Siti Munirah Abdul Malik menjadi penterjemah bebas sambilan sejak 12 tahun lalu. Bermula ketika masih menuntut di universiti, siapa sangka selepas lebih satu dekad, ibu kepada seorang anak ini masih lagi terbabit secara aktif dalam bidang terjemahan sebagai pendapatan sampingan biarpun sudah bergelar pensyarah di Kolej Vokasional Kulim, Kedah.

Siang Bergelar Pendidik, Malam ‘Tukar Topi’ Jadi Perterjemah Bebas, Siti Munirah Bukan Tamak, Tapi Minat

Pada sebelah siang, Siti Munirah menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendidik dan pada sebelah malam pula, wanita berusia 31 tahun ini menukar ‘topinya’ menjadi penterjemah bebas.

Siti Munirah berkata, dia mula terbabit dalam bidang penterjemahan bebas pada tahun 2013 ketika masih menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat).

Siang Bergelar Pendidik, Malam ‘Tukar Topi’ Jadi Perterjemah Bebas, Siti Munirah Bukan Tamak, Tapi Minat

“Saya bermula dengan kerja projek memasukkan data menggunakan Microsoft Excel dan projek transkripsi Bahasa Melayu di mana saya perlu mendengar audio perbualan serta taip semula ke dalam bentuk teks.

“Kemudian, saya terjumpa kerja-kerja terjemahan Bahasa Melayu dan bayarannya lebih tinggi. Dari situlah, saya mula fokus dengan kerja-kerja terjemahan yang kemudian berkembang menjadi sumber pendapatan sehingga sekarang,” katanya.

Berkongsi rutin hariannya sebagai penterjemah bebas sambilan, kebiasaannya, pada awal pagi dia akan menyemak dan menjawab e-mel klien.

“Jika ada kelapangan saya akan melayari laman web kerja terjemahan untuk melihat iklan kerja terjemahan terkini dan akan mohon kerja terjemahan.

“Kemudian, saya teruskan dengan tugasan terjemahan yang perlu disiapkan pada hari itu. Selepas siap, hantar kepada klien dan tunggu bayaran daripada klien melalui Paypal atau laman web kerja.

Pada masa yang sama, saya juga mengambil masa untuk mengurus kelas dan bengkel yang saya jalankan,” katanya.

Siti Munirah berkata, tempoh masa untuk menyiapkan satu-satu terjemahan bergantung kepada panjang dokumen dan kerumitan teks.

“Untuk dokumen biasa seperti sijil lahir, transkrip akademik atau teks kurang daripada 1.000 patah perkataan saya boleh siapkan dalam beberapa jam sahaja.

“Namun, untuk projek yang lebih besar, mungkin memerlukan masa yang lebih lama sehingga berbulan-bulan untuk terjemahan seperti buku,” katanya.

Mengulas lanjut, dalam proses terjemahan, dia sentiasa memberi perhatian kepada beberapa aspek utama termasuk ketepatan terjemahan atau makna perkataan.

Siang Bergelar Pendidik, Malam ‘Tukar Topi’ Jadi Perterjemah Bebas, Siti Munirah Bukan Tamak, Tapi Minat
Bersama ibu bapa yang banyak memberi sokongan dan dorongan.

“Saya akan memastikan setiap perkataan diterjemahkan dengan betul tanpa mengubah maksud asal teks dan mengekalkan intonasi yang sama seperti teks asal. Selalunya saya akan buat rujukan di banyak tempat dan memastikan rujukan saya adalah boleh dipercayai.

“Selain itu, ketelitian juga satu aspek penting. Saya akan memastikan bahawa teks yang diterjemah bebas dari kesalahan tatabahasa, ejaan dan struktur ayat.

Katanya, dia juga membaca pruf terhadap terjemahan untuk memastikan ia berkualiti tinggi sebelum dihantar kepada klien.

“Akhir sekali, saya menitik beratkan penggunaan bahasa yang jelas dan mudah difahami. Saya pastikan teks terjemahan tidak terlalu teknikal atau terlalu ‘berat’ untuk pembaca biasa, kecuali jika ia diperlukan dalam bidang tertentu seperti undang-undang atau teknikal supaya dapat menyampaikan mesej dengan tepat dan mudah difahami pembaca sasaran,” katanya.

Baginya, antara cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi adalah apabila diminta menghasilkan terjemahan bagi kandungan di luar bidang kemahiran dan pengetahuannya.

“Contohnya, terjemahan manual penggunaan mesin sedangkan bidang utama saya ialah teknologi maklumat.

Terjemahan akan mengambil masa agak lama kerana saya perlu membuat rujukan tambahan dengan membaca buku mengenai mesin dan kejuruteraan serta bertanya kepada rakan-rakan yang mahir untuk memastikan terjemahan lebih tepat,” katanya.

Selain itu, dia turut berdepan cabaran untuk membahagikan masa bagi memastikan tugas hakiki dan keluarga tidak terabai.

“Setiap petang selepas pulang dari kerja hakiki, saya hanya fokus meluangkan masa bersama keluarga dan pada sebelah malam pula saya akan memperuntukkan selama beberapa jam untuk menyiapkan tugasan penterjemahan.

“Sekiranya ada tugasan yang masih belum selesai, saya akan siapkan pada hujung minggu. Saya akan menghantar anak saya kepada pengasuh dengan bayaran tambahan,” katanya.

Menurutnya, salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang terbabit dalam bidang penterjemahan apabila diminta untuk buat terjemahan bagi aplikasi solat.

“Projek ini sangat menarik kerana saya perlu muat turun dan menggunakan aplikasi itu untuk menghasilkan terjemahan yang dapat memberi manfaat kepada orang lain khususnya orang Islam.

“Ada juga saya diminta terjemah laman web kasino dan video berita semasa pro-Israel, namun saya menolak walaupun bayaran mahal,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, dia kini sedang membangunkan laman web yang akan memudahkan pelanggan menempah perkhidmatan yang disediakan dan memudahkan sesiapa yang berminat untuk belajar boleh mendaftar dan belajar.

Selain itu, saya juga ingin membina pasukan dalam kalangan peserta untuk membantu memperluaskan servis dan penatar yang berpengalaman bagi mengendalikan kelas-kelas berkaitan.

“Dengan sokongan pasukan yang komited, saya bukan sahaja boleh mempelbagaikan servis, malah akan dapat menawarkan lebih banyak peluang pembelajaran yang praktikal, membantu lebih ramai penterjemah baharu untuk menjana pendapatan,” katanya.

Sumber: Harian Metro 

Amyra Rosli Pernah Hilang Berat Mendadak, Terlalu Sibuk Urus Anak, Rumah Tangga Kerjaya 

“Suami Idolaku.” Ikut Jejak Kerjaya Suami, Ibu Anak 2 Ini Tak Sangka Dinobat Pelatih Terbaik Wanita

Jangan Cakap Kerja Jururawat Senang, Wanita Ini Kongsi Cabaran Kerjaya Ini Ramai Yang Tak Tahu.

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my

 

 

 

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI