Tip elak rumput tumbuh celah batu bata, lantai simen atau paver block di laman rumah. Laman rumah yang kemas dan teratur adalah impian setiap pemilik rumah. Namun, salah satu cabaran utama yang sering dihadapi ialah rumput liar yang tumbuh tanpa kawalan.
Tip Elak Rumput Tumbuh Celah Batu Bata
Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi juga boleh menjadi tempat pembiakan serangga seperti nyamuk. Untuk mengatasi masalah ini, terdapat beberapa kaedah yang popular, seperti menyimen lantai, meletakkan bata, atau memasang paver block.
Bagaimana pun selepas lantai disimen, diletak batu bata atau dipasang paver block tetap timbul masalah yang sama. Rumput tumbuh dicelah batu bata dan simen.
Bagi mengelakkan masalah ini terjadi ada beberapa cara yang dikongsi sendiri oleh netizen dalam satu hantaran di laman Tukang Apa Hari Ini. Perkongsian ini dibuat selepas seorang ahli bertanya cara untuk menangani masalah ini.
Lantai Simen Atau Paver Block Di Laman Rumah
Berikut adalah beberapa cara untuk mengatasi masalah yang dikongsi buat yang berdepan masalah sama.
1. Alas dengan plastik – buka semula paver block kemudian alas dengan plastik khas untuk elak rumput tumbuh. Selepas itu baru pasang semula paver block.
2. Buat bancuhan air + garam kasar + cuka + sabun basuh pinggan. Tiada nisbah tepat. Jika nak hasil lebih cepat letak cuka lebih dari air. Sembur hari ini, esok rumput akan kering dan senang cabut. Pastikan cabut rumput selepas disembur. Selepas cabut sembur seminggu sekali. Insya-Allah rumput tak tumbuh. Selamat untuk haiwan kerana tak beracun dan batu pun kurang berlumut.
3. Siram air simen – racun dulu rumput, selepas rumput mati cabut dan bersihkan. Selepas bersih, siram air simen di celah-celah batu.
Ads
4. Tuang minyak terpakai – guna minyak hitam kereta terpakai, tuang celah-celah bata. Minyak masak terpakai pun boleh juga digunakan.
5. Tabur garam kasar – beli garam kasar kemudian tabur pada celah batu bata atau simen. Buat pada hari yang panas. Rumput akan kering dan boleh cabut. Kemudian ulang lagi tabur garam untuk elak rumput baru tumbuh.
Fiesta Homebakers Usha-usha Biskut Raya anjuran Mingguan Wanita bersama penaja utama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd (Gula CSR) serta penaja bersama marjerin Adela dan rakan kerjasama lain Fruttose, Ever Miracle Solutions (barangan Tupperware Brand, Cadbury dan penaja belon dekorasi, Omeiluth Party Expert berlangsung penuh meriah di Setia City Mall semalam.
Biarpun hanya sehari sahaja, namun fiesta yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Hajjah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hadir bersama CEO NU Ideaktif, Syamil Fahim dan CFO Gula CSR iaitu Mohd Azahar Mohd Salleh bersama isteri memberi kenangan manis buat semua peserta.
Menghimpunkan 40 vendor usahawan biskut raya dengan hampir 10 ribu kupon sampel biskut raya diberikan secara percuma kepada pengunjung, dalam ucapan perasmian YB Hajjah Aiman Athirah berkata, usaha dilakukan Mingguan Wanita ini sangat disokong kerana membantu golongan wanita menerusi kempen Bangkit Wanita.
“Golongan B40 dan M40 antara yang terkesan dengan pandemik sebelum ini. Jadi usaha menghimpunkan golongan wanita dalam fiesta begini dengan bermula dari rumah menghasilkan biskut, ternyata ia satu usaha sangat baik kerana ia selari dengan usaha KPWKM yang turut mempunyai kempen Wanita Bangkit.
“Negara kita menyediakan banyak dana dalam membantu golongan wanita berpotensi untuk mencapai kejayaan dari segi ekonomi dan golongan wanita boleh merebut peluang memajukan diri dalam perniagaan menerusi dana disediakan,” katanya yang turut mengalu-alukan Mingguan Wanita datang ke Kementerian berbincang untuk program Bangkit Wanita.
Sementara itu, CEO Nu Ideaktiv, Syamil Fahim memaklumkan, selama lebih 40 tahun Mingguan Wanita berada di pasaran dengan jualan majalah dahulunya mencecah 160 ribu seminggu serta lebih 4 juta pembaca setia untuk media sosialnya terkini berjaya membawa suara wanita ke persada gemilang.
“Kempen Bangkit Wanita yang kita usahakan sejak 3 tahun lalu, dijayakan dengan pelbagai aktiviti menghimpunkan 40 pengusaha biskut raya dan moga usaha begini berterusan,” katanya semasa ucapan alu-aluan.
Dalam fiesta sehari semalam, selain promosi jualan dan tempahan biskut raya, banyak aktiviti pentas interaktif bersama pengunjung telah diadakan.
Menampilkan Hanif sebagai pengacara yang penuh lincah, penaja utama CSR turut memberikan pelbagai hadiah menarik di booth mereka. Dengan hanya follow laman sosial mereka, pengunjung menerima beg hadiah menarik di mana pelbagai produk Gula CSR diberikan secara percuma buat pengunjung bertuah.
Persembahan fiesta semalam dihangatkan dengan persembahan bertenaga dari Marsha Milan Londoh yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Girls On Fire selain lagu popularnya, Kembali Terang.
Selain persembahan pentas dari Marsha, ada banyak aktiviti pentas berlangsung seperti demo bancuhan topping dekorasi biskut bersama pengasas Gula Cakery, Nor Arieni Adriena, pertandingan tekan-tekan semperit biskut raya, demo biskut raya kurang manis oleh pengasas Easy Bake Lab iaitu Cik Dayang, pertandingan susun-susun biskut raya, pertandingan tekan biskut semperit raya bersama Puan Hanani yang datang jauh dari Terengganu, happy hour dan banyak lagi di mana pengunjung selain membeli kuih raya dan membuat tempahan, mereka juga membawa pulang hadiah lumayan dan banyak disediakan pihak penganjur.
Turut diadakan, acara biskut raya terbesar oleh para pelajar kulinari dalam Pertandingan Biskut Raya Gergasi.
Sebanyak tiga universiti / kolej memasuki pertandingan ini terdiri dari Food Institute Of Malaysia (FIM), Saito University dan Institut Kemahiran Belia Negara Kemasek Kemaman Terengganu. 9 kumpulan telah bertanding melibatkan 36 penyertaan pelajar.
Kumpulan juri yang diketuai oleh Puan Norhayati dari Taylor Universiti, Puan Nor Arieni Adriena dari Gula Cakery dan Marsha sepakat memilih kumpulan Zucchero dari IKBN yang menghasilkan biskut Giant Golden Flakes seberat 15 kg.
Kumpulan Zucchero memenangi hadiah utama sebanyak RM700 serta nilaian RM10,000 bagi artikel mengenai sekolah masakan terbaik, hadiah iringan serta sijil penyertaan.
Pemenang kedua dan ketiga dimenangi oleh pelajar dari Food Institute Of Malaysia yang menerima wang tunai RM500 dan RM300. Bagi saguhati, hadiah sampingan dan sijil disediakan buat kesemua pelajar yang bertanding.
Fiesta diteruskan dengan pelbagai aktiviti bermula seawal jam 10 pagi dan menghampiri kemuncak acara pada jam 9 malam bila mana penganjur utama Gula CSR menawarkan hadiah lumayan sebanyak 36 kg gula Better Brown kepada vendor yang memenangi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu vendor Paling Aktif Promosi Di Sosial Media, vendor Sampel Biskut Paling Laris dan vendor Booth Tercantik.
Yums Delicacies telah memenangi vendor paling aktif promosi di media sosial, diikuti Ayu Bakery bagi kategori sampel biskut paling laris sementara pemenang vendor booth tercantik jatuh kepada The Kelopak Bakes. Masing-masing teruja membawa 36 kg gula Better Brown yang sememangnya digunakan dalam pembuatan biskut raya untuk menambah rasa enak pada biskut.
Fiesta yang penuh kemeriahan dan warna-warni ini dijangka akan dianjurkan sekali lagi dengan tema yang berbeza pula. Hingga jumpa lagi di fiesta akan datang.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Usia bukan penghalang buat pelakon Vanidah Imran, 48, berjaya menamatkan pengajian Sarjana Seni Persembahan (Drama).
Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu menjadi seorang daripada penerima ijazah daripada lebih 7,682 pelajar yang menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen ke-61, Universiti Malaya berlangsung Sabtu lalu (12 Mac lalu) di Dewan Tunku Canselor universiti berkenaan.
Ibu kepada Mikail Aimran dan Maryam Rashika itu menggenggam sarjana danmenyarung jubah konvokesyen pada sidang ke-15 istiadat berkenaan yang berlangsung sejak 5 hingga 13 Mac.
Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 ini terlebih dahulu bergelar graduan ijazah sarjana muda Pengajian Bahasa Inggeris pada tahun 2015 di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
Kata bintang filem Red Kebaya itu, perjalanan empat tahun bagi melengkapkan tempoh pengajian itu bukan sesuatu yang mudah.
Apatah lagi perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), tuntutan seni dan belajar pada masa sama.
“Pergelutan itu memang bukan calang-calang. Ia tak mudah langsung, tetapi saya bersyukur kerana dirahmati. Saya memiliki kawan yang sama-sama buat sarjana termasuk Hasif Roslan dan Mohamad Shukri Mohd Tahir.
“Kami bertiga berjanji, walau apa jua cabaran akan menamatkan pengajian sarjana ini. Kami saling memberi motivasi dan membakar semangat antara satu sama lain.
“Saya juga beruntung kerana tak pernah putus sokongan daripada kawan lain seperti Prof Madya Aminah Rhapor, penyelia (Dr Marlenny Deenerwan), keluarga dan anak,” katanya.
Vanidah berkata dua anaknya sudah memahami rentak dan cara kehidupan.
“Anak saya tahu bila ibu mereka perlu lunaskan itu dan ini. Contohnya kalau saya kena mengadap tesis, tarikh akhir serahan tugasan dan sesi virtual. Tambah pula berdepan fasa genting di era pandemik COVID-19.
“Kalau saya tak sempat masak dan sediakan makanan, mereka pandai-pandai buat makan sendiri atau tempah dari luar,” katanya.
Vanidah pernah mengakui sebelum ini betapa ruginya tidak menyambung pengajian ketika masih muda.
“Apabila belajar di usia melewati angka empat siri dengan tuntutan tanggungjawab serta komitmen sebagai ibu dan anak, ia bukanlah fasa mudah.
“Berbanding masa muda, kita kurang bebanan. Tapi saya terima segala-galanya dengan lapang dada. Menyambung pengajian ketika ada anak kecil dan keluarga itu lebih buat saya jadi kuat.
“Namun sebanyak mana tekanan, tanggungjawab mahupun suntikan motivasi atau nasihat daripada orang lain, pada akhirnya kita yang mengharungi ‘battle’. Nak buat terbaik atau sebaliknya terserah kepada diri sendiri,” katanya.
Vanidah juga beruntung kerana faktor motivasi lain diterimanya datang daripada ayah tercinta.
Bapanya selama ini sebenarnya seakan tidak gemar melihat diri beliau memilih jalan sebagai anak seni. Bagi bapanya, kerjaya seni dilihat tidak mampu menjamin masa depan dan berharap suatu hari nanti Vanidah akan membuat keputusan atau benda lain.
“Bapa tak pernah jemu dan berhenti meminta saya sambung belajar. Kata-katanya seperti sampai bila nak kerja berlakon balik lewat pagi terus berbekas. Saya bersyukur Tuhan gerakkan hati untuk saya jadi realistik sekali gus sambung belajar.
“Orang selalu kata buat sesuatu harus ambil kira nasihat ibu bapa. Ternyata apa yang bapa saya tekankan selama ini ada keberkatannya. Saya tak pernah menyangka akan dapat tawaran masuk dunia akademik termasuk bergelar pensyarah.
“Itu semua antara hikmah yang dihamparkan apabila saya mula membuat keputusan besar dalam hidup untuk mengutamakan sisi akademik selain mengimbangi kehidupan hakiki. Paling penting bapa yang tidak menentu tahap kesihatannya masih berpeluang menyaksikan kejayaan ini,” katanya.
Menghampiri tiga dekad bergelar anak seni, Vanidah optimis keputusan menyambung belajar juga didorongi pelbagai faktor termasuk termasuk realiti pentas hiburan itu sendiri yang masih goyah tanpa jaminan konkrit.
“Pentas seni di Malaysia bukan industri yang stabil selagi kita tak ada undang-undang untuk melindungi pemainnya. Ketika itulah saya terdetik memilih pilihan lain (sambung belajar) untuk merubah kehidupan dan buat keputusan lebih baik.
“Saya boleh terus merungut mengenai kerapuhan gelanggang seni, tapi ia seolah-olah tidak membawa pengakhiran bermakna. Sampai bila pun nak merungut ibarat ia takkan habis. Saya kena buat sesuatu termasuklah menyambung pengajian sarjana selepas menggenggam ijazah.
“Ia keputusan untuk masa depan saya dan anak. Saya harap ia juga dapat jadi contoh dan motivasi untuk anak ke depan nanti,” katanya.
Sekalipun akur dengan resam turun naik dunia seni, minat dan kecintaannya menghidupkan karakter lakonan tak pernah terpadam.
“Saya nikmati apa yang dilakukan selama ini dengan penuh rasa. Seperti mana saya cabar diri untuk sambung belajar selain mengajar, lakonan juga sudah sebati. Saya tak cakap tidak suka berlakon, namun industri itu sendiri sejak jejak bermula tahun 1993 sampai sekarang masih ada sisi ‘hitam’nya.
“Anak seni masih bergelut tanya hak atau perkara sama. Namun ibarat tiada siapa ambil peduli. Malah saya dengar daripada pelakon senior pun yang berjuang sekian lama, ia tak memberi apa-apa justifikasi mahupun perubahan. Akhirnya terpaksa menelan semua itu seperti tiada apa-apa berlaku.
“Sebanyak mana pun sayang dan cinta saya terhadap dunia seni, ada titik anjakan untuk saya buat sesuatu sebagai pilihan iaitu dengan mengutamakan pendidikan untuk perubahan kehidupan dan masa depan saya serta anak,” katanya yang bersemangat berkongsi ilmu dan pengalaman kepada generasi muda (pelajar).
Katanya lagi, kejayaan menamatkan pengajian ini juga lebih kepada kepuasan diri.
“Saya tak cuba buktikan apa-apa atau kepada sesiapa pun. Saya puas kerana suka belajar benda baru. Matlamat diri sendiri pun bertitik tolak kepada apa yang mahu dicapai dengan mencabar diri keluar dari zon selesa.
“Anak seni tak kira di depan atau belakang kamera juga sebenarnya ada yang mempunyai tahap pendidikan baik. Tapi sering dilihat seperti tin kosong. Macam ketika terbabit dengan penggambaran drama Kudeta (versi drama untuk filem Daulat) ada antara kru seperti pasukan tatarias sebenarnya berpelajaran tinggi,” katanya.
Tambah Vanidah, Ameen Mustajab yang juga ketua tatarias bagi drama itu (Kudeta) terbitan Laguna Pictures sebenarnya pernah menjadi akauntan di Jabatan Akauntan Negara.
“Ameen sendiri pernah skor A untuk subjek matematik tambahan. Pembantu jurusolek drama itu ada antara mereka memiliki ijazah senibina dan kejuruteraan sivil. Begitu juga di bahagian menjaga ‘wadrobe’ ada yang menggenggam ijazah kejuruteraan elektrik, perniagaan serta kewangan.
“Namun hakikatnya ramai berfikir orang kreatif dalam industri seni ini tak berpelajaran tinggi terutamanya pekerja belakang tabir. Yang mereka fikir, rasa atau nampak semuanya negatif tanpa ada sekelumit rasa mahu bertanya.
“Saya harap janganlah memandang sebelah mata dengan pukul rata. Cuma ada yang belajar pandai memilih untuk masuk ke industri seni. Sebenarnya anak seni ini lagi sensitif, penuh rasa empati, dan memahami orang lain.
“Tak dilupa, masa di penggambaran filem Imam pun saya berpeluang mengenali kru yang ada sarjana pengajian Islamik dan bakal sambung peringkat Doktor Falsafah. Malah ada mempunyai lulusan Universiti Al-Azhar di Egypt, Mesir,”katanya.
Berhubung perincian prosedur operasi standard (SOP) dan sekatan lebih ketat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dimaklumkan petang tadi (22 Mei ) oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan seiring dengan itu, Tan Sri Mohd Zuki yang merupakan Setiausaha Negara telah memberi kenyataan yang jelas berkenaan pengoperasian pejabat kerajaan dalam tempoh PKP 3.0 tersebut.
Kenyataan jelas yang digariskan ini ada menyatakan di mana kehadiran kakitangan awam ke pejabat adalah pada tahap 20% keseluruhan (tidak termasuk perkhidmatan frontliners) dan 80% secara BDR (Berkerja Dari Rumah) dengan penggiliran.
Selain itu, kehadiran ke pejabat hanya bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dan memerlukan keberadaan di pejabat.
Turut dinyatakan, masyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talianmelalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan dan manakala perkhidmatan kaunter hanya dibuka kepada perkhidmatan yang tidak ditawarkan secara atas taliandan melalui temujanji sahaja.
Kesemua peraturan baharu itu akan berkuatkuasa 25 Mei ini.
Meninjau di ruangan komen, nyata perkongsian makluman operasi tersebut telah menarik perhatian bukan sahaja oleh ribuan penjawat awam malah orang awam yang ingin berurusan di pejabat kerajaan juga terpanggil untuk memberi maklum balas.