Memang benar tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa, namun tanggungjawab kepada masyarakat tetap ada.
Begitu juga dengan perkongsian seorang ahli farmasi ini di laman facebooknya Faiz Akmal Mfa mengenai perjuangannya dalam mendidik pesakitnya terutana warga emas mengenai pentingnya menjaga kesihatan dan pengambilan ubatan cara yang betul secara konsisten demi kesihatan yang lebih baik. Perkongsiannya mengenai seorang ibu yang berubah sikap mengikut rawatan secara konsisten daripada enggan makan ubat dan pengambilan insulin memang menyentuh hati
“Makcik memang tak makan ubat ni nak, cucuk insulin pun makcik tak buat.”
“Makcik dah bosan dah asyik hadap ubat je memanjang.”
Begitulah kata-kata makcik ini yang pernah terlontar sewaktu aku berjumpa dengan makcik tersebut dua bulan yang lepas.
Masa tu, bacaan gulanya, ya Allah, tak terkata. Tinggi bagai nak rak.
Dengan tekanan darah nya yang tak terkawal masa tu.
Dan masa tu, makcik ni hampir-hampir saja nak kena admit kat wad.
…..Dan masa terus berlalu…..
Kini, aku bertemu semula dengan makcik ini.
Senyuman nya terpancar penuh keceriaan. Ku belek buku rekodnya.
Alhamdulillah, bacaan gula makcik ini sudah semakin okay.
Tekanan darah sudah mula terkawal.
“Terima kasih nak.”, sebaris ayat ringkas itulah yang mula-mula terkeluar dari mulut makcik ini saat dia melangkah masuk ke bilik kaunselingku.
Aku hanya mampu menyambut dengan sekilas senyuman saja buat masa ini.
Ya, makcik ini pernah hampir-hampir putus asa.
“Kau pernah cakap kat makcik, yang sakit ni juga satu ujian. Kau juga pernah cakap kat makcik, doa saja tak cukup. Kau juga ada pernah bagitahu yang usaha lawan penyakit ni satu jihad jugak.”
Aku sekadar berdiam. Saja memberi ruang makcik ini berbicara.
“Kau tahu makcik ni degil. Tapi, kau tak jemu. Kau lah yang tolong tuliskan besar-besar, bagi makcik ni nampak. Makcik senyap-senyap je pergi dengar ceramah kau. Rupa-rupanya, makin banyak yang makcik belajar.”
Dengan tiba-tiba, aku jadi sebak dan terharu.
“Terima kasih nak. Makcik janji makcik takkan degil-degil lagi. Makcik sekarang dah jadi budak baik tau. Makcik makan semua ubat ni, makcik dah tak takut lagi nak cucuk insulin.”, makcik itu menyambung kata sambil tersenyum.
“Alhamdulillah.”, hanya itu yang mampu aku luahkan.
Rasa sangat bersyukur sebab dapat juga akhirnya ‘meruntuhkan tembok kedegilan’ makcik yang sangat-sangat luar biasa ini degilnya.
Kuncinya adalah jangan pernah jemu untuk membantu. Sebab semua yang kita buat ini kalau dibuat dengan ikhlas, ada sahamnya di alam sana nanti.
Dan bagi aku, ini adalah perjuangan. ?
Nukilan:
Faiz Akmal Mfa,
Farmasis,
Klinik Kesihatan Air Tawar 2,
Kota Tinggi, Johor.