Suami yang bertanggungjawab dan anak yang sihat juga rezeki yang Allah kurniakan. Walau tak memiliki harta yang banyak dan hidup mewah, sebenarnya kita perlu melihat pelbagai sudut lain yang mampu membuatkan kita bahagia dalam hidup.
Jangan hanya fikir duit dan harta saja rezeki yang Allah kurniakan. Rezeki itu bukan hanya pada wang ringgit. Rezeki itu meliputi kesihatan, ilmu, sahabat, masa lapang, idea dan pelbagai lagi sehinggakan kemampuan melaksanakan amal ibadah juga merupakan rezeki.
Suami Bertanggungjawab, Anak Sihat Pun Rezeki
Tak mengapa kalau pun tak punya harta banyak, tapi melihatkan anak-anak dapat membesar dengan sihat dan cergas, ia juga satu rezeki yang tak ternilai harganya. Andainya anak-anak kita cemerlang dalam akademik, itu satu lagi BONUS. Betul kan?
Walau Tak Cemerlang Akademik, Cukuplah Cemerlang Akhirat
Namun, yang paling penting, didiklah anak untuk cemerlang di akhirat. Tiada gunanya anak hanya cemerlang di dunia. Pandai belajar dan berkelulusan tinggi namun tak mampu mendoakan kita kelak bila kita sudah tiada. Alangkah ruginya kita.
Oleh itu jangan bersedih andai anak kita mungkin tak secemerlang anak orang lain. Tapi dia seorang anak yang taat pada Allah dan pada kita ibu bapanya. Seorang anak yang sangat menyenangkan hati. Itu pun rezeki bukan? Cuma sebagai mak, sentiasa doakan agar dia tetap menjadi orang yang berguna dan berjaya dengan caranya yang tersendiri kelak.
Tak Kaya pun Tak Apa
Ads
Walau Tak Kaya, Suami Penyayang Dan Bertanggungjawab
Apa lagi yang wanita inginkan selain memiliki suami yang penyayang dan bertanggungjawab pada dirinya dan anak-anak. Itu juga REZEKI bagi seorang isteri. Apatah lagi pada zaman sekarang, ramai suami yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Tak dinafikan, duit itu penting namun ia bukan perkara paling utama dalam hidup. Bila suami seorang yang bertanggungjawab, sudah pasti dia akan berusaha keras untuk memenuhi kecukupan keluarganya biar pun mungkin tidaklah mewah.
Keluarga Sihat Juga Rezeki
Apa gunanya harta dan duit yang melimpah ruah jika tidak sihat. Tak kira yang diuji sakit itu suami, anak-anak atau kita sendiri. Maka, bersyukurklah bila ada keluarga yang sihat kerana kesihatan tak mampu dinilai dengan wang ringgit.
Ads
Bila anak sihat, kita tak risau dan boleh bekerja tanpa rasa risau. Bayangkan kalau anak asyik sakit, tentu hati tak selesa hinggakan terpaksa ambil cuti untuk menjaga anak.
Hidup Ikut Kemampuan
Ads
Kita perlu sedar tentang kemampuan diri. Jadi jangan terikut-ikut dengan gaya hidup orang lain. Mungkin orang lain boleh setiap minggu membeli pakaian baru untuk anak-anaknya tapi kita hanya setiap tiga empat bukan sekali baru boleh belikan. Atau bila tiba musim perayaan barulah dibeli yang baru.
Lagi pula, daripada membeli pakaian baru untuk anak-anak, lebih baik beri anak makan makanan yang sedap walau pun yang dimasak sendiri.
Bila kita hidup berlandaskan kemampuan diri kita, pasti semuakan akan cukup. Namun, tak salah sesekali nak reward diri dan keluarga dengan pergi makan di tempat mahal, tapi kira bajet dulu ye.
Sentiasa Syukur
Sentiasa ingatkan diri supaya sentiasa brsyukur dengan rezeki yang kita peroleh dalam hidup. Bila kita sentiasa bersyukur tak tak merungut, hati kita akan tenang. Kita dapat terima keadaan diri kita yang mungkin tak semewah orang lain.Tapi kita tetap mampu bahagia dengan cara kita sendiri. Memang duit itu penting namun bukan segala-galanya.
Baru-baru ini tular tentang aksi seorang penyanyi, Masha Masyitah yang dianggap pengotor kerana memakan sotong dan udang kecil secara hidup-hidup.
Bagi yang ragu-ragu dengan perbuatan demikian, di sini kami sertakan penjelasan dari pandangan pihak Mufti Wilayah Persekutuan di laman web rasmi mereka, di mana ada seorang individu pernah mengajukan soalan tentang hukum memasak atau memakan haiwan yang masih hidup contohnya sotong kurita. Jom sama-sama timba ilmu apa hukumnya untuk manfaat bersama.
Berbuat baik kepada haiwan
Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam. Demikian juga, kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan.
Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh haiwan melainkan bertujuan bagi mendapat manfaat darinya seperti memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda :
ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها
Maksudnya : “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya : Wahai Rasulullah! Apakah haknya? Baginda menjawab : Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.”
Riwayat al-Nasaie (4349)
Sehinggakan saat hendak menyembelih haiwan pun kita disuruh untuk berbuat ihsan (baik) kepadanya (haiwan tersebut), dengan mematikan (menyembelih) dengan cara yang terbaik. Rasulullah SAW bersabda mengenai perkara ini :
إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.” Riwayat Muslim (1955)
Hadis ini secara jelas telah menyatakan mengenai kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Kata Syeikh al-Sa’di : “Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan).” (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127).
Memasak atau memakan haiwan yang masih hidup
Terlebih dahulu, kita kena ketahui bahawa perkara ini tidak mungkin akan berlaku kepada haiwan yang hidup di darat kerana bagi menghalalkan dagingnya, ia hendaklah disembelih terlebih dahulu. Sekiranya haiwan tersebut tidak disembelih sebagaimana sembelihan yang telah ditetapkan oleh syarak, maka ia menjadi bangkai dan haram ke atas kita memakannya.
Begitu juga, apa-apa bahagian yang terpotong daripada haiwan ternakan (darat) yang masih hidup, menjadi bangkai. Sabda Nabi SAW :
ما قُطِعَ منَ البَهيمةِ وَهيَ حيَّةٌ فَهوَ ميتَةٌ
Maksudnya : “Apa-apa yang dipotong dari haiwan ternakan dalam keadaan ia masih hidup maka ia adalah bangkai.” Riwayat al-Tirmizi (1480)
Maksudnya : “Bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup… (hukumnya) adalah seperti bangkainya. Iaitu haiwan yang hidup tersebut, sekiranya ia suci (iaitu bangkainya) maka bahagian yang terpisah itu juga adalah suci, sekiranya ia adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah najis… Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia atau ikan atau belalang adalah suci, manakala selainnya (manusia, ikan dan belalang) adalah najis… Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara Ijma’ (para ulama).” (Lihat Mughni al-Muhtaj,1/235)
Akan tetapi, bagi haiwan atau hidupan (yang hidup di dalam air), tidak perlu disembelih dan bangkainya adalah suci. Firman Allah SWT :
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ
Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut.” (Surah al-Maidah : 96)
Nabi SAW juga ada bersabda :
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya : “Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).” Riwayat al-Tirmizi (68)
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, disebutkan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa sekiranya seseorang mendapatkan ikan yang masih hidup, tidak boleh untuk dia terus memakannya sehinggalah ikan tersebut mati atau dimatikan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ulama Hanafiyyah dan Hanabilah. Dan makruh hukumnya memanggang ikan tersebut hidup-hidup kerana ia telah menyeksanya tanpa keperluan. Hal ini kerana ikan adalah hidupan yang cepat mati, maka boleh ditunggu ia mati terlebih dahulu (sebelum dimasak). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/131)
Imam al-Nawawi telah menyebutkan di dalam kitabnya bahawa sekiranya ditelan ikan ketika ia masih lagi hidup atau dipotong separuh daripadanya (ketika masih hidup), kemudian dimakan, ada dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah makruh dan bukannya haram. Manakala pendapat yang kedua ialah haram dan ini adalah merupakan pendapat Imam al-Ghazali. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/73) Maka, termasuklah juga haiwan-haiwan atau hidupan lain yang hidup di dalam air, yang mana mengambil hukum ikan.
Oleh itu, kami berpendapat memasak ikan atau sotong kurita atau lain-lain hidupan air (yang halal dimakan) ketika masih lagi hidup adalah makruh. Matikanlah terlebih dahulu haiwan berkenaan dengan cara yang terbaik atau menunggunya mati terlebih dahulu kerana kebiasaannya haiwan yang tinggal di air tidak dapat hidup lama di atas darat (berpisah dengan air).
Demikianlah juga, hukum memakan haiwan berkenaan ketika masih lagi hidup adalah makruh sekiranya tidak memudaratkan. Hal ini kerana kebiasaannya daging haiwan yang masih mentah (belum dimasak) mudah terdedah dengan pelbagai jenis bakteria yang boleh memberi mudarat dan membahayakan tubuh badan. Oleh itu, adalah lebih baik haiwan berkenaan dibuang perutnya, kemudian dibersihkan dan dimasak terlebih dahulu, sebelum dimakan. Ini adalah lebih selamat dan menepati sebagaimana firman Allah SWT :
Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik” (Surah al-Baqarah : 168)
Kesimpulannya
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum memakan dan memasak haiwan seperti ikan atau sotong kurita atau hidupan yang seumpamanya (hidup di dalam air dan halal dimakan), ketika masih lagi hidup adalah makruh.
Lebih-lebih lagi, kita dituntut supaya berbuat baik (ihsan) kepada haiwan. Maka, termasuk dalam perbuatan ihsan tersebut, tidak menyeksanya dengan memasaknya dalam keadaan ia masih lagi hidup.
Begitu juga, kita dituntut untuk memakan makanan yang halal lagi baik. Memakan haiwan yang telah dimasak dan dibersihkan adalah lebih menjamin konsep baik (kualiti) pada makanan tersebut kerana daging haiwan yang masih mentah (belum lagi dimasak) kebiasaannya mudah terdedah kepada pelbagai jenis bakteria yang boleh membahayakan tubuh badan kita.
Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Apabila nyawa dicabut oleh malaikat maut iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (telah ditetapkan oleh Allah). Ia berlaku dan tidak ditunggu sesaatpun jika itu adalah masanya.
Begitu juga kisah yang dipaparkan oleh seorang wanita, Chie Chiey ini sungguh meruntun jiwa apabila tidak dapat memenuhi permintaan terakhir arwah untuk meraikan hari jadi ibu bersama ayahnya.
Kisahnya bermula apabila dia sendiri dimasukkan di wad kerana masalah kesihatan dan pada masa yang sama berbersebelahan dengan seorang kanak-kanak berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Siti Nurfadzilah.
Dalam tempoh berada di wad sama dengan katil bersebelahan, wanita ini sempat berkongsi rezeki dengan permintaan kanak-kanak ini. Namun, sebak di hati apabila permintaan terakhir kanak-kanak itu itu tidak sempat ditunaikan setelah menemui ajal.
Ikuti kisah kemanusiaan ini yang begitu meruntun jiwa.
Wad pembedahan Bilik 8
Bagaimana mungkin saya tidak terkesan dengan pemergiannya. 4 malam saya berjiran dengan dia. Kisahnya… Gadis berbadan kecil, berumur 13 tahun. Di jaga oleh mummynya. Dia warded awal sikit dari saya 26.7.19. Saya warded 27.7.19. Saya warded 4 malam.
4 malam tu juga saya dengar dia menanggis, meraung malam malam dan subuh bila kena cucuk jarum ambil darah. Kadang doktor tidak jumpa urat yang boleh dapat darah. Cucuk sampai 4 kali baru dapat. Setiap hari 2 kali kena ambil darah..
Sampai dia cakap, mummy jangan lagi kasi benar derang cucuk saya. Sakit.. Saya tidak tahan lagi. Saya tidak kuat lagi. Begitulah hari hari saya dengar.
Dia cuma sakit perut. Tapi daripada CT scan doktor cakap appendix bengkak. Saya curi curi dengar kalau doktor pakar datang.
INGIN MAKAN KFC
Gadis ni tidak selera makan, jadi risau juga kalau dia tidak makan. Mamanya cakap dia mau makan KFC tapi tidak tau mana mau beli. Saya pesan sama suami belikan dia KFC..malam tu juga dia makan KFC. Esoknya dia mau makan uncle bob pula. Syukur dapat tunaikan juga.
Yang sedihnya, mummynya mau belikan makanan.. dia kumpul kumpul duit syiling. Lepas tu tidak jadi. Mungkin dia rasa dia tidak cukup duit.
Syukur juga suami murah hati, dia hulurkan sedikit duit untuk mummynya. Lepas tu barulah mummynya turun beli makanan, vitagen…etc
Tarikh: 30.7.19
saya check out pada 30.7.19 Saya bertukar nombor telefon sama mummynya.
Nanti datang datang lawat kami aa dia bilang dalam loghat Ranau. InsyaAllah saya jawab.
Saya cuma dapat melawat dia pada 2.8.19 sebab saya pun baru juga keluar wad. Walaupun jalan macam siput saya gagahi juga. Sambil sambil hantar bekalan nyawa mummynya. Mummynya makan sirih, pinang, monginggat bah. Dia kehabisan bekalan.
Masa jumpa dia, dia kelihatan lagi tidak bermaya daripada hari sebelum saya discharge. Saya ada belikan dia bubur MCD, saya cuba suap dia tapi dia tidak mau. Dia cakap tidak ada selera. Saya merayu lagi, adik kesian tau anty bawa makanan ko tidak makan. Tapi tidaklah saya paksa. Saya pesan adik, kalau adik mau cepat keluar dari sini adik kena makan supaya adik kuat saya cuba memujuk.
KEK BUAT HARI JADI IBU
Saya tanya lagi ada apa yang adik mau makan anty pergi beli? Dia cakap mau makan pizza sama kek tapi tidak mau kek coklat.
Perbualan terakhir kami
Adik: anty boleh ka anty beli cheese kek? Tulis di kek happy birthday mummy..
Me: boleh… Kek tu mau bila hari ini atau esok?
Adik: esoklah.. Sebab esok daddy saya datang.. Mau celebrate sama sama daddy. Anty jangan lambat aa…
Me: insyaAllah adik..sambil peluk dia.
Adik: Dia peluk saya erat erat. Kan bagus kalau anty di sini. Anty datang lagi kan.. Anty, kalau saya mau balik ranau sudah anty hantar ka?
Me: insyaAllah dik.. Telefon saja anty.
Tarikh 3.8.19
Saya siap beli pesanan si adik. Pizza, kek seperti yang di minta. 11.30 saya telefon mummy nya…hati berbunga bunga..tidak sabar mau jumpa bagi dia happy…dia mau celebrate birthday mummy.
Tapi.. Hello kak, kakak masih di wad yang sama? Saya mau datang ni. Tidak adik, saya sini rumah mayat.. Anak saya sudah tiada……
Saya meraung…. Tidak percaya… ALLAH….. Lemah tulang tulang saya. Saya tidak dapat tahan sebak.. Adik adik… Maaf adik, anty lambat… Anty tidak sangka begitu cepat kau pergi…
Menurut mummynya, dia hembuskan nafas 8.04am..
Saya tunaikan juga janji hantar kau adik. Doakan kami agar dipermudahkan urusan kami mencari kampung Lipasu Lama ranau.
Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang beriman
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sarah Hildebrand timang anak sulung, kongsi detik indah di Instagram. Pelakon kacukan Melayu-Inggeris, Sarah Hildebrand kini bergelar ibu selepas selamat melahirkan cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup bersama suaminya.
Perkhabaran manis itu disampaikan sendiri oleh Sarah menerusi hantaran terbaharu di Instagram miliknya.
Sarah atau nama penuh Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand berkongsi foto bersama suami tersayang serta bayi mereka yang baru lahir di bilik bersalin, tidak lama selepas proses kelahiran berlangsung.
Kehadiran si kecil itu nyata mencuri perhatian ramai apabila ruang komen dibanjiri dengan ucapan tahniah dan doa daripada rakan artis serta peminat, yang mendoakan agar keluarga kecil ini terus dilimpahi rahmat.
Terdahulu, pada Ogos 2024, Sarah mendedahkan bahawa dirinya sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat.
Kemudian pada Februari lalu, dia memuat naik foto kit ujian kehamilan di Instagram sekali gus mengesahkan dirinya sedang menantikan kelahiran zuriat sulung.
Untuk makluman, Sarah pernah bernikah dengan pelukis kacukan Filipina-Amerika, Otto Gillen pada 3 November 2019. Namun, mereka mengambil keputusan untuk berpisah meskipun tidak mendedahkan tarikh sebenar perceraian.
Sekadar mengimbas, pelakon popular drama Pujaan Hati Kanda itu pada tahun 2022 pernah mengumumkan pengunduran dirinya daripada industri hiburan.
Selepas itu, Sarah membuat keputusan berhijrah ke Amerika Syarikat dan menyertai pasukan beruniform Tentera Udara Amerika Syarikat (US Air Force).
Asymawi, pelajar Politeknik Melaka, sanggup bekerja sebagai penghantar makanan demi menyambung pengajian dan membantu keluarga selepas melihat pengorbanan besar bapanya.