Pertama kali bersalin sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam. Trauma dek kesakitannya dan kontaksi tanpa henti. Trauma selepas bersalin? Apa yang harus dilakukan?
Trauma selepas bersalin
Birth trauma adalah kesukaran yang dialami ibu semasa atau selepas proses melahirkan bayi. Walaupun trauma boleh bersifat fizikal, namun selalunya ia dikaitkan dengan emosi dan psikologi.
Ia bukan sekadar merujuk apa yang berlaku semasa atau setelah melahirkan. Tetapi turut berkaitan, bagaimana anda sebagai ibu mudah berasa tersinggung selepas itu. Kesan trauma ini boleh muncul dan berterusan untuk beberapa tempoh selepas beranak.
Kesan trauma selepas bersalin
Kesan trauma adalah berbeza bagi setiap ibu bapa. Antara isu yang boleh timbul adalah:
- Rendah diri
- Rasa bersalah
- Berasa gagal atau tidak beri secukupnya
- Sukar menjalinkan hubungan dengan bayi
- Masalah rumah tangga
- Kegelisahan
- Kemurungan selepas bersalin
- Takut mengandung atau melalui proses melahirkan bayi
Birth Trauma Association (BTA) mendefinisikan trauma kelahiran sebagai istilah pendek untuk gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).
Antara gejalanya:
- Teringat pengalaman lepas
- Mimpi ngeri mengenai pengalaman lepas
- Gambaran atau sensasi berulang yang menekankan
- Sensasi fizikal seperti sakit, berpeluh, berasa loya atau gementar
- Pemikiran negatif berkaitan pengalaman yang berterusan
- Berusaha untuk mematikan emosi dan mengalihkan perhatian diri daripada memikirkan apa yang berlaku
- Mengelakkan tempat, individu atau perkara lain yang mengingatkan kepada peristiwa traumatik
Mengatasi trauma kesan proses melahirkan bayi
Memulihkan diri daripada trauma selepas bersalin akan mengambil masa.
Berikut antara petua dan strategi dapat membantu memulihkan diri ibu daripada pengalaman kelahiran yang sukar itu:
1. Berlembut dengan diri sendiri
Walaupun pengalaman bersalin anda tidak seperti yang diharapkan, namun itu tidak menggambarkan anda sebagai individu mahupun ibu bapa yang gagal.
Segala rasa bersalah, kesedihan atau kesukaran berhubungan dengan bayi yang mungkin anda alami dapat difahami sebagai kesan trauma selepas bersalin.
Berbanggalah kerana berjaya mengharungi proses itu dan kesusahan kesan daripada pengalaman itu adalah wajar.
Cuma anda perlu mengakui bahawa diri memerlukan sokongan pada masa ini.
2. Dapatkan sokongan praktikal
Sekiranya boleh, dapatkan bantuan penjagaan bayi sebaik sahaja pulang ke rumah. Pasangan, ahli keluarga dan/atau rakan boleh memainkan peranan penting dalam menyelesaikan tugasan harian yang mungkin sukar. Ini terutamanya jika anda mengalami trauma fizikal atau sedang pulih daripada prosedur pembedahan caesarean.
3. Cari & terima sokongan emosi
Dapatkan sokongan daripada individu sekitar yang bersikap empati dan dapat menjaga keperluan diri anda.
4. Terima perasaan anda terhadap bayi
Menjaga bayi yang mempunyai kaitan dengan trauma selepas bersalin boleh mencetuskan kesukaran. Dalam situasi ini, anda mungkin berasa jauh atau mempunyai perasaan negatif terhadap bayi.
Berikan masa kepada diri untuk menerima segala yang berlaku. Dalam masa yang sama, cuba untuk singkirkan tekanan daripada diri.
Percayalah bahawa secara beransur-ansur perasaan anda kepada si manja akan berubah dan menjadi lebih positif seiring peredaran masa.
5. Meluahkan
Sekiranya berasa tekanan yang berterusan, luahkan kepada individu dipercayai mengenai pengalaman anda. Jangan hanya memendam dan berharap perasaan itu akan hilang dengan sendirinya.
Walaupun sukar untuk mengingati dan menceritakan kembali pengalaman itu, namun melalui proses ini, ia dapat membantu:
- Beri lebih banyak maklumat tentang dan bagaimana perkara itu berlaku
- Beri peluang untuk mengekspresikan diri serta pengalaman didengari dan diakui
- Mewujudkan rasa lega
- Mengurangkan kemungkinan untuk teringat kembali pengalaman tersebut dalam fikiran
- Mengurangkan kemungkinan anda terus membawa perasaan tidak menyenangkan dalam diri
- Anda boleh memilih untuk meluahkannya kepada pasangan, ahli keluarga atau rakan baik.
Sebagai alternatif, perbincangan ini juga boleh dilakukan bersama pakar perubatan yang anda selesa untuk bercerita sama ada di wad atau hospital.
6. Pertimbangkan kesannya terhadap hubungan
Trauma daripada proses melahirkan bayi ini juga boleh memberi kesan negatif terhadap hubungan anda, terutamanya jika pasangan juga mengalaminya.
Kesan daripada trauma berkemungkinan boleh menimbulkan kekeliruan, menjarakkan hubungan antara pasangan dan tanpa sedar boleh mencetuskan kembali peristiwa tersebut.
Kaunseling hubungan dapat membantu dalam situasi seperti ini. Ia membantu pasangan memahami dan belajar bagaimana bertindak balas dengan penuh perhatian dan sokongan.
7. Dapatkan perincian tentang apa yang berlaku
Ini dapat memberikan gambaran mengenai intervensi yang digunakan dan mengapa ia berlaku. Walaupun ia mungkin menyakitkan untuk anda teringat kembali pengalaman melahirkan dahulu, namun dengan memperincikan keadaan yang membuatkan rasa trauma anda itu akhirnya boleh membuat anda lega.
Ia boleh dilakukan dengan bercakap bersama bidan atau pakar obstetrik anda.
8. Berikan diri masa
Normal untuk ibu bapa yang trauma membuat kesimpulan bahawa mereka tidak mahukan zuriat lain. Namun, seiring masa berlalu dan keyakinan diri kembali hadir, pastinya wujud kesediaan untuk menimang cahaya mata sekali lagi.
Semoga perkongsian ini membantu anda menghilangkan rasa trauma kelahiran.
Menarik: “Memang Idola, Alif Satar Dipuji Netizen, Ajak Followers Solat Subuh Macam Solat Jumaat Di Masjid!
Berita baik untuk pasangan yang sedang merancang untuk hamil! Pelajari ilmu kesuburan, bawa pulang goodies istimewa serta peluang menang hadiah lumayan. Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/pama-romantika-hi-tea/
Untuk pasangan yang sedang ikhtiar hamil, jom sertai grup komuniti ‘Pejuang Garis 2 Pa&Ma’ untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan serta peluang untuk memenangi pelbagai hadiah best.
Hanya perlu join group Whatsapp ini: https://chat.whatsapp.com/JcDPcXwwhrh4v052XOEmAG
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club