Wanita di Dubai terima hadiah mewah bernilai hampir RM12 juta selepas bersalin. Seorang wanita di Dubai mencuri perhatian ramai selepas berkongsi hadiah-hadiah mewah yang diterimanya daripada suami sebagai tanda penghargaan kerana melahirkan anak kedua mereka.
Wanita Di Dubai Terima Hadiah Mewah Bernilai Hampir RM12 Juta Selepas Bersalin
Malaikah Raja, yang dikenali di Instagram kerana sering mempamerkan gaya hidup mewahnya, memuat naik sebuah video yang menunjukkan hadiah-hadiah luar biasa yang diberikan oleh suaminya selepas kelahiran anak perempuan mereka.
Malaikah Raja membeli-belah bersama suaminya selepas dihadiahkan barangan kemas dan kereta mewah di Dubai. Agensi
Antara hadiah tersebut termasuklah sebuah Mercedes Benz G Wagon berwarna merah jambu yang ditempah khas, sebuah rumah bernilai AS$2 juta (RM9.5 juta), beberapa beg tangan jenama pereka terkenal, serta barang kemas bernilai ratusan ribu ringgit.
Dalam kapsyen videonya, Malaikah berseloroh, “Bayi perempuan yang mahal. Macam mana bayi sekecil ini boleh mula mengosongkan akaun bank bapanya?”
‘Push Present’ Yang Luar Biasa
Video berkenaan bermula dengan Malaikah berdiri di sisi suaminya sebelum dia menunjukkan satu persatu hadiah yang diterima sebagai ‘push present’ – iaitu hadiah yang diberikan oleh seorang suami kepada isterinya sebagai tanda penghargaan atas pengorbanannya melahirkan anak.
Antara hadiah pertama yang ditunjukkan ialah kereta mewah G Wagon dan sebuah rumah bernilai AS$2 juta (RM9.5 juta). Selain itu, dia juga menerima lapan beg tangan Dior bernilai AS$100,000 (RM475,000), gelang emas bernilai AS$80,000 (RM380,000), serta pakej urutan selepas bersalin untuk dirinya dan bayi bernilai AS$10,000 (RM47,500).
“Suami saya membelanjakan AS$10,000 untuk urutan harian selepas bersalin untuk saya dan bayi kerana saya perlu pulih daripada proses bersalin,” katanya dalam video tersebut.
Malaikah Raja membeli-belah bersama suaminya selepas dihadiahkan barangan kemas dan kereta mewah di Dubai. Agensi
Bukan itu sahaja, Malaikah turut diberikan bajet bulanan sebanyak AS$50,000 (RM237,500) untuk membeli pakaian bayi, gelang tenis bernilai AS$200,000 (RM950,000) serta barang kemas emas bernilai AS$70,000 (RM332,500) khusus untuk anak perempuannya.
Tular Dan Dapat Pelbagai Reaksi Netizen
Sejak dimuat naik beberapa hari lalu, video tersebut telah meraih lebih 15 juta tontonan dan hampir 500,000 tanda suka di Instagram.
Ads
Di ruangan komen, ramai netizen memberikan pelbagai reaksi – ada yang terkejut, ada yang terhibur, dan ada juga yang menyokong usaha suaminya dalam menghargai isterinya.
“Saya perlu pulih selepas menonton video ini. Tolong kirimkan saya AS$1 juta (RM4.40),” seloroh seorang pengguna media sosial.
Malaikah bergambar bersama sebuah Mercedes Benz G Wagon berwarna merah jambu yang ditempah khas. Agensi
“Wow, masa saya balik rumah selepas bersalin, suami saya cuma kata dia dah siap kupas kentang untuk saya,” komen seorang lagi.
Namun, ada juga yang bersetuju bahawa seorang suami memang sepatutnya menghargai isterinya selepas melalui proses bersalin.
Ads
“Tidak kira sama ada video ini dibuat sebagai gurauan atau tidak, saya menyokongnya. Lelaki mahu anak, jadi mereka perlu memberi penghargaan kepada isterinya,” kata seorang netizen.
Sehingga kini, video tersebut terus menjadi perbualan hangat di media sosial, dengan ramai yang membincangkan sama ada budaya ‘push present’ mewah seperti ini patut dijadikan kebiasaan atau sekadar satu trend dalam dunia moden.
“Biasa dia kongsi gambar larian pagi tapi dua, tiga hari ni kongsi gambar keluarga” – Ibu Koperal Akmal. “Selepas ini tiada lagi suara Abang Long yang selalu bertanya khabar umi dan ayah… mak cik akan rindu sangat suara dan kenangan bersamanya.”
Demikian luahan sayu Ruzita Razali, 59, ibu kepada Koperal Muhamad Akmal Muhamad, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas tragik di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik berdekatan Sungai Lampam, Teluk Intan pada pagi Selasa lalu.
Menurut Ruzita, anak sulungnya itu sangat rapat dengan keluarga dan kerap melakukan panggilan video untuk berkongsi perkembangan harian, terutamanya berkaitan penugasannya sebagai anggota polis.
“Selang sehari mesti dia akan buat ‘video call’… pagi tanya umi buat apa, petang pula mesti cari ayah. Tapi kini, suara itu dah tak akan kedengaran lagi,” ujarnya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Mubarak Telok Pial, Kuala Kurau, pada Rabu.
Ruzita menambah, perbualan terakhir bersama anaknya berlaku pada petang Isnin, sehari sebelum kejadian. Ketika itu Allahyarham kelihatan ceria seperti biasa.
Menurutnya, sebelum menyertai pasukan polis, anaknya pernah bertugas di Jabatan Veterinar namun mengambil keputusan untuk menyertai PDRM kerana minat yang mendalam serta keinginan mengikuti jejak langkah bapanya.
“Mak cik berat hati juga masa tu, tapi dia kata itu cita-cita dia sejak kecil. Akhirnya mak cik izinkan. Dia memang suka aktiviti mencabar, dan bila balik kampung, mesti dia akan keluar berjoging setiap pagi selepas solat Subuh,” cerita Ruzita.
Mengenang perwatakan arwah, Ruzita menyifatkan anaknya sebagai seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Kali terakhir mereka bertemu ialah semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini, dan ketika itu arwah sudah pun merancang untuk pulang semula menyambut Aidiladha bersama keluarga.
“Dia ada tanya mak cik, tahun ni buat korban tak? Katanya dia nak balik, sebab sebelum ini tak pernah cuti masa Raya Haji. Dia rindu nak jumpa adik-adik,” katanya sebak.
Tambahnya lagi, walaupun kepergian anaknya begitu menyayat hati, beliau reda kerana faham dengan tuntutan tugas sebagai seorang anggota polis.
Sementara itu, adik kepada arwah, Muhammad Hafizuddin Muhamad, 32, memberitahu bahawa beberapa hari sebelum kejadian, dia menyedari perubahan sikap abang sulungnya itu.
“Kebiasaannya dia kongsi gambar larian pagi di WhatsApp, tapi dua tiga hari ni dia mula kongsi gambar keluarga… macam dia rindu sangat, itu yang saya rasa pelik,” katanya.
Jenazah Koperal Muhamad Akmal telah disemadikan dengan penuh istiadat polis di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Mubarak, Kampung Telok Pial. Jenazah tiba di rumah mertuanya sekitar jam 6.15 pagi dan dikebumikan sejam kemudian, diiringi kira-kira 100 hadirin termasuk ahli keluarga serta penduduk kampung.
Sebelum itu, solat jenazah dilangsungkan di Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, untuk penghormatan terakhir sebagai anggota pasukan keselamatan.
Suasana di tanah perkuburan bertukar hiba apabila sanak saudara tidak dapat menahan kesedihan saat jenazah dikebumikan. Jalur Gemilang kemudiannya diserahkan oleh pasukan istiadat kepada bapa Allahyarham, Muhamad Razali, 63, sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat bakti anaknya kepada negara.
Koperal Muhamad Akmal merupakan antara sembilan anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan membabitkan trak pasukan dengan sebuah lori membawa batu kerikil sekitar jam 8.30 pagi Selasa lalu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak, seorang lelaki berusia enam tahun dan seorang perempuan berumur dua tahun.
Orangnya kecil molek dan apabila bertutur pula nadanya sentiasa lembut, namun di sebalik semua itu Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki bukan wanita yang calang-calang.
Penyelidik dan juga profesor daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur ini mencipta sejarah sebagai wanita pertama negara tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut dari 2019 hingga tahun ini.
Senarai berprestij itu diterbitkan oleh Universiti Stanford dan penerbit akademik Elsevier yang menilai lebih sembilan juta penyelidik dari seluruh dunia, namun hanya sekitar 100,000 saintis berimpak tinggi dipilih berdasarkan citation (petikan), indeks-H, kolaborasi antarabangsa dan peranan kepengarangan utama.
Bagi dirinya, pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi tetapi juga kebanggaan buat Malaysia.
“Apabila saya mengetahui disenaraikan buat kali ketujuh, saya amat bersyukur. Ia bukan hanya penghargaan terhadap kerja keras saya, tetapi juga legasi untuk UUM dan Malaysia, membuktikan bahawa kita mampu berdiri setaraf dengan saintis antarabangsa,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Pencapaian beliau bukan sahaja menzahirkan kecemerlangan peribadi, malah mengukuhkan profil penyelidikan Malaysia di persada global selain menjadi simbol kecekalan wanita Malaysia dalam dunia akademik yang kompetitif dan lazimnya didominasi kaum lelaki.
Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki tersenarai dalam World’s Top 2% Scientists sejak pengiktirafan itu diperkenalkan oleh Universiti Stanford dan Elsevier pada 2019. Beliau kini di kedudukan 167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan serta ke-5,173 secara keseluruhan dalam kalangan 100,000 saintis berimpak tinggi di seluruh dunia.
Berdasarkan pangkalan data Scopus, beliau mencatatkan H-Index 39 dengan lebih 196 artikel diterbitkan dan lebih 5,000 petikan oleh penyelidik lain di seluruh dunia, iaitu satu pencapaian luar biasa dalam bidang sains sosial dan pengurusan yang biasanya tidak mencatat kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.
Menjelaskan dengan lebih lanjut pencapaiannya kepada Bernama, beliau berkata, H-Index 39 bermaksud sekurang-kurangya 39 artikel beliau yang masing-masing dirujuk sekurang-kurangnya 39 kali oleh penyelidik lain.
“Realitinya, bukan semua orang boleh mencapai Scopus H-Index 30 ke atas, apatah lagi 39. Ia satu angka yang sangat tinggi, terutama dalam bidang sains sosial dan pengurusan kerana bidang ini tidak mempunyai jumlah penyelidik dan kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.
“Angka itu menunjukkan hasil penyelidikan saya bukan sahaja diterbitkan, tetapi turut digunakan dan dirujuk secara meluas oleh komuniti akademik antarabangsa,” jelasnya.
Tegas beliau lagi, pemilihan ke dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia tidak bergantung pada jumlah penerbitan semata-mata, sebaliknya kualiti dan impak sebenar penyelidikan.
“Tiada permohonan, tiada pencalonan, semuanya berpaksikan data penerbitan yang sahih dan berimpak tinggi. Jadi, apabila nama kita muncul dalam senarai itu, ia benar-benar hasil kerja keras bertahun-tahun,” jelas beliau lagi, menambah pencapaiannya itu juga membuktikan disiplin, konsistensi dan rasa ingin tahu yang tinggi adalah kunci kejayaan.
“Untuk kekal dalam senarai ini bukan mudah. Kita perlu terus aktif menjalankan penyelidikan berimpak tinggi, menulis, menerbitkan dan berkolaborasi di peringkat antarabangsa. Walau sesibuk mana pun saya sentiasa pastikan setiap hari ada masa diperuntukkan untuk menulis atau menyemak data penyelidikan dengan penuh disiplin,” kongsi beliau.
Dilahirkan di Kluang, Johor pada 1977, anak kedua daripada tiga beradik ini membesar dan menerima pendidikan awal di Jasin, Melaka. Sejak kecil, beliau dan adik-beradik diasuh dalam suasana keluarga yang menekankan disiplin dan pendidikan.
Bukan sesuatu yang menghairankan kerana ibunya, Azbah Semat, merupakan ‘Special Grade Midwife’ di Hospital Melaka sebelum bersara, manakala arwah bapanya, Mohd Suki Umbi pernah berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia sebelum menjadi penguasa asrama di Institut Kemahiran Mara Jasin.
“Ibu dan arwah bapa menjadi tulang belakang kejayaan saya. Mereka menghantar saya dan kakak saya, Prof Madya Ts Dr Norbayah, ke kampus setiap hari di Universiti Multimedia (MMU) Melaka dan kemudian ke MMU Cyberjaya. Mereka tidak pernah jemu memberi semangat untuk kami menimba ilmu hingga ke peringkat tertinggi,” ujarnya penuh syukur.
Kakaknya juga bertugas di UUM Kampus Kuala Lumpur, manakala adik bongsu mereka, Mohamad Syukri seorang cef terlatih.
Merupakan lepasan Institut Perdagangan Mara, Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki menyambung pengajian ijazah pertama di MMU dan menamatkan pengajian pada 2000. Beliau kemudian meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pemasaran dan e-dagang di universiti sama dan menamatkan pendidikan pada 2006 ketika berusia 29 tahun.
Sepanjang 25 tahun dalam dunia akademik, beliau menempuh perjalanan dengan penuh dedikasi, di beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini.
Pada 2018, beliau menerima pengiktirafan Malaysia’s Research Star Award (MRSA), satu penghargaan berprestij daripada penerbit akademik Elsevier dan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada penyelidik Malaysia yang menghasilkan penerbitan berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa.
Kini, pada usia 48 tahun, beliau bukan sahaja bergelar profesor tetapi turut memegang jawatan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Hubungan Korporat) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM – simbol kepada disiplin, fokus dan minat mendalam yang mengangkatnya ke puncak dunia akademik.
Bagi beliau, kejayaan dalam penyelidikan bukanlah kerja individu, tetapi hasil ekosistem universiti dan pasukan yang menyokong sepenuhnya. Beliau banyak menjalankan kerjasama penyelidikan rentas negara serta menekankan kepentingan menjadi pengarang utama dalam penerbitan berimpak tinggi.
Bukan setakat itu, Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki juga membantu pelajarnya mencipta kejayaan dan antara pencapaian besar yang masih diingatinya ialah membantu 105 penuntut sarjana muda menerbitkan artikel berindeks Scopus, satu pencapaian yang sangat jarang berlaku dalam dunia pendidikan.
Buku mereka yang bertajuk ‘Handbook of Research on Leveraging Consumer Psychology for Effective Customer Engagement’ diterbitkan oleh IGI Global pada 2017 dan membabitkan pelajarnya yang beliau latih sejak awal pengajian.
Sejak 2013, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Bersekutu APM dengan pangkat Leftenan Kolonel Bersekutu dan kini menjawat jawatan Timbalan Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KorSispa) UUM. Melaluinya, beliau memupuk semangat kesukarelawanan dan patriotik dalam kalangan mahasiswa dan generasi muda.
Ketika pandemik COVID-19, beliau bertugas di Home Surveillance Centre (HSC) di Institut Aminuddin Baki, Jitra, Kedah. Peranan besar ini menyaksikannya dianugerahi Pingat Bakti Pertahanan Awam pada 2021 sebagai penghargaan atas sumbangan dan jasanya kepada masyarakat.
“Ilmu dan pangkat tidak bermakna jika kita tidak kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya, menutup bicara penuh inspirasi.
Siapa yang tak kenal dengan pemain bola sepak terkenal negara, Khairul Fahmi Che Mat atau dikenali sebagai Apek. Penjaga gol ini berkawin pada tahun 2012 dengan pasangannya si cantik manis Leuniey Natasha.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 3 cahayamata yang comel.Usia perkahwinan pasangan ini sudah mencecah 13 tahun, jelas terpancar kebahagian buat mereka.
Baru-baru ini, menerusi perkongsian di Instgaram milik isteri Apek, Leuniey Natasha berkongsi sambutan hari jadi buat anak sulungnya, Kayla Elayna yang ke 11 tahun. Turut memuat naik kapsyen ucapan dan doa buat anaknya.
“Happy 11th Birthday satu satunya babygirl. Mamy daddy kakak elaaaa @kaylaelaynakf Membesar dengan baik dan sihat sihat selalu , anak baik mamy daddy , we love you so much . Now u dah masuk teen phase kakak , may and happiness accompany you throughout this journey of beautiful life .Inshallah.Ameen”
Dalam pada itu, meninjau di ruangan komen, rata-rata memberi ucapan hari jadi dan mendoakan kesejahteraan buat anaknya. Ada juga memuji kecantikan yang dimilik oleh anak perempuannya itu. Ada juga beranggap anaknya persis pelakon terkenal Zahirah Macwilson. Antara komennya
“Cantik betul lah Kayla. Happiest birthday to you Kayla, dah besar dahh dia “ “Pehh mcm zahirah macwilson laaa cantik” “Tau-tau da 11 years old awal you’re so pretty .happy birthday Kayla semoga diberkati Allah SWT” “Besar dahhh. Comey ikut mommy.”