Khidmat dan bakti yang dicurahkan oleh doktor dan jururawat dalam menjaga ahli keluarga kita yang sedang sakit ketika berada di dalam wad memang besar pengorbanannya. Keikhlasan hati mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada semua pesakitnya, jika dilihat sama kasih sayang dan layanannya seperti menjaga ahli keluarga sendiri.

Bersempena Hari Jururawat yang disambut semalam (12 Mei), Doktor ini telah berkongsi satu kisah yang cukup menyentuh hati tentang hubungan kasih sayang antara jururawat di hospital tempatnya bertugas dengan anak kecil yang dinamakan Dewi Yusra.

Ayuh kita baca perkongsian penuh daripadanya agar dapat memberi kesan yang lebih baik untuk kita semua dalam menghargai jasa untuk setiap orang yang ada disekeliling kita lebih-lebih lagi kepada jururawat dan doktor yang banyak berjasa.


Di hospital dulu, antara pesakit yang paling lama kami pernah jaga adalah seorang bayi perempuan bernama Yusra.

Sejak lahir, sehingga umurnya setahun lebih, bayi ini berada dalam NICU kerana kondisinya yang memerlukan bantuan mesin ventilator untuk bernafas. Tugas saya ketika itu adalah untuk menjaga luka lubang ventilasi di kerongkongnya dan di kepala.

Dewi sentiasa dalam keadaan tidak sedarkan diri. Tak bergerak. Macam sleeping beauty yang sedang tidur. Menanti putera yang tak kunjung tiba, sambil ditemani orang kerdil yang menjaganya tidur.

Kamilah orang-orang kerdil tu. Para doktor dan jururawat.

Ahli keluarga bayi ni pada mulanya kerap datang melawat, namun semakin hari bertambah, semakin jarang, dan sampai satu tahap, hanya datang bila dipanggil oleh pihak hospital.

Maka, tanggungjawab menjaganya jatuh dibahu para jururawat. Jururawatlah yang beri susu melalui tiub di hidungnya. Jururawat yang membersihkan najisnya.

IKLAN

Malah, nama Yusra itu pun mereka yang beri.

Ia nama timangan yang diberi oleh jururawat NICU kepada bayi itu memandangkan tiada nama rasmi yang didaftar untuk bayi ni oleh ahli keluarga. Kerana ni nama timanganlah saya berani gunakan nama ini.

Rutin saya adalah untuk melawat Yusra setiap 2-3 tiga hari sekali untuk menukar balutan luka. Kerap juga ketika saya bertandang ke bilik Yusra, terlihat jururawat sedang bercakap-cakap dengan Yusra. Ada masanya menyanyi untuknya.

“Tak Sedarkan Diri, Tak Bergerak Macam Sleeping Beauty & Kamilah Orang-orang Kerdil Tu!” Doktor Ni Kongsi Kisahnya.

“Yusra, birthday Yusra hari ni tau. Bila Yusra nak OK?”

IKLAN

Itu antara dialog yang saya dengar pada salah satu lawatan saya ke NICU. Nadanya tak ubah seperti yang biasanya diucap oleh seorang ibu kepada anaknya yang sakit. Tangannya pula sedang sibuk menukar lampin Yusra.

Di bingkai katil, kelihatan tertampal kad sambutan hari lahir. Buatan tangan dan dipenuhi ucapan hari lahir para jururawat dan petugas NICU yang lain. Syahdu pula lihat situasi tu.

Berbahagi kasih 

Menjaga bayi di NICU adalah tugas para jururawat, namun memberi nama yang indah-indah adalah sesuatu yang peribadi, sesuatu yang intim, sesuatu yang insani, yang hanya berlaku jika ada kasih dan sayang di dalam hati.

Sambutan hari lahir Yusra juga bukti Yusra bukan cuma seorang pesakit di NICU pada para jururawat, tetapi seorang kanak-kanak yang selayaknya dirai walaupun sejak lahir hingga umurnya mencecah 365 hari, dia hanya berbaring di dalam katil di NICU.

IKLAN

Seingat saya juga ada mereka belikan baju raya buat Yusra. Warna kuning jika tak silap. Yusra kena pakai pakaian hospital, jadi mereka bentang baju itu diatas dadanya. Seolah-olah Yusra memakainya.

Pulang Bertemu Kekasih Abadi…..

Setelah menumpang kasih selama setahun lebih di NICU, akhirnya tiba masa untuk dia pulang. Kami bersedih, malah pegawai dari jabatan kebajikan sosial perubatan mengalirkan air mata. Yusra pulang menemui kekasih abadi, penciptanya.

Saya harap Yusra menanti ibu-ibunya di pintu syurga dengan senyuman. Itu sahaja yang mampu saya doakan buat para jururawat yang menjadi ibu buat Yusra sepanjang hayatnya di dunia ni.

Terima kasih juga buat semua jururawat yang akan, sedang, dan telah berbakti dengan penuh dedikasi kepada masyarakat. Selagi mana kalian bertugas dengan kasih sayang, selagi itu kami semua akan doakan kebaikan buat kalian.

Salam Ramadan. Selamat Hari Jururawat. Selamat Hari Ibu. Moga diberkati sentiasa olehNya.

sumber : Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI