Pelakon terkenal, Saharul Ridzwan apabila membawa isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir untuk sama-sama beribadah di sana.
Namun begitu, menerusi Mstar, Saharul memaklumkan yang mereka cuma pergi berdua sahaja dan tidak membawa anak-anak.
Menurutnya, ia merupakan salah satu cara melatih diri berjauhan dengan anak-anak buat sementara waktu sebagai satu bentuk persediaan andai dia keluar berdakwah membawa isteri pada masa akan datang.
“Cabaran kali ini ialah kami terpaksa berjauhan dengan anak. Saya sentiasa ingatkan isteri inilah masanya untuk kita belajar tinggalkan anak sekejap supaya boleh mengikuti usaha menyebarkan dakwah selepas ini.”
“Pada awalnya isteri saya agak keberatan untuk pergi, maklumlah sebagai seorang ibu memang susah hendak tinggalkan anak untuk tempoh masa lama.”
“Apabila dia bersetuju, saya terus tempah slot tarikh untuk mengerjakan ibadah umrah,” katanya.
Saharul turut meluahkan rasa teruja dan tidak sabarnya untuk menziarahi makam Rasulullah S.A.W apabila ke Madinah nanti.
“Selama ini jika pergi menunaikan ibadah umrah, kita sering berharap dapat doakan sesuatu ketika di sana.”
Ads
“Kali ini saya bawa rasa cinta terhadap Rasulullah. “Selepas belajar dan mendalami tentang sirah perjuangan nabi, saya amat teruja untuk menziarahi makam baginda ketika di Madinah nanti,” ujarnya.
Pelakon Hati Perempuan ini dan isteri akan ke sana selama 10 hari dan mahu menumpukan sepenuhnya kepada ibadah yang sedang dilakukan.
Ditanya perihal kesibukannya sekarang, Saharul menjelaskan yang dia kini sedang sibuk menguruskan perniagaan restoran yang baru dibuka pada Mac lalu. Disamping itu, dia juga mahu melipatgandakan amal ibadah lebih-lebih lagi ketika bulan mulia ini.
“Rasanya untuk Ramadan tahun ini lebih tertumpu kepada aktiviti perniagaan selain meningkatkan lagi amal ibadah kita,” jelasnya.
Ads
Untuk rekod, Saharul telah melangsungkan pernikahan dengan isteri tersayang pada September 2016. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Luth Ali, 5, dan Fateema Azzahara, 2.
Setiap ibu bapa pastinya ingin memiliki anak yang soleh dan solehah.
Oleh itu, didikan agama telah diasuh sejak kecil.
Namun, untuk mendidik anak-anak mencintai solat bukan suatu yang mudah.
Sebagaimana perkongsian ustazah ini yang berkongsi cara untuk memberi kesedaran kepada anak-anak secara halus bahawa solat itu perlu dilakukan dengan ikhlas.
Ikuti perkongsianya.
Rahsia anak solat tanpa dipaksa
1. Ustazah dan tabung
Saya banyak berbisik dan meminta dengan Allah apabila ingin menyampaikan sesuatu yang penting. Sungguh-sungguh minta pada Allah agar murid dapat faham maksud saya.
Saya membawa satu bekas ke dalam kelas. Mata murid bulat memandang ke arah saya. Dalam kepala masing-masing membuat andaian. Bekas tu mungkin bekal ustazah untuk rehat nanti atau dalam bekas tu ada hadiah kuiz untuk mereka.
Ustazah bekas apa tu?
Tiba-tiba terdengar suara kecil bertanya. Mungkin tak sabar nak lihat isinya. Lalu saya membuka bekas tadi dan menunjukkan beberapa keping not.
Owh tu tabung duit ustazah ya?
“Ya anak-anak” Jawab saya ringkas.
Siapa ada tabung kat rumah?
Ramai yang angkat tangan, sambil mulut riuh bercerita tentang tabung dan duit simpanan mereka. Masing-masing teruja.
2. Jatuh dan terbang
Saya keluarkan semua duit kertas dan meletakkannya di atas meja. Duit berterbangan jatuh kerana ditiup angin. Murid yang melihat, menjerit-jerit ” Cikgu-cikgu duit jatuh.. Cepat, nanti hilang”
Saya biarkan duit tu bertaburan di lantai.
3. Bekas dan solat
Saya alihkan perhatian murid dengan satu soalan.
Anak-anak.. Siapa yang dah buat baik hari nie?
Ramai yang angkat tangan.
“Bagus.. Semua” Puji saya. Masing-masing tersenyum bangga.
” Setiap kebaikan yang anak-anak lakukan, Allah akan ganjarkan pahala”
“Pahala tu seperti duit..” Saya menunjukkan sekeping not RM10 yang diambil dari lantai kelas.
“Wah Bestnya..”
“Duit kalau dah banyak, perlukan tabung untuk simpan agar duit tu selamat dan tak hilang”
“Pahala yang kita kumpul setiap hari juga perlukan tempat untuk simpan seperti bekas yang ustazah bawa ni, supaya pahala kita tidak akan berciciran jatuh dan akhirnya hilang”
“Bekas atau tabung untuk pahala ialah solat.. Jika anak-anak tak solat hari ni dan hari sebelumnya, kat mana Allah nak simpan pahala yang anak-anak dapat?
Inilah satu-satunya bekal yang kita nak bawa bila jumpa Allah nanti.
Solat mesti elok-elok supaya tabung yang kita bina nanti, kukuh dan kuat..kerana bekas yang bocor menyebabkan isinya terkeluar dan jatuh”
4. Menangis
“Ustazah saya belum ada bekas untuk pahala”
Seorang murid mengangkat tangan dan matanya berkaca. Sesungguhnya bila Allah berkehendak kita menyampaikan sesuatu dari-NYA pasti hidayah itu akan sampai ke hati.
Ramai yang mengangkat tangan dan berjanji mereka tidak akan meninggalkan solat.
Bukan saya memaksa tetapi mereka mula faham kenapa perlu solat.
Apa yang pasti cara ustazah ini, kita boleh praktikskan kepada anak-anak di rumah. Selamat beramal.
Setiap kali menjelang cuti sekolah, antara aktiviti yang dilakukan adalah anak-anak berkhatan. Demikian juga dengan pelakon cantik manis Fasha Sandha.
Memandangkan mereka sekeluarga kini berada di Perlis bagi meraikan majlis resepsi Elisya & Uzair, Fasha dan suami mengambil kesempatan mengadakan majlis khatan anak sulungnya, Rayfal bersama sepupunya.“Masih di Indera Kayangan. Syukur Alhamdulillah Rayfal dah selamat berkhatan bersama sepupu kesayangan Dani Qaleef.
“Alhamdulillah semua nya berjalan dengan lancar. Rayfal dan Qaleef tak sakit, nangis sikit je masa nak cucuk bius, lepas tu, semua ok, Alhamdulillah,” ujarnya menerusi kapsyen.
Menerusi perkongsian yang sama, isteri kesayangan Aidil Aziz ini memuatnaik gambar anak sulungnya yang selamat berkhatan.
Fasha dalam masa yang sama turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah buat doktor dan keluarga yang banyak membantu.
“Terima kasih doktor-doktor di Klinik Faizah Kangar. Terbaik.
“Simpan disini buat kenangan. Terima kasih buat keluarga. Kami disini mendoakan agar dipermudahkan buat mangsa-mangsa-mangsa banjir,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Anak merupakan anugerah Allah dan tanggungjawab yang berat yang diamanahkan atas bahu ibu bapa. Pentarbiahan anak-anak dengan didikan yang baik wajib ditunaikan oleh ibu bapa. Amanah yang wajib ini hendaklah dijaga dengan baik dan janganlah dikhianati.
Begitu juga dalam hal mengajar anak solat sejak kecil. Ianya adalah tugas yang sukar sebenarnya. Menyedari tuntutan agama, ramai di kalangan ibubapa yang berterusan mengali ilmu dan kaedah terbaik untuk mendidik anak bersolat supaya mereka tidak dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak kerana telah mengabaikan amanah-Nya.
Ikuti perkongsian ini yang menyediakan tip untuk membantu ibu bapa mendidik anak mencintai solat.
