
Semenjak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan mengekalkan momentum tersebut. Saya sambung pula pengajian di peringkat Diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis.
Selepas itu, saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan telah berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama bagi fakulti tersebut (pinjaman PTPTN tak perlu bayar balik).
Kemudian mengikuti Masters di dalam bidang Biochemical Engineering (by Coursework) di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, UK dan setelah menjadi antara 2 pelajar terbaik bagi program tersebut, terus ditawarkan tempat untuk pengajian PhD di dalam bidang Chemical Engineering oleh universiti yang sama. Alhamdullilah, telah menamatkan pengajian PhD di dalam tempoh 4 tahun dan tesis telah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.
Jadi, tidak mustahil jika kita tidak berjaya pada masa kini, kita tidak boleh berjaya di kemudian hari. Yang paling penting adalah belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa. Insya-Allah kalau saya boleh berjaya, anda semua pun pasti boleh melakukannya. Saya berpegang teguh dengan maksud Al-Quran, Surah ar-R’ad (ayat 11) yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka”. Alhamdullilah, sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu di atas segala nikmat yang telah Kau berikan kepadaku selama ini, Amin. Akhir kata, jangan pernah mempersiakan peluang yang telah diberikan kepada kita, mungkin kita tidak akan merasai peluang kedua.
Coretan jujur penulis yang suatu ketika dahulu pernah tidak diberikan apa-apa harapan oleh sesiapapun.
Ikhlas,
Prof. Madya Dr. Midhat Nabil (AMIChemE)
p/s: Terima kasih tak terhingga kepada UiTM kerana menjadikan saya sebagaimana hari ini dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kerana tempatku mencari rezeki, Syukur…