Fasa demi fasa PKP kita telah lalui, bermula pada tanggal 18 Mac -31 Mac, kemudian masuk pula fasa ke dua,1 April hingga 14 April, dan kini dilanjutkan lagi pada fasa ketiga iaitu 15 April hingga 28 April.
Sungguh suatu tempoh yang panjang kita rasakannya. Pun begitu, usah ada yang mengeluh atau murungut, tapi lihatlah pada sisi positif.
Banyak perkara boleh anda sekeluarga lakukan bersama-sama dan sekali gus memperbaiki diri dan keluarga menjadi lebih baik dan bahagia.
Ini sebagaimana perkongsian daripada Puan Tiny Azleen dan bolehlah dijadikan inspirasi pada kita semua.
Hari ke dua puluh satu.
Fasa kedua: Hari ke tujuh.
Sudah dua puluh satu hari, Allah izinkan kami berkumpul lengkap seluruh ahli keluarga, ibu dan abahnya serta lima orang anak-anaknya. Bonus, mak saya atau maktok bebudak ini juga tinggal bersama kami, Alhamdulillah.
Syukur Alhamdulillah.
Nikmat paling mahal yang sangat saya syukuri yang tiada galang ganti kebahagiaan ini. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Rasanya, inilah pertama kali dalam sejarah hidup saya dan sebagai ibu bapa, kami lihat wajah anak-anak kami dan bersama mereka, 24 jam sehari, 7 hari seminggu. MasyaAllah Tabarakallah.
Setelah 3 minggu bersama anak-anak, memang hampir tepu otak mengadap karenah dan memikirkan aktiviti untuk mereka.
Benar, kerap sahaja saya bertukar sarung menjadi ‘mak singa, mak harimau, mak tarzan, mak gorilla, mak godzilla…’ (just name it, semua karakter ada!).
Ads
Namun, dalam kekalutan mengaum mengamuk menjerit dengan karenah mereka, sebenarnya banyak hikmah dan keindahan yang Allah anugerahkah asbab musibah #covid19 dan dalam tempoh PKP ini.
Antaranya, kami berpeluang makan bersama hampir setiap waktu makan, berpeluang solat jemaah 5 waktu seisi keluarga, menikmati ruang dan peluang mengaji bersama usai solat subuh (surah Al-Waqiah) dan isyak (surah Al-Mulk) setiap hari…
Dan hari ini, Allah Ar Rahman Ar Rahim Al Wahhab Ar Razzaq dengan limpahan kasih sayangNya rezekikan anak-anak kami kejut kami bangun pagi dan dapat qiyamullail dan sahur bersama-sama.
Dan ini bukan puasa wajib di bulan ramadan. Ia hanya puasa sunat. Tetapi Allah Al Baari Al Latiff lembutkan hati anak-anak saya (terutamanya yang lelaki-lelaki itu) untuk turut serta.
Allahu Akbar Kabira.
Haza min fadli Rabbi.
Sungguh, peluang ini takkan mampu hadir sekiranya tiada tempoh PKP ini.
Bukan mudah mahu kejut anak-anak lelaki itu untuk qiyamullail kalau ianya hari persekolahan.
Malah, kami sendiri ‘tidak gamak’ mahu kejutkan mereka mengenangkan mereka akan bersekolah sehingga petang.
Ads
PKP membantu kami mendidik diri sendiri untuk membimbing anak-anak supaya manfaatkan peluang berbuat baik pada setiap ruang yang Allah berikan.
Kita tidak tahu bila lagi peluang ini akan dinikmati. Manfaatkannya! Manfaatkannya!
Ya, kita pilih, aktiviti bagaimana untuk diri dan untuk keluarga kita. Dengan izinNya juga.
Sebagai ibu bapa, memang banyak sahaja silap dan salah juga tidak betulnya pengajaran kami atau cara kami membesarkan anak-anak. Ya, saya akur itu.
Yang saya tunjukkan hanyalah yang terlihat baik-baik sahaja. Yang buruk, yang di belakang hijab, MasyaAllah Tabarakallah, Tuhan sahaja yang tahu dan sudi menyimpan aib kami. Allahu Akbar Kabira.
Mohon keampunan dan kemaafan Allah Al Ghaffar Al Ghaffur Al Affuw.
Apa sahaja yang saya paparkan di media sosial ini adalah untuk pesanan bersama. Untuk diri saya lebih-lebih lagi. Mengenangkan ini semua sebagai AMANAH BERAT YANG AKAN DIPERSOAL KELAK!
Ads
Semoga sahaja ada sedikit cerita kekeluargaan ini yang menjentik hati anda untuk melakukan penambahbaikan yang lebih baik supaya kita dan anak-anak dipilih Allah menjadi insan kamil yang ummatik (ya, akur, jauh lagi perjalanannya!)
Saya dan Tuan Suami SirRizal Coway tidak pernah putus belajar dan belajar, tentang ilmu keibu bapaan ini. Sebab kami tahu, kami amat lemah dan jahil dalam bab ini!
Saat ini, penambahan ilmu kami adalah melalui pembacaan.
Saya memilih membaca buku Prof Muhd Kamil Ibrahim bertajuk: Didik Anak Cemerlang – Petua Untuk Ibu Bapa.
Manakala Tuan Suami saya memilih buku (yang saya sudah terlebih dahulu khatamnya…): Parent Think, tulisan Bonda Nor dan Tuan Ammar Kamilin.
Benar seperti yang dicatat pada buku “Parent, Think” – ‘Kerana anak, bukan sekadar anugerah bahkan amanah!”
Dan benar juga seperti yang Prof MKI catatkan pada dedikasi buku “Didik Anak Cemerlang” – Yang kita mahukan adalah bertemu dan berkumpul kembali, di syurga Firdaus-Nya.”
Allahumma amin Allah Al Mujib.
Kaktiny,
Tiada lain yang menjadi keutamaan doa, melainkan mohon ke syurga firdaus tanpa hisab, berkumpul berkampung bersama Rasulullahi Sallallahu Alaihi Wassalam dan sekalian yang dicintai di dunia serta setiap hari menjawab salam Allah dan menatap wajah Allah, tanpa hijab. Amin.
Setelah mengucapkan selamat tinggal sebagai penyampai radio sepenuh masa tidak lama dahulu, Nana Mahazan kini kembali on air di radio online EFM (efm.live) sejak Januari 2018.
Selebihnya Nana banyak terlibat dalam mengacara majlis-majlis tertutup. Jika tiada jemputan untuk ke konti, stesen TV ataupun majlis lain, masa Nana banyak dihabiskan di rumah bersama anak-anak.
Namun Nana yang sememangnya aktif di laman sosial Instagramnya sentiasa menjadi perhatian para peminatnya. Malah, dia kini banyak muncul di kaca tv sebagai pengacara dalam beberapa program.
Personaliti dan penampilannya yang sentiasa up to date menjadi idola peminat wanita muda berkarier dan tak kurang ibu muda sepertinya.
“Memang ada harinya bila malas tu, di rumah saya hanya berpakaian biasa. Tapi, bukanlah tak ‘semenggah’. Masih kemas. Saya percaya, setiap orang punya keinginan sendiri.
“Saya pula, mahu sentiasa menjaga penampilan dan kelihatan kemas walaupun berada di rumah. Ia merupakan satu kepuasan untuk diri sendiri.
“Dengan cara itu, kita akan rasa gembira dengan diri kita sendiri. Ini penting kerana ia juga membantu mewujudkan keyakinan pada diri. Jagalah penampilan diri walaupun mungkin kita hanya suri rumah.
“Diri kita layak untuk ‘dihadiahkan’ atau ‘dimanjakan’ sebegitu. Tetapi, jangan hanya pentingkan penampilan kita semata-mata dan mengabaikan suami dan anak-anak,” tegas Nana.
Bentuk tubuhnya juga tidak membayangkan dia sudah memiliki dua orang cahaya mata. Tiada rahsia bagi selebriti ramah ini.
“Cuma sejak berkahwin dengan Brian, dia lebih teliti soal pemilihan makanan. Hal ini memandangkan Brian amat menjaga pemakanannya. Bimbang berat badan mudah naik.
“Sebelum berkahwin saya makan apa yang saya suka. Berbeza lepas berkahwin, perlu teliti tentang pemakanan. Alhamdulillah, satu perubahan yang amat baik.
“Maksudnya, dulu makan apa sahaja tidak kira tinggi kalori ataupun tidak. Meski berat badan tak naik tetapi sebenarnya kurus tidak bermakna tiada kolesterol.
“Jangan hairan kalau ada orang yang kurus tapi kandungan kolesterol tinggi dalam badan. Sekarang, bila jaga pemakanan dengan lebih baik, saya rasa lebih sihat.
“Terasa perubahan itu pada diri sendiri. Mulanya, ikut sahaja bila Brian kata pilih makanan yang sihat. Kalau beli susu, pilih yang rendah lemak, lebih banyak gunakan minyak zaitun, banyakkan sayuran dan buah-buahan.
“Beli makanan juga sudah dibiasakan membaca label atau kemasan makanan. Lama-kelamaan, sudah jadi tabiat. Menariknya, bila diamalkan memang saya dapat rasakan sendiri perubahan yang lebih baik,” ujar Nana yang baru tamat host Mentor7 selain turut menjadi hos untuk Pesona Pengantin di Astro serta game show Jangan Buat Hal di Astro Warna.
Semakin Sayang
Serasi bersama, riak wajah keduanya menyerlahkan kebahagiaan yang dilalui Nana dan Brian. Bukanlah niat untuk bermegah-megah dengan kebahagiaan rumah tangga tetapi Nana berlaku jujur mengakui dirinya bertuah dipertemukan dengan suami tercinta.
Istimewanya Brian pada dirinya, sukar digambarkan dengan kata-kata. Namun, dari segi peribadinya Nana bahagia kerana Brian tidak lokek menunjukkan kasih sayang terhadap dirinya.
“Dari dulu sehingga kini saya tak pernah terasa kurang kasih sayang daripada Brian. Sekarang, terasa sangat kasih sayangnya melimpah buat saya.
“Pada Brian, dia amat bersyukur dan berterima kasih kerana saya sanggup melahirkan dan menjaga anak-anak, Althea,9 tahun dan Aaqib 5 tahun.
“Dia benar-benar menghargai pengorbanan saya yang sanggup berhenti kerja dan menjaga anak-anak. Kata-katanya itu membuatkan saya rasa terharu dan amat bersyukur adanya Brian di sisi saya.
“Apa sahaja yang ingin saya lakukan, Brian sentiasa menyokong saya. Tugas-tugas di rumah juga dia sanggup berkongsi dan lakukan bersama-sama. Dalam rumah tangga yang penting saling memahami dan percaya antara satu sama lain.
“Barulah tak timbul syak wasangka antara suami isteri. Sebagai isteri kena tahu kehendak dan isi hati suami baru tak timbul alasan cari yang lain. Kalau suami tetap juga ada yang lain, tanyakan apa kurangnya kita sebagai isteri dan cuba perbaiki untuk jadi yang lebih baik,” cerita Nana yang memohon semoga tiada sebarang musibah dalam rumah tangganya itu.
Sumber: Majalah Keluarga 2015 & Media Hiburan Online
Setiap pasangan yang berkahwin inginkan kebahagiaan sehingga till jannah, Mengekalkan kebahagiaan rumah tangga tidak semudah yang disangka sekiranya pasangan tidak mengetahui asas kepada kebahagiaan. Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan hubungan yang bahagia dan harmoni.
Ikuti perkongsian yang sungguh inspirasi oleh Akhtar Syamir.
“Lower Your Expectation”, Kurangkan Jangkaan – Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga.
Sebelum kita berkahwin, bermacam-macam jangkaan yang bermain di minda kita dan bakal pasangan. Jarang sekali jangkaan ini dibawa berbincang. Selalunya idea jangkaan dan sangkaan ini datang dari apa yang kita lihat dan baca.
Orang terdekat kita menjadi sumber utama jangkaan tersebut. Seringkali kita lihat yang indah-indah, pasangan suami isteri berpegangan tangan, berjalan seiringan, sudah kahwin beberapa tahun tetapi masih mesra seperti baru lepas berkahwin.
Kemudian kita terlihat pula keluarga yang seronok bersama anak-anak, berjalan sana dan sini menghabiskan masa berkualiti bersama.
Terus di dalam benak fikiran kita mengharapkan perkahwinan kita nanti akan menjadi indah seperti itu. Kita rasakan yang kita pasti akan ada teman buat selama-lamanya.
IMPIAN SEBELUM BERKAHWIN
Jadi, sebelum berkahwin, kita sudah tetapkan jangkaan-jangkaan ini.
1. Kita nak bahagia. 2. Kita nak ditemani sepanjang masa. 3. Kita nak bina keluarga. 4. Kita nak pasangan yang memahami kita. 5. Kita nak pasangan yang melayan kita sentiasa. 6. Kita nak pasangan faham keperluan kita. 7. Kita nak pasangan dengar cakap kita.
Jangkaan-jangkaan ini sebenarnya tidak salah. Cuma masanya tidak sesuai. Kita TAKKAN tahu apa pun yang akan berlaku di masa hadapan. Apa yang kita nampak bukanlah sebenar-benarnya apa yang berlaku.
Sebagai contoh, pasangan yang nampak mesra tadi. Betul kita nampak dia mesra, baik, sayang menyayangi, tetapi kita tak tahu yang mereka mungkin baru lepas mengalami kehilangan atau keguguran. Ujian yang mereka hadapi membuatkan mereka lebih rapat dan kuat. Adakah kita juga akan sebegitu jika diuji dengan kejadian yang sama? Tiada siapa pun boleh tahu.
Mungkin juga pasangan itu saling fahami memahami antara satu sama lain, sentiasa berusaha untuk melayan pasangan mereka dengan baik dan selalu berbincang untuk menyelesaikan apa juga masalah. Adakah kita pasti kita dapat jadi seperti itu? Mungkin ya, mungkin juga tidak.
Ada juga kemungkinan pasangan yang mesra dan gembira itu berjaya melepasi fasa keinsafan apabila salah seorang dari mereka pernah mengkhianati pasangannya tetapi bersungguh-sungguh menyesali perbuatannya dan mereka bersama-sama bina kembali mahligai yang hampir hancur musnah.
Lihat pula keluarga bahagia yang seronok bersama anak-anak bermain bersama, berjalan bersama, menghabiskan masa bersama. Itu yang kita nampak, yang kita tak nampak, mungkin itu sahaja waktu yang mereka ada dalam setahun. Mungkin ibu atau bapa mereka terlalu sibuk, mungkin anak-anak pun terpaksa berkorban kasih sayang sementara menunggu waktu yang seronok itu.
JANGKAAN TIDAK RELEVAN
Nampak tak betapa apa yang kita nampak, membuatkan jangkaan kita semakin tidak relevan?
Kita hanya nampak keputusan, tetapi tidak nampak proses dan halangannya.
Kita nak bahagia, bukan dalam sekelip mata. Bukan selepas terungkapnya “Aku terima nikah..” anda akan terus bahagia. Kadang-kala hari pertama perkahwinan pun kita dah seperti tidak bersetuju dengan pasangan.
Bayangkan hari-hari awal perkahwinan anda. Anda berada di rumah bersama pasangan. Sejurus selepas menikmati hidangan bersama, masa untuk berehat di sofa pula untuk tengok tv. Anda ambil remote tv. Anda pilih apa yang anda nak tengok. Setelah pilihan dibuat, tiba-tiba pasangan anda kata tak nak tengok cerita tu, nak tengok cerita lain. Masa tu anda dah rasa lain. Ade sedikit perasaan tidak puas hati kerana tidak dapat buat apa yang kita nak buat.
Itu sebenarnya proses terawal untuk sampai ke jangkaan kita tadi. Ada orang awal-awal dah gagal. Mula-mula dah merajuk. Masa tu pulak datang masalah untuk memujuk. Tiba-tiba terdetik, “kenapa macam ni? Malasnya nak pujuk”.
Ada pula yang terus berkeras dengan isteri. “I nak tengok cerita ni, boleh tak jangan ganggu?” Minggu pertama perkahwinan ni. Nampak macam tiada apa-apa kan? Tetapi ada hati yang sedikit terluka pada waktu ini.
Ada orang jangka yang mereka akan sentiasa ditemani pasangan. Sentiasa nak berpegang tangan, nak berpeluk mesra. Sedangkan realitinya bukan mudah sebenarnya. Ada yang kena pergi kerja. Ada yang balik kerja kepenatan menghadap kerja dan kesesakan semasa pulang. Bila balik kerja dan terus tidur, si isteri jadi tak puas hati. Menyampah. “Abang ni, balik kerja je terus tidur, takde masa dengan sayang pun”. Si suami pun jadi tekanan, badan dah tak larat tapi masih kena buka mata memberi perhatian dan masa untuk pasangan.
Ada suami menjangkakan dia akan dilayan seperti Raja selepas berkahwin. Makannya, pakainya semua diuruskan isteri. Bila ada kekurangan, terus rasa tak puas hati dan marah. Yang paling menyedihkan bila jangkaan itu meracuni fikiran sehingga terkeluar “Apa gunanya aku kahwin dengan kau kalau masak pun tak pandai?”. Alangkah sedihnya.
Ada yang menjangkakan lepas kahwin je pasti akan ada anak. Kadangkala rezeki itu tiada pada kita. Mendapat cahaya mata bukanlah 100% kerja kita. Kita tak tahu sebelum ini kita ada masalah atau tidak. Jadi, jika keadaan ini berteruskan, perlulah berjumpa dengan pakar. Minda perlu dibuka untuk menerima kenyataan jika ada masalah di pihak sendiri atau pasangan. Jangan sesekali menyalahkan pasangan. Ini adalah satu perbuatan terkutuk yang sangat menyedihkan.
Yang selalu menyebabkan masalah apabila ada jangkaan yang segala hobi dan kegemaran sebelum kahwin tidak akan terusik langsung selepas berkahwin. Yang disukai wajib kekal. Pasangan wajib faham minat kita. Pasangan wajib beri kita ruang sepenuhnya untuk buat apa yang kita gemari. Realitinya bukan begini. Langsung tidak sama. Banyak proses yang perlu dilalui sebelum sampai ke tahap ini dan kadangkala ianya tidak akan dapat sepenuhnya.
Kenapa mengurangkan jangkaan atau “Lower Your Expectation” ialah kunci kebahagiaan rumah tangga?
Jika sebelum ini kita jangkakan yang kita akan sentiasa ditemani pasangan. Bila tak dapat “sentiasa” itu pastinya akan buat kita tak puas hati kan? Kurangkan jangkaan tu. Dari sentiasa, jadikan ia “bila ada kesempatan” atau “bila waktunya sesuai”. Jadi, bila pasangan terlalu penat atau terlalu sibuk, kita akan faham dan tiada perasaan tidak puas hati kerana tidak dapat apa yang kita jangkakan.
Jika sebelum ini kita jangkakan akan dilayan sepenuhnya seperti seorang Raja. Kurangkan tahap jangkaan itu. Anggap sahaja yang kita akan dilayan setimpal dengan layanan yang kita beri pada pasangan. Jika kita mampu beri lebih, tak salah kita inginkan lebih dari pasangan. Ingat ayat ini sampai bila-bila ye.
“Jika inginkan layanan Umpama Raja, layanlah isteri anda seperti Permaisuri”
“Jika inginkan layanan bak Permaisuri, layanlah suami anda seperti Raja”
Bab anak pula, tolonglah faham yang rezeki itu datangnya dari Allah S.W.T. Bukan sepenuhnya atas usaha kita sebagai manusia. Tetapi jika kita mampu berusaha tetapi kita tak lakukannya, itu memang silap kita. Jangan salahkan Tuhan. Sebagai contoh, bertahun-tahun cuba untuk dapat anak tetapi gagal, kenapa masih berkeras tidak mahu pergi periksa? Dalam badan kita, kita tidak akan tahu masalah dia selagi tidak diperiksa oleh pakar. Alternatif lain juga ada jika mahu cuba. Pergilah berjumpa Doktor yang pakar di dalam bidang ini. Perlu ada usaha dan ikhtiar. Apabila selesai bahagian kita, barulah kita berserah pada yang Esa.
APA YANG HARUS KENA BUAT SUPAYA BAHAGIA MELIMPAH UNTUK KURANGKAN EXPECTATION
Kurangkan jangkaan juga boleh dilakukan kepada banyak perkara lain. Contohnya :
1. Masakan. Isteri kita bukan Chef ternama, kalau ada kurang garam atau terlebih pedas itu janganlah terus marah. Kurangkan jangkaan dapat mengurangkan rasa tidak puas hati itu. Anggap sahaja kita beruntung ada isteri tolong masak, ramai lagi kat luar sana yang masih makan di kedai setiap hari.
2. Rupa paras. Kenapa perlu letak standard yang terlalu tinggi buat pasangan kita? Kenapa kita letak jangkaan yang pasangan kita mesti lebih atau secantik isteri orang lain? Kenapa perlu letak jangkaan yang suami kita tidak setampan suami orang lain? Jika kita kurangkan jangkaan, pastinya kita akan lebih tenang dan redha. Isteri aku cantik sangat untuk aku. Suami aku cukup tampan untuk aku.
3. Kebersihan rumah. Jika jangkaan yang rumah sentiasa perlu kemas, perlu bantu sekali. Tak boleh harapkan isteri sahaja. Bukan mudah untuk kekalkan kekemasan rumah, apa tah lagi jika ada anak kecil. Jika kita tak mampu nak bantu, jangan letak jangkaan itu terlalu tinggi. Cukup sekadar ianya kemas apabila kita dapat bantu atau bila isteri kita ada kesempatan untuk kemas. Kan lebih baik begitu?
4. Hobi. Tolak ansur dan rendahkan jangkaan. Selepas kahwin dan sebelum kahwin tak boleh sama. Sebelum kahwin, kita seorang. Kita hanya fikir diri kita. Kita hanya bertanggungjawab di atas diri kita sahaja. Selepas kahwin, semuanya bertambah. Lebih tanggungjawab, lebih keutamaan pada benda lain, lebih masa untuk perkara-perkara lain. Perlu faham bab ini. Kenapa berkeras untuk menjalani hidup seperti seorang bujang atau dara sedangkan anda sudah berkahwin? Anggap sahaja hobi dan kegemaran itu boleh dibuat apabila masa dan kemampuan itu ada.
5. Pakaian. Jangan anggap semuanya akan sentiasa ada tersedia bergosok dan berlipat. Kita bukan hidup dalam dobi, tetapi di rumah dengan manusia biasa. Bila baju ronyok sedikit, janganlah masam muka. Gosoklah sendiri atau pujuk isteri supaya gosokkan. Jika tiada baju yang bersih untuk dipakai, ambillah tahu berkenaan basuh baju dan sidai baju. Jangan terus kecewa bila jadi situasi begitu apabila kita langsung tak ambil tahu. Rendahkan jangkaan tu. Isteri itu manusia yang ada perkara lain yang perlu dilakukan. Kadang-kala tidak sempat atau terlupa. Jika tidak dapat bantu, jangan harapkan ianya sentiasa ada.
6. Pasangan dengan minat yang sama. Rugi kalau ada jangkaan sebegini. Manusia itu diciptakan berbeza-beza. Ukuran tinggi pun belum tentu sama, inikan pula hati, perasaan dan minat. Jangan jangka yang pasangan sentiasa akan menyukai apa yang kita rasa. Jangan paksa. Apa sahaja yang terhasil dari paksaan sebenarnya tidak baik. Keikhlasan itu pastinya hilang dan hanya sebelah pihak sahaja yang berpuas hati. Yang pihak satu lagi pastinya akan makan hati. Kurangkan jangkaan dan fahami yang jika pasangan cuba atau boleh toleransi dengan minat kita walau sedikit pun sudah cukup bagus. Barulah kita lebih mudah menerima perbezaan.
7. Bab kejayaan anak. Allahuakbar. Ini sangatlah penting. Kita tengok anak orang lain umur 2 tahun dah boleh bercakap. Kita kecewa. Kita tengok anak orang lain umur 7 tahun dah fasih berbahasa Inggeris, kita kecewa. Kita tengok anak orang lain UPSR 4A, 5A, kita kecewa bila anak kita hanya 1A. Hampir kesemua yang berjaya usaha dia lebih hebat dari yang tidak. Usaha itu pun datang dari anak DAN ibu bapa juga. Kita hanya tahu kejayaan orang, kita tak peduli pun usaha orang tu macam mana.
Kita tak peduli pun berapa banyak masa ibu bapa budak tu beri pada anaknya. Kita tak mampu bagi masa, kita sibuk dengan kerja dan tidak mahu membantu anak, tapi kita jangkakan yang secara magiknya anak kita boleh berjaya. Tak boleh begitu. Rendahkan jangkaan, raikan apa yang dia dapat. Pastinya setimpal dengan apa yang kita beri dan anak itu beri. Kalau dia dapat 1A pun, ucapkan syabas. Jika dia selalu dapat 4D, kalau yang sebenarnya dapat 4C, pujilah dia. Kalau dari kecil lagi kita dah tekan semangat anak kita serendah-rendahnya, bayangkan kehidupan dia di masa akan datang? Kesian sangat.
8. Tahap romantik pasangan. Janganlah setkan jangkaan itu terlalu tinggi. Romantik ni seperti bakat. Ada yang memang semulajadi romantik. Tapi ada yang tidak. Namun, romantik boleh dipupuk dan diusahakan. Rendahkan jangkaan, tetapi pasangan perlu ada usaha untuk menjadi romantik. Janganlah keras kematu je. Senyumlah sedikit. Cuitlah sedikit. Peluklah sedikit. Pujilah sedikit. Tak perlu harap dia jadi super romantik. Dapat dia beri sedikit-sedikit je pun bersyukurlah. Sekurang-kurangnya pasangan mencuba. Raikan usaha itu.
Itulah serba sedikit betapa kurangkan jangkaan atau “Lower Your Expectation” menjadi kunci kepada kebahagiaan rumah tangga.
Tahniah kepada yang membaca penulisan ini sehingga ke tahap ini. Anda sebenarnya insan yang terpilih. Bukan semua mampu.
Semoga penulisan ini memberi manfaat kepada semua. Semoga anda semua menghargai usaha saya menulis artikel ini dengan memberi LIKE, komen dan kongsikan penulisan ini sebanyak yang boleh. Ini akan memberi saya semangat untuk terus menulis. In Shaa Allah.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Pengumpul bekas plastik Tupperware, sanggup berhabis, produk bakal jadi rare. Tupperware, jenama yang terkenal dengan bekas plastik berkualiti tinggi, telah menjadi pilihan ramai pengguna di seluruh dunia sejak ia diperkenalkan.
Pengumpul Bekas Plastik Tupperware Sanggup Berhabis, Produk Bakal Jadi Rare
Di Malaysia, Tupperware bukan sahaja digunakan sebagai peralatan dapur yang praktikal, tetapi juga menjadi simbol status dan gaya hidup bagi sesetengah golongan.
Produk Tupperware yang tahan lasak, inovatif, dan datang dalam pelbagai rekaan menarik membuatkan pencinta jenama ini sanggup berhabis demi mendapatkan koleksi-koleksi istimewa yang ditawarkan.
Bagi Wan Norhayati Wan Mustaffa, 38, wanita ini mengaku membesar dengan Tupperware. Ibunya, Siah @ Wook Ismail, juga adalah pengumpul bekas plastik berkenaan.
Kata Wan Norhayati, dia mengikut jejak langkah ibunya sebagai pengumpul Tupperware sejak 12 tahun lalu.
Lantaran itu, dia yang bekerja sebagai pengurus pembangunan perniagaan di sebuah syarikat dan menetap dekat Shah Alam, Selangor sanggup membelanjakan purata RM500 sebulan bagi membeli bekas plastik baharu demi menambah koleksi.
“Sebut saja Tupperware, ada kalanya saya sebak kerana terkenangkan arwah emak. Boleh dikatakan, Tupperware ini ada nilai sentimental serta dekat dengan saya.
“Tambahan, saya memang pengumpul tegar Tupperware hinggakan anak pun tahu yang saya dan Tupperware ‘berpisah tiada’.
“Malah, saya selalu pesan kepada anak supaya menjaga serta tidak menghilangkan Tupperware yang ada,” katanya.
Menurut Wan Norhayati, dia bukan saja membeli malah turut menjual Tupperware.
“Memang banyak koleksi di rumah cuma saya lebih gemar kumpul bekas plastik ungu dan merah jambu serta lebih tertarik hendak membeli jika ada keluaran jarang jumpa di pasaran.
“Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, sudah mula menjual Tupperware kerana ada permintaan.
“Bagaimanapun, bekas plastik yang saya rasakan amat bernilai, saya simpan sebagai koleksi peribadi,” katanya.
Mohd Rashid bersama koleksi bekas Tupperware kesayangannya. FOTO Ihsan Mohd Rashid Napis
“Saya bukan saja gemarkan bekas plastik jenama ini malah kehidupan saya juga banyak berubah daripada pengumpul kepada menjadi penjual.
“Saya bukan saja dapat memiliki koleksi diingini malah mampu menambah pendapatan,” katanya yang bekerja tetap sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.
Menurutnya, arwah ibunya juga gemar mengumpul bekas plastik berkenaan manakala dia mula aktif mengumpul sejak lima tahun lalu sebelum turut menjualnya bermula pada 2021.
“Ada yang saya beli malah ada juga yang saya dapat secara percuma.
“Paling mahal yang saya beli bukan bekas plastik, tetapi penapis air yang berharga RM3,850. Ia bagi mendapat sumber air bersih berpanjangan serta kesihatan sepanjang hayat.
“Untuk bekas plastik, saya suka kumpul warna hijau mint dan sejak jadi pengumpul dan penjual, baru saya faham kenapa ramai dalam kalangan suri rumah suka kerana bekasnya pelbagai jenis serta boleh bantu selesaikan masalah mereka,” katanya.
Seorang lagi penggemar Tupperware, Safiah Aderis, 54, yang menetap di Puncak Alam, Selangor berkata, jenama itu sudah sebati dengannya sejak hampir tiga dekad lalu kerana dia bukan sekadar pengumpul, malah sebagai punca rezeki selepas turut menjualnya sepanjang tempoh itu.
Gambar kenangan Safiah dan Allahyarham suami, Azhar ketika melawat kilang Tupperware di Korea Selatan pada 1996. FOTO Ihsan Safiah Aderis
Terdahulu, Tupperware, pengeluar bekas plastik yang terkenal dilaporkan memfailkan kebankrapan di Amerika Syarikat (AS) selepas bertahun-tahun mengalami masalah kewangan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tupperware Brands Corp sedang berusaha menjual perniagaannya sambil meneruskan operasi seperti biasa dan syarikat itu memfailkan kebankrapan di bawah perlindungan Bab 11, di bawah undang-undang kebankrapan AS.
Syarikat yang berpangkalan di Orlando dan diasaskan pada 1946 oleh Earl Tupper pernah menjadi simbol kemakmuran selepas Perang Dunia Kedua, terkenal dengan mangkuk dan bekas dapurnya yang inovatif.
Bagaimanapun, Tupperware kini berdepan cabaran besar termasuk persaingan sengit dalam pasaran barangan rumah dan lonjakan jualan dalam talian yang menjejaskan kedudukannya.