“Sebelum Tidur Dia Akan Cari Saya Dan Suami, Salam Dan Ucap Selamat Malam” – Ibu Kanak-kanak Jatuh Lubang Kumbahan Luah Rindu

Share

Kesedihan seorang ibu kehilangan anak akibat terjatuh ke dalam tangki septik di sebuah sekolah di sini masih terasa. Bagaimanapun dia berharap kejadian sama tidak lagi menimpa murid lain pada masa akan datang.

“Sebelum Tidur Dia Akan Cari Saya Dan Suami, Salam Dan Ucap Selamat Malam” – Ibu Kanak-kanak Jatuh Lubang Kumbahan Luah Rindu

Norfazila Md Lajin, 43, yang kehilangan anak lelaki tunggalnya, Abdul Fattah Khairol Rizal, berusia sembilan tahun, merayu pihak bertanggungjawab segera mengambil langkah keselamatan lebih ketat di kawasan berisiko di sekolah.

“Harapan saya supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) periksa semula dan tukar penutup lubang itu. Saya sendiri tak lihat atau sentuh penutup itu, namun saya dengar ia ringan dan boleh diangkat kanak-kanak.

“Harap JKR dapat tukar kepada besi atau pagarkan kawasan supaya kanak-kanak tidak boleh masuk ke kawasan itu.

“Di sekolah itu ada murid PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi). Perkara ini sudah jadi kepada anak saya, mudahan tidak berulang terhadap anak lain pula,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi Sabtu lalu, Fattah yang juga murid tahun tiga ditemui maut selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan.

Sebagai seorang guru Matematik di sebuah sekolah menengah, Norfazila mengakui masih dirundung pilu, namun sedikit terubat apabila menerima kunjungan serta sokongan moral daripada pihak sekolah, jabatan pendidikan dan masyarakat.

“Bila ramai orang datang, saya tak rasa sunyi… tapi apabila malam dan semua sudah balik barulah terasa kehilangan itu.

“Arwah seorang anak yang baik, taat dan mudah diasuh. Yang paling terasa, sebelum tidur dia akan cari saya dan suami dulu untuk salam dan ucap selamat malam. Itu kebiasaan dia setiap malam. Dia juga jenis mudah diasuh. Kalau kejut Subuh, sekali saja terus bangun,” katanya sebak.

Mengenang detik terakhir bersama anaknya, Norfazila berkata dia sempat menyediakan sarapan pagi sebelum anak-anak ke sekolah sempena hari sukan.

“Saya sempat sediakan mi hailam dan susu untuk dia dan adik-beradik lain. Hari tu dia nampak selera makan. Kalau ikutkan, dia jenis susah nak makan.

“Saya rindu, semalam ada ibu kepada rakan sekelas Fattah tunjukkan gambar anaknya dengan Fattah. Arwah tersenyum dalam gambar itu,” katanya menahan sebak.

Sumber: Berita Harian

Artikel lain: Arwah Beritahu Nak Meninggal Masa Kecil, Mahu Terus Masuk Syurga

Lelaki Selam Lubang Kumbahan Selamatkan Murid Tahun Tiga Macam Angkat Sekeping Kertas…Ringan..

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my