Didik Anak Bersolat tanpa di suruh atau paksa
A) PENDIDIKAN DARI DALAM RUMAH
1. Suasana utamakan solat Ibu bapa adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak. Untuk mengajar anak solat sedari kecil, ibubapa perlu mewujudkan suasana dalam keluarga yang mengutamakan solat. Bila azan berkumandang, segera bersedia untuk solat. Tutup TV dan hentikan perkara-perkara yang melalaikan. Ini akan menjadi contoh disiplin yang baik untuk anak-anak.
2. Ibubapa tunjukkan contoh Anak-anak adalah peniru paling baik bagi setiap tindak-tanduk ibubapa. Anak-anak bawah 4 tahun lebih seronok dan mudah untuk diajak menunaikan solat. Tetapi nanti dahulu, mereka tentunya mudah meniru hanya apabila selalu melihat ibubapa mereka solat sedari umur mereka masih bayi. Sekiranya anak-anak jarang melihat ibubapa solat, maka mereka juga tidak dapat membayangkan sesuatu yang tidak tercapai oleh akal mereka.
Anak-anak lebih mudah percaya apa yang mereka lihat sendiri daripada apa yang kita beritahu. Malah, 80% didikan adalah melalui tauladan yang bukannya melalui perkataan semata. Tauladan bermaksud apa yang mereka nampak dilakukan oleh ibubapa setiap hari.
3. Solat di tempat terbuka Solatlah di ruang terbuka di dalam rumah. Biarkan anak-anak nampak dan faham ibubapa mereka selalu solat. Bagi anak-anak kecil yang berusia sekitar 1 hingga 3 tahun, memadailah mereka sekadar memerhatikan ibubapa sedang solat atau ikut sama solat sambil mereka bermain-main. Biarkan jika mereka suka menarik-narik telekung si ibu. Bertenanglah jika kita baru rukuk mereka sudah pun sujud. Kita belum habis lagi mereka sudah pun beri salam. Usah bertegas atau berkeras. Jangan sampai anak-anak merasakan solat itu satu yang susah dan menakutkan.
Ini sepertimana teladan yang telah ditonjolkan sendiri oleh Rasullullah SAW sebagaimana yang diceritakan bahawa Baginda Rasulullah solat berjemaah di masjid dan Baginda sendiri menjadi Imam. Tiba-tiba, cucunya yang bernama Hassan memaut leher Baginda ketika Baginda sedang sujud. Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan memanjangkan sujudnya ketika itu. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya: “Engkau memanjangkan sujud?” Jawab Rasulullah SAW: “Cucuku sedang menunggangku maka aku tidak sampai hati tidak menyampaikan kehendaknya”.
4. Solat berjemaah Didiklah anak-anak untuk cintai solat berjemaah. Tiap kali ibubapa mahu solat, jangan lupa ajak anak-anak untuk solat bersama-sama. Bagi ibubapa berkerjaya, jikalau tidak sempat berjemaah pada waktu Subuh, boleh berjemaah di waktu Maghrib. Apabila masuk waktu solat, ajaklah si manja untuk berwudhuk bersama-sama. Hamparkan sejadah di ruangan yang sesuai. Dorong anak lelaki untuk berani azan dan disusuli iqamat. Selepas solat, zikir dan doa. Boleh beri peluang untuk anak-anak bacakan doa-doa yang mereka telah pun pelajari di tadika. Tambah kemanisan solat berjemaah dengan memberi tazkirah pendek sesama ahli keluarga. Didiklah anak-anak untuk bersalaman dengan ibubapa dan memohon maaf sesama ahli keluarga. Lazimkan solat secara berjemaah dan anak-anak akan terbiasa bahkan tertunggu-tunggu dengan rutin keluarga yang ini.
5. Hadiahkan kelengkapan solat Oh, sebelum terlupa. Belilah hadiah kelengkapan solat untuk anak-anak kita seperti telekung, kopiah dan sejadah yang khusus dan menarik untuk mereka. Ini boleh menaikkan semangat mereka untuk merasa seronok bersolat. Berikan juga pujian apabila mereka memakai pakaian solat dengan sempurna sebagai satu galakan dan dorongan.
