Sesungguhnya bukan mudah menjadi suami yang prihatin yang memimpin keluarga. Besar tanggung jawab yang dipikul. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi barah kepada isteri. Hargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.
Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumah tangga. Sesekali jadikan bahu anda tempat sandaran isteri meluahkan rasa.
Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah anggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.
Jika anda tidak suka isteri melakukan sesuatu perkara yang anda sendiri kurang senangi, demikian juga mereka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali.
Buat anda yang bergelar suami dan lelaki amnya, hadamkan pesanan dari saudara Ade Azhar Ismail ini baik-baik. Moga bermanfaat untuk keharmonian rumah tangga anda.
Pesan buat LELAKI.
Ads
Kalau kau pilih wanita yang punya karier sendiri, kau kena akur bahawa dia tak boleh uruskan rumahtangga sepenuh masa.
Kalau kau pilih wanita tanpa kerjaya sebagai suri hatimu, jangan merungut jika segala perbelanjaan dan komitmen rumahtangga tergalas atas bahumu.
Kalau kau pilih wanita yang tidak berdikari, kau kena tahu bahawa dia akan bergantung kepadamu.
Ads
Kalau kau pilih wanita yang berani dan lantang bersuara, kau jangan marah jika dia keras kepala dan berani berdebat denganmu.
Kalau kau pilih wanita yang cantik bergaya, kau kena terima yang dirinya high maintainance. Perlu belanja yang besar untuk kekalkan kecantikannya.
Betul ke anak degil hanya disebabkan mak ayah masih tidak melunaskan majlis akikah? Persoalan ini diajukan kepada seorang ustaz di laman Tiktok @fitrahummah apabila ada yang menyatakan bahawa anak-anak mereka degil kerana tidak menjalankan ibadah aqiqah.
Dengarkan penjelasan ini agar tidak sebarang kekeliruan.
Mula-mula dahulu kita kena faham aqiqah ini menurut bahasa ertinya “rambut yang tumbuh di atas kepala bayi pada kala waktu lahirnya.” Demikian pendapat ‘Ubaid, Ashmu’i dan Zamakhsyari. Menurut istilah hukum syarak aqiqah ialah “penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, di samping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu.” Imam Syafi’e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad.
Ini bersesuaian dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”– (Maksud hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi) Ibnu Al-Qayyim.
Ini menegaskan bahawa aqiqah itu memelihara bayi tersebut daripada golongan syaitan dalam urusan dunia dan akhirat.
Juga sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya.”– (Maksud hadis riwayat Tirmidzi)
Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi.
Imam Ibnu Qayyim pula menyabitkan aqiqah dengan nilai korban seekor kambing yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagai ganti diri untuk Nabi Ismail AS.. Maka dengan itu, difahamkan bahawa penyembelihan aqiqah untuk anak yang dilahirkan berguna untuk melindungi bayi daripada gangguan syaitan.
Menurut Fitrah Ummah, terdapat beberapa fadhilat yang baik apabila mak ayah membuat korban aqiqah kepada anak-anak iaitu:
-Anak-anak anda akan membesar dengan baik dan sama seperti anak orang lain.
-Anak-anak yang diaqiqahkan itu akan terhindar daripada gangguan syaitan daripada ingin membuat kebaikan.
-Anak-anak yang diaqiqahkan itu dapat memberikan syafaat kepada ibu bapanya di akhirat kelak.
Jadi dengan kenyataan 3 fadhilat itu memberi penerangan jelas bahawa membuat aqiqah untuk anak sedikit sebanyak dapat bantu mendoakan kesejahteraan anak anda. Sekali seumur hidup sudah memadai!
Ceramah dan penulisannya sering mendapat perhatian ramai di majlis ilmu atau di media sosial. Setiap kali menyampaikan ilmu kekeluargaan berunsurkan Islamik perkongsiannya akan mendapat perhatian ramai.
Malah cara hidup beliau serta suami dalam mendidik anak-anak turut menjadi inspirasi. Begitulah figure Ustazah Asma’ Harun kini meniti di bibir-bibir muslimat majoritinya. Sering membuat live perkongsian ilmu di laman media sosial.
Sempena ulangtahun perkahwinan yang ke-15, suami beliau, Tengku Fazli bin Tengku Yahya berkongsi coretan kisah bahagianya bersama isteri, Ustazah Asma’ Harun (UAH) yang dikurniakan tujuh orang cahayamata penyeri buat keluarga.
Ikuti perkongsian ‘sweet’ ini.
15 TAHUN YANG LEPAS.. Tulisan oleh : En. Suami UAH Dikemaskini : Ustazah Asma’ Harun
BAHAGIA ITU PERCUMA IAITU DENGAN SYUKUR
Masih lagi teringat kata-kata UAH selepas mengikat tali pertunangan, beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang agak senang, lalu saya bertanya boleh ke untuk menempuh hidup susah selepas nikah. Jawapannya ketika itu,
“Sebagai ingatan bersama, ada 2 perkara yang mana manusia tidak akan puas selamanya, iaitu megumpulkan harta dunia dan mencari ilmu. Ia akan membuatkan manusia sentiasa merasa tidak cukup, maka insyaAllah kita adalah yang tidak puas dengan Ilmu”.
“Ustaz (panggilan UAH buat saya, saya pelajar kejuruteraan), ana cukup senang dan tenang bilamana ustaz ada mengatakan bahawa ustaz tak mampu memberikan kesenangan tapi insyaAllah kebahagiaan, kerana bahagia itu percuma iaitu dengan Syukur”.
“Ana tak kisah bagaimanapun kehidupan akan datang, susah senang lalui bersama, dan sederhana itulah sebaik-baik cara hidup. Ana juga tak pernah bermimpikan hidup dalam kemewahan dan kesenangan, ia cukup menggerunkan, ia bukan cara hidup kita, tiap harta itu pinjaman dariNya, untuk melihat sejauh mana kita mengimarahkan dan menguruskannya, semuanya akan kembali kepadaNya jua..”
Panjang UAH menerangkan, memang daripada dulu petah menyusun kata-kata. Ini bukanlah satu kata-kata manis, janji indah dari seorang yang sedang mabuk dalam cintanya, ia datang dari niat dan kefahaman tentang islam itu sendiri. Sambungnya lagi..
“Ustaz, bukanlah satu syarat dan keutamaan bagi ana memiliki keperluan itu ini, ana tak mahu kerana perkara yang belum pasti, maka perkara “baik (nikah)” dilengah-lengahkan. Paling utama yakinlah dengan rezeki Allah”.
Alhamdulillah. Saatnya, 6.11.2005 tarikh yang menyatukan kami setelah setahun lebih bertunang. Bila dikenang kembali, terasa cepatnya saat yang indah itu berlalu, menyatukan 2 jiwa secara sah. Indahnya apabila semuanya dilalui hari demi hari dengan sabar, redha, usaha dan saling memaafkan.
Berkongsi satu kenangan yang selalu memecahkan tawa, dalam kekalutan perjalanan menuju kampung Batu Enam iaitu rumah UAH untuk akad nikah dan kenduri walimah, rombongan kami tertinggal hadiah hantaran , nak balik semula dah jauh. Waktu akad nikah pula dah dekat.
Bila sampai dan disambut oleh keluarga UAH, kami semua hanya membalas dengan senyuman yang penuh rasa malu, hanya bawa pengantin lelaki! Entah bagaimana rupa rombongan dari Besut ketika itu.
Tapi kisahnya bermula daripada awal lagi, keluarga UAH dah maklumkan tentang hantaran tak perlu dijadikan keutamaan, jika nak diberi perlu tertutup supaya ia tidak ditunjukkan, jadikan ia betul² satu hadiah.
AWAL PERKAHWINAN
Di awal pernikahan, ketika itu saya masih dalam proses menyiapkan Sarjana di UTM Skudai, kami hanya memiliki sebuah motosikal. Bersama ke kuliah harian, ke pasar, ke masjid dan kemana². Pulang ke kampung menaiki bas, kekurangan tapi sempurna. Kami menjalani kehidupan yang sangat sederhana sebagai pelajar dengan elaun bulanan part time sebagai pegawai penyelidik. Bertahan dengan rumah sewa yang comel tanpa mesin basuh dll kelengkapan sehinggalah lahirnya anak pertama, Atikah.
Berbelanja keperluan harian seadanya, hujung bulan tabung duit syiling adalah penyelamat. Telur kicap menjadi hidangan paling kerap yang sedap. Belajar menikmati pahit manis kehidupan tanpa keluh kesah. Apa-apa yang diterima diakhiri dengan Alhamdulillah. Kelahiran Atikah sangat membahagiakan, Namun, ia bermula dengan tempoh mengandung dengan alahan yang teruk, keluar masuk hospital juga. Saat mahu melahirkan UAH melalui satu pengalaman yang perit.
Dr. melakukan satu prosedur memecahkan air ketuban sedangkan ketika itu tiada bukaan dan tanda² untuk melahirkan anak, seolahnya dipaksa. Maka bermulalah sakit kontraksi yang di tahap maksimum bermula jam 12 tengah malam sehingga laungan azan subuh tanpa henti hampir setiap minit.
Tidak dapat membayangkan saat itu, hampir seluruh tenaga digunakan, digenggam tangan dan apa yang ada sekuat hati. Terasa sakit yang amat, namun derita yang ditanggung UAH lebih berganda lagi.
Saya masih ingat UAH dimarah-marah kerana menjerit kesakitan dan beberapa perkataan yang perit diterima. Bagi saya yang tiada pengalaman, memandang kali pertama merasa keliru, adakah ini keadaan biasa proses melahirkan atau diluar kebiasaan.
KELAHIRAN CAHAYAMATA PERTAMA
Seolah-olah tidak mampu bertahan dengan banyak kudrat diguna, beberapa kali perlu UAH perlu disedarkan kerana kehilangan tenaga, tidak ada waktu untuk rehat atau minum, sakit tanpa henti dalam 5 jam lebih silih berganti dengan muntah. Saya begitu keliru melihat keadaan UAH umpama benar² dihujung nyawa.
Sehinggalah saat azan subuh berkumandang, Atikah selamat dilahirkan. Saya terus terduduk hampir pengsan kerana kebimbangan dan keletihan. Selepas selesai UAH diminta pindahkan katil, beliau cuba untuk berjalan, tapi ketika itu kakinya tidak merasa apa² umpama seperti kebas sepenuhnya. Ya Allah sungguh keadaan itu menakutkan.. lama juga baru UAH dapat rasa pergerakan kaki.
Benarlah, kelahiran Atikah bukan satu proses biasa, kerana anak-anak yang selepas itu tidak ada yang seperti Atikah, kesakitan kontraksi bukanlah setiap saat, ada selang selinya akan berhenti untuk mengumpul tenaga. UAH selalu menyebutkan bahawa jika dikumpulkan semua sakit bersalin anak-anak yang lain masih tak boleh menyamai dengan sakit Atikah.
Satu kisah.. selang beberapa hari dilahirkan, Atikah tidak stabil dan perlu ditahan di wad kritikal dan diletakkan dalam inkubator, punca yang tidak diketahui. Sedih tak tertahan melihatnya yang masih merah melalui pelbagai prosedur yang menyakitkan.
Kami hanya mampu melihat bayi kecil kami menangis menggeletar tanpa baju dan pelukan di dalam inkubator, yang akhirnya keletihan dengan esak tangis dan tertidur. Panjang kisahnya.. Alhamdulillah Atikah akhirnya sihat sepenuhnya hingga kini.
Mengenang cerita kelahiran Atikah, UAH tersangat trauma untuk kembali ke wad bersalin. Namun fitrah kewanitaannya, apabila Atikah dah mula membesar, dan kerana ingin membahagiakan suaminya dengan ramai zuriat, akhirnya dipertaruhkan juga nyawa sehingga 7 kali dan 2 kali keguguran.
Ketika kelahiran anak ke 6 iaitu Raihanah, UAH telah mengalami masalah uri lekat, siapa yang ada pengalaman tentu tahu, Dr. perlu keluarkan uri dengan tangan dalam keadaan sedar, Ia kesakitan berganda selepas sakit melahirkan.
Keadaan bertambah parah Ketika kelahiran Fatimah, UAH mengalami masalah uri lekat dan rahim bocor menyebabkan perlu dilahirkan melalui pembedahan. Hampir sahaja rahim perlu dibuang namun dapat diselamatkan. Doktor menasihatkan agar inilah anak yang terakhir kami. Kami akur dan kami amat bersyukur atas semuanya.
Alhamdulillah. Alhamdulillah ya Allah.. semoga pernikahan ini kekal sampai Syurga dan diredhai Allah jalan ceritanya, bersama anak-anak tercinta, Atikah 14, Luqman 12, Maisarah 11, Imran 9, Sofwan 6, Raihanah 3, Fatimah 1.
Kau Permaisuri di hati-ku Di dunia ini engkau penghibur Menjunjung kasih amanah Ilahi Ku pasti akan terus menyayangi Terima kasih ucapan ku beri Kau hadiahkan ku cahaya hati Ku pimpin tangan-mu oh kasih meniti hari Semoga kita dapat bersama Sampai kepada-Nya disyurga sana Tuhan kekalkanlah Permaisuri hati ku Untuk menemani dalam mengapai cinta-Mu (Nasyid kegemaran UAH, saya selalu dipaksa nyanyikannya.. )
Duhai Isteriku, selamat menyambut ulangtahun pernikahan yang ke-15 (06.11.2005 ~ 06.11.2020) semoga kita semakin kuat dan ikhlas saling mengasihi keranaNya. Alhamdulillah ya Allah.. Doakan kami, doa yang sama buat semua..
Tengku Fazli bin Tengku Yahya Suami kepada Asma’ binti Harun Jumaat 06.11.2020
Terkesan daripada perkongsian artikel di media sosial, keluarga ini melakukan perubahan drastik untuk menjalankan tanggungjawab mengurus rumah tangga secara berjadual.
Jom ikuti perkongsian bermanfaat ini.
Satu ketika, aku tengah makan. Nampak isteri aku tunjuk artikel di telefon pintar pada anak-anak.
“Baca ni,” katanya.
Aku tengok saja. Lepas makan aku tanya dia, “Artikel apa tu?”
Dia pun tunjuk pada aku. Artikel itu dalam bahasa inggeris, ditulis oleh seorang perempuan mat saleh. Dia bercerita ketika dia sedang sibuk cuci pinggan di dapur, suaminya dan anak-anak selamba tengok TV. Puas dia panggil semua buat bodoh saja.
Akhirnya selepas lama dia bising, suami dia pun cakap pada anak-anak,
“Dah, dah. Pergi tolong mak kamu tu.”
Kemudian dia terfikir, kenapa bila cuci pinggan, kemas rumah itu, dianggap sebagai ‘tolong’ ibu dan isteri. Seolah-olah itu memang tugas ibu semata-mata, orang lain kalau buat itu sekadar nak tolong saja.
Bukankah rumah ini rumah kita bersama? Kita guna tandas bersama. Ruang tamu bersama.
Mengapa kita tidak menganggap bahawa ini kerja kita bersama juga?
Aku mengangguk-angguk sambil membaca artikel itu.
Betul, biasanya kita ini ambil mudah.
Bila kerja-kerja di rumah saja, secara automatik kita kaitkan dengan tugas orang perempuan, iaitu ibu kita atau isteri kita.
Kenapa mentaliti kita begitu?
Pinggan, ramai yang lepas makan hanya letak saja dalam sink. Yang lebih teruk, tinggal saja atas meja makan.
Maka ibu atau isterilah yang mengutip sampah sarap ini tadi dan membawanya ke dapur
Tandas, semua guna untuk buang segala kotoran dalam badan. Bila mangkuk tandas dan lantai sudah berdaki, semuanya buat tak tahu. Masing-masing beranggapan nanti ibu atau isteri yang akan sental.
Kipas dan aircond, semua nak guna waktu kepanasan. Namun bila berhabuk, masing-masing lebih rela bersin dan terbatuk berbanding ambil inisiatif untuk buang habuk yang terkumpul. Semuanya tunggu ibu atau isteri yang buat.
Beginikah cara kita hidup bersama di dalam rumah? Di bawah satu bumbung?
Maka kami pun buat jadual. Duty roster.
Ada tugas harian, ada tugas mingguan. Semua wajib laksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut apa yang telah ditetapkan.
Untuk apa?
Supaya masing-masing ada rasa kebertanggungjawaban. Supaya anak dan suami tahu, rumah ini tanggungjawab bersama untuk pastikan ia bersih, kemas dan sihat untuk didiami.
Bukan kerja orang perempuan saja. Bukan tugas ibu atau isteri saja.
Kita semua buat sepah, kita semua kena kemas.
Bergilir-gilirlah. Masing-masing akan rasa cuci pinggan, sidai baju, cuci tandas, sapu sampah, cabut rumput dan lain-lain.
Tidak ada ruang untuk anak-anak rasa seperti tuan atau bos.
Tidak ada ruang untuk suami atau isteri menyuburkan ego
Barulah kita boleh hargai setiap sudut rumah yang kita diami.
Kita nampak ruang tamu kemas, kita tersenyum dan kata pada diri, itu kita yang kemas sama-sama.
Kita nampak tandas bersih, kita juga rasa puas hati kerana kita pun terlibat dalam memastikan tandas itu harum dan tidak jijik.
Kita akan geram bila ada ahli keluarga cuba sepahkan barang. Sebab kita tahu betapa lecehnya nak kemas balik.
Baru kita tahu apa yang ibu dan isteri kita rasa selama ini.
Rumahku syurgaku. Selalu orang sebut, namun tak ramai yang berusaha untuk menjadikan rumah itu syurga bersama-sama. Hanya mengharap ia jadi syurga secara tiba-tiba?
Semoga Allah sentiasa menaungi keluarga kita dengan rahmah dan maghfirah-Nya, dan rumah yang kita diami itu sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan ketenangan.
Asymawi, pelajar Politeknik Melaka, sanggup bekerja sebagai penghantar makanan demi menyambung pengajian dan membantu keluarga selepas melihat pengorbanan besar bapanya.