
Pasangan negarawan Malaysia, Tun Mahathir Mohamad dan isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, menyambut ulang tahun perkahwinan ke-70 pada 4 Ogos 2026. Detik istimewa itu menjadi simbol kesetiaan, kasih sayang dan pengorbanan yang telah mereka bina sepanjang tujuh dekad melayari bahtera rumah tangga.
Sempena ulang tahun penuh bermakna itu, anak mereka, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, turut menitipkan ucapan dan doa menerusi satu hantaran di media sosial.
“Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-70! Semoga terus diberkati Allah SWT dengan kesihatan yang baik, semangat kental dan bahagia dunia akhirat.”
Ucapan tersebut menerima perhatian ramai yang turut menzahirkan rasa hormat serta mengucapkan tahniah kepada pasangan berkenaan atas pencapaian luar biasa dalam kehidupan berkeluarga.

Tun Mahathir Bertemu Tun Hasmah Ketika Menuntut Perubatan
Kisah cinta Tun Mahathir dan Tun Hasmah bermula ketika kedua-duanya menuntut dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura pada tahun 1947.
Perkenalan itu berkembang menjadi ikatan perkahwinan pada tahun 1956. Sejak itu, mereka bersama-sama mengharungi pelbagai cabaran kehidupan termasuk ketika Tun Mahathir memimpin negara sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Sepanjang tempoh tersebut, Tun Hasmah sentiasa berada di sisi suaminya, memberikan sokongan dalam pelbagai keadaan sama ada ketika senang mahupun berdepan cabaran besar.

Rahsia Rumah Tangga Tun Mahathir
Menerusi satu video yang dikongsikan pada November 2025, Tun Mahathir pernah berkongsi pandangannya mengenai kehidupan berumah tangga serta nilai yang diamalkan dalam keluarganya.
Menurut beliau, keluarganya memegang prinsip untuk mempertahankan perkahwinan sehingga ke akhir hayat serta mengelakkan perkara yang boleh menyakiti hati pasangan dan anak-anak.
“Keluarga saya selepas berkahwin, jarang ada yang bercerai. Kita bila kahwin, akan bersama sampai meninggallah.
Sebab saya tak suka nak menyakitkan hati orang. Kalau kita kahwin sekali lagi, anak kita akan berasa macam mana? Isteri kita rasa macam mana? Saya tak mahu kenalkan mereka dengan tekanan-tekanan seperti itu.”
Beliau turut menegaskan bahawa setiap keputusan dalam rumah tangga bukan sahaja memberi kesan kepada suami isteri, malah turut mempengaruhi emosi dan kesejahteraan anak-anak.
Justeru, setiap pasangan disaran supaya sentiasa bertolak ansur, menghormati antara satu sama lain dan mengutamakan keharmonian keluarga dalam setiap keputusan yang dibuat.
View this post on Instagram
Tun Mahathir Nasihat Golongan Muda Kahwin Awal
Dalam perkongsian sama, Tun Mahathir turut menasihati golongan muda supaya tidak terlalu lewat mendirikan rumah tangga.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap trend pasangan berkahwin yang memilih untuk tidak mempunyai cahaya mata sehingga boleh memberi kesan kepada struktur demografi negara.
“Saya dapati anak muda sekarang lambat berkahwin. Kadang-kadang bila berkahwin pun tidak mahu anak.
Apa yang berlaku di Malaysia sekarang ini ialah kita ada populasi menua. Ramai yang semakin tua dan pengganti daripada golongan muda ini kurang.
Pendapat saya, kita perlu kahwin awal dan ada lebih banyak anak.”
Pandangan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, namun ia menggambarkan kebimbangan beliau terhadap masa depan populasi negara.
70 Tahun Membina Keluarga
Perkahwinan Tun Mahathir dan Tun Hasmah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Datin Paduka Marina Mahathir, Mirzan Mahathir, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Selain itu, pasangan ini turut mengambil tiga orang anak angkat yang dibesarkan penuh kasih sayang sebagai sebuah keluarga.
Tujuh dekad kehidupan bersama membuktikan bahawa kebahagiaan rumah tangga bukan sekadar dibina atas dasar cinta, malah memerlukan kesetiaan, kesabaran, komunikasi yang baik, sikap saling menghormati dan kesungguhan untuk menjaga hati pasangan sepanjang kehidupan.
Kisah Tun Mahathir dan Tun Hasmah terus menjadi inspirasi kepada ramai pasangan, terutama generasi muda, bahawa hubungan yang berkekalan memerlukan komitmen, pengorbanan serta kepercayaan yang dibina dari semasa ke semasa.
Semoga Tun Mahathir dan Tun Hasmah terus dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia serta terus menikmati kebahagiaan bersama keluarga tercinta.
BACA LAGI : Meniti Usia 100 Tahun, 14 Pesanan Tun Mahathir Sempena Tahun Baru
Sumber : Instagram 1, 2
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