6. Dorong anak untuk solat Anak-anak kecil suka mendengar cerita-cerita. Belikan buku berkenaan solat yang mesra kanak-kanak. Bawakan kepada anak-anak kita kisah-kisah sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tentang solat. Sampaikan pada mereka bagaimana Nabi Muhammad SAW sangat suka solat malam hingga bengkak-bengkak kaki Baginda. Ceritakan juga kesan dan akibat yang akan menimpa mereka yang tidak solat baik balasan di dunia atau akhirat. Teruskan memberi dorongan melalui cerita ganjaran syurga dan seksa neraka.
Ibubapa bekerjasamalah untuk bisikkan di telinga mereka sewaktu anak-anak tidur. “Anak soleh ayah, rajin solat yer nak.” Ulangi setiap malam dengan yakin dan positif.
7. Beri ganjaran Sentiasa mutaba’ah (membuat pantauan) kepada anak-anak kita sama ada mereka sudah menunaikan solat atau sebaliknya. Usah kedekut untuk memberi ganjaran dari sudut pujian dan hadiah fizikal pada anak-anak jika mereka menunjukan perkembangan yang baik dari hari ke hari.
B) PENDIDIKAN LUAR RUMAH
1. Solat di mana-mana Jika dalam perjalanan balik kampung atau pun keluar berjalan-jalan, fahamkan pada anak-anak tentang keutamaan solat. Istiqomah untuk berhenti solat di surau atau masjid. Jangan serik bawa anak-anak untuk solat bersama-sama di tempat awam.
2. Solat di tadika Sebaik-baiknya, pilihlah tadika atau pusat asuhan yang memberi pendedahan awal kepada anak-anak kita tentang ibadah solat. Jika anak-anak didedahkan dengan rutin amali solat jamaah bermula dari kecil, Insya Allah mereka lebih mudah solat tanpa disuruh-suruh. Tugas ibubapa untuk memperkemaskan dan memantapkan pemahaman tentang ibadah solat akan bertambah mudah dengan sokongan pihak tadika.
3. Solat di surau dan masjid Biasakan anak-anak ke surau atau masjid ketika mereka masih kecil lagi. Anak-anak yang sudah dibiasakan dengan suasana beribadah tidak akan kekok melakukannya apabila sudah akil baligh. Bersabarlah dengan ragam anak-anak yang pelbagai pada awal-awal latihan sebelum mereka mula membiasakan diri dan kemudiannya menjadi satu tabiat. Tambahan pula, apabila anak-anak ke masjid, potensi berkawan dengan mereka yang kaki solat juga lebih tinggi.
4. Solat di kampung Jika balik ke kampung halaman, beri ruang untuk anak-anak kita bersama sepupu-sepupu mereka untuk solat berjemaah. Dorong mereka untuk bergilir-gilir azan, iqomat, menjadi iman dan juga membacakan doa. Percayalah walaupun mereka masih kecil, mereka akan lebih cepat belajar memimpin dan berani ke hadapan jika amalan ini menjadi ‘makanan harian’ mereka. Secara tidak langsung, ia juga boleh mengukuhkan hubungan persaudaraan antara mereka bermula dari usia kecil lagi.
Kesimpulannya, dalam mendidik anak ada dua bahagian yang perlu ibubapa ambil perhatian. Pertamanya, ialah usaha ibubapa dan yang keduanya ialah doa kepada Allah SWT. Kita tidak boleh sombong dengan usaha kita semata-mata. Banyakkan berdoa kerana hati kita dan anak-anak kita adalah kepunyaan mutlak Allah SWT.
Senjata utama orang mukmin adalah doa. Doakan anak-anak setiap kali kita teringat akan mereka meskipun ketika itu kita sedang sibuk bekerja, memandu, memasak dan sebagainya. Bahkan doa ini juga perlu bermula ketika mengandungkan si manja lagi.
Boleh diamalkan surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud,
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”.
Buat semua ibubapa, suburkanlah kesabaran, ketabahan dan istiqomah dalam mendidik anak-anak untuk mencintai solat. Tidak boleh dinafikan kepayahan dan cabaran yang bakal dihadapi amatlah besar. Berikan masa bagi anak merasa seronok untuk solat tanpa dipaksa-paksa. Setiap anak-anak berbeza penerimaan mereka.
Yakinlah dan positif, Allah pasti makbulkan doa kita.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.