Siapa yang tak mahu anak bijak serba serbi? Satu kebanggaan pastinya bila anak mempamerkan keputusan yang cukup cemerlang dan akademik juga kurikulum di sekolah.
Selain usaha dan tidak putus asa, kejayaan anak perlu diiringi dengan doa dari ibu dan ayah.
Ini yang dikongsikan oleh penceramah bebas, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli ketika mendoakan anak kita setiap hari.
“Sembahyang hajat dua rakaat mintalah pada Allah.
“Ya Allah tolong jadikan anak aku ini anak yang soleh/solehah, ulama lagi cerdik.
Ads
“Minta tiga ni sahaja. Dapat tiga ni bermaksud dapat semua sekali. Sebab yang kita kena minta tiga sahaja.
“Yang pertama minta agama. Doakan anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah. Doakan anak dalam kandungan kita ini anak yang agamanya kuat.
Yang kedua minta ilmu. Mintalah anak kita jadi ulama. Kalau nak jadi ulama, doranglah dia mengaji ilmu agama, masuk sekolah agama, sekolah pondok, masuk sistem aliran pendidikan Islam, barulah boleh jadi ulama.
Ads
Yang ketika pula minta akal. Minta anak kita jadi cerdik dan pandai. Kalau anak kita tak ada kecerdikan, tak boleh dapat ilmu,” kongsinya.
Doakan anak kita agar menjadi insan yang dapat berjasa kepada agama dan bangsanya. Doakan selalu tanpa henti.
Untuk pasangan yang sedang ikhtiar hamil, jom sertai grup komuniti ‘Pejuang Garis 2 Pa&Ma’ untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan serta peluang untuk memenangi pelbagai hadiah best.
Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira.
Nak tahu lebih lanjut mengenai dyslexia ini ikuti penjelasan lengkap Jurulatih Pembangunan Diri,Minhaj Suhaimi moga menjadi manfaat bersama.
DISLEKSIA merupakan satu perkataan yang amat dibimbangi oleh kebanyakan ibu bapa apabila dikaitkan dengan anak. Mereka mengetahui bahawa anak mereka akan menghadapi kesukaran-kesukaran sepanjang persekolahan dan dalam kehidupan. Tiada ubat yang boleh ‘menyembuhkan’ disleksia kerana ia bukan suatu penyakit. Neurobiologi otak disleksia kekal sepanjang hayat, sama seperti ADHD dan autisme.
Berikut adalah 20 Perkara Tentang Kanak-Kanak/Individu Disleksia:
1. CARA MEREKA MEMBACA BERBEZA Cara otak disleksia memahami bahasa tidak sama seperti otak normal. Otak kita perlu menterjemah simbol-simbol yang dilihat di dalam buku (contoh) kepada bunyi. Kemudian, bunyi-bunyi tersebut digabungkan menjadi perkataan-perkataan yang mempunyai makna. Bahagian-bahagian otak disleksia yang terlibat dalam proses tersebut tidak berkembang sepenuhnya. Jadi, bahagian-bahagian otak yang lain perlu digunakan untuk membantu proses tersebut. Program pembacaan khas yang berdasarkan kajian dan melibatkan sensori serta buku-buku audio boleh membantu meningkatkan keupayaan membaca kanak-kanak disleksia.
2. LEBIH BANYAK MEMBACA TIDAK DAPAT MENGATASI DISLEKSIA Mereka yang tidak faham tentang disleksia (termasuk sesetengah guru) berpendapat sekiranya ibu bapa lebih banyak membaca kepada anak-anak dan sekiranya kanak-kanak dipaksa membaca lebih banyak di awal usia, disleksia akan dapat diatasi. Tetapi hakikatnya ialah ia tidak membantu kanak-kanak disleksia untuk membaca dengan lebih baik walaupun aktiviti pembacaan tersebut mempunyai banyak kelebihan (contohnya dapat meningkatkan pengetahuan, pendedahan, rangsangan imaginasi). Memaksa mereka untuk lebih banyak membaca secara tradisional hanya menimbulkan kekecewaan, perasaan marah dan isu tingkah laku. Paksaan sedemikian sama seperti memaksa individu dewasa pergi ke tempat kerja setiap hari tetapi tidak dapat melaksanakan tugasan kerana tidak pernah diberi latihan kemahiran untuk melaksanakan tugasan tersebut. Berapa lamakah individu tersebut mampu bertahan?
3. MEREKA BUKAN PEMALAS Kanak-kanak disleksia yang tidak didiagnos selalu dilabel sebagai pemalas di sekolah dan di rumah. Walaubagaimanapun, adalah diingatkan bahawa: • Mereka mungkin tidak mendengar keseluruhan arahan-arahan yang diberi dalam satu masa yang sama. Semasa arahan kedua dan ketiga diberikan, otak mereka masih lagi memproses arahan yang pertama. • Di sekolah, semasa aktiviti pembacaan di dalam kelas, mereka masih menyahkod ayat pertama sedangkan rakan-rakan yang lain telah sampai ke ayat yang ke-5 atau ke-6. • Mereka mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan latihan dan ujian. Motivasi dan tumpuan mereka dalam menyiapkan sesuatu tugasan terganggu apabila keletihan (otak). Mereka perlukan masa-masa rehat.
4. MEREKA MEMERLUKAN TUNJUK AJAR KHAS (TUTORING) Sekiranya kanak-kanak disleksia mendapat tunjuk ajar khas yang efektif dan berterusan, otak mereka akan mengalami perubahan (dipanggil “neuroplasticity”) dan laluan-laluan saraf otak akan berhubung semula (“rewires”) bagi meningkatkan kemahiran membaca. Tunjuk ajar dalam membaca, menulis dan menjawab ujian mesti diteruskan bagi membantu murid/pelajar disleksia menghadapi penulisan esei/karangan, kerja kursus dan ujian/peperiksaan seragam. Dengan bantuan dan kepakaran seseorang tutor, murid/pelajar disleksia boleh menjawab sebarang soalan peperiksaan dengan baik.
5. MEREKA TIDAK ‘MELIHAT’ DUNIA INI SECARA TERBALIK Ya, kanak-kanak disleksia kerap menulis huruf dan perkataan terbalik, tetapi itu adalah disebabkan perkataan dan huruf yang dicetak/dipaparkan kelihatan berbeza kepada mereka. Individu disleksia biasanya melihat sesuatu perkara secara holistik (menyeluruh), berbanding secara terperinci. Mereka juga mempunyai kebolehan melihat apa yang ‘tidak kena’ pada tempatnya. Carol Grieder, ahli biologi molekul yang mempunyai disleksia memenangi Nobel Prize dalam bidang perubatan pada tahun 2009 kerana beliau menemui sesuatu yang sepatutnya tiada dalam molekul DNA semasa meneliti menerusi mikroskop. Apa yang beliau temui ialah enzim yang baru dan amat penting dalam kajian kanser dan penuaan. Dalam kes ini, otak disleksia beliau merupakan ‘hadiah’ yang indah kepada dunia.
6. MEREKA MEMERLUKAN “BACAAN PENDENGARAN/AUDIO” Terma ini biasa digunakan oleh aktivis disleksia yang merujuk kepada buku audio. Kebaikan yang ketara melalui penggunaan buku audio ialah murid/pelajar disleksia dapat menyaingi rakan-rakan sekelas dalam memahami keseluruhan isi kandungan sesebuah buku. Mereka juga boleh membuat kajian dan ulasan buku. Kebaikan yang lain ialah dapat meningkatkan perbendaharaan kata dan kebolehan ‘mendengar’ tatabahasa yang bagus.
7. MEREKA MEMERLUKAN AKOMODASI DI SEKOLAH Antara kemudahan-kemudahan yang sangat membantu ialah tambahan masa untuk menyiapkan tugasan dan semasa menduduki ujian/peperiksaan, pengubahsuaian tugasan yang mengikut kemampuan mereka dan khidmat pembaca soalan (atau yang terbaik ialah ujian/peperiksaan secara lisan).
8. MEREKA BOLEH TIDAK TERURUS Kegagalan individu disleksia untuk menumpukan perhatian secara terperinci telah menyebabkan ketidak terurus di sekolah dan rumah. Bilik mereka di rumah mungkin sangat berselerak dan membersihkannya adalah agak mencabar. Semasa usia kanak-kanak, ibu bapa boleh mendidik mereka mengemas bilik dengan menunjukkan langkah demi langkah. Apabila meningkat usia, mereka biasanya menghadapi kesulitan dalam menyusun dan mengurus masa. Mereka mungkin memerlukan alat bantuan seperti penggera masa di telefon bimbit, carta/jadual bergambar dan sebagainya.
9. MEREKA RASA TIDAK PANDAI Kanak-kanak disleksia menyedari bahawa rakan-rakan sekelas mereka dapat membaca dengan lebih baik, dapat menyiapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan dan tak mengambil masa yang panjang untuk mempelajari sesuatu perkara. Lama-kelamaan, ini akan memberi kesan negatif kepada keyakinan diri dan menyebabkan mereka menarik diri atau menjadi pasif. Para guru perlu memanfaatkan kekuatan dan minat mereka, serta menonjolkan mereka di dalam kelas. Ibu bapa pula hendaklah mempromosikan kekuatan dan bakat anak mereka dengan aktiviti-aktiviti luar selain akademik. Bidang seni, muzik, sukan, rekacipta, binaan dan sains adalah kekuatan tipikal bagi individu disleksia. Memperoleh kejayaan dan penghargaan/pengiktirafan terhadap kejayaan yang dicapai adalah sangat penting bagi kebahagiaan dan produktiviti individu disleksia.
10. MEREKA PERLU BERSOSIAL Apabila perasaan negatif menguasai diri, mereka akan mula berhenti melibatkan diri dalam aktiviti sosial atau mencari rakan baru. Adalah amat penting ibu bapa kepada kanak-kanak disleksia mengambil langkah yang proaktif terhadap sosialisasi. Ini termasuklah menyertai kumpulan sokongan atau kelab tertentu, di mana terdapat banyak peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti tertentu, atau menyertai aktiviti bersukan. Mereka yang lebih dewasa perlu digalakkan untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dapat menyokong dan mengukuhkan kekuatan atau bakat mereka. Bagi remaja dewasa, membuat kerja “part-time” adalah sesuatu yang sangat bagus.
11. MEREKA BOLEH MEMPUNYAI TAHAP KEPINTARAN YANG TINGGI Tidak salah para guru dan ibu bapa berkongsi berita-berita baik dengan kanak-kanak disleksia tentang IQ/kepintaran mereka. Para guru dan ibu bapa hendaklah sentiasa memberi inspirasi kepada mereka tentang kejayaan individu-individu disleksia seperti Thomas Edison, Alexander Graham Bell, Henry Ford, Jay Leno, Whoopi Goldberg, Tom Cruise, Muhammad Ali, Steve Jobs, Tommy Hilfiger, Picasso and Richard Branson. Pendek kata, tiada satu bidang pun yang individu disleksia tidak boleh berjaya.
12. MEREKA PERLUKAN TEKNOLOGI Di negara-negara maju, terdapat banyak aplikasi dan perisian yang disyorkan oleh ahli-ahli professional dalam bidang psiko-pendidikan dan perubatan. Di antaranya ialah aplikasi yang dapat menukarkan teks kepada audio, program pemprosesan perkataan arahan-suara dan permainan yang membina kemahiran fonetik. Amatlah besar manfaatnya jika pihak KPM/sekolah dapat memahami keperluan & kepentingan teknologi-teknologi ini dan menyediakannya untuk membantu murid/kanak-kanak disleksia.
13. MEREKA KELETIHAN DENGAN BUTIRAN BACAAN YANG PADAT Ini merujuk kepada bacaan dan helaian kerja matematik yang kelihatan ‘serabut’. Membesarkan cetakan/paparan dan menggunakan font yang sesuai sangat membantu murid disleksia dalam memproses maklumat yang dibaca. Mereka juga memerlukan masa rehat yang lebih kerap. Berbanding murid-murid normal yang boleh memberi tumpuan kepada aktiviti yang melibatkan pembacaan dan penulisan serta dapat menyiapkan tugasan dengan banyak dalam masa 20-30 minit, murid disleksia akan menyiapkan tugasan kurang daripada mereka dan perlukan rehat selepas 10 minit memberi tumpuan. Lebih daripada itu, mereka biasanya akan mengadu sakit kepala atau pening.
14. MEREKA MELIHAT PERKARA YANG ORANG LAIN TIDAK NAMPAK Kanak-kanak disleksia akan menyatakan bahawa perkataan-perkataan di helaian yang dilihatnya bergerak-gerak, kelihatan terang dan gelap silih berganti atau kelihatan melompat-lompat. Mudah bagi kita berfikir bahawa mereka mereka-reka cerita tetapi sebenarnya tidak. Adalah penting untuk membenarkan apa yang mereka lihat itu memang ‘benar’ bagi mereka. (tanda sokongan/kebersamaan/empati/inklusi)
15. MEREKA MERUPAKAN “VISUAL THINKER” Individu disleksia belajar melalui gambar dan pengalaman “hands-on”. Ini adalah salah satu sebab mengapa ramai individu disleksia dapat bekerja dengan baik dalam makmal sains. Mereka juga boleh mengingati dalam bentuk gambar. Sekiranya sesuatu konsep diterangkan secara visual, mereka akan mengingati paparan visual tersebut. Apa yang mereka baca kurang diingati, kecuali terdapat deria-deria lain yang terlibat semasa mereka membaca.
16. DERIA PENDENGARAN MEREKA LUAR BIASA Barangkali disebabkan keupayaan mereka menggunakan mata dengan baik untuk belajar, deria pendengaran telah menjadi bertambah peka, sama seperti deria pendengaran orang yang buta. Walaubagaimanapun, mereka selalunya sukar untuk menapis semua bunyi di sekeliling mereka dan ini memberi kesan yang amat besar terhadap keupayaan mereka untuk memberi tumpuan. Penggunaan headphone semasa mereka sedang belajar dapat membantu mereka untuk fokus dengan lebih baik.
17. MEREKA TIDAK BOLEH DISAMAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN Kanak-kanak disleksia adalah individu-individu yang tersendiri. Kelemahan-kelemahan mereka datang dalam berbagai bentuk. Ada kanak-kanak disleksia yang menunjukkan simptom-simptom ADHD jenis inattentif atau lebih dikenali sebagai ADD, sedangkan kanak-kanak disleksia lain tiada. Ada yang sangat sukar meluahkan idea (fikiran) dalam bentuk kata-kata, manakala ada yang petah berkata-kata. Ada di antara mereka yang mempunyai keupayaan intelektual yang sederhana, namun ada pula yang sangat pintar atau “gifted”. Ada yang bertingkah laku keterlaluan, tetapi ada juga yang sangat pendiam. Oleh itu, adalah tidak adil untuk menganggap semua kanak-kanak disleksia/ADHD/autisme sama sahaja.
18. MEREKA TERTEKAN DENGAN KELEMAHAN MEREKA Anda rasa tertekan dengan kelemahan mereka? Mereka lagi tertekan! Ibu bapa dan sesiapa yang bekerja dengan kanak-kanak disleksia harus mempunyai rasa empati. Cuba letakkan diri anda di tempat mereka dan melihat disleksia dari kaca mata mereka yang hidup dengannya. Kanak-kanak ini memerlukan sokongan dan dorongan, bukan kata-kata yang melemahkan/menjatuhkan semangat mereka.
19. OTAK DISLEKSIA KEKAL SEPANJANG HAYAT Walaupun otak disleksia kekal sepanjang hayat, dengan intervensi tertentu dan toleransi yang baik daripada pihak guru, individu disleksia boleh membina kaedah/strategi tersendiri untuk mengurus kelemahan mereka, memperoleh kelulusan dalam bidang tertentu dan berjaya dalam kerjaya masing-masing.
20. MEREKA BOLEH MENAMBAH NILAI KEPADA SESEBUAH ORGANISASI Disebabkan mereka cenderung menjadi kreatif dan merupakan “visual thinker”, mereka selalu dapat melihat jalan penyelesaian yang orang lain tidak dapat lihat. Dalam kes-kes sedemikian, mempunyai otak disleksia adalah satu kelebihan.
Kita semua mempunyai kekuatan, kelebihan, kelemahan dan kekurangan yang tersendiri. Kanak-kanak disleksia juga tidak terkecuali. Namun malangnya, proses pembelajaran kita sangat bergantung kepada pembacaan yang mana secara terang-terangan merupakan satu kelemahan kepada mereka. Di zaman teknologi yang progresif ini, segalanya berubah dengan pantas. Kita sudah sampai ke satu titik di mana kita boleh mempelbagaikan kaedah pembelajaran dan meraikan kelainan neurobiologi otak seperti disleksia.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Persiapkan diri kita dengan ilmu dan pengetahuan tentang harta peninggalan untuk diwarisi kepada ahli keluarga yang masih hidup agar kehidupan mereka terjamin.
Baca perkongsian daripada seorang peguam syarie ini sama ada perlu lakukan hibah atau wasiat.
Yang Mana Satu : Hibah Ke Wasiat?
Hibah ke Wasiat sebenarnya dua2 ada fungsi dan peranan dia masing2. Susah nak faham kalau kita hanya bagi fakta2 sahaja. Saya kena buat part demi part sebab saya ada banyak kes2 dan kisah benar nak dikongsi. Supaya melalui kes2 dan kisah benar tu lebih mudah orang ramai nak faham aplikasi hibah dan wasiat yg lebih praktikal bukan berdasarkan teori sahaja.
Ok biasanya yg banyak bertanya pasal hibah dan wasiat ni golongan wanita para isteri2. Sebab mereka tahu bahagian mereka paling sedikit. Sampai ada yg mintak tolong saya..”puan tolong la pujukkan suami saya supaya buat hibah. Kalau saya yg cakap nanti dia ingat saya cuma nak harta dia dan nak suruh dia mati dulu dari saya..” Haa.. siapa yg pernah terfikir dialog di atas? Saya tak boleh pujukkan.. nanti jadi lain pulak. Yang saya boleh bantu hanya tolong bagi kefahaman dan kesedaran sahaja.
Tapi kalini saya nak kongsikan 1 kes yg melibatkan org lelaki sendiri. Seorang lelaki yg juga suami dan ayah kpd seorg anak perempuan datang berjumpa saya untuk buat hibah. Umurnya muda lagi tapi dah ada harta 2 biji rumah yg lokasinya agak strategik dan beberapa ekar kebun sawit. Profil kewangannya mmg cantik dgn beberapa pakej insurans yg diambil dan beberapa pelaburan yg dibuat. Apa yg membuatkan beliau nekad nak buat hibah?
Ceritanya.. ”Isteri saya surirumah. Saya hanya ada seorang anak perempuan. Adik-beradik saya ramai lelaki dan ibu saya masih hidup. Baru2 ni saya ada borak2 santai bagitau nak merancang harta saya dgn keluarga. Adik-beradik saya tak setuju. Katanya diorang pun ada hak ke atas harta2 saya. Ibu saya pun ada cakap dia nak bahagian atas rumah saya. Saya terkejut dan tak sangka! Sebab saya masih hidup dan harta2 saya belum pun jadi harta pusaka lagi tapi mereka dah berkira2 bahagian mereka. Hubungan saya dgn adik-beradik pun taklah rapat sgt sebenarnya. Sebab tu saya tak lantik mereka jadi saksi saya pun puan. Tak sangka apa yg saya baca selama ni tentang perebutan harta terjadi kat keluarga saya sendiri. Bezanya saya masih hidup. Saya tak dapat bayangkan apa nasib isteri dan anak perempuan saya kalau saya tak buat apa-apa..”
Oo patutlah beliau nekad betul nak buat hibah. Betul lah..selagi tak kena batang hidung sendiri memang kita tak akan sedar. Agak2 kalau si suami ni buat wasiat nak bagi semua harta dia kepada isteri dan anak perempuan dia sahaja..apa akan jadi pada wasiat dia? Cuba bayangkan.. selepas kematian dia..dgn struktur faraid yg sama..agak2 adik-beradik lelaki dan ibu dia cabar tak wasiat tu? Sebab mereka pun waris2 si suami dan berhak dapat bahagian faraid. Kalau mereka tak setuju dengan wasiat tu, mereka boleh cabar wasiat tu di mahkamah syariah. Hanya mahkamah syariah sahaja yg ada bidangkuasa untuk tentukan samada wasiat tersebut boleh dilaksanakan atau tidak bukannya agensi yg menyediakan wasiat tu. Antara perkara penting yg mahkamah akan ambil kira :
1) Adakah wasiat itu mengikut hukum syarak? Tidak. Kerana wasiat itu dibuat kepada waris iaitu isteri dan anak perempuan. Sdgkan wasiat sepatutnya dibuat kepada BUKAN waris. Tambahan lagi dibuat ke atas semua harta bukan 1/3 sahaja.
2) Jika wasiat dibuat kepada waris..adakah waris2 yg lain setuju? Jika waris2 yg lain setuju tak ada masalah maka wasiat tersebut boleh dilaksanakan. Tapi dalam kes ini? Jika ada waris2 yang cabar maka wasiat itu akan terbatal dan tak berkuatkuasa.
Maka akhirnya harta2 si suami tadi akan dibahagikan secara faraid. Dan bahagian isteri hanya 1/8. Apa akan jadi pada nasib isteri dan anak perempuan tadi jika msg2 akan menuntut bahagian ke atas rumah tu? Adakah itu hasrat si suami tadi semasa menulis wasiat? TIDAKKK! Perkara tu takkan terjadi puan..sebab saya masih hidup dan saya nak buat hibah sekarang! Fuhh tersedar dari lena dan igauan mimpi ngeri rupanya..
Adakah hibah tak adil dan melarikan hak waris2 yg lain? Perlu difahami..hibah dibuat semasa hidup. Dan harta tersebut bukan lagi harta pusaka. Kita berhak nak bertasarruf dgn harta kita sendiri. Nak bagi kat orang atau nak jual itu hak kita. Kecuali kalau kita dah mati, harta itu bukan harta kita lagi. Ia akan jadi harta pusaka. Barulah perlu ditadbir mengikut prosedur harta pusaka.
Nota 1 : Suami tu cuma hibahkan rumah2 dan kebun sawit kat isteri dan anak perempuan dia je. Sbb nak pastikan isteri dan anak dia ada tempat tinggal dan pendapatan lepas dia mati nanti. Harta2 dia yg lain macam ASB, saham2, wang tunai dll tu semua dia tak hibahkan pun. Tetap akan diagihkan secara faraid kpd waris2 yg lain.
Nota 2 : Yang saya faham hibah tu hadiah. Habis tu kalau dah hadiahkan semua harta2 kita kat orang, kita dah tak ada apa2 harta lagi la kan? Kalau isteri dan anak tinggalkan saya macamana? Haa sebab tu nak buat hibah pun kena ada ilmu bukan pakai buat je. Hibah kan ada banyak jenis. Hibah mutlak dan hibah bersyarat. Keperluan setiap orang tak sama.
Hibah tu tak zalim. Yg zalim tu org yg tak nak cari ilmu yg betul tentang hibah dan wasiat. Hibah bukan melarikan pusaka tetapi merancang harta.
Sumber : Roslina Safiyah & Co.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Isteri pilihan hati adalah penyejuk hati suami walaupun apa jua masalah yang mendatang. Biarpun onak duri, namun kebahagian rumahtangga tetap dijaga utuh. Ia sekali gus menyenari sebuah hubungan suami isteri yang erat dengan penuh kasih sayang. Bagaikan kasih suami membawa BAHAGIA, kasih isteri membawa ke SYURGA.
Ikuti panduan yang dari sebuah blog yang boleh dijadikan panduan bersama dalam melayari kehidupan rumahtangga. Biarpun sudah punya anak, namun kemesraan terhadap suami tetap manis sehingga hayat.
Tahun-tahun pertama perkahwinan adalah tempoh paling bahagia bagi pasangan suami isteri…. namun dengan selarinya peredaran waktu, kasih sayang yang dirasakan selama ini dirasakan semakin memudar. Ada isteri yang merasakan suaminya sudah tidak menyayanginya lagi. Tidak, jangan melulu menyalahkan suami. Mungkin anda jugalah penyebabnya. Mari kita semak kembali apa yang kebanyakan suami sukakan dan mahukan daripada isterinya. Berikut adalah 17 perkara yang isteri perlu beri perhatian dalam menambat hati suami: 1. Mengambil berat tentang penampilan suami Ada suami gemar diberi perhatian akan hal-hal remeh yang berkaitan dengan dirinya. Dia akan senang jika isterinya mencadangkan baju apa hendak dipakai, mengenakan kancing bajunya, mengemaskan tali lehernya, mengelap kasutnya, memotong kukunya dan sebagainya. Walaupun suami anda bukan jenis yang begini, tiada salahnya anda mencuba dan lihat kesukaannya. Dari situ anda akan mengetahui apakah suami anda jenis suka dimanja atau suka berdikari. Kita tidak tahu bagaimana ibu melayaninya dahulu. Anda kena lebih baik daripada layanan yang diterima daripada ibunya. Berasa banggalah melihat suami anda segak setiap hari. Jangan berfikiran negatif, bimbang suami ditackle orang, sebab sekiranya anda ikhlas, keikhlasan itu akan dibalas dengan kejujuran yang lahir dari lubuk hatinya, bukan berpura-pura. Lagipun anda mendapat pahala berbuat begitu. Ini bukan hendak menjadikan anda hamba. Sesetengah isteri memang merasakan begitu. Padahal perkara ini ada disebut dalam hadis,
Ya Fatimah, barangsiapa wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya serta memotong kumisnya dan mengerat kukunya, Allah akan memberinya minum air dari sungai-sungai di Syurga, diringankan baginya sakaratul maut, akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman Syurga, Allah mencatatkan baginya bebas dari api Neraka, dan selamat dari Titian Sirat.”
2. Menambat hati suami dengan bersegera pergi jika dipanggil Pernahkah anda ‘dipanggil’ suami ketika sedang memasak atau melakukan pekerjaan lain? Anda wajib memenuhi ‘panggilannya’ itu. Tinggalkan semua pekerjaan dan tunaikan ‘permintaannya’. Tapi jangan tengah goreng ikan, anda pergi berlari tunggang-langgang kepadanya untuk ‘tugas’ baru. Minta dia tunggu sebentar. Kemaskan diri dan pergilah kepadanya.
3. Menambat hati suami dengan sentiasa berhias untuk suami kebanyakan lelaki cukup cerewet dengan kebersihan. Mereka akan bosan apabila isteri menyambutnya dengan rupa dan rambut yang kusut masai, anak-anak yang comot dan rumah yang ‘bak kapal pecah’. Sesibuk mana pun anda, persiapkan diri sebaiknya tatkala menyambut kepulangan suami. Hadiahkan dia senyuman. Kalau dia bermasam pun tak mengapa, anda sudah mendapat pahala sedekah dengan memberikannya senyuman. Rugi ke senyum?
4. Layan suami seperti raja Sesetengah suami suka dilayani seperti raja. Dia suka jika isterinya membantu mengelap peluhnya, menyediakan keperluannya untuk mandi dan berdiri ketika ia hendak pergi atau kembali. Ungkapan-ungkapan seperti, ‘Bang, nak makan dulu atau nak mandi dulu atau nak tidur dulu?’ cukup untuk membuat suami tersenyum dan mengurangi penatnya.
5. Ucapkan terima kasih setiap pemberian suami Lelaki kadang-kadang suka dipuji. Jangan lupa hargai setiap barang pemberiannya meskipun tidak seberapa nilainya. Sekadar ucapan terima kasih dari seorang isteri ketika menerima pemberian, sangat bermakna dan membekas di hati suami. Kalau rasa tak suka dengan pemberian itu, ucapkan dulu terima kasih, baru beritahu. Misalnya, “Terima kasih bang, belikan Nor kain, cantiknya, Nor suka. Tapi kalau lain kali abang nak beli Nor nak warna kelabu pulak” Suami tak akan tersinggung, malah faham bahawa dia masih belum mengerti kegemaran isteri dan akan cuba memperbaikinya.
6. Jangan berleter! Suami akan bosan jika isterinya ‘cerewet’ dan selalu bertanya, hendak ke mana, acara apa, bila balik, kenapa lambat balik, jumpa siapa tadi dan sebagainya. Banyak tanya tu lebih kurang macam berleter juga. Mana ada suami yang suka isterinya berleter.
7. Menambat hati suami dengan menemaninya makan Jika anda menghidangkan makanan untuk suami tetapi tidak menemaninya makan, sama halnya seperti memberi makan kucing. Ini pun ada disebut dalam hadis. Sebaik-baiknya temanilah dia meskipun sekadar satu suapan, tak pun duduk sambil minum-minum sementara menanti dia selesai. Thabit al-Banni berkata,
Terdapat seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya, yang sangat baik pekertinya terhadap suaminya. Apabila dia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegang pelita sampai suaminya selesai makan. Pada satu malam, pelitanya kehabisan sumbu, lalu diambil rambutnya untuk dijadikan sumbu. Esok harinya, matanya yang buta kembali melihat. Allah memuliakannya kerana rasa hormatnya kepada suami.”
Inilah cara paling ampuh untuk menambat hati suami, bermula dari dapur.
8. Tingkatkan ilmu pengetahuan Suami senang dengan kefasihan isterinya dalam berkata-kata, bijak dalam bertindak dan menjadi partner yang baik dalam berdiskusi. Tingkatkan kualiti intelektual anda dengan banyak membaca buku dan gali pelbagai informasi. Hal ini jadi lebih penting jika anda suri rumah sepenuh masa. Sesetengah suami memang memandang rendah sedikit isteri yang berstatus begini. Jadi anda kena tingkatkan pengetahuan dengan mengambil tahu mana-mana yang patut.
9. Jangan terlalu kuat membangkang Jangan kuat membangkang pendapat suami. Kebanyakan suami tak suka pendapatnya dibangkang. Walaupun agak salah, sebaik-baiknya terima dahulu. Kalau nak membangkang pun tengok nada suara dia dan perhati nada suara anda. Ingat, anda ibarat perdana menteri dan dia raja. Mana ada raja yang boleh terima kalau asyik dibangkang oleh perdana menteri. Isteri yang kuat membangkang memang sengaja mencari kebencian suami. Anda tinggal sebumbung dengannya. Sudah tentu anda perlu sependapat dengannya dalam semua isu. Kalau tak sependapat pun, simpan sendiri dan keluarkan balik sedikit-sedikit mengikut kesesuaian masa dan tempat. Pendek kata, seboleh mungkin, sentiasa tunjukkan anda sependapat dengannya.
10. Jadilah bidadari yang menenangkan fikiran Suami mahu isterinya sebagai penenang fikiran. Jadi, berperananlah sebagai bidadari, bukan duri yang asyik menyucuk perasaan suami sehingga rumahku menjadi nerakaku. Kalau isteri sudah tidak bersifat penenang, suami akan mencari pengganti.
11. Sambut kepulangan suami dengan ketenangan Kalau anda ingin suami berlama-lama dirumah, jangan sambut kepulangannya dengan pelbagai masalah anak-anak dan urusan dapur yang remeh-temeh. Mulailah pembicaraan yang menyenangkan, kerana suami perlukan freshener setelah seharian dengan masalah di tempat kerja.
12. Sediakan tempat tidur yang eksklusif Tempat tidur bukan sekadar menyimpan rahsia-rahsia suami isteri, melainkan juga tempat ternyaman mereka untuk saling mencurah perasaan dan saling membuktikannya dengan perilaku. Jadikan ia kamar yang eksklusif dan peribadi. Kebanyakan suami tidak suka tempat tidurnya dimasuki orang tanpa izinnya. Kreatif sedikit dalam menghias bilik tidur ini. Berikan warna-warna yang digemari oleh suami. Susun kembali bunga supaya tidak jemu memandang. Untuk lebih romantik letakkan gambar-gambar perkahwinan disini.
13. Elakkan gangguan Pantang bagi kebanyakkan suami jika tidurnya terganggu. Jauhkan anak-anak darinya ketika dia sedang tidur. Tunggu dia terjaga dahulu sebelum memblander atau menumbuk sambal. Kecilkan suara tv.
14. Isteri yang manja tapi bukan mengada-ngada Suami suka isteri yang pandai bermanja-manja tapi jangan sampai mengada-ngada. Disitulah cantiknya perhubungan suami dan isteri. Isteri yang pandai bermanja-manja bukan sahaja mendapat semua yang dikehendakinya, malah menyenangkan suami dan membuatkan suami teringat-ingat. Kalau dah suami teringat-ingat, takkanlah dia nak cari lain.
15. Jangan kuat merajuk Jangan kuat merajuk dan tarik muka masam terutama tatkala suami sedang berserabut dengan masalah.
Merajuk tak bertempat ini hampir sama dengan mengada-ngada.
Anda kena ingat, merajuk jawapanya adalah pujuk. Jika suami sedang serabut dengan masalah, bolehkah dia memujuk?
16. Beri pendapat bila ditanya sahaja Dan jangan pula banyak tanya, biarkan suami isteri meminta anda memberi pandangan. Sebab pandangan anda yang tidak tepat dan bertentangan dengan pendapatnya akan membuahkan perasaan geram. Setakat geram tidak mengapa, kalau dia marah sudah tentu dia tidak akan meminta pandangan anda lagi pada masa akan datang.
17. Jangan memperkecilkan kemampuan suami Selalu merangsang prestasinya. Kalaupun ia lemah dan ada masalah jangan perkecil-kecilkan kemampuannya itu. Dorong dia dengan kata-kata motivasi dan letakkan dihatinya bahawa anda sentiasa percaya suatu hari nanti masalah itu dapat diatasi. Usahakan rawatannya tanpa berputus asa.
Penutup: Kebahagian rumah tangga adalah bergantung kepada kedua-dua belah pihak, baik dari pihak si isteri mahupun suami. Semuanya memainkan peranan yang penting. Yang penting kedua-dua belah pihak berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pasangan masing dan berusaha mengekalkan keharmonian serta kehangatan dalam rumah tangga